Skip to content

Undang-undang Islam bukan bersifat hendak menghukum

Oktober 12, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Hati-hati bercakap tentang hudud

Dalam keadaan negara kita pada hari ini, tiga kelompok yang bercakap tentang hudud perlu berhati-hati.

Pertama; yang menolak terus, menghina, mengatakan hukum ini karut. Saya bercakap kepada muslim secara khusus dan kepada non-muslim secara umum. Non-muslim berhak mengatakan mereka tidak terima (hudud) kerana asas mereka bukan seperti agama kita, namun bukan bererti kita boleh membiarkan sahaja mereka menolak.

Kita bertanggungjawab menerangkan kepada mereka, panggil mereka duduk berbincang dan jelaskan, sebab agama mereka juga tidak suka kepada zina, agama mereka juga menolak arak, judi, mencuri, memberontak, merompak, sama-sama kita tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut, cuma kita berbeza di dalam kaedah perlaksanaan hukum.

Kedua; kelompok yang hendak laksanakan hudud esok juga. Tidak kira apa jadi hukum hudud mesti dilaksana esok juga.

Kita harus faham, dalam negara kita ada mahkamah persekutuan dan mahkamah syariah. Kedua-dua mahkamah ini berbeza.

Mahkamah syariah diselia di setiap negeri. Setiap undang-undang mahkamah syariah berbeza di setiap negeri walaupun ada persamaan dalam beberapa hal. Yang mengawal selia undang-undang jenayah syariah di setiap negeri adalah Raja.

Kita ada pula mahkamah persekutuan. Maka kalau nak buat hudud, ia bukan boleh dibuat di bawah mahkamah sivil. Ia perlu dibuat di bawah mahkamah syariah. Itu undang-undang syariah, itu undang-undang hudud. Sekarang ini, hukuman terberat dalam mahkamah syariah adalah penjara tiga tahun atau denda RM5000 atau sebat 6 kali rotan. Itu hukuman yang paling berat.

Maka kerja kita sekarang ialah kita perlu berbincang bagaimana hendak menaiktarafkan mahkamah syariah terlebih dahulu. Untuk menaiktaraf mahkamah syariah memerlukan persetujuan raja-raja di setiap negeri sebab raja-raja di setiap negeri yang menentukan enakmen jenayah syariah negeri.

Ini yang perlu kita belajar dan perlu tahu satu per satu. Ia tidak boleh dilaksanakan serta merta kerana kita ada banyak perkara yang perlu diselesaikan, antara lain adalah keterikatan dengan perlembagaan sedia ada. Untuk menggubal perlembagaan perlu melihat pula majoriti yang ada di dalam parlimen.

Kita sebagai muslim yang cintakan Allah SWT, cintakan agama-Nya, ada keinginan di dalam hati kita agar satu hari nanti perlaksanaan ini berjalan. Kita juga mahu teman-teman kita yang non-muslim bersama-sama dengan kita, berbincang dengan kita tentang kaedah perlaksanaannya.

Kita juga perlu berbincang dengan pihak-pihak penguatkuasaan contohnya polis, pihak yang terlibat dengan pembuktian contohnya pihak forensik, raja-raja, mufti-mufti, ulama-ulama yang tidak ada kepentingan, parti-parti politik, negara-negara yang sudah melaksanakan hukum ini, kaji contoh yang telah mereka laksanakan di negara mereka, kemudian barulah kita pergi ke arah melaksanakannya.

Dalam keadaan sekarang, kita perlu kepada perbincangan yang panjang dan teliti. Jangan kita terlalu gelojoh dalam membincangkan tentang urusan-urusan seperti ini.

Sebab itu kita harus berada dalam kelompok yang ketiga; kelompok yang menganalisa, memeriksa, melihat kepada kesesuaian.

Pengasas undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Ahmad Ibrahim menulis buku menjelaskan tentang pelaksanaan hukum hudud di negara kita. Katanya kita kena tunggu sehingga sampai kepada persediaan yang mantap. Mantap dari sudut penguatkuasaan, mantap dari sudut masa, keadaan dalam negara, dan yang paling penting adalah memberi kefahaman tentang hukum ini.

Kalau kita lihat dalam satu hukum, Nabi SAW pernah didatangkan dengan seorang lelaki yang mencuri, seingat saya hadis ini dari Ibn Mas’ud RA. Para sahabat membawa lelaki ini bertemu dengan Rasulullah agar dipotong tangannya. Cukup bukti, ada saksi. Lalu Nabi membenarkan tangannya dipotong, tetapi wajah Nabi kelihatan sedih.

Setelah dijatuhkan hukuman ke atas lelaki tersebut, para sahabat bertemu dengan Rasulullah dan bertanya mengapa wajah baginda kelihatan sugul dan sedih. Sabda Nabi SAW,

لاتكونوا أعوانا للشيطان على أخيكم ،إن الله عفو يحب العفو

“Janganlah kalian menjadi penolong syaitan ke atas saudara kalian, sesungguhnya Allah SWT maha pengampun dan suka kepada pengampunan.”

Maksudnya janganlah kita seronok hendak menjatuhkan hukuman ke atas orang lain, syaitan memang seronok melihat manusia dipersalahkan dan dihukum.

Dari hadis tersebut, Nabi SAW memberi kepada kita satu kefahaman bahawasanya sebenarnya pelaksanaan hukum ini bukan semata-mata kita seronok melihat orang dikenakan hukuman, sebaliknya pelaksanaan hukum ini sebenarnya adalah untuk mengawal jenayah yang ada.

Perkara ini yang perlu kita fahamkan kerana ramai di kalangan masyarakat tidak memahaminya. Yang mereka faham adalah kita suka hendak mengenakan hukuman ke atas pesalah. Perkara ini perlu diceritakan kepada teman-teman kita di kalangan muslim mahupun non-muslim agar mereka faham dengan kefahaman yang benar.

Bagi orang yang tidak faham, mereka akan melihat undang-undang ini ganas, atau mungkin berpendapat undang-undang ini akan mengkucar-kacirkan negara, ramai orang mati, tidak ada tangan dan tidak boleh bekerja.

Ini semua adalah kerana mereka tidak faham bahawasanya undang-undang Islam bukan bersikap hendak menghukum, sebaliknya ia bersifat hendak mengawal jenayah daripada berkembang dan menakutkan orang dari melakukan jenayah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=CUT-FJ26v5U&feature=plcp

About these ads

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan sebuah Komentar

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.720 pengikut lainnya.

%d bloggers like this: