Skip to content

Ikut Cara Imam Syafi’i

Mei 6, 2012


SUDAH menjadi kebiasaan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil berumur empat hingga enam tahun menghadapi tangisan mereka semata-mata mahukan sesuatu. Sampaikan ada yang protes dengan bermacam tindakan yang kadang-kadang dilihat comel seperti baling selipar, menjerit, malah ada yang baring di atas lantai dan menangis berguling-guling.

Semua ini untuk menarik perhatian ibu bapa untuk memberi apa dimahukan. Inilah caranya budak-budak kecil meminta perhatian ibu bapa agar memenuhi kehendak mereka. Bagi sesetengah pihak, itu dipandang tindakan yang kurang sopan. Sebenarnya bukan begitu, mereka masih kecil, belum punya fikiran yang mampu menimbang keperluan, kehendak dan cara yang wajar untuk meminta sesuatu daripada orang tuanya.

Hormati orang lebih tua adalah kesan ilmu yang diberkati

Baru-baru ini, hampir 500 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut ‘Free Education’ dengan menghapuskan pinjaman PTPTN. Ironinya, ada beberapa tindakan protes yang dilakukan sama sekali tidak menunjukkan maksud Free Education. Slogan arwah, jahanam, gimik Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi dikalungkan dengan bunga seperti mana ritual orang mati menjadi bahan pengisian protes. Ada mendakwa inilah awal bibit-bibit demonstrasi yang berlangsung pada 28 April lalu.

Saya sudah nyatakan pada penulisan dan ceramah mengenai hukum demonstrasi dan mengambil hak mengganggu urusan orang lain. Saya tidak akan membincangkannya di sini kerana sudah diketahui umum, saya tidak bersetuju dengan demonstrasi. Itulah juga pegangan ulama muktabar seperti Syaikh Abdul Muhsin al-Abbad bahawa demonstrasi tidak dibenarkan tidak kira daripada siapa pun yang melaksanakannya.

Mahasiswa yang mengikuti protes berkenaan di Dataran Merdeka kebanyakannya masih muda, sekitar awal 20-an. Sebagai insan yang dianugerahkan oleh Allah akal cerdas sehingga mampu memasuki menara gading, akhlak dan sikap mulia sepatutnya cerminan diri mereka.

Mana mungkin kita katakan gimik gambar dan kalung bunga bagi orang mati adalah tindakan cerdik bagi orang berakal. Lebih-lebih lagi individu yang dibabitkan adalah jauh lebih tua umurnya berbanding mereka.

Sudah tentu ia dipandang satu tindakan biadab bagi seorang yang lebih muda untuk berbuat sedemikian.

Sabda Nabi s.a.w: “Tidak ada sesuatu lebih besar dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat melainkan akhlak mulia dan sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang suka berbicara keji dan kotor.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sabda baginda lagi: “Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tiada pula mengasihani anak kecil kami.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini memberi pengajaran bahawa anak muda dan orang tua perlu dikasihi dan dihormati. Masing-masing pihak menjalankan tanggungjawab mereka. Di dalam hadis ini sendiri menyatakan bahawa pemuda perlu bertindak terlebih dulu iaitu dengan menghormati orang tua.

Mahasiswa wajar mencontohi Imam Syafie

Saya teringat kisah Imam Syafie yang begitu menghormati orang lebih tua dan agamanya iaitu guru beliau Imam Malik. Pernah sekali beliau bertutur: “Kemudian aku pergi pada waktu pagi kepadanya (Imam Malik) dan aku memulakan membacakan (kitab beliau) al-Muwaththa’ kepadanya. Setiap kali aku berasa segan kepada Imam Malik, dia berasa kagum dengan bacaanku dan i’rabku, dia berkata: ‘Hai, pemuda, teruslah! Agar engkau boleh menghabiskan bacaannya dalam beberapa hari.”

Perjalanan menuntut ilmu Imam Syafie sangat menakjubkan. Diwarnai dengan iman, takwa, akhlak dan sabar. Dan ada kala dicoret dengan kekangan wang, masa, keperluan bahkan hasad dengki sesetengah pihak.

Namun, beliau tidak menjadikan isu wang dan keperluan sebagai kekangan utama dalam proses pembelajaran. Tidak menuntut walau satu sen pun daripada sesiapa yang menguruskan sistem pendidikan. Malah, Imam Syafie menjual rumahnya sendiri semata-mata untuk berhijrah ke Yaman untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Kerana baginya, ilmu adalah lambang kemuliaan yang Allah tetapkan.

Allah berfirman: “Wahai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis (ilmu)”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa tahap. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah ayat 11)

Sungguh perjalanan menuntut ilmu itu memang sukar. Tambahan lagi, masa kini kesukarannya berlipat kali ganda. Teknologi, hiburan dan sukan hadir bersama dalam proses menuntut ilmu dan ia godaan sangat besar kepada mahasiswa.

Cuba perhatikan, berapa ramai mahasiswa yang sanggup menyerahkan wang kepada orang tuanya hasil duit pinjaman atau biasiswa? Bandingkan pula berapa ramai membeli gajet yang canggih hasil duit pinjaman dan biasiswa yang sebenarnya tidak wajar dimiliki oleh insan bernama mahasiswa?

Itu tidak termasuk lagi dengan melaram, mekap, tengok wayang, duit top-up dan lain-lain. Sejauh manakah wang yang ada pada mahasiswa dimanfaatkan sebaik mungkin jika mereka masih lagi merungut dengan ketidakcukupan wang?

Ilmu pengetahuan tidak mempunyai peranan lain kecuali untuk membina peribadi dan tamadun. Zaman usia muda perlu dipenuhi, diisi, disibukkan dengan menuntut ilmu. Ramai mengeluh dan menyampaikan rasa tidak puas hati dengan pencapaian umat Islam di Malaysia yang masih jauh ketinggalan dari segi pendidikan, teknologi dan ekonomi. Tetapi, berapa ramai yang berusaha untuk memperbaiki itu semua?

Sudah sampai masanya untuk kita berubah. Jangan mengeluh, banyakkan bekerja, laksanakan tanggungjawab sebagai mahasiswa. Imam Syafie sudah membuktikan beliau mampu berjaya walaupun menghadapi banyak dugaan.

Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan

siaran akhbar 04 Mei 2012. ilmuanmalaysia.com edisi 05 Mei 2012.

About these ads
Tinggalkan sebuah Komentar

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.722 pengikut lainnya.

%d bloggers like this: