Skip to content

Penjelasan isu zikir/doa yang dikaitkan dengan Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah

Agustus 24, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Saya melihat di youtube seorang ustaz bercakap tentang doa atau zikir yang dikaitkan dengan Imam Syafi’i. Saya mempelajari zikir ini sejak zaman sekolah, apabila membaca doa tersebut, rasa hendak menangis itu ada tetapi bukan bermaksud kita tidak mahu masuk syurga atau duduk di tengah-tengah antara syurga dan neraka. Semakin kita belajar, ilmu kita makin bertambah dan kita tidak mahu mengamalkan sesuatu secara ikut-ikutan sahaja. Jadi saya inginkan kepastian daripada ustaz tentang persoalan ini.

Jawapan:

Bismillah,

Sebenarnya isu ini bukanlah isu mengkritik Imam Asy-Syafi’i, mereka tidak faham apa yang dibahaskan. Sebenarnya isu pertama adalah isu sanad atau sandaran zikir tersebut kepada Imam Syaf’i adalah sangat diragukan. Kita bercakap tentang sandaran ke atas nama Imam Asy-Syafi’i. Kata Imam Muhammad Ibn Sirin rahimahullah,

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Ertinya: “Ilmu adalah agama, maka telitilah dari siapa kalian mengambil agama kalian.” (riwayat Imam Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim)

Banyak orang mengatakan zikir tersebut diajar oleh Imam Syafi’i. Berapa banyak dalam negara kita orang mengatakan ini dari mazhab Syafi’i, itu dari mazhab Syafi’i, namun apabila disemak, adakah benar ianya dari mazhab Syafi’i? Tidak.

Mendakwa dengan dakwaan sangat mudah. Begitu juga dalam isu ini. Sila buktikan zikir ataupun doa “ilahi lastu lil firdausi….(hingga akhir)” itu pernah disebut oleh Imam Asy-Syafi’i. Datangkanlah ia bersama dengan sanad anak muridnya.

Kalau sekadar mengatakan zikir itu ada di dalam kitab, memang sesiapa sahaja boleh menulisnya di dalam kitab. Tetapi di manakah bukti dan sandarannya? Itu persoalan yang pertama.

Persoalan kedua adalah tentang kaedah dan cara berzikir. Kita membawakan kaedah dan cara berzikir Nabi SAW dan membandingkannya dengan zikir tersebut secara ilmiah.

Adab dan cara Nabi SAW berzikir, baginda menggambarkan kepada kita bahawasanya kita perlu mendambakan dan meminta syurga. Sebab itu di dalam hadis Nabi menyuruh kita menangis ketika meminta daripada Allah SWT. Kalau tidak dapat menangis, Nabi suruh buat-buat menangis. Ini menggambarkan betapa kita perlu meminta bersungguh-sungguh daripada Allah SWT, rajak yakni dengan penuh pengharapan.

Adapun zikir tersebut menggambarkan “aku tidak layak ke syurga, tetapi aku tidak sanggup ke neraka, maka disebabkan hal itu ampunkanlah dosa-dosaku.”

Cara dan kaedah berdoa seperti itu adakah sesuai dengan cara dan kaedah yang Nabi SAW ajarkan? Itu sahaja yang dibahaskan. Nabi SAW menunjukkan kepada kita kaedah berdoa kepada Allah SWT adalah dengan meminta apa sahaja yang hendak diminta (tanpa berprasangka buruk bahawa kita tidak akan memperolehnya kerana tidak ada yang susah bagi Allah SWT).

Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh, kita diajar untuk meminta syurga Allah SWT.

“Rabbana aatinaa fid dun-yaa hasanah, wa fil Aakhirati hasanah, waqinaa ‘adzaaba an-Naar” doa ini mengajar kita untuk meminta agar dijauhkan terus dari azab api neraka, bukan setakat mengatakan “tetapi aku tidak sanggup ke neraka-Mu, oleh itu….” Bukan sekadar tidak sanggup, tetapi kita harus bersungguh mengatakan yang kita tidak mahu ke neraka dan mohon dijauhkan daripadanya.

Jangan mengatakan “aku tidak layak ke syurga” tetapi katakanlah dengan bersungguh-sungguh bahawa kita benar-benar ingin ke syurga-Nya. Begitulah cara yang benar dalam kita meminta daripada Allah SWT, yakni dengan penuh kesungguhan, pengharapan, menangis, kalau tidak mampu menangis harus buat-buat menangis.

Lafaz dan cara berdoa

Kita perlu faham, ada beberapa perkara yang dibahaskan dalam adab dan etika berdoa. Pertama adalah tentang lafaz doa. Kedua adalah tentang cara kita berdoa. Dua perkara ini sangat penting untuk difahami.

Lafaz doa boleh datang dengan dua cara. Pertama, lafaz doa daripada Al-Quran dan As-Sunnah seperti yang terdapat di dalam Al Quran ataupun hadis Nabi SAW. Kedua, lafaz doa yang kita ciptakan sendiri berdasarkan keperluan dan kehendak.

Lafaz doa yang kedua adalah harus sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Abu Dawud, kata Nabi SAW, mohonlah dari Allah SWT walaupun untuk memohon garam ataupun selipar. Walaubagaimanapun, dari segi adabnya, baginda tidak menyukai meminta sesuatu dengan menyebutnya secara terperinci. Nabi SAW lebih menyukai doa yang bersifat umum. Sifat doa ini pun kita perlu mencontohi Nabi SAW.

Jenis-jenis doa

          1. Doa yang dijadualkan

Erti doa yang dijadualkan ini ialah doa yang ditetapkan waktu, tempat, lafaz bacaan ataupun jumlah bilangannya oleh Nabi SAW. Kaedah membaca doa ini mesti mengikut ketetapan yang dikhususkan.

Contoh, doa masuk ke tandas mesti dibaca ketika hendak masuk ke tandas dan tidak boleh dibaca sebelum memulakan solat walaupun maksud doa itu baik dan bagus dan dilihat seolah-olah sesuai dibaca pada bila-bila masa. Doa yang ditetapkan untuk dibaca sebelum tidur tidak boleh diubah masanya dan dibaca sebelum makan. Zikir selepas solat yang ditetapkan lafaz dan jumlahnya sebanyak 33x 3 = 99 tidak boleh diubah lafaznya serta bilangannya melebihi daripada itu walaupun ianya dilihat seolah-oleh lebih baik.

          2. Doa yang tidak dijadualkan

Doa yang tidak ditetapkan waktu, tempat, lafaz, ataupun jumlah bilangannya maka doa ini boleh dibaca mengikut keperluan dan kemampuan tetapi tidak boleh ditetapkan masa, tempat, lafaz, bilangan oleh sesiapa pun.

Contoh, zikir yang tidak ditetapkan bilangannya oleh Nabi SAW, tidak boleh kita memandai-mandai menetapkan jumlah bilangannya supaya dibaca 100x, 1000x, dan sebagainya, dan tidak boleh pula ditetapkan waktu dan tempat bacaanya jika ia tidak pernah ditetapkan atau dikhususkan oleh Nabi SAW.

Begitu juga dengan zikir yang kita sedang bahaskan ini – ilahi lastu lil firdaus – pertama adalah dari sudut sandarannya kepada Imam Asy-Syafi’i, setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang membuktikan zikir ini dibaca oleh Imam Syafi’i. Isu kedua adalah dari sudut kaedah dan cara berdoa Nabi SAW.

Sekiranya benar pun zikir tersebut pernah dibaca oleh Imam Syafi’i, tetapi sekiranya ia bercanggah dengan cara dan kaedah Nabi SAW berdoa, maka kita mengambil prinsip Imam Asy-Syafi’i iaitu kata beliau,

إِذَا وَجَدْتُمْ فِيْ كِتَابِيْ خِلاَفَ سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَقُوْلُوْا بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ وَدَعُوْا مَا قُلْتُ. وَفِيْ رِوَايَةٍ : فَااتَّبِعُوْهَا وَلاَ تَلْتَفِتُوْا إِلَى قَوْلِ أَحَدٍ

Ertinya: “Apabila kalian mendapati dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi sunnah Rasulullah maka ikutilah sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah perkataanku. Dan dalam riwayat lain: maka ikutilah ia dan janganlah menoleh ucapan seorang pun.”

Walaubagaimanapun kita tetap menghormati Imam Asy-Syafi’i dan kita tidak pernah menghina beliau rahimahullah. Ini masalahnya apabila masyarakat mempunyai suatu tanggapan yang salah iaitu apabila meninggalkan pendapat seseorang bererti menghinanya.

Tanggapan seperti ini sangat salah. Kita tidak menghina atau merendahkan. Berapa ramai anak murid Imam Asy-Syafi’i meninggalkan pendapat Imam Asy-Syafi’i. Jumhur mazhab Syafi’i termasuk Al-Imam An-Nawawi meninggalkan pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i dalam permasalahan pahala membaca Al-Quran sampai kepada si mati. Imam Asy-Syafi’i mengatakan pahala membaca Al-Quran tidak sampai kepada si mati. Adakah ini bererti Imam Nawawi dan ulama lain menghina Imam Syafi’i kerana menolak pendapat beliau? Sudah tentu tidak. Ulama-ulama yang berbeza pendapat tidak menghina dan mereka menghormati Imam Syafi’i walaupun menolak sebahagian pendapat beliau.

Begitu juga kita, kita tetap mengasihinya. Meninggalkan sebahagian pendapatnya (untuk mengikuti contoh yang lebih mendekati sunnah) bukan bererti kita menghinanya. Permasalahan ini hanya timbul di kalangan orang-orang yang tidak memahami kaedah dan adab dalam berikhtilaf.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :
http://www.youtube.com/watch?v=iAq_874N8vc 

About these ads

From → Fiqh & Syariah

2 Komentar
  1. Ahmad permalink

    kalau dah terpedaya dgn dunia.. mcm2 kita leh backup.. jd mcm jamil khor, kta nk tlg islam, x nk dunia.. tgk rumah dia skrg.. masyallah, besar nya.. tgk mashitah.. da kuar hukum hakam yg x ptt.. dunia oh dunia.. Ya Allah, Engkau berikanlah hidayah dan pertolongan mu, dan kau berikanlah petunjuk ke atas jalan yg benar dan lurus.. buka kanlah mata hati mereka, supaya mereka dpt melihat dgn lebih jelas.. Amiin..

  2. hadi permalink

    Ilahilastulilfirdaus…bkn zikir khusus, ia sebuah syair yg popular dan indah oleh abu nawas.

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.731 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: