Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Khilaf adalah Kepelbagaian
Perkara yang datang daripada Nabi S.A.W seperti riwayat-riwayat yang sahih, memang ada di antaranya berlaku pertembungan. Di sana terdapat satu perbahasan disebut sebagai ‘attanawud’ iaitu kepelbagaian dalam petunjuk Nabi S.A.W. Apabila dikatakan kepelbagaian maka kita boleh melakukan salah satu darinya.
Contoh paling jelas apabila Nabi S.A.W mengangkat takbir, kadangkala beliau menyamakan tangan dengan telinganya seperti dalam hadis riwayat Imam Muslim. Kadangkala beliau menyamakan tangan dengan bahunya sebagaimana dijelaskan dalam riwayat Ash-habus Sunan kecuali Imam Tirmidzi. Maka kita boleh lakukan kedua-dua perkara tersebut, tetapi ianya dilakukan pada masa yang berbeza. Ini adalah dari sudut kepelbagaian. (lihat: Sifat Solat Nabi oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani)
Selain itu ialah khilaf yang tadhot (kontradik) iaitu perselisihan yang mempunyai pertembungan dan akan membawa kepada pentarjihan. Pentarjihan bermaksud sesuatu perkara itu tepat atau lebih kuat dan satu perkara lagi adalah salah dan sebaliknya. Perkara ini biasa berlaku dalam disiplin ilmu fiqh. Ia Dibolehkan jika seseorang menyatakan sesuatu pendapat itu lebih tepat/ kuat dari pendapat yang lain kerana ianya bergantung kepada alasan masing-masing.
Contohnya tentang isu tadhot ; pertembungan seperti perkara yang kita bangkitkan tadi, iaitu meletakkan tangan ke atas dada atau pun melepaskannya. Ini bergantung kepada maksud hadis Nabi S.A.W yang difahami dengan kefahaman yang pelbagai. Apabila disebut Nabi S.A.W bangun dari rukuk dan Nabi berdiri sepertimana Nabi berdiri qiam awal. Jadi timbul di situ kefahaman ahli ilmu yang pelbagai. Ada di antara ahli ilmu berkata apabila Nabi berkata seperti itu merujuk kepada mula-mula selepas takbir Nabi meletakkan tangan keatas dada, maka begitu juga selepas bangun daripada rukuk ialah seperti kerana asal qiam dalam solat ialah meletakkan tangan di atas dada.
Pandangan ulama lain pula kebanyakannya berpegang dengan pendapat ini seperti ulama-ulama daripada Saudi dan Yaman. Manakala Syeikh Al-Albani rahimahullah, beliau melihat kepada solat ialah satu ibadah yang dinukilkan daripada Nabi secara detil dan terperinci seperti gerakan jari, gerakan mulut, cara meletakkan tangan ke dada, cara tangan diletakkan ke lutut dan sebagainya. Jadi kata Syeikh Al-Albani mana mungkin jika perkara lain boleh dirincikan, bagaimana tidak disebut tentang cara meletakkan tangan di atas dada selepas daripada rukuk.
Jadi perkara ini bukan membawa kepada kadang-kadang tetapi ini adalah khilaf. Perselisihan ini tidak membawa kepada perpecahan tetapi perselisihan ini berdasarkan argumen yang mempunyai pendapat masing-masing, serta mengikuti pendapat yang mudah bagi mereka. Ini adalah perkara yang tidak benar seperti kata para ilmu “sesiapa yang mengikut kemudahan-kemudahan yang terhasil daripada fatwa-fatwa ulama, hasil ijtihad mereka. Maka dia dikategorikan sebagai ziddiq”. Ziddiq ini bermaksud orang yang masuk ke dalam agama Islam bertujuan untuk menghancurkan Islam daripada dalam.
Ini adalah perselisihan di mana para ulama bertegas dengan pendapat masing-masing tetapi sebenarnya perselisihan tersebut bersifat akademik bukannya membawa kepada perpecahan kerana masing-masing mempunyai asas yang menggunakan nas dan dalil. Perkara ini perlukan hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
Green Village Club House, Doha, Qatar
09 Mac 2012
Rakaman oleh Abu Aqif Studio, http://www.youtube.com/watch?v=2bZnAg9_RmI
Teks oleh Biro Multimedia & Penerbitan iLMU
From → Ilmu & Fatwa