Skip to content

Generasi Ulul Albab Pada 10 Malam Terakhir (Teks Ucapan Sempena Majlis Iftar anjuran Pemuda UMNO)

Agustus 16, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Kalau kita perhatikan di dalam Al Quran, Allah SWT berulang kali menyebut perkataan Ulul Albab dan juga Ulul Abshar. Perkataan Al-Albab merupakan perkataan bahasa arab yang berasal dari kata dasar Al-Lub (dalam). Apabila dikatakan Ulul Albab bererti seseorang yang mendalami dan mengkaji sesuatu. Untuk tafsiran Ulul Albab ini mungkin sesuai kita petik firman Allah SWT di dalam Al Quran, apabila Allah menceritakan tentang kelompok-kelompok manusia yang mereka ini berlawanan dengan Ulul Albab. Siapakah mereka itu? Firman Allah di dalam Al Quran,

لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Ertinya: “Mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami, dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak melihat, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (surah Al A’raf, 7:179)

Maksudnya di sini adalah orang yang dikurniakan pelbagai nikmat dan pancaindera seperti mata, telinga, tetapi tidak memanfaatkannya untuk kebaikan. Maka Allah menyindir dan menggelarkan mereka ini seperti binatang ternakan, bahkan mereka itu lebih sesat lagi.

Ini adalah ciri-ciri yang berlawanan dengan Ulul Albab. Apabila kita bercakap tentang Ulul Albab dalam konteks 10 malam yang terakhir Ramadhan, apakah sikap Ulul Albab yang sepatutnya? Beberapa hari lepas saya dan rakan-rakan media melakukan satu lawatan ke tengah-tengah atau pusat bandaraya Kuala Lumpur. Kami pergi ke jalan-jalan dan lorong-lorong seperti Chow Kit dan Lorong Haji Taib, di sana ada kelab-kelab gay, ada gred A, B, C dan sebagainya. Kami melihat dari luar dan kemudian kami juga melihat anak-anak melayu kita melepak di tengah-tengah Bukit Bintang pada jam 2-3 pagi, dan kami melihat bagaimana orang Islam dan orang Melayu kita berada di tempat-tempat sedemikian sedangkan kita telah masuk ke fasa Ramadhan yang ketiga (terakhir).

Kalau kita merujuk kepada sikap Nabi SAW pada fasa Ramadhan yang terakhir ini, bagi golongan Ulul Albab yang mendalami dan menganalisa sikap Nabi SAW pada 10 malam yang terakhir, kata Aisyah RA,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Ertinya: “Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (dari bulan Ramadhan), baginda mengetatkan kainnya (meninggalkan jima’), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sedangkan orang kita pada 10 malam terakhir Ramadhan berada di kelab dangdut sedangkan usianya, tubuh badannya telah berbau tanah, tetapi tidak sedar-sedar lagi masih berjoget pada fasa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk mempertingkatkan amal ibadah. Sayangnya kita berhadapan dengan manusia-manusia yang –wallahua’lam- mungkin mereka lupa, jahil, atau tidak memahami apa tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka lakukan.

Maka saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia atas penganjuran program-program yang seperti ini, menyedarkan masyarakat akan kepentingan Al Quran. Ayat Al Quran yang dibaca oleh Ketua Pemuda sebentar tadi mengingatkan kita tentang kepentingan dan kedudukan Ulul Albab – orang yang memerhati ciptaan Allah SWT di atas muka bumi, penciptaan siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya, maka orang-orang yang seperti inilah yang dikenal sebagai Ulul Albab iaitu yang memerhati dan memeriksa.

Kita pada hari ini tidak mahu semata-mata wujudnya orang yang hanya tahu membaca dan menghafal Al Quran. Kita mahukan seperti yang disebut oleh Imam An Nawawi rahimahullah “hamalatul Quran” iaitu orang yang membawa Al Quran. Al Quran itu menjadi dirinya, Al Quran itu diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya, dia membudayakan Al Quran. Ini yang kita inginkan.

Kita tidak mahu lagi sikap menginstitusikan agama. Agama dihadkan hanya pada orang tertentu, hanya orang yang belajar di Maahad Tahfiz Al Quran sahaja orang yang ada agama, orang yang belajar di UIA sahaja yang ada agama, pelajar lepasan sekolah agama sahaja yang ada agama.

Tidak semestinya. Kita inginkan lepasan universiti luar negara, dari latar belakang pelbagai juga ada pegangan agama dan memahami agama, kerana agama di dalam Islam dibudayakan dan dihidupkan dalam kehidupan seharian. Kita tidak mahu lagi agama hanya dilihat hanya pada sambutan-sambutan atau majlis-majlis seperti majlis khatam Al Quran dan sebagainya, tetapi kita mahu melihat agama itu dibudayakan dalam kehidupan seharian.

Kita mahu melihat pemandu sebagai orang yang beragama, jurukamera sebagai orang yang beragama, kita bercakap sebagai orang yang berpegang dengan agama. Maka baru kita akan diklasifikasikan sebagai golongan yang membawa pendirian Ulul Albab; yang menganalisa, meneliti, dan ada ilmu pengetahuan.

Oleh kerana itu kita melihat kepada apa yang Nabi SAW sebutkan di dalam hadis,

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّينِ

Ertinya: “Barangsiapa yang Allah mengkehendaki baginya kebaikan, maka Allah akan fahamkan dia tentang agama.” (Muttafaqun ‘alaih)

Pada hari ini kita kasihan kepada golongan-golongan yang jauh daripada Islam, teman-teman non-Muslim juga yang merupakan rakyat dalam negara ini di mana mereka tidak mendapat pendedahan tentang Islam kerana umat Islam sibuk berbalah sesama mereka. Mereka tidak mendapat penjelasan tentang apa itu Islam, apa itu hukum Islam, apa itu hudud contohnya, apa itu pengimarahan masjid, apa itu shalat. Kadangkala kita merasa kasihan kepada mereka apabila sebahagian umat Islam mengambil langkah menyerang dan menidakkan perkataan-perkataan mereka, menghina dan mencaci mereka.

Sewajarnya apabila dunia pada hari ini berkehendak kepada fakta, bukti, dalil maka semua itu perlu kepada penjelasan dan penerangan. Orang Islam di negara ini tidak mencari titik temu di antara mereka, sebaliknya yang dicari adalah titik temu dengan golongan-golongan yang benci dan anti kepada Islam.

Apabila kita berhadapan dengan situasi dan suasana yang seperti ini, kita jadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai penyelesai kepada sebarang masalah. Kata Nabi di dalam hadis,

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Ertinya: “Sesungguhnya siapa yang hidup setelah kewafatanku dia pasti akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kalian berpegang pada sunnahku dan sunnah khulafa yang mana mereka ini diberi petunjuk. Peganglah ia erat-erat, gigitlah dengan gigi geraham kalian.” (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, dishahihkan Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Daud )

Di dalam Al Quran Allah SWT berfirman,

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Ertinya: “Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (surah An Nisa, 4: 59)

Maka sewajarnya kita menjadikan sisa-sisa terakhir Ramadhan Al Mubarak ini sebagai proses pentarbiyahan. Tunjukkan contoh terbaik untuk teman-teman di luar sana sama ada kepada muslim atau non-muslim. Perkenalkan mereka tentang budaya dan hakikat Islam itu sendiri. Perbetulkan persepsi mereka yang mendakwa Islam agama yang ekstrim dan jumud dengan membudayakan Islam yang sebenar dalam kehidupan. Maka kita akan tergolong dalam golongan yang merealisasikan ayat Al Quran,

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Ertinya: “Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar untuk menzahirkan (menonjolkan Islam) atas segala agama (yang lain), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.” (surah At-Taubah, 9: 33)

Akhir sekali, sebagai nasihat sempena 10 malam yang terakhir, baginda SAW menjelaskan dalam banyak hadis, antaranya sabda baginda SAW,

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: “Carilah lailatul qadar di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Lailatul qadar; malam yang sekiranya kita beramal pada malam tersebut, kata Allah SWT ianya lebih baik daripada seribu bulan. Kalau kita pada hari ini menganjurkan program-program kebajikan, Allah SWT mengangkat kedudukan kita kerana keikhlasan dan kesungguhan kita, Allah SWT mendedahkan kita dipuji oleh masyarakat, dipuji oleh makhluk langit dan bumi seperti yang dijelaskan dalam Al Quran dan hadis, demikian juga kita menginginkan pujian daripada Allah dan keberkatan daripada Allah SWT, hubungan secara langsung dengan Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan bahawa ganjaran Ramadhan itu adalah milik-Nya sepenuhnya. Allah akan berikan ganjaran sepenuhnya dari diri-Nya sendiri. Maka sewajarnya kita memanfaatkan 10 malam terakhir ini mencari Lailatul Qadar. Jangan kita sibukkan diri dengan urusan dunia semata-mata dan meninggalkan manfaat 10 malam terakhir yang dikhususkan keistimewaannya untuk mereka yang beragama dan beribadah. Kita berdoa kepada Allah agar memberikan kejayaan kepada kita dan mendapat malam tersebut yang penuh dengan kemuliaan agar Allah SWT meliputi rahmat-Nya atas perjuangan kita mudah-mudahan.

Dan kita berdoa dengan doa yang diajar Nabi SAW, seperti mana yang diceritakan oleh Aisyah RA,

قلت يا رسول الله أرأيت إن علمت أي ليلة ليلة القدر ما أقول فيها قال قولي اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Ertinya: “Aku bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, apa yang sebaiknya aku ucapkan jika aku menemukan malam Lailatul Qadar? Baginda bersabda: ‘Ucapkanlah:

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni (Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan menyukai sifat pemaaf, maka ampunilah aku)”(riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah. At Tirmidzi berkata hadis ini Hasan Sahih)

WallahuA’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman ucapan CEO iLMU dalam Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim anjuran Pemuda UMNO, 2012.

http://www.youtube.com/watch?v=eGIoSFW7aWI&feature=plcp 

About these ads
Tinggalkan sebuah Komentar

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.722 pengikut lainnya.

%d bloggers like this: