Skip to content

Tamadun Barat dan Kebangkitan Islam

Jun 1, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Mutakhir ini muncul bermacam-macam istilah baharu yang disandarkan dan dilabelkan kepada orang Islam. Antaranya moderat, liberal, jihad, bai’ah, ahlul bait, dan lain-lain. Kita bimbang istilah-istilah baru yang diguna pakai pada hari ini disalah-tafsirkan dan digunakan sewenang-wenangnya oleh kelompok tertentu yang menyandarkan diri mereka kepada Islam. Kita perlu berhati-hati apabila ada usaha-usaha untuk mengangkat, mengagungkan dan mempertuhankan ideologi-ideologi sesat.

Sebagai contoh, golongan Syiah pada hari ini mengangkat perkataan ahlul bait untuk menarik perhatian umat Islam, golongan khawarij atau pelampau, mereka menggunakan perkataan jihad, iaitu perkataan yang sangat mulia di sisi umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi mereka telah kelirukan makna dan pengertiannya. Golongan muktazilah dan liberal pula menggunakan perkataan modernis dan hak asasi untuk meremehkan ajaran Islam.

Maka jangan sama sekali kita tertipu dengan penggunaan-penggunaan istilah yang hebat kerana ia sebenarnya merupakan agenda barat untuk memusnahkan umat Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Timur Tengah, lihatlah apa yang berlaku di Mesir. Media barat menyebutkan bahawasanya gerakan Ikhwanul Muslimin yang tidak mahu melaksanakan Islam secara seratus peratus adalah Islam yang moderat. Adapun gerakan Hizb An-Nur yang ingin melaksanakan Islam secara seratus peratus dilabel sebagai gerakan radikal dan ultra-konservatif. Maka inilah realiti yang berlaku di mana media barat telah memanipulasi dan memanfaatkan media melalui penulisan, akhbar, televisyen, dan sebagainya untuk menipu dan mengaburi mata umat Islam.

Maka bangkitlah wahai umat Islam, sedarlah kita daripada tidur dan lena yang panjang. Bukan melalui cara berdemonstrasi atau perarakan di jalanan, bukan pula dengan memaki hamun atau melakukan pengeboman berani mati, bukan melalui pemberontakan dan huru-hara, akan tetapi dengan cara kita berusaha untuk mengembalikan masyarakat kita kepada Al-Quran dan As-Sunnah sesuai dengan petunjuk Salaful Ummah.

Jika kita lihat di dalam Al-Quran, Allah Swt berfirman, maksudnya: “Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik yakni Al-Kitab (Al Qur’an) yang ayat-ayatnya sangat bermutu lagi berulang-ulang, akan bergementar kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya (kerana mendengar ayat-ayat ini).” (surah Az-Zumar ayat 23)

Kita inginkan jiwa-jiwa orang Islam yang seperti ini, yang berbangga dengan ayat-ayat Allah, dan berbangga juga dengan perkataan Rasulullah saw.

Apabila kita berhadapan dengan situasi, dugaan, bala bencana yang dibawa oleh golongan-golongan yang benci dan membelakangkan Islam, yang berusaha untuk mencabut jiwa Islami dari jiwa mereka-mereka yang cintakan Allah Swt dan Rasul-Nya saw, kita perlu bangkit tetapi bukan hanya dengan suara dan semangat, kerana kita tidak ingin menjadi seperti golongan yang Nabi saw maksudkan di dalam hadis, maksudnya: 

“Sesunguhnya setiap amalan memiliki masa semangat dan setiap masa semangat memiliki masa putus asa (futur)…”(riwayat Imam Ahmad)

Kita tidak ingin tergolong di kalangan orang yang putus asa, kita tidak ingin membina agama ini hanya dengan semangat, tetapi kita ingin membina dan mempertahankan agama ini dengan ilmu pengetahuan. Baginda Nabi saw telah memberikan kata-kata semangat kepada kita yang perlu kita jadikan visi dan misi dalam perjuangan kita. Kata Nabi saw, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah Swt membentangkan bumi kepadaku lalu aku lihat timurnya dan baratnya, dan sesungguhnya umatku akan sampai kekuasaannya (kerajaannya) kepada apa yang telah dibentangkan kepadaku”. (riwayat Imam Muslim)

Perpaduan Teras Kebangkitan Islam

Ini merupakan janji Nabi saw. Ini merupakan titik dan bukti kepada kebangkitan umat Islam. Umat Islam suatu hari nanti pasti akan mendominasi bumi Allah Swt yang telah Allah tetapkan untuk kita semua. Oleh itu ia perlu kepada kebangkitan dan usaha. Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al- Utsaimin rahimahullah di dalam kitabnya yang terkenal bertajuk “Kebangkitan Islam” telah menjelaskan beberapa prinsip di dalam kebangkitan Islam.

Dia antara beberapa poin penting yang beliau bangkitkan adalah perpaduan. Perpaduan yang kita inginkan adalah perpaduan umat Islam. Ketepikanlah ideologi politik, kepentingan diri, kedudukan dan kekuasaan. Kembalilah kita bersatu di atas nama Islam, dan di atas nama Iman.

Ini yang dituntut oleh Allah swt, dan ini yang akan dipersoalkan oleh Malaikat di alam barzakh kelak, sebagaimana kata Nabi saw di dalam hadis yang masyhur, maksudnya:

Barangsiapa yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabinya, maka layaklah dia untuk syurga Allah swt.”(riwayat Imam Muslim)

Tiga perkara ini sahaja yang perlu kita bersatu di atasnya, dan mempertahankannya sehingga ke titisan darah yang terakhir. Ini agama kita, ini prinsip dan pegangan kita. Kita bukan menuju ke arah radikal, kita bukan terroris, kita bukan berfikiran jumud, kita bukan berfikiran terlalu konservatif, akan tetapi kita membawa Islam yang Allah Swt turunkan dan sampaikan kepada baginda Nabi saw, Islam yang mengiktiraf kemodenan, teknologi, ekonomi, politik serta hidup bermasyarakat.

Inilah Islam yang perlu kita terjemahkan. Tetapi yang menjadi kebimbangan umat Islam seperti yang disebutkan adalah apabila perkataan-perkataan Islam yang mulia seperti jihad, bai’ah, ahlul bait, akal, dan seumpamanya disalah-tafsir oleh kelompok-kelompok tertentu yang menyebabkan perjuangan mereka tersasar dari jalan yang telah ditetapkan oleh Allah Swt dan rasul-Nya.

siaran akhbar 12 Mei 2012

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: