adab dan etika berkempen, dewan ulama pas, fathul bari mat jahya, mt umno, pilihanraya umum, pru 13
Nasihat menjelang pilihanraya
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Bahang pilihanraya semakin terasa. Mohon nasihat ustaz kepada yang bakal bertanding dan semua yang terlibat dalam pilihan raya.
Jawapan:
Bismillah.
Apabila kita lihat tarikh pilihanraya semakin dekat, nasihat saya kepada diri saya sendiri dan kepada kita semua di luarsanaadalah agar menjaga diri kita daripada terjebak dengan hal-hal yang munkar dan bercanggah dengan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam.
Hal-hal munkar yang saya maksudkan di sini khususnya apabila dekat pilihanraya maka banyaklah ceramah. Banyaklah kenyataan-kenyataan di akhbar, tulisan-tulisan di blog, facebook dan sebagainya dikeluarkan.
Maka perhatikanlah sejauh mana lisan kita dipelihara, sejauh mana tangan kita dijaga, sejauh mana niat kita diikhlaskan kerana ALLAH SWT semata-mata.
Sebagai muhasabah untuk diri saya sendiri dan muhasabah untuk kita semua, janganlah kerana pilihanraya dan kita cenderung kepada parti politik tertentu (atau bagi yang bakal menjadi calon, wakil rakyat, menteri dan sebagainya) kita boleh bercakap sesuka hati. Tidak, kita mesti ingat bahawasanya Nabi SAW berpesan kepada kita, maksudnya:
“Sesiapa yang memberikan jaminan kepadaku untuk menjaga apa yang berada di antara dua tulang pahanya (kemaluannya) dan menjaga sesuatu yang berada di antara dua tulang rahangnya (mulutnya), aku memberi jaminan kepadanya syurga ALLAH SWT.” (riwayat Bukhari)
Yang dimaksudkan adalah penjagaan lisan kita. Berkaitan penjagaan lisan, baru-baru ini ketika bertemu dengan mufti Masjidil Haram, Professor Dr. Sulaiman As-Saloomi beliau berkata kepada saya, maksudnya:
“Engkau adalah pemilik perkataan sebelum perkataan itu dikeluarkan.”
Maksudnya sangat menarik iaitu sekiranya perkataan itu dikeluarkan, ia bukan lagi menjadi milik kita. Maka selama mana ia menjadi milik kita, susun dan aturkanlah agar perkataan yang diungkapkan itu berakhlak, beretika, sesuai dengan prinsip-prinsip dan kehendak Islam. Maklumat yang diperoleh (untuk disampaikan) itu pastikanlah benar, hadis yang dibacakan hendaklah hadis yang sahih, perkataan yang dikeluarkan tentang sesuatu mestilah benar dan berfakta.
Elakkan tuduhan, provokasi dan persepsi semata-mata. Kita mesti ingat bagaimana syaitan mengelirukan Adam ‘alaihissalam seperti yang Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran,
Maksudnya: “Maka syaitan menimbulkan was-was kepada keduanya (Adam dan Hawa) agar mereka berdua didedahkan kehormatan mereka yang telah ALLAH SWT tutupi, dan syaitan berkata: `Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga).’” (surah Al-A’raf, 7: 20)
Syaitan berjaya membentuk persepsi pada Adam dan Hawa bahawasanya jika mereka tidak mendekati pohon tersebut maka mereka tidak akan menjadi malaikat dan tidak kekal di dalam syurga. Bahkan syaitan susuli lagi dengan perkataan yang meyakinkan (seperti yang diceritakan dalam ayat berikutnya),
Maksudnya: “Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. ‘Sesungguhnya aku hanyalah memberi nasihat kepada kamu berdua.’” (surah Al-A’raf, 7: 21)
Maksudnya: “Maka syaitan memujuk keduanya dengan jalan yang salah (tipu daya).” (surah Al-A’raf, 7: 22)
Sehingga Adam dan Hawa akhirnya tertipu. Inilah cara dan kaedah syaitan maka jangan sama sekali kita gunakan budaya syaitan dalam (usaha) kita mendekatkan masyarakat kepada kita dan dalam usaha meraih sokongan daripada masyarakat.
Budaya menipu daya, bersumpah, mengatakan kumpulan masing-masing paling benar dan selainnya semua salah, itu adalah budaya syaitan. Melainkan sekiranya kita mempunyai bukti, bercakap dengan benar, dan amanah.
Sebab itu saya katakan tadi, lihatlah tujuan kita, apakah niat kita ikhlas kerana ALLAH SWT, kemudian lihat kepada lisan dan perkataan yang kita ucapkan, pastikan ia perkataan benar yang dituturkan dengan penuh adab dan akhlak.
Bagi yang menulis di internet, berhati-hatilah dengan penulisan. Hati-hati daripada menulis pembohongan, membuka keaiban dan sebagainya, hendaklah kita sama-sama bermuhasabah.
Jadi itulah saya kira nasihat saya, kerana jika kita lihat pada hari ini, keterlaluan untuk mengejar kuasa, kedudukan dan kepentingan menjadikan manusia membelakangi prinsip-prinsip dan nilai agama. Jadi di mana bukti bahawasanya kalian semua adalah berjuang untuk menegakkan Islam? Di mana kalian wahai UMNO yang mengatakan bahawasanya dalam perlembagaan dan dasar kalian adalah menegakkan agama, bangsa dan negara? Di manakah kalian wahai PAS yang mengatakan bahawasanya kalian mempertahankan Islam, menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah? Di mana semua ini? Sama-samalah kita bermuhasabah, UMNO mahupun PAS, atau sesiapa sahaja umat Islam secara umumnya.
Ini adalah muhasabah untuk diri kita semua di mana bahang pilihanraya semakin hampir. Moga-moga ALLAH SWT mengangkat siapa yang Dia kehendaki, dan menjatuhkan siapa yang kehendaki. Ini adalah kuasa ALLAH, bukan kuasa sesiapa pun. Kita manusia hanyalah berusaha, yang menentukan adalah ALLAH SWT.
Kembalilah kita kepada ALLAH untuk mendapatkan keredhaan ALLAH, sesuai dengan firman ALLAH,
Maksudnya: “Katakanlah: ‘Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’” (surah Ali ‘Imran, 3: 26)
Di tangan Allah-lah segala kebaikan, jangan sesekali kita merasakan diri kita yang membuat perubahan, sebaliknya ALLAH SWT yang menetapkan dan menentukan, cuma Dia memberi kita peluang untuk memilih, mengubah dan berubah.
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=Zzy1s4dfs74
From → Adab & Akhlak, Muamalat & Ekonomi