Skip to content

Bagaimana Cara Nabi Qiyamullail, Tahajjud, Witir & Berdoa

Agustus 5, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Bagaimana Nabi mendidik kita cara atau kaedah qiyamullail?

Jawapan:

Perkataan qiyamullail bermaksud menghidupkan malam. Dengan apa menghidupkan malam adalah di antaranya dengan membaca Al Quran dan shalat. Shalat malam terbahagi kepada dua kategori; shalat sebelum tidur dan shalat selepas tidur.

Shalat sebelum tidur adalah qiyamullail, dan shalat selepas tidur juga adalah qiyamullail. Bezanya ialah shalat selepas tidur termasuk kategori tahajjud. Kadang-kadang orang salah faham, ramai orang menyangka shalat malam atau qiyamullail ini hanyalah shalat yang dilakukan selepas tidur sahaja.

Sebenarnya yang dilakukan sebelum tidur juga dikategorikan sebagai shalat malam tetapi kualitinya tidak sama seperti shalat atau ibadah yang dilakukan setelah bangun daripada tidur.

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Ertinya: “Dan pada sebahagian malam hari bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. “ (Al-Israa, 17: 79)

Semua itu adalah qiyamullail (menghidupkan malam) dan shalat malam. Bagaimanakah Nabi SAW mengajar kita shalat malam?

1. Bangun pada sepertiga malam

Ada beberapa sebab mengapa Nabi SAW mengajar kita untuk bangun bertahajjud pada satu per tiga malam, antara yang paling penting ialah kata Nabi SAW, Allah SWT turun di sepertiga malam mendengar pengaduan dan doa hamba-hamba-Nya.

Kita wajib mengimani bahawa Allah SWT turun ke langit dunia. Soal bagaimana Allah SWT turun, serahkan urusan itu kepada Allah SWT. Allah turun seperti apa yang layak dan sesuai bagi sifat-Nya. Ianya tidak boleh difikir atau dibayangkan dan tidak boleh disamakan dengan sifat dan bentuk mana-mana makhluk.

Menggambar dan membentukkan Allah SWT sama seperti sifat makhluk menjadikan kita mujassimah iaitu menggambarkan bagaimana rupa bentuk Allah SWT dan ini diharamkan. Jadi kita beriman bahawa Allah SWT turun tetapi bagaimana Allah turun adalah sesuai dan layak bagi sifat dan zat-Nya tanpa menyerupai makhluk, tanpa membagaimanakan, tanpa menafikan sifat tersebut, dan tanpa melakukan pentakwilan ke atas sifat tersebut.

Turunnya Allah SWT ke langit dunia adalah suatu saat yang sangat baik dan mulia. Ini dari sudut pemilihan waktu dalam kita berdoa kepada Allah SWT dan melakukan amal kebaikan.

Sebab kedua mengapa bangun di sepertiga malam adalah kerana baginda Nabi SAW bangun di sepertiga malam. Kadang-kadang ramai yang bertanya, mengapa kita buat begitu, mengapa kita buat begini? Kita seringkali mencari kelebihan, tetapi kita lupa menunaikan tanggunggjawab terlebih dahulu.

Tanggungjawab belum ditunaikan tetapi kita sudah bertanya berapa keuntungan yang bakal diperoleh. Ini mungkin disebabkan terlebih belajar ekonomi dan bisnes. Belajar ekonomi itu perlu, tetapi jangan sampai terbawa-bawa dalam urusan ibadat sehingga jika ibadat tersebut tidak dilihat menguntungkan maka kita tidak mahu melakukan.

Kelebihan yang paling utama sebenarnya adalah mentaati perintah Allah dan Rasul. Kita melakukan sesuatu ibadat kerana Nabi melakukannya. Adapun ganjaran yang dijanjikan khusus untuk amalan tersebut adalah soal kedua. Mungkin kelebihan ada disebut di dalam hadis-hadis yang lain, tetapi perkara utama dan yang terpenting adalah ibadat itu dilakukan kerana ianya adalah perintah Allah dan rasul. Itu peringkat pertama bagi orang yang taat.

Maka sebagai umat Nabi SAW, apa yang Nabi buat, contohnya Nabi bangkit di sepertiga malam, maka itulah yang kita buat kerana semestinya itu merupakan waktu yang terbaik untuk beribadat kerana mencontohi baginda adalah hal yang terbaik.

2. Shalat

Jika tadi kita membicarakan tentang waktu yang terbaik, sekarang kita membincangkan apa amalan yang terbaik. Nabi bangkit di sepertiga malam untuk shalat. Shalat apakah yang baginda lakukan?

Dari Abu Salamah bin ‘Abdirrahman, dia pernah bertanya pada ‘Aisyah RA, “Bagaimana shalat malam Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan?” ‘Aisyah mengatakan,

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَزِيدُ فِى رَمَضَانَ وَلاَ فِى غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً

Ertinya: “Rasulullah SAW tidak pernah menambah jumlah rakaat dalam shalat malam di bulan Ramadhan dan tidak pula pada selainnya melebihi 11 rakaat.” (riwayat Bukhari no. 1147 dan Muslim no. 738)

Nabi melakukan shalat malam tidak pernah melebihi 11 rakaat. Itu jumlah rakaat yang Nabi lakukan. Kemudian wujud juga hadis umum dari Nabi SAW,

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى ، فَإِذَا خَشِىَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً ، تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى

Ertinya: “Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat. Jika salah seorang di antara kalian takut masuk waktu subuh, maka kerjakanlah satu rakaat. Dengan itu bererti kalian menutup solat tadi dengan witir.” (riwayat Bukhari no. 990 dan Muslim no. 749, dari Ibnu ‘Umar)

Berdalilkan hadis yang umum ini, ulama seperti Al Imam An Nawawi rahimahullah, Imam As-Suyuthi dan selainnya menyatakan bahawa harus untuk kita melakukan shalat malam tanpa melakukan penetapan jumlahnya. Boleh dilakukan dua rakaat, dua rakaat, dan sehingga apabila takut masuk subuh lakukanlah witir sebagai penutup.

Shalat witir

Witir adalah shalat yang jumlah bilangan rakaatnya adalah ganjil. Jika ditanya pendapat saya, saya lebih cenderung kepada hadis Aisyah kerana hadis tersebut menyebut secara khusus bahawa Nabi tidak pernah menambah lebih daripada 11 rakaat di dalam shalat malamnya sama ada di dalam atau di luar Ramadhan.

Soal bagaimana 11 rakaat itu dilakukan, apakah 2 rakaat, 2 rakaat dan akhirnya 3 rakaat, atau dilakukan 8 rakaat sekaligus dan ditutup dengan 3 rakaat, atau 4 rakaat, 4 rakaat, kemudian ditutupi dengan 3 rakaat, semua itu ada disebut caranya oleh Nabi SAW.

Syaikh Muhammad Umar Bazmul mengarang buku “Meneladani Shalat-shalat Sunnah Rasulullah SAW” membahaskan topik khusus cara Nabi SAW melakukan shalat malam, termasuk di dalamnya juga salat tarawih dan shalat witir.

Sekiranya kita hendak melakukan kurang daripada itu (11 rakaat), lakukanlah shalat yang Nabi SAW tidak pernah tinggalkan iaitu shalat witir.

Shalat ini ada yang Nabi meletakkan jenama, ada yang Nabi tidak meletakkan jenama. Shalat witr bukan merujuk kepada jenama, tetapi ia merujuk kepada jumlah rakaat yang kita lakukan. Jumlah rakaat yang kita lakukan sekiranya ganjil rakaatnya maka itu ialah witir.

Kata Nabi SAW tentang shalat witir, witir adalah salah satu cara shalat malam, iaitu mengganjilkan jumlahnya. Mengganjilkan jumlah shalat ini sangat baik, antaranya sabda Nabi SAW di dalam hadis,

إِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Ertinya: “Sesungguhnya Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai yang ganjil.” (Muttafaq ‘alaihi)

Dan dalam riwayat yang lain Nabi menyatakan berkenaan shalat witir,

هي خير لكم من حمر النعم

Ertinya: “Shalat yang lebih baik daripada unta merah.” (riwayat At Tirmidzi)

Ada yang mengatakan maksud “humurin na’am” dalam hadis di atas merujuk kepada 100 ekor unta merah. Maknanya di sini ada kelebihan-kelebihan pada mengganjilkan shalat malam. Sebab itu Syaikh Muhammad bin Umar Bazmul menyusun tatacara shalat witir yang dilakukan oleh Nabi SAW; 3, 5, 7, atau 11 rakaat, terpulang kepada kesediaan kita. Cuma untuk menambah kualiti shalat malam, lakukanlah ia setelah bangun daripada tidur pada waktu malam.

Apabila kita bangun daripada tidur pada waktu malam untuk beribadah, ibadah yang dilakukan itu termasuk dalam kategori tahajjud, tetapi shalat tersebut tetap shalat witir kerana kita mengganjilkan jumlahnya. Dengan mengganjilkan jumlah rakaat shalat, ada ganjaran-ganjaran tertentu yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW.

Itu di antara amalan yang Nabi SAW lakukan.

Bersendirian atau berjamaah?

Shalat malam kadangkala dilakukan oleh Nabi secara berjamaah seperti hadis yang menunjukkan Nabi berjamaah bersama Ibn Abbas, tetapi kebiasaannya dan kebanyakannya Nabi melakukannya secara bersendirian. Aisyah RA menjadi saksi betapa Nabi shalat malam, sehingga Aisyah RA berkata,

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ

Ertinya: “Nabi Allah SAW melaksanakan shalat malam sehingga pecah kedua tapak kakinya.” (riwayat Al-Bukhari no. 4460 dan Muslim no. 2820)

Sehingga Aisyah bertanya kepada Nabi, “Kenapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah padahal Allah Ta’ala telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?” Baginda SAW bersabda, “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?” (riwayat Muslim no. 2820)

Bersyukurnya Nabi dengan shalat malam sehingga pecah tapak kaki. Bagaimana pula dengan kita?

3. Berdoa

Ketika kita bangun dan shalat malam, dianjurkan kepada kita untuk memilih waktu yang sesuai untuk berdoa. Antara waktu yang paling sesuai untuk berdoa di dalam shalat adalah sewaktu sujud dan sebelum memberi salam. Kata Nabi SAW di dalam hadis,

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Ertinya: “Keadaan paling dekat seorang hamba dari Tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (riwayat Muslim)

Penyakit masyarakat kita, mereka menunggu sujud yang terakhir sahaja untuk berdoa dan memperlama sujud. Sedangkan kita dianjurkan memperbanyakkan doa di dalam mana-mana sujud tidak dikhususkan pada sujud yang terakhir.

Tatacara berdoa

Doa boleh dilakukan dengan mengangkat tangan atau dengan tidak mengangkat tangan. Antara hadis-hadis yang menggambarkan cara Nabi SAW berdoa dengan mengangkat tangan ialah seperti yang digambarkan oleh Ibn ‘Abbas RA di mana Nabi SAW merapatkan kedua-dua belah tangannya dan mengangkat di antara paras muka dan dada. Itu salah satu cara Nabi mengangkat tangan ketika berdoa.

Banyak hadis yang menunjukkan keharusan kita mengangkat tangan ketika berdoa. Walaubagaimanapun ada masa-masa dan ketika Nabi berdoa dengan tidak mengangkat tangan, seperti doa ketika khutbah (baginda hanya mengangkat jari telunjuk tangan kanan ke atas) dan beberapa tempat yang lain. Bukan setiap waktu berdoa harus mengangkat dan menadah tangan, dan ianya juga tidak ditetapkan dan dikhususkan pada masa-masa tertentu untuk mesti mengangkat tangan, cuma di antara adab ketika meminta sesuatu daripada Allah adalah dengan mengangkat tangan. Adapun ketika Nabi berdoa meminta hujan atau keperluan mendesak dan di saat genting, Nabi mengangkat tangan lebih tinggi ke langit sehingga diriwayatkan nampak putihnya ketiak Nabi SAW.

Antara yang turut dianjurkan adalah menangis dan bersungguh-sungguh dalam berdoa, dan Nabi SAW kurang menyukai doa yang terlalu detil, sebaliknya baginda menyukai doa umum yang merangkumi hal yang diinginkan, tidak terlalu terperinci melainkan jika ada keperluan yang mendesak seperti dalam hadis riwayat Abu Dawud di mana baginda mengajar kita berdoa, mohonlah pada Allah walaupun untuk meminta garam dan kasut. Jadi sekiranya benda itu merupakan keperluan yang mendesak maka mohonlah kepada Allah SWT.

Nabi juga suka mengulangi doa yang sama sebanyak tiga kali. Maka inilah yang harus kita contohi dalam kita berdoa dan bershalat malam, khususnya apabila dekat dengan ujian. Seperti mana kita melihat para sahabat Nabi RA ketika berperang, mereka tetap meneruskan shalat; shalat khauf, membuktikan hubungan dengan Allah SWT sangat penting termasuklah di saat-saat genting.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan dari rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=Lpmlxl23Wpw&feature=relmfu 

About these ads

From → Fiqh & Syariah

13 Komentar
  1. Ms Khan permalink

    Terima kasih atas penerangan yang jelas dan padat ini. Semoga Allah memberkati tuan sekeluarga. Amiin.

  2. Shaliza permalink

    Terima kasih atas penerangan

  3. Fachry Ar Rafi permalink

    Semoga Bermanfaat.

  4. Abi naura permalink

    Jazakallohu khoiron Ustazd,semoga bermamfaat,Semoga Allah selalu menjaga Antum beserta keluarga dan memberi Antum kekuatan untuk terus mendakwahkan Islam yg murni di bumi Nusantara ini.

  5. atiqah permalink

    Jazakallah ustaz..

  6. puterazs permalink

    ustaz assalamualaikum nak tanya … 1/3 malam dalam jam berapa waktu malaysia ?

  7. Suanti permalink

    Saya selalu mengerjakan sholat tahajjud di sepertiga malam sebanyak 2 rakaat saja dan menutupnya dgn sholat witir 1 atau 3 rakaat.apakah itu diperbolehkan hanya 2 rakaat tahajud.terima kasih

  8. mamatkdh permalink

    jazakallah…sangat jelas..semoga Allah pilih saya jadi orang yang bangun solat malam..Amin

  9. anwar ahmad permalink

    jazakallah…..alhamdulillah….insyaAllah dipermudahkan Allah utk kita semua

  10. Jazakallohu khoiron. Setelah membaca artikel di atas semakin jelas apa yang harus dilakukan dalam bertahajjud.

  11. yakub permalink

    Assalamu’allaikum. ustad, mw tnya, sunnah2 nya apa sj y?

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.718 pengikut lainnya.

%d bloggers like this: