Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Pertama sekali apabila kita berbicara tentang manhaj Islam adalah sebenarnya kita berbicara tentang prinsip. Pada hari ini masyarakat sering berbicara tentang negara Islam, undang-undang Islam, transformasi Islam, perubahan Islam dan sebagainya. Kadang kala kita terlupa satu perkara yang sangat penting, serta dititik-beratkan oleh Nabi S.A.W iaitu tujuan diutuskan para Nabi dan para Rasul; yakni manusia dan jin adalah menyembah Allah S.W.T seperti firmannya;
“Tidaklah aku ciptakan manusia dan jin itu kecuali untuk menyembahku” (surah Adzariyat, ayat 57)
Jadi kita sering membicarakan tentang manhaj Islam padahal kita terlupa tentang fokus penting iaitu tentang akidah. Ada yang berpendapat ekonomi pada hari ini lebih penting, ada juga yang berpendapat teknologi lebih penting dan ada yang berpendapat kenegaraan, kekuasaan itu lebih penting.
Ini semua sebenarnya datang selepas iman dan amal yang berdalilkan firman Allah di dalam Al-Quran bahawasanya,
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kalian, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa” (Surah an-Nur , ayat 55)
Bahkan Allah akan kukuhkan kekuasaan tersebut dan Allah S.W.T perkukuhkan juga agama yang Allah S.W.T redhai pada mereka. Allah juga akan tukarkan segala ketakutan kepada keamanan yang berpanjangan. Syaratnya sembahlah aku dan jangan sekutukan aku dengan sesuatu.
Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan, “Inilah janji dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW, bahawa Allah SWT akan menjadikan umat Nabi Muhammad SAW. sebagai khulafâ’ al-ardh; yakni pemimpin dan pelindung kepada umat manusia. Dengan merekalah (para khalifah) akan memelihara negeri dan seluruh hamba Allah akan tunduk kepada mereka.” (Imam Ibnu Katsir, Tafsîr Ibn Katsîr, VI/77).
Imam ath-Thabari juga menyatakan, “Sesungguhnya Allah akan mewariskan bumi kaum musyrik dari kalangan Arab dan bukan Arab kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya, Allah akan menjadikan mereka sebagai penguasa dan pengaturnya.” (Imam ath-Thabari, Tafsîr ath-Thabari, XI/208).
Akidah dan Tauhid tunjang gerakan dakwah
Jika masyarakat mengenepikan akidah dan tauhid dalam gerakan dakwahnya iaitu ianya tidak memberikan keutamaan, tidak berusaha untuk memahamkan masyarakat tentang konsep akidah dan konsep ketuhanan. Bagi mereka konsep ketuhanan memadai dengan kalimah ‘lailahaillallah’. Bagi kita yang sudah faham tentang itu mengapa masih banyak lagi pusat-pusat kubur yang didirikan untuk orang buat keramat, tawaf kubur, mengambil berkat dari kubur, tangkal, sihir, tahyul dan sebagainya. Seperti keruntuhan akhlak berlakunya kerana rosaknya akidah.
Permasalahan umat setiap Nabi seperti Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi isa a.s, Nabi Musa dan sebagainya mempunyai masalah kaumnya sendiri. Walaupun mereka menghadapi masalah yang agak berbeza tetapi fokus keutamaan yang diberikan oleh setiap Nabi adalah sama iaitu tauhid dengan mengajak menyembah Allah dan melarang manusia daripada syirik. Jika kita lihat dalam konteks yang berbeza, mengapa fokus dakwah sama. Ini sebenarnya kita boleh jadikan ianya satu titik untuk ketemukan apa yang kita lakukan dengan para Nabi a.s.
Apabila kita gagal dalam memahami isu ini, ianya akan menjadikan kita juga gagal dalam gerakan kita. Bagaimana mungkin kita sibuk dengan keinginan kita sedangkan kita ketepikan perkara yang lebih penting untuk kita perbetulkan dan perincikan iaitu akidah. Akidah bukanlah sekadar kalimah ‘lailahaillah’ semata-mata tetapi apa yang kita faham, sejauh mana kita terjemahkan ‘lalilahaillah’ dalam kehidupan seharian kita, apa yang kita takrifkan, apa yang kita tahu tentang rukunnya, tentang syarat-syarat yang ulama gariskan tentang kalimah ini dan sebagainya.
Perkara seperti inilah akan menyebabkan kita gagal menegakkan satu sistem ekonomi Islam. Ini juga berlaku kerana kita berhadapan dengan orang-orang yang mempunyai masalah dengan akidahnya. Apabila mempunyai masalah dengan akidahnya ianya akan memberikan kesan kepada pandangan-pandangannya dalam beragama sama ada ianya akan menjadikan dia orang yang liberal, plural, tidak amanah, pengkhianat dan sebagainya.
Jadi untuk berbicara tentang manhaj Islam, berbicara tentang akidah merupakan satu keutamaan dan satu fokus untuk kita menyatu-padukan kembali manusia. Akidah yang akan membezakan antara kebenaran dan kesesatan, ianya akan membezakan antara ahli sunnah dengan golongan ahli bid’ah. Akidah akan menjadi titik pembeza.
http://www.youtube.com/watch?v=jdID6DPTIxo
From → Akidah & Manhaj