Skip to content

ULAMA SALAF TIDAK TERGOPOH-GAPAH DALAM MENYEBAR BERITA & BERKATA-KATA

Maret 18, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

482243_306870012774651_1696507081_nDari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

يُوشِكَ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الرَّجُلِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ الْقَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ الْفِتَنِ

“Hampir-hampir satu hari nanti akan ada di kalangan manusia itu di mana harta seseorang itu yang paling baik adalah kambing yang dia pelihara, dia membawa haiwan peliharaannya di puncak gunung dan lembah (jauh daripada manusia), dia lari membawa agamanya dari fitnah.” (Riwayat Bukhari)

Ini adalah kiasan yang Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam buat menggambarkan seseorang itu melarikan diri ke tempat yang jauh (di puncak gunung), namun terpelihara keadaannya (di lembah yang mempunyai sumber air). Begitulah keadaan orang yang melarikan dirinya daripada fitnah.

Baiknya orang yang lari menyelamatkan diri dan agamanya ketika berlakunya fitnah ialah dirinya selamat, bahkan kiasan lembah iaitu tempat yang ada air menggambarkan bahawasanya kehidupannya mencukupi bahkan ada ganjaran pahala yang tersedia baginya.

Fitnah hendaklah difahami dengan cakupan yang luas; apa jua bentuk kemungkaran, kemaksiatan, peperangan, pergaduhan, huru hara, ujian, musibah, apa juga yang berlaku contohnya taufan yang berlaku di Amerika juga adalah satu fitnah, pembunuhan umat Islam ahli sunnah di Syria oleh golongan-golongan Syiah juga adalah fitnah. Apa yang berlaku di Palestin, Rohingya, itu juga fitnah.

Bagi orang yang berada di dalam kawasan fitnah, Nabi memerintahkan kepada mereka supaya keluar dari kawasan terjadinya fitnah tersebut. Namun bagi orang yang tidak berada dalam kawasan tersebut, hendaklah mereka berusaha menghindarkan dirinya, maksudnya perlu berhati-hati agar fitnah itu tidak masuk.

Sebab itu di dalam hadis yang lain, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan fitnah itu seperti tidur, jangan dihidupkannya. Jangan dibuka atau dinyalakan api fitnah itu.

Jika dilihat pada zaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum, sahabat Nabi seperti Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, dan lain-lain, apabila berlaku pertembungan pandangan ijtihad antara Ali dan Muawiyah, masing-masing berdiam diri, mereka tidak masuk campur dan tidak mahu terlibat walaupun mereka itu sudah semestinya dan sudah pastinya merupakan sahabat Nabi yang alim dan fakih.

Sikap ulama salaf ketika berhadapan dengan fitnah

Boleh kita ambil faedah daripada sikap Mutharrif bin Abdillah bin Asy-Syikhkhir radhiyallahu ‘anhu, seorang sahabat Nabi ketika berhadapan dengan fitnah Hajjaj bin Yusuf yang terkenal dengan kekejamannya;

Pertama, “sentiasa menganalisa dan jangan tergopoh-gapah” yakni di dalam membuat sebarang kesimpulan dan tindakan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi di jalan Allah, hendaklah kamu tabayyun (meneliti dan memastikan) dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan “salam” kepadamu: “Kamu bukan seorang mukmin”. (Surah An-Nisaa, 4: 94)

Juga firman Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

 “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka hendaklah kamu tabayyun (periksa dengan teliti) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Di dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

وَإِذَا جَاءهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُوْلِي الأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ اللّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيلاً

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyebarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahui kefahaman dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebagian kecil (di antara kamu).” (Surah An-Nisa, 4: 83)

Syaikh Abdurrahman bin Nasir As-Sa’di rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawasanya,

ولهذا قال: { لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ } أي: يستخرجونه بفكرهم وآرائهم السديدة وعلومهم الرشيدة

Dan dengan ini (Allah mengatakan), “Tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (dengan sifat tidak gopoh) mereka akan dapat istinbatnya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri),” Yang dimaksudkan dengan istinbat ialah, ia akan dapat mengeluarkan daripada pemikiran dan pandangan mereka pandangan yang benar serta keilmuan mereka adalah dari petunjuk (Allah).”

Syaikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di kemudian berkata,

وفي هذا دليل لقاعدة أدبية وهي أنه إذا حصل بحث في أمر من الأمور ينبغي أن يولَّى مَنْ هو أهل لذلك ويجعل إلى أهله، ولا يتقدم بين أيديهم، فإنه أقرب إلى الصواب وأحرى للسلامة من الخطأ. وفيه النهي عن العجلة والتسرع لنشر الأمور من حين سماعها، والأمر بالتأمل قبل الكلام والنظر فيه، هل هو مصلحة، فيُقْدِم عليه الإنسان؟ أم لافيحجم عنه؟

Dan dalam ayat ini terdapat dalil bagi kaedah adab, iaitu apabila terjadi pembahasan suatu urusan maka hendaklah diserahkan kepada ahlinya. Hendaklah diserahkan kepada orang yang berhak membahasnya, dan janganlah mendahului mereka, kerana ia lebih hampir kepada kebenaran dan lebih selamat dari kesalahan. Di dalamnya juga terdapat larangan tergopoh gapah dan terburu-buru untuk menyebarkan suatu berita setelah mendengarkannya. Dan perintah untuk meneliti dan mempelajari dengan baik sebelum berbicara; apakah pembicaraannya itu adalah kemaslahatan sehingga boleh dia lakukan? Ataukah mengandungi kemudaratan sehingga patut dijauhi?” (Taysirul Kariimir Rahman fi Tafsiri Kalaamil Mannan)

Sabda Nabi di dalam hadis yang lain,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta sekiranya dia menyampaikan semua perkara yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Kedua, “merasa tanggungjawab atas setiap perkataan yang hendak disebut dan berfikir sebelum menjawab”.

Dr. Sulaiman As-Saloomi pernah berkata, “Perkataan ini asalnya milik kita, kita yang berhak untuk mengucapnya atau tidak mengucapnya. Kita yang berhak untuk menyusun perkataan tersebut sama ada susunan itu baik ataupun tidak baik. Kita yang berhak untuk menangguhkan perkataan tersebut daripada diungkapkan.”

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Qaf ayat ke-18,

مَّايَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Tidaklah seseorang itu mengungkapkan sesuatu perkataan kecuali di dekatnya ada malaikat pengawas (yang siap mencatat).”

Daripada ayat ini juga ada sebahagian ilmuwan Islam yang mendatangkan nama kedua malaikat tersebut Raqib dan Atid, walaupun Imam Ibnu Katsir menyatakan bahawasanya beliau tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan nama Malaikat tersebut adalah Raqib dan Atid, kerana tidak ada penjelasan daripada nas tentang nama Malaikat tersebut. Yang penting adalah kita mengetahui bahawa adanya malaikat yang mencatat amal kebaikan dan keburukan manusia.

Adapun Raqib dan Atid bermaksud sangat dekat dengan manusia, sinonim dengan perkataan muraqabah (dekat, koreksi diri yang tujuannya untuk mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bukan merujuk kepada nama kedua-dua Malaikat tersebut. Adapun nama kedua-dua Malaikat tersebut –wallahua’lam- tidak dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran mahupun hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Ulama salaf yang lain seperti Hammad bin Zaid menceritakan,

سئل أيوب السختياني عن مسألة فسكت، فقال الرجل: يا أبا بكر لم تفهم؛ أعيد عليك؟ فقال أيوب: قد فهمت، ولكني أفكر كيف أجيبك

“Ayyub As-Sakhtiani (seorang ulama hadis yang agung) ditanya tentang permasalahan lalu dia diam, maka lelaki yang bertanya itu berkata: Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak faham, adakah aku perlu mengulanginya kepadamu? Ayyub berkata: Aku faham, tetapi aku berfikir sebelum aku hendak menjawab kepadamu.”

Mengapa dia berfikir sedemikian rupa kalau tidak kerana dia merasakan pada dirinya ada tanggungjawab sebelum dia mengungkap sesuatu perkataan.

Wallaahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=omievsPiE0A

About these ads
Tinggalkan sebuah Komentar

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.734 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: