Lanjut ke konten

Ciri-ciri dan tanggungjawab orang yang berilmu dan pembawa agama

Januari 8, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

199683_405747859500101_1258970392_nDalam keadaan dan situasi dunia pada hari ini khususnya negara kita yang dalam keadaan kucar-kacir dari sudut pemikiran, ideologi, akidah, sikap dan sebagainya, betapa pentingnya kita melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Saya ingin berkongsi satu hadis Nabi SAW, di mana baginda SAW bersabda,

يَحْمِلُ هَذاَ العِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ يَنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الغَالِيْنَ وَانْتِحَالَ المُبْطِلِيْنَ وَتَأوِيْلَ الجَاهِلِيْنَ

“Yang membawa ilmu ini daripada setiap generasi adalah orang-orang yang adil, mereka menafikan penyelewengan yang dilakukan oleh orang-orang yang melampau, dan pemalsuan dan pembohongan para pendusta, dan takwilan-takwilan golongan yang jahil.” (riwayat Ath-Thabrani, dihasankan oleh Syaikh Ali Hasan di dalam Ilmu Ushul Bida’)

Ada empat poin yang akan dibahas dan dirungkaikan daripada hadis ini.

Pertama, ilmu ini akan dibawa oleh orang yang adil. Nabi bercakap tentang ilmu. Yang dimaksudkan dengan ilmu adalah fakta. Bukan persepsi, sangkaan, atau cakap-cakap orang, sebaliknya kita berbicara tentang bukti. Menurut Syaikh Muhammad ibn Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah apabila beliau menjelaskan pengertian ilmu, kata beliau,

العلم هو إدراك الشيء على ما هو عليه إدراكاً جازماً

 “Ilmu itu adalah mengetahui sesuatu sesuai dengan hakikatnya dengan pengetahuan yang bersifat pasti.”

Ini bererti perkara yang ragu-ragu serta perkara yang terbina atas sangkaan bukanlah ilmu. Maka sudah semestinya ilmu yang paling tepat, benar dan meyakinkan tidak lain dan tidak bukan sumbernya adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT memerintahkan di dalam Al-Quran,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu.” (surah An-Nisaa, 4: 59)

Saya ingin memfokuskan pada dua perkara yang disebutkan di depan; Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul. Ibn ‘Abbas RA ketika mentafsirkan ayat ini beliau berkata, yang diertikan dengan taatilah Allah dan taatilah Rasul dan kembalikanlah (sesuatu perkara yang diperselisihkan) kepada Allah dan Rasul adalah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT menggambarkan melalui ayat ini bahawasanya ilmu daripada Al-Quran dan ilmu daripada As-Sunnah adalah sebenar-benar dan setepat-tepat tempat kembali jika berlaku perselisihan, pertelingkahan, pergaduhan dan sebagainya.

Jadi ilmu yang tertinggi tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Sebab itu sabda Nabi SAW di dalam hadis lain yang masyhur dan seringkali kita baca,

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا، كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat selama mana kalian berpegang teguh dengan keduanya: Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.” (riwayat Imam Malik secara mursal, Al-Muwattha)

Diriwayatkan di dalam hadis yang lain, sabda Nabi SAW,

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلِهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

“Sesungguhnya telah aku tinggalkan kalian semua dalam keadaan terang benderang (putih), malamnya bagaikan siangnya, tidaklah ada seorang pun kamu yang berpaling dari jalan yang terang ini selepas peninggalanku, melainkan dia akan binasa.” (riwayat Ahmad, Ibnu Majah, dan al-Haakim)

Jelas, inilah ilmu yang terbaik dan paling tinggi kedudukannya. Apabila Nabi SAW mengatakan di dalam hadis yang pertama tadi “yang akan membawa ilmu ini” bererti membawa Al-Quran dan As-Sunnah. Ini juga bererti membawa agama. Inilah yang dibawa oleh Nabi dan para sahabat serta para tabi’in, tabi’ut tabi’in dan para ahli ilmu yang mengikuti jejak langkah mereka dengan mulia. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran,

وَالسَّابِقُونَ اْلأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَاْلأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا اْلأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

 “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan mereka pun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (surah At-Taubah, 9: 100)

Maka apabila Nabi menyebut tentang orang yang membawa ilmu, yang dimaksudkan oleh Nabi adalah orang yang membawa agama.

Ciri-ciri dan kriteria orang yang membawa agama

Persiapan pertama bagi orang yang membawa agama adalah adil. Apakah yang diertikan dengan adil? Orang yang adil yang membawa agama seperti yang dinyatakan di dalam hadis tadi mempunyai lima ciri; Pertama, Islam. Kedua, berakal. Ketiga, bukan pelaku dosa-dosa besar dan tidak pula berselalu di dalam melakukan dosa-dosa kecil (tidak fasiq). Keempat, dia bukan pendusta atau pembohong. Kelima, dia juga tidak pernah dituduh sebagai pendusta.

Ada sebahagian daripada ulama memasukkan satu lagi ciri iaitu dia perlu baligh. Namun jika dilihat pada riwayat sebahagian sahabat-sahabat Nabi seperti Anas bin Malik di mana mereka meriwayatkan hadis Nabi SAW dan perkataan mereka diterima walaupun usia mereka pada ketika itu belum mencapai tahap baligh. Sebab itu di kalangan ulama hadis menetapkan bahawa syaratnya bukan baligh tetapi mumayyiz (boleh membezakan di antara kebaikan dan keburukan).

Sebagai individu Muslim, sudah semestinya kita mengharapkan orang Islam yang membawa agama kita. Orang bukan Islam pasti sibuk mempertahankan agamanya dan membawa agenda agamanya. Kita sebagai umat Islam, agenda kita adalah membawa agama kita dan sudah semestinya kita memberikan orang yang beragama Islam untuk membawa agama ini. Kita juga inginkan orang yang membawa agama ini adalah orang yang berakal, bukan orang yang gila atau tidak cerdik serta tidak ada kefahaman tentang agama.

Masalah timbul apabila kita memberikan kepercayaan kepada orang yang tidak berautoriti. Saya bukan merujuk autoriti itu kepada sijil atau gelaran, tetapi saya merujuk autoriti itu kepada ilmu pengetahuannya dalam isu yang ingin dia ulas atau bangkitkan. Kalau dia tidak ada ilmu dalam isu tersebut, jangan bercakap. Kita tidak menilai autoriti berdasarkan pangkat; Imam Asy-Syafi’i, Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Al-Bukhari dan lain-lain, mereka bukan lepasan mana-mana kolej atau universiti. Mereka tidak pernah belajar di dalam satu sistem universiti, tetapi ilmu mereka dimanfaatkan oleh kita sampai ke hari ini.

Berapa ramai penulis-penulis pada masa ini yang ilmu dan kitab-kitab karangan mereka dimanfaatkan oleh umat Islam seluruh dunia? Dan adakah kita yakin dengan penulisan-penulisan kita ini, seribu tahun lagi akan ada orang yang mengambil manfaat daripadanya? Wallaahua’lam. Tetapi telah terbukti dalam sejarah bahawa penulisan Imam Asy-Syafi’i, susunan hadis Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasa-i, Ibnu Majah dan sebagainya dimanfaatkan sampai ke hari ini. Mereka-mereka yang seperti inilah yang ada autoriti untuk bercakap tentang agama.

Juga kita inginkan orang yang membawa agama ini terdiri daripada bukan orang yang fasiq. Orang yang membawa agama hendaklah memiliki asas agama serta jiwa yang mempertahankan agama. Nanti ada pula orang yang membawakan hadis Nabi SAW,

وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

“Dan sesungguhnya boleh saja Allah menolong agama ini melalui lelaki yang fajir (ahli maksiat).” (riwayat Bukhari no. 3062 dan Muslim no. 111)

Mereka mengatakan hadis ini menunjukkan bahawa boleh untuk kita melantik pemimpin yang zalim. Ini adalah ketetapan Allah dan Allah menguji manusia. Memang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW bahawa akan ada pemimpin walaupun dia zalim dan kejam tetapi dengan keberadaannya sebagai pemimpin, Allah menjadikan apa yang ada padanya untuk mempertahankan agama Islam.

Walaubagaimana pun, jangan kita perluaskan cakupan hadis ini. Sebab keluarnya hadis ini adalah Nabi meminta tolong dari golongan musyrik Madinah untuk bekerjasama dengan mereka untuk berperang dengan ahli Makkah. Jadi timbul pertikaian di kalangan sahabat Nabi maka Nabi menyebut hadis yang dinyatakan tadi.

Nabi menggunakan khidmat golongan-golongan kuffar ini untuk memerangi golongan-golongan kuffar juga. Keterbalikan yang berlaku dalam negara kita pada hari ini adalah menggunakan khidmat golongan-golongan kuffar untuk bertelagah dan berpecah dengan kaum Muslimin. Ini merupakan satu hal yang salah. Menggunakan hadis Nabi SAW sebagai dalil, tetapi kaedah penghujahan serta pendalilannya salah. Nabi menggunakan khidmat kuffar dalam keadaan umat Islam dominan. Nabi yang mengarah, Nabi yang menyusun strategi, dan mereka memberikan ketaatan kepada Nabi. Prinsip-prinsip Islam tidak digadaikan dan mereka memerangi golongan musyrikin.

Sedangkan realiti pada hari ini, masing-masing bekerjasama dengan kaum kafir untuk bermusuhan dan berpecah belah sesama kaum muslimin. Islam mengharuskan kerjasama dengan bukan Islam di dalam beberapa hal selama mana tidak terkait dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam. Namun sekiranya bekerjasama untuk saling tolong bantu mencerai beraikan saff kaum Muslimin, ini masalah besar.

Oleh kerana itu kita menyeru kepada perpaduan, dan kerana itu kita perlu fahami sejauh mana kefasikan pemimpin itu; dalam cakupan yang dibahaskan oleh para ahli ilmu apabila Nabi memerintahkan agar tetap mendengar dan tetap mentaati pemimpin walaupun pemimpin itu kejam dan zalim. Zalim yang bagaimana, fasiq yang bagaimana. Ini yang perlu kita fahami. Sebab membawa agama memerlukan kepada sifat adil.

Pembawa agama bukan pendusta dan tidak dituduh sebagai pendusta

Sekarang ini pembohong dikatakan dia bercakap benar. Saya selalu membacakan hadis ini untuk mengingatkan diri saya sendiri dan kita semua, di mana Nabi SAW bersabda,

إِنَّهَا سَتَأْتِي عَلَى النَّاسِ سِنُونَ خَدَّاعَةٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا اْلأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَـا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Sesungguhnya akan datang pada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan, seorang pembohong dikatakan benar dan seorang yang jujur dianggap berbohong, seorang pengkhianat dikatakan amanah dan seseorang yang amanah dianggap khianat, dan pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ditanyakan kepada baginda, “Siapakah Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang yang lekeh (tidak ada ilmu) berbicara tentang urusan manusia (umat).” (Musnad Imam Ahmad)

Pembohong bercakap pada hari ini; mengulas tentang agama, politik semasa, ekonomi.

Begitu juga betapa rincinya pengertian adil itu sehingga orang yang dituduh sebagai pembohong pun tidak dikategorikan sebagai orang yang adil. Saya sengaja memetik takrifan adil ini daripada kaedah bagaimana ulama hadis menilai kedudukan riwayat sesuatu hadis. Antara syarat untuk memastikan hadis itu sahih, perawinya mestilah bersifat adil. Saya bawakan takrifan ini agar kita semua bermuhasabah. Kita semua adalah orang yang hendak membawa agama dan penyambung generasi yang membawa agama. Jadi di manakah keadilan kita.

Sekarang kita bercakap mungkin senang. Kita tidak terlibat di dalam urusan pentadbiran negara. Kita mungkin bermuamalah dengan dua tiga orang. Kita tidak bermuamalah dengan 27 juta rakyat di dalam negara ini lagi. Kita tidak berkomunikasi dengan puluhan ribu masalah, kita baru ada satu masalah kita sudah pening menghadapi masalah kita.

Bagaimana dengan masalah di luar sana; banjir – pemimpin perlu fikirkan tentang ratusan dan mungkin ribuan rakyat yang menghadapi masalah. Pemimpin perlu berdepan dengan rakyat yang memerlukan dan juga rakyat yang berlebihan. Ada orang yang tidak layak mendapat zakat tetapi dia meminta juga dan memalsukan identitinya. Saya mengambil contoh realiti bulan Ramadhan beberapa tahun lalu ketika DS Shahidan Kassim masih lagi menjadi Menteri Besar Perlis. Saya ketika itu masih di Perlis. Pada setiap tahun DS Shahidan membuat shalat tarawih berjamaah di Dewan Warisan. Setiap malam dijemput orang yang berbeza; penduduk kampung, orang-orang dari Pattani, guru-guru dan sebagainya dan diberikan bantuan berupa periuk nasi, beras, duit dan sebagainya. Caranya ialah setelah Jemaah masuk dikunci pintu supaya tidak ada yang boleh keluar. Semua kena shalat dan mendengar tazkirah kemudian diberikan bantuan. Dalam keadaan itu, voucher untuk bantuan itu apabila disemak, beratus-ratus daripadanya adalah palsu. Mereka membuat salinan berwarna untuk voucher tersebut. Ada orang yang tidak memerlukan tetapi dia berlebih-lebihan. Semua ini kita tidak hadapi, kita cuma berhadapan dengan satu isu iaitu tentang kehidupan kita. Tetapi apabila seseorang itu duduk sebagai pemimpin, dia berhadapan dengan seluruh kerenah.

Siapa yang hendak berhadapan dengan kegagalan pelajar dalam universiti? Kita yang mendapat pointer 3.7 telah berjaya, selesai masalah kita. Tetapi siapa yang hendak menjawab apabila ada sepuluh orang pelajar yang tidak berjaya. Situasinya berbeza. Sebab itu saya membawakan semua ini agar kita memikirkan tugas dan tanggungjawab kita masing-masing; apa yang perlu kita buat? Kita perlu membawa agama dan ilmu. Kita perlu amanah di dalam membawa ilmu. Antara karakter penting orang yang membawa agama adalah amanah.

Maka semestinya kita menganalisa maklumat yang kita perolehi, khususnya apabila kita berkomunikasi saban hari dengan media sosial. Kita mendapat maklumat lalu kita tweet. Cepat ianya tersebar. Apakah kita menganalisa maklumat yang kita dapat apakah ia sahih ataupun palsu? Kita tag dan share maklumat dengan orang di Facebook, apakah kita telah mengenalpasti maklumat tersebut benar atau tidak. Berita dan cerita di dalam blog serta gambar-gambar yang disebarkan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi, telah kita analisa atau tidak hakikat gambar tersebut. Ini semua adalah amanah, jangan dibuat main.

Apabila kita mengatakan ini adalah amanah, kita kena ingat hadis-hadis Nabi SAW tentang ancaman Allah SWT serta ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta ke atas orang lain. Imam Muslim di dalam muqaddimah Sahih Muslim membawakan beberapa hadis berkaitan prinsip dalam meriwayatkan dan menyebarkan sesuatu cerita. Antaranya, sabda Nabi SAW,

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (riwayat Muslim)

Kita mendengar banyak cerita dan perkara, namun tidak semestinya semuanya betul. Tidak semestinya semuanya benar. Kita manusia, orang yang menyampaikan cerita itu juga manusia. Pelaku di dalam cerita itu juga manusia. Apabila kita melakukan kesalahan kita memberikan takwilan dan alasan, tidakkah juga orang yang digambarkan berita tentangnya di dalam media ini juga mempunyai takwilan untuk mempertahankan dirinya? Mengapa kita tidak memberikan ruang kepadanya untuk mempertahankan dirinya? Allah SWT mengajar didik kita di dalam Al-Quran,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Allah memerintahkan apabila datang kepada kita orang yang membawa sesuatu berita hendaklah kita tabayyun yakni menyemak dan memeriksa dengan teliti. Ini barulah dikategorikan sebagai orang yang membawa ilmu. Jika tidak, kita tergolong di dalam golongan yang Nabi sebut sebagai golongan yang membawa syahaadatu az-zuur yakni persaksian palsu, antara tujuh golongan yang Nabi katakan akan ditimpakan azab yang sangat pedih.

Setelah Nabi menceritakan ciri-ciri orang yang membawa ilmu yakni mestilah dia seorang yang adil, Nabi kemudiannya menceritakan tugas mereka.

Tugas pertama: Menafikan penyelewengan golongan-golongan yang melampaui batas.

Golongan yang melampaui batas ini sangat banyak. Kalau kita bercakap tentang golongan yang melampaui batas di dalam bab akidah, kita telah membantah golongan-golongan seperti Al-Arqam. Mereka kononnya hendak membawa agama atas nama Imam Mahdi, imam mereka Abuya Al-Ashaari menamakan dirinya sebagai pemuda Bani Tamim. Kita membantah apa jua yang berkaitan dengan Al-Arqam, yang berkaitan dengan akidah mereka, oleh kerana mereka ini golongan yang melampaui batas.

Hendak bawa agama boleh, tetapi bukan dengan cara melampaui batas. Sebab itu diketengahkan konsep wasathiyah. Wasathiyah itu bukanlah bererti sederhana tengah. Wasathiyah bererti al-khiyar yakni yang terpilih dalam agama. Perlu dilihat apa acuan agama, apa yang dipilih dan terpilih di dalam agama untuk kita bawa dan ketengahkan.

Jadi kita tolak Al-Arqam kerana mereka melampaui batas sehingga menggelarkan Imam mereka Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi yang akan muncul, sedangkan Syaikh Suhaimi itu orang Indonesia manakala Nabi menyebut bahawa Imam Mahdi berketurunan Arab, namanya Muhammad atau Ahmad bin Abdillah sama seperti Nabi. Hidungnya mancung, dahinya luas. Ini ciri-ciri yang Nabi sebutkan tentang Al-Imam Al-Mahdi, dan ia akan dilahirkan, bukan diangkat seperti Isa ‘alaihissalam. Bukan dimatikan atau ‘dihilangkan’ seperti Syaikh Suhaimi yang diimani dan dipercayai oleh Abuya Ashaari.

Bukan juga seperti Muhammad Al-Hasan Al-Askari yang dipercayai oleh golongan Syiah sebagai imam mereka yang ke-12 yang hilang ketika zaman kanak-kanaknya iaitu ketika berumur 4 tahun Allah hilangkan dan sembunyikan dia di dalam sebuah gua. Itu bukan akidah kita tetapi puak ini telah melampaui batas menyebabkan kita yang membawa agama ini bangkit dan perlu menafikan penyelewengan yang mereka lakukan di dalam agama.

Begitu juga sebelum ini kita telah mengulas panjang tentang ancaman pluralisme, liberalisme, sekularisme, hedonisme, dan segala ancaman dari golongan pelampau ini. Orang yang membawa agama dan ilmu inilah yang perlu bangkit dan menafikan.

Tugas kedua: Menafikan pemalsuan golongan pendusta dan pembohong

Kadang-kadang, apabila kita ada kecenderungan dalam berpolitik contohnya, lebih-lebih lagi sekarang ini apabila mahasiswa sudah agak sedikit bebas dan diberikan kelonggaran kepada mereka untuk berpolitik, saya meminta untuk kita menilai dengan minda yang sihat. Jangan kerana kecenderungan, apabila partinya membuat kesilapan dan kesalahan lalu dia diam dan tidak mahu mengulas, dia tolak ketepi atau mempertahankan kebatilan tersebut. Tetapi apabila parti lawan yang melakukan kesilapan dan kesalahan, cepat-cepat dia mengulas dan memberikan pandangan, memberi teguran bahkan menyerang habis-habisan serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya.

Ini satu contoh politik yang tidak sihat, ini bukan politik Islami. Ini politik syaithan; bukan bersifat memperbetulkan dan memberikan penjelasan, tetapi ia bersifat mempertahankan kebatilan. Sedangkan kebatilan tidak boleh dipertahankan. Sebab itu tugas orang yang membawa agama (ilmu) adalah menafikan pendustaan-pendustaan golongan yang batil.

Tugas ketiga: Menafikan takwilan golongan-golongan yang jahil

Satu perkara yang perlu kita ketahui tentang golongan yang jahil. Sebahagian daripada ilmuwan Islam seperti Syaikh Al-‘Utsaimin membahagikan kejahilan itu kepada beberapa peringkat. Ringkasnya, jahil bererti tidak ada ilmu. Orang yang bercakap tanpa ilmu terbahagi kepada beberapa kategori.

Pertama, dia langsung tidak memiliki ilmu. Dia hanya memberi komen atau membantah sesuatu perkara sedangkan dia langsung tidak memiliki ilmu pengetahuan dan dia tidak tahu hujung pangkalnya. Meskipun dia menganalisa namun dia menganalisa dengan analisa yang pendek.

Kedua, dia ada sedikit pengetahuan tetapi tidak dicernakan dengan baik, namun dia hendak mengulas juga.

Ketiga, ada ilmu tetapi diketepikan ilmunya dan yang dia angkat adalah kejahilannya.

Kita berada di kalangan tiga kelompok manusia yang jahil ini. Lalu bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan mereka untuk kita menafikan kejahilan mereka? Kita berhadapan dengan golongan yang memiliki ilmu tetapi tidak mampu mencernakan dengan baik kerana tidak ada kefahaman. Golongan ini mempunyai dalil dari Al-Quran dan hadis, namun jangan disangka orang yang menggunakan dalil dari Al-Quran dan hadis tanpa memiliki kaedah penghujahan dan pemahaman sesuai dengan kaedah-kaedah Ushul Fiqh serta kaedah Qawa’idul Fiqhiyyah dengan penjelasan ulama-ulama terdahulu daripada kalangan sahabat Nabi, tabi’in, tabi’ut tabi’in bererti pendapat mereka telah benar.

Berapa ramai orang termasuk Abuya Ashaari juga menggunakan Al-Quran dan Al-Hadis, contohnya mengatakan perkahwinan itu bermula dengan 2, 3, 4, dan akhir sekali baru 1. Jadi mereka mula bernikah dengan 2 orang, kemudian 3, kemudian 4, kemudian baru 1. Itu pendapatnya. Dan dia mengambilnya dari Al-Quran.

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

“Maka nikahilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.” (surah An-Nisaa, 4: 3)

Orang yang mengatakan liwath bukan perkara yang dibenci dan diharamkan oleh syariat; seorang liberal di Amerika, orang melayu kita yang menubuhkan satu kelab Progressive Muslims. Dia menggunakan ayat Al-Quran dan menyebut firman Allah,

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ

“’Sesungguhnya kalian (kaum Luth) telah mendatangi al-fahisyah (perkara yang sangat jijik), yang tidak pernah dilakukan seorang pun di alam ini.‘” (surah Al-Ankabut: 28)

Dia mengatakan jijik yang Allah maksudkan dalam ayat itu bukan merujuk kepada perbuatan liwath. Allah mengatakan jijik itu kepada sikap kaum Luth yang bernafsu dan ghairah kepada dua malaikat yang Allah utuskan. Dia pusing ayat Al-Quran untuk menggambarkan liwath itu perbuatan yang cantik pula seolah-olah tidak ada masalah. Dia berdalilkan ayat Al-Quran juga.

Berapa ramai orang yang tersasar dengan penafsiran Al-Quran berdasarkan hawa nafsu. Pada hari ini berapa ramai tok bomoh yang menggunakan jampi ayat Al-Quran. Kita dengar ayat Al-Quran, tetapi ayat yang bagaimana? Contohnya digabungkan semua huruf-huruf yang terputus, dibacanya Alif Lam Mim Ya Sin, Kaf Ha Ya ‘Ain Shad Alif Lam Mim Shad, dan pelbagai lagi beserta dengan gaya-gayanya.

Apabila ditegakkan hujah kepada mereka, mereka mengatakan mereka menggunakan ayat Al-Quran. Sebenarnya ayat Al-Quran ada kaedah untuk kita memahaminya, ada prinsip-prinsip dan metodologi ahli sunnah dalam mentafsirkan ayat Al-Quran dan dalam memahami hadis-hadis Nabi SAW. Jangan sekadar kita membeli satu kitab dan membacanya lalu kita sewenang-wenangnya mentafsirkan Al-Quran. Dengan Sahih Bukhari pun kita tidak akan dapat melengkapkan shalat. Ia berkehendak kepada Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa-i, Ibnu Majah, Mustadrak Al-Haakim, Musnad Ahmad, Muwattha Malik, dan kitab-kitab hadis yang lain keseluruhannya. Baru boleh kita datangkan sifat shalat yang lengkap.

Kaedah ulama dalam mengeluarkan hukum

Sebab itu ulama apabila hendak membuat hukuman ke atas sesuatu, prinsip dan pendirian yang pertama adalah menghimpunkan kesemua nash. Kalau ada 85 nash dalam satu masalah, kesemua 85 dalil itu dihimpunkan kesemuanya terlebih dahulu di satu tempat. Kita pula buka satu kitab, cari di internet dan jumpa satu hadis lalu kita bercerita seperti telah menjumpai sejuta hadis, seolah-olah kita telah menjumpai sejuta ulama tafsir.

Selepas menghimpunkan kesemua dalil, setiap hadis perlu dipastikan kedudukan dan statusnya; sahih atau tidak. Daripada keseluruhan hadis yang dihimpun, hadis yang didapati tidak sahih disingkirkan dan hanya hadis-hadis sahih sahaja yang diambil.

Setelah itu, pergi ke peringkat seterusnya iaitu nasikh dan mansukh untuk melihat ada atau tidak ayat-ayat Al-Quran ataupun hadis-hadis yang telah dibatalkan hukumnya. Kalau ada yang dibatalkan hukumnya, maka disingkirkan dan hanya diambil nash-nash yang masih kekal hukumnya. Peringkat seterusnya adalah melihat ada atau tidak pertembungan di antara nash-nash yang dikumpulkan. Kalau ada pertembungan, dilihat pula bagaimana kaedah untuk beramal dengan kesemua nash ini tanpa menolak salah satu pun daripadanya. Maka digunakan kaedah Ushul Fiqh dan dilihat penjelasan ahli ilmu. Sebab itu janganlah dengan kefahaman yang sungguh singkat kita menjatuhkan hukuman. Ini adalah tugas ahli ilmu, ini adalah tugas orang-orang yang berilmu.

Secara prinsipnya, tugas dan tanggungjawab orang yang Allah SWT berikan ilmu kepadanya adalah berlaku adil, menafikan penyelewengan yang dilakukan oleh golongan-golongan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai pelampau, serta bangkit dan menafikan pendustaan golongan-golongan ahli batil. Dan seterusnya bangkit menafikan takwilan golongan yang jahil.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

About these ads

From → Akidah & Manhaj

Satu komentar
  1. info yang sangat berguna

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.054 pengikut lainnya.

%d bloggers like this: