Skip to content

MATI SYAHID; SYARAT DAN PENGHALANGNYA

Agustus 26, 2013

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

1270025961-EBENPCCSyahid adalah anugerah dan kemuliaan yang besar daripada Allah kepada hambaNya. Tiada apa yang dapat menghalang orang yang Syahid dari masuk syurga seperti mana sabda Nabi SAW, “Yang terbunuh di jalan Allah akan dihapus semua dosanya kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).

Sabda Baginda lagi, “Allah menjamin bagi orang yang berperang di jalanNya; dia tidak keluar kecuali untuk jihad di jalanKu dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan para rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya pulang ke rumahnya dengan pahala dan harta rampasan perang.” (Bukhari dan Muslim)

Walaubagaimanapun setiap amal datang bersama syarat-syarat dan pembatalnya. Seperti mana orang yang solat tetapi tidak memenuhi syarat solat seperti wuduk, mengadap kiblat dan selainnya dia tidak mendapat ganjaran orang yang solat, maka begitu halnya dengan jihad. Seorang yang berjihad lalu mati tetapi tidak memenuhi syarat jihad maka dia terhalang dari mendapat kemuliaan Syahid. Oleh itu Islam menekankan ‘ilmu sebelum amal’ supaya amal yang dilakukan tidak sia-sia.

Antara syarat utama Syahid adalah iman kepada Allah dan RasulNya dengan sebenar-benar iman dan menjauhi segala kesyirikan yang menjadi punca terbatalnya seluruh amal. Firman Allah, “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia menyekutukan apapun dalam ibadat kepada Tuhannya.” (Al-Kahf: 110)

Seorang yang mati berperang tetapi ketika hidupnya tidak mentauhidkan Allah (yakni mensyirikkan Allah), percaya kepada benda-benda khurafat, bomoh, memakai tangkal sudah tentu tidak mendapat keutamaan ini kerana syirik adalah dosa yang dijamin tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat dan kembali mentauhidkan Allah.

Adapun penghalang-penghalang dari mendapat syahid antaranya adalah seperti berikut;

Pertama, keluar berjihad tanpa kebenaran pemerintah Muslim. Sesuatu urusan penting yang melibatkan umat (termasuk jihad) keputusannya terletak di tangan pemerintah Islam. Ia bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh sesiapa saja. Sabda Nabi SAW, “Imam adalah perisai, kaum muslimin berperang di belakangnya dan berlindung dengannya. Jika dia memerintahkan untuk bertakwa kepada Allah SWT dan berlaku adil, maka dia mendapat pahala kerana itu. Tetapi jika dia memerintahkan berbuat maksiat, maka dia memperoleh dosanya.” (Riwayat Muslim)

Imam Al-Nawawi menjelaskan, “(Imam adalah perisai) seolah-olah dirinya adalah tabir kerana dirinya menghalang musuh untuk tidak menyakiti kaum Muslimin dan mencegah kaum Muslimin agar tidak saling menyakiti dan melindungi negeri islam. Manusia berlindung kepadanya dan takut dengan hukumannya. Dan makna (berperang di belakangnya) adalah kaum muslimin berperang bersamanya menghadapi kuffar, pemberontak, Khawarij dan seluruh golongan yang berbuat kerosakan dan kezaliman.” (Syarah Muslim)

Ibnu Hajar menjelaskan, “Seorang Imam melindungi kaum Muslimin dari musuh dan mencegah terjadinya penganiayaan sesama kaum Muslimin. Dan yang dimaksud dengan imam adalah mereka yang menangani urusan kaum muslimin.” (Fathulbari)

Ibnu Taimiyah berkata, “Jihad hanya diseru oleh pemerintah yang mengurus urusan kaum Muslimin.” (Minhaj Al-Sunnah). Oleh itu, pemerintahlah yang layak menyeru kepada jihad, bukan ketua mana-mana kumpulan yang sebarangan, atau mana-mana individu.

Kedua: Memerangi orang yang tidak boleh diperangi. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membunuh seorang mu’ahad (orang kafir yang ada perjanjian), maka dia tidak akan mencium bau syurga dan sesungguhnya baunya dapat tercium dari jarak perjalanan 40 tahun.” ( Al-Bukhari)

Ketiga: Berjihad di bawah panji buta. Sabda Nabi: “Barangsiapa yang berperang dibawah panji yang tidak jelas, marah kerana (taksub pada) kelompok atau mengajak kepada kelompok atau menolong kerana kelompok lalu terbunuh maka dia terbunuh seperti terbunuhnya orang jahiliah. Siapa yang memberontak dari umatku, membunuh yang baik dan yang fajir dan tidak mempedulikan kemukminannya serta tidak menunaikan janjinya kepada orang yang dijanjikan maka dia bukan dariku dan aku berlepas diri darinya.” (Riwayat Muslim)

Keempat: Berperang dengan tujuan mati syahid. Syaikh Muhammad Bazmul berkata: “Adalah tidak benar bagi orang yang keluar berjihad dengan tujuan mendapatkan syahid (keluar berjihad untuk mati). Sebaliknya hendaklah dia keluar dengan tujuan untuk meninggikan kalimah Allah (yakni untuk menang) dan jika dia mendapat syahid itu adalah kemuliaan dari Allah untuknya. Dan jika dia tidak mendapat syahid, dia pulang dengan pahala dan harta rampasan. Sebahagian orang ingin membunuh dirinya tetapi mereka tahu bahawa membunuh diri tidak dibenarkan. Maka dia keluar berperang dan dia mahu dibunuh. Dia menyangka dengan cara ini dia akan mendapat ganjaran syahid. Renungkan hadis Nabi SAW:

“Allah menjamin bagi orang yang keluar di jalanNya; tidaklah dia keluar kecuali kerana ingin berjihad di jalanKu, dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan para rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke rumahnya dengan membawa kemenangan berupa pahala dan harta rampasan perang.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Jika keluar berperang dengan niat ingin mati dan menjadi syahid itu disyariatkan, mengapa tidak Rasulullah SAW melakukannya? Mengapa Baginda dan para sahabat memakai baju besi? Mengapa kita diperintahkan untuk membuat persiapan? Dan di manakah niat jihad iaitu untuk meninggikan kalimah Allah? Jika semua tentera Islam pergi berjihad untuk mati, maka Islam akan kalah dan kalimah Allah tidak akan ditinggikan. Maka umat Islam harus memerhatikan hal ini kerana ia berkait dengan masalah hati, dan ini adalah satu cara bagaimana Syaitan boleh merosakkan amal kebaikan seorang Muslim iaitu dengan merosakkan niatnya.

Kelima: Berperang tanpa izin orang tua. Ini berdasarkan hadis seseorang lelaki bertemu Rasulullah SAW meminta izin ikut berjihad. Baginda bertanya: “Adakah kedua orang tuamu masih hidup?.” Dia menjawab: Ya. Baginda bersabda: “Jika begitu, berjihadlah untuk kedua orang tuamu.” (Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain ada tambahan, Baginda bersabda: “Pulanglah dan mintalah izin kepada mereka. Jika mereka izinkan maka berjihadlah. Jika tidak, berbaktilah kepada mereka berdua.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

LARANGAN MENGATAKAN SI FULAN SYAHID

Adapun menghukum secara khusus bahawa seseorang itu syahid, ini tidak dibolehkan kecuali dengan persaksian Nabi SAW (melalui wahyu). Imam Al-Bukhari meletakkan satu bab dalam Sahihnya: “Bab Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Syahid”. Ini kerana antara syarat syahid adalah berperang untuk meninggikan kalimat Allah yang tinggi dan ini adalah urusan niat yang tidak ada jalan untuk mengetahuinya. Oleh itu Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan seorang mujahid di jalan Allah, dan Allah lebih tahu siapa yang berjihad di jalanNya.” (Bukhari)

Namun orang yang secara zahirnya baik, mentauhidkan Allah ketika hidupnya, kita mendoakan dia syahid. Kita tidak menghukumnya syahid dan kita tidak berburuk sangka kepadanya. Kita memperlakukannya di dunia dengan hukum-hukum syahid jika dia terbunuh dalam jihad fi sabilillah. Dia dikubur dengan darah di bajunya tanpa mensolatinya. Dan untuk syuhada yang lain, dimandikan, dikafani dan disolati.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 25 Ogos 2013

About these ads
One Comment
  1. nama aqu gx tau permalink

    subhannallah,.

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 24.734 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: