Skip to content

PAS hanya parti politik, tolak PAS bukan bererti tolak Islam

Maret 8, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

pas1Soalan: Orang-orang Islam pada hari ini telah diperdaya dengan tokoh ulama di sebelah sana yang mengatakan dialah Islam tetapi pada pandangan saya, barangsiapa yang tidak taat kepada pemerintah maka mereka itulah kufur. Ianya disebut dalam firman Allah. 

Jawapan:

Saya hendak bercakap bahasa yang mudah supaya kita semua faham. Sesungguhnya kita perlu ketahui bahawasanya Islam itu bukan Pas. Masuk Pas itu bukan bererti masuk Islam. Pas adalah parti politik. Dalam dasar mereka, mereka meletakkan dasar Al-Quran dan Sunnah.

Umno juga meletakkan Islam di dalam dasar-dasarnya, perlembagaannya dalam fasal 3.3 iaitu menegakkan, mempertahankan, mengembangkan agama Islam. Ini kita kena tahu. Cuma masing-masing berlumba-lumba siapa yang benar-benar mempraktikkan dasar-dasar ini. Jadi Umno dan Pas kena buktikan bahawa mereka mempraktikkan dasar-dasar ini.

Cuma masalahnya selama puluhan tahun, Pas hanya bercakap tentang hudud, hukum Islam, negara Islam. Saya tidak mengatakan ini hal kecil. Hudud merupakan salah satu cabang daripada hukum-hukum Allah. Cuma masyarakat dikelirukan selama puluhan tahun apabila Pas mengatakan bahawa Kerajaan tidak melaksanakan hudud bererti kerajaan tidak melaksanakan hukum Allah. Seolah-olah kerajaan tidak membuat apa pun hukum Allah.

Tapi hakikatnya, hukum Allah itu luas. Hukum Allah yang terbesar dan paling utama adalah akidah. Dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, ketika Baginda mengutuskan Muadz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu ke Yaman untuk berdakwah kepada ahli Yaman, sabda Baginda kepadanya,

إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فليكن أول ما تدعوهم إليه شهادة أن لا إله إلا الله

Kamu akan mendatangi Ahli Kitab, maka hendaklah kamu jadikan perkara pertama untuk kamu seru manusia kepadanya adalah persaksian Laa-ilaaha-illallaah.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dakwah apakah ini? Ini adalah dakwah akidah, menggambarkan betapa akidah sangat penting. Buka surah Luqman dan lihat bagaimana Luqman menasihati anaknya. Perkara pertama yang Luqman nasihatkan kepada anaknya adalah,

يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mensyirikkan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Luqman, 31: 3)

Itu perkara pertama yang Luqman nasihatkan kepada anaknya. Beliau tidak menjadikan hukum hakam sebagai perkara pertama di dalam dakwahnya.

Begitu juga dengan Nabi, sehingga Baginda dilantik menjadi Rasul dalam keadaan masyarakat Arab Jahiliyah tawaf telanjang, kaki arak, kaki judi, kerosakan akhlak yang sangat dahsyat sehingga mereka digelar Jahiliyah, dan sebab itu Nabi mengatakan selepas ini tidak ada lagi Jahiliyah, sebab mereka adalah umat yang paling teruk. Adakah setelah Nabi menerima wahyu Baginda terus menyuruh masyarakat Arab Jahiliyah menutup aurat? Tidak.

Bukan kerana tutup aurat tidak penting, tetapi yang lebih penting dan pendahulu adalah menyeru kepada La-Ilaha-ilallah. Sebab itu Syaikh Al-Albani rahimahullah menyusun satu buku yang sangat cantik bertajuk “At-Tauhid Awwalan” (Tauhidlah yang Pertama).

Sebab itu juga apabila hendak bercakap tentang hukum Allah, kita perlu sedarkan rakan-rakan kita bahawa hukum Allah bukan hanya pada hudud semata-mata. Hukum Allah luas;

Pertama adalah pada akidah; kita lihat apa yang Kerajaan buat pada hari ini untuk menjaga dan mempertahankan akidah Islam di dalam negara kita pada hari ini. Antara usaha yang terbesar adalah seperti yang termaktub di dalam perlembagaan; Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Dari situ kita bebas berdakwah, kita bebas menyebarkan agama.

Ditubuhkan lagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tugas mereka adalah menguruskan hal-hal berkaitan agama, ada ahli majlis fatwa Kebangsaan, ada enakmen jenayah syariah di dalamnya. Kita tidak ada mahkamah untuk orang Buddha, kita tidak ada mahkamah untuk orang Kristian dan orang Hindu, tetapi kita ada mahkamah khusus untuk orang Islam. Penganut agama lain yang melakukan kesalahan di dalam agama mereka tidak boleh masuk ke mahkamah syariah, mereka semua harus merujuk kepada mahkamah sivil.

Saya sendiri secara adilnya mengakui masih ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki oleh kerajaan. Antaranya adalah hukum-hukum yang berkaitan jenayah syariah masih belum dipraktikkan secara keseluruhan. Tetapi di dalam bab akidah, kita sudah ada bahagian khas untuk mengkaji selidik hal berkaitan akidah, bukan sahaja di Jakim, malah di polis Bukit Aman pun ada bahagian khas untuk mengkaji selidik bab akidah termasuk ajaran sesat. Orang yang menyebarkan ajaran sesat ditangkap dan ditahan.

Ini menunjukkan betapa kerajaan mementingkan dan menjaga akidah umat Islam di Malaysia, walaupun saya kira kita perlu pertingkatkan lagi, tetapi setidak-tidaknya berilah pengiktirafan apabila hukum Allah yang utama itu telah dilaksanakan.

Kedua adalah bab ibadah; contohnya shalat. Ada orang mengatakan kerajaan kerjanya buat masjid sahaja. Memang kita disuruh untuk membina masjid. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sampai daripada Makkah ke Madinah, apa perkara pertama yang Baginda bina? Masjid Quba yang Nabi mengangkat batu dan membinanya sendiri. Firman Allah,

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ

“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih layak untuk kamu solat di dalamnya.” (At-Taubah: 108)

Masjid Quba dibina di atas asas takwa.

Ada yang mengatakan kerajaan Malaysia membina masjid besar-besar dan membazir, tetapi lihat gereja terbesar di Asia yang sedang dalam binaannya di Puchong, Selangor, adakah siapa-siapa yang komen? Apa yang hendak saya tekankan di sini, masjid telah dibina dan disediakan oleh kerajaan agar umat Islam dapat solat dengan mudah dan selesa di dalamnya, maka menjadi satu cabaran bagi umat Islam memenuhkan masjid tersebut.

Kita bercakap tentang pengimarahan masjid, dan itu antara kempen yang dijalankan oleh Jakim. Tetapi jika umat Islam tidak pergi ke masjid, itu salah individu, mengapa salahkan kerajaan? Kalian yang tidak pergi ke masjid, itu salah kalian. Muhasabah diri sendiri. Syiar Islam di Malaysia dilaksanakan secara terbuka. Azan dilaungkan secara terbuka. Kita marah kalau ada orang bukan Islam yang berkata tidak suka mendengar laungan azan secara terbuka.

Ibadah korban juga dijalankan secara terbuka, tetapi kalau kita tinggal di negara-negara yang memperjuangkan hak asasi binatang, ibadah korban tidak boleh dibuat secara terbuka. Sedangkan di dalam Islam, dituntut ibadat korban dilakukan secara terbuka. Tujuannya adalah seperti mana firman Allah,

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُم

“Agar semua orang menyaksikan manfaatnya bagi mereka.” (Surah Al-Hajj: 27)

Alhamdulillah, kita di Malaysia boleh melaksanakan ibadat tersebut secara terbuka.

Di Malaysia juga ada Baitulmal yang menguruskan zakat secara professional. Isu orang tidak amanah, itu masalah individu yang tidak boleh dikaitkan kesalahannya dengan dasar kerajaan sekiranya telah ada usaha yang murni daripada pihak kerajaan.

Ibadah puasa dilaksanakan secara menyeluruh dan terbuka. Solat tarawih, solat hari raya, takbir dilakukan secara terbuka, menunjukkan syiar Islam benar-benar telah ditegakkan dan dilakukan secara menyeluruh di Malaysia.

Institusi khas juga ditubuhkan oleh pihak kerajaan untuk menguruskan Jemaah Haji, dan ia merupakan pusat pengurusan haji yang terbaik di dunia diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.

Bukan saya hendak memuji dan mengangkat kerajaan, saya bukan bertanding di mana-mana kawasan, apa yang saya hendak sampaikan dan minta adalah supaya kita mengiktiraf dan jangan menafikan kebaikan yang kerajaan lakukan untuk Islam. Cara pihak sana bercakap seolah-olah tidak ada apa-apa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk Islam, seolah-olah Kerajaan kita menolak semua hukum Allah. Ini satu perbuatan yang tidak adil di dalam menghukum. Firman Allah,

وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ على أَلاَّ تَعْدِلُوْا اِعْدِلُوْا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Maaidah, 5: 8)

Masalah yang berlaku pada hari ini adalah apabila kita menggunakan perkataan Islam. kita tidak boleh menggunakan Islam untuk kepentingan politik, sebaliknya kepentingan politik perlu diacuankan dengan acuan Islam. Politik memang tidak boleh dipisahkan dengan Islam, tetapi ianya adalah politik yang syar’i mengikut bagaimana cara Nabi berpolitik. Nabi tidak berpolitik bohong orang, fitnah orang, mengumpat orang. Itu bukan politik Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi pada hari ini, politik seperti itu yang digunapakai. Pelbagai fitnah dilontarkan seperti kerajaan zalim, ambil duit rakyat. Zalim di dalam bab apa, duit siapa yang diambil? Buktikanlah. Isu duit Tabung Memali belum selesai tetapi kita sibuk berbicara tentang orang lain.

Masing-masing pihak sama ada kerajaan atau pun pembangkang ada kelemahan, namun pada masa yang sama, ada kebaikan yang dibuat. Jadi jangan terpengaruh dengan ideologi ‘Masuk Pas bererti masuk Islam, tolak Pas bererti tolak Islam.’

Pada hari ini, kita dapat saksikan bahawa kepimpinan Ulama di dalam Pas mula terhakis. Adakah Timbalan Presiden Pas, Mohd Sabu seorang Ulama? Kemudian disusuli Husam Musa, Salahudin Ayub di mana pimpinan ini tidak menggambarkan ciri-ciri yang dibawa oleh Dewan Ulama sendiri. Wallahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

About these ads

From → Akidah & Manhaj

One Comment
  1. angkat sumpah dalam islam dibolehkan atau tidak

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.724 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: