Skip to content

Muzakarah Pas – Umno; Garis Panduan

Mei 20, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Alhamdulillah. Kenyataan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi tentang pelawaan muzakarah adalah sesuatu yang amat baik. Ini bertepatan dengan perintah Allah kepada orang-orang beriman agar selalu bermesyuarat;

“Urusan mereka itu (orang Islam) adalah bermesyuarat sesama mereka” (As-Syura: 38)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Irbadh bin Sariyah , bahawa Nabi bersabda maksudnya;

“Sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepasku akan melihat perselisihan yang banyak” (riwayat Imam Abu Dawud) 

Hari ini umat Islam dilanda berbagai bentuk perselisihan; baik isu politik, isu agama, isu bangsa dan juga isu negara. Justeru apabila Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi mengorak langkah menawarkan secara terbuka untuk bermuzakarah atau perbincangan, ini merupakan seruan yang sangat baik. Dengan hasrat, ia akan menjadi titik permulaan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Hanya sahaja, muzakarah yang dicadangkan ini perlu mengikut pripsip atau beberapa garis panduan. Saya sudah menyatakan sebahagian dari prinsip itu di dalam siaran akhbar.

Antara prinsip asas yang perlu dan harus dipersetujui ialah :

Pertama. Tujuan bermuzakarah ialah untuk mencari kebenaran dan bukan sama sekali muzakarah ini dijadikan tujuan untuk kemenangan. Ini dua perkara yang sangat berbeza. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud;

“Apabila datang kebenaran ini, kebatilan akan terhapus.” (surah al-Isra’, ayat 81) 

Salah satu tugas dan tanggungjawab orang-orang beriman ialah untuk menyampaikan kebenaran. Seperti yang dijelaskan dalam banyak hadis menyuruh berbuat baik dan mencegah mungkar (amar makruf, nahi mungkar).

Kedua. Prinsip mencari kebenaran di sisi orang-orang yang beriman ialah al-Qur’an dan as-Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabat R.A. Serta penjelasan para ulama’ muktabar yang berdiri di atas petunjuk Nabi  SAW dan para sahabat R.A.

Ini adalah rujukan utama. Bukan akal dan rasional semata-mata. Sekali lagi ditegaskan bahawa sumber utama mencari kebenaran ialah al-Qur’an dan as-Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabat R.A. Maka apabila berlaku perselisihan dan pertembungan, maka kita perlu kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Seperti yang diperintahkan oleh Allah dalam Kitabnya;

“Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu  maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” (Surah an-Nisa’, ayat 59) 

Erti kembali kepada Allah ialah merujuk al-Qur’an. Manakala erti kembali kepada Rasul SAW ialah merujuk kepada as-Sunnah. Ini ditafsirkan oleh al-Hafidz Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-Azim.

Ketiga. Dalam perbahasan dan berhujjah, hendaklah semua menampilkan hujjah yang ilmiah. Yakni merujuk kepada sumber yang disebutkan sebelum ini.

Apabila disebutkan hujjah ilmiah, ini bermaksud ahli panel yang dipilih untuk berhujjah perlu diteliti. Ukuran hujjah bukan hanya sekadar pandai menyusun perkataan dan bermain retorik. Kita tidak mahu muzakarah ini menampilkan hujjah-hujjah kalam dan rasional semata-mata tanpa bersandarkan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ini lantaran tidak lain dan tidak bukan, kita mahu berbincang atas nama Islam. Dan agama Islam tidak boleh lari dari merujuk al-Qur’an dan as-Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabat RA. 

Keempat. Prinsip keempat ialah, muzakarah ini tidak boleh dicemari dengan emosi dan kepentingan selain dari kepentingan Islam. Emosi bermaksud hal-hal seperti cercaan, cacian-makian, sindir-menyindir, salah-menyalahkan dan tunding-menunding antara satu sama lain. Ini bukan budaya dan sikap yang baik dalam muzakarah dan perdebatan.

Jika kita benar-benar menginginkan kebenaran, maka seharusnya semua pihak perlu berlapang dada. Tidak perlu ada unsure emosi atau pencemaran akhlak dalam menyampaikan hujjah.

Begitu juga bercakap atas kepentingan. Sebagai contoh, membela setiap tindakan yang dilakukan oleh kelompok sendiri. Dan dalam masa yang sama menganggap buruk dan salah setiap tindakan pihak yang berlawanan.

Orang-orang yang beriman tidak bercakap atas kepentingan dan mahukan kuasa. Namun orang-orang yang beriman bercakap hanya kerana Allah dan Rasul. Orang-orang beriman bercakap untuk menegakkan al-Qur’an dan as-Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi SAW dan para sahabat RA. Pemahaman ini berasaskan penjelasan ulama’ yang muktabar.

Kelima. Yang kelima, ialah memilih moderator yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan diyakini mampu bersikap adil dalam mengendalikan muzakarah. Ini berdasarkan pengalaman kami mengadakan perbincangan, yang mana moderatornya cenderung kepada pihak tertentu.

Kesannya, berlaku ketidak-adilan dalam mengendalikan majlis terbabit. Sebagai contoh pengagihan masa yang tidak sama, pemilihan soalan yang tidak adil dan provokasi dari moderator sendiri untuk sebelah pihak.

Justeru moderator perlu dari kalangan orang yang mampu berlaku adil.

Selain dari itu, moderator juga perlu dari kalangan orang yang memiliki ilmu dan pengetahuan tentang isu yang ingin dibahaskan. Jiak moderator bukan dari kalangan orang yang berilmu, bagaiman dia mampu mengawal dan mengendalikan perbincangan di kalangan ahli ilmu seperti ini.

Keenam. Audien dan khalayak yang hadir juga perlu dikawal. Sekiranya perlu muzakarah ini diadakan secara tertutup, manakala rakaman dan videonya disebarkan kepada umum. Dengan teknologi yang ada sekarang ini, muzakarah ini boleh disiarkan secara langsung di internet.

Ini kerana, kita mungkin tidak dapat mengawal karenah dan gelagat penonton yang hadir.Adayang dating dengan niat baik dan tahu menjaga adab.Adayang tidak dapat mengawal lisan dan lidah, menyampuk panelis, menyindir dan mengulas di belakang. Ini tentunya akan mengganggu perjalanan majlis. Sedangkan adab dalam majlis ilmu da muzakarah ialah menjaga lisan dan perkataan.

Kita baca kisah Imam Syafi’I berada di dalam majlis Imam Malik. Sehinggakan Imam Syafi’I menyelak buku catatannya dengan perlahan dan hati-hati, bimbang bunyi selakan kertas itu menggannggu penyampaian gurunya. Berbeza dengan situasi hari ini, yang terbit terhabur dari lidah hadirin kadang kala berupa sindiran, cacian dan makian yang mengganggu majlis.

Terlebih lagi dengan laungan ‘takbir’ yang tidak kena pada tempatnya. Jika diteliti hadis takbir, Nabi berpesan maksudnya;

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku ingin melakukan perjalanan (safar), maka berilah aku wasiat (pesanan). Beliau berkata, “Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, dan bertakbir di atas setiap tempat yang tinggi.” Kemudian ketika orang tersebut telah berpaling, beliau mengatakan, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak bumi, dan ringankanlah perjalanannya.”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 11/336, no. 3367. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan. Begitu juga al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth) 

(lihat artikel: http://bahaya-syirik.blogspot.com/2011/08/130-bantahan-takbir-gaya-ala-orang.html 

Apa yang ingin ditegaskan ialah supaya hadirin yang akan hadir menjaga adab dan akhlak. Jika tidak, tujuan muzakarah tidak akan tercapai dan sia-sia.

Ketujuh. Pemilihan tempat dipersetuju dan yang selesa bagi kedua-dua belah pihak.

Ini adala beberapa garis panduan asas yang dapat membantu melancarkan perjalanan muzakarah. Kita amat berharap muzakarah ini dapat berjalan dengan baik dan kita sama-sama dapat berbincang agar martabat Islam itu dapat dijunjung dan dijulang. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud; 

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya.”(Surah Ash Shaff, ayat 9) 

Maka kami bersedia dan terbuka untuk bermuzakarah dan berbincang secara ilmiah tanpa emosi. Berbincang dengan hujah dan fakta, untuk kepentingan agama, bukan untuk kepentingan kuasa atau diri sendiri.

Wallahuaklam.

http://www.youtube.com/watch?v=qUUuiYKs89Y

2 Komen
  1. man permalink

    Salam ustaz, sy minta maaf kiranya sy ada membuat kesalahan t’hdp ustaz….

Trackbacks & Pingbacks

  1. Dilema Pas; Antara muzakarah UMNO atau kerjasama Syiah? « Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: