Skip to content

Nasihat menjelang pilihan raya

Jun 5, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya 

Apabila kita lihat tarikh pilihanraya semakin dekat, nasihat saya kepada diri saya sendiri dan kepada kita semua di luar sana adalah agar menjaga diri kita daripada terjebak dengan hal-hal yang munkar dan bercanggah dengan prinsip dan dasar Islam.

Hal-hal munkar yang dimaksudkan di sini khususnya ialah seperti dalam ceramah, kenyataan-kenyataan di akhbar, tulisan-tulisan di blog dan facebook. Maka perhatikanlah sejauh mana lisan kita dipelihara, sejauh mana tangan kita dijaga, sejauh mana niat kita diikhlaskan kerana ALLAH SWT semata-mata.

Sebagai muhasabah bersama, janganlah kerana undi dan kemenangan, kita bercakap dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati. Tidak, kita mesti ingat bahawasanya Nabi SAW berpesan, maksudnya:

“Sesiapa yang memberikan jaminan kepadaku untuk menjaga apa yang berada di antara dua tulang pahanya (kemaluannya) dan menjaga sesuatu yang berada di antara dua tulang rahangnya (mulutnya), aku memberi jaminan kepadanya syurga ALLAH SWT.”(riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan di antara dua tulang rahang ialah mulut yakni menjaga lisan dan ucapan kita. Berkaitan penjagaan lisan, dalam kunjungannya ke ibu kota baru-baru ini Mufti Masjidil Haram, Professor Dr. Sulaiman As-Saloomi menyebutkan sebuah ungkapan yang menarik, maksudnya:“Engkau adalah pemilik perkataan sebelum perkataan itu dikeluarkan.”

Maksudnya sangat menarik iaitu sekiranya perkataan itu dikeluarkan, ia bukan lagi menjadi milik kita. Maka selama mana ia menjadi milik kita, susun dan aturkanlah agar perkataan yang diungkapkan itu berakhlak, beretika, sesuai dengan prinsip-prinsip dan kehendak Islam. Ia tidak jauh maknanya dengan pepatah Melayu yang terkenal, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Maklumat yang diperoleh untuk disampaikan baik dalam akhbar, ceramah, mahupun internet hendaklah disemak dan dipastikan kebenarannya sebelum disebar, hadis yang dibacakan hendaklah hadis yang sahih, perkataan yang dikeluarkan tentang sesuatu perkara mestilah benar dan berfakta. Nabi pernah bersabda, maksudnya;

“Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang dia dengar.” (riwayat Imam Muslim, no 5)

Syaitan menipu Adam dan Hawa dengan persepsi palsu

Elakkan tuduhan tanpa asas, provokasi, persepsi dan andaian. Begitulah syaitan mengelirukan Adam AS seperti yang Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran, maksudnya:

“Maka syaitan menimbulkan was-was kepada keduanya (Adam dan Hawa) agar mereka berdua didedahkan kehormatan mereka yang telah ALLAH tutupi, dan syaitan berkata: `Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga).’” (surah Al-A’raf, ayat 20)

Syaitan berjaya membentuk persepsi palsu pada Adam dan Hawa, bahawasanya jika mereka tidak mendekati pohon tersebut maka mereka tidak akan menjadi malaikat dan tidak kekal di dalam syurga. Bahkan syaitan susuli lagi dengan perkataan yang meyakinkan seperti yang diceritakan dalam dua ayat berikutnya, maksudnya:

“Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. ‘Sesungguhnya aku hanyalah memberi nasihat kepada kamu berdua.’” (surah Al-A’raf, 7: 21)

“Maka syaitan memujuk keduanya dengan jalan yang salah (tipu daya).” (surah Al-A’raf, 7: 22)

Sehingga Adam dan Hawa akhirnya tertipu. Inilah cara dan kaedah syaitan maka jangan sama sekali kita gunakan budaya syaitan dalam usaha kita mendekatkan masyarakat kepada kita dan dalam usaha meraih sokongan daripada masyarakat.

Budaya menipu daya, bersumpah, mengatakan kumpulan masing-masing paling benar dan selainnya semua salah, itu adalah budaya syaitan. Melainkan sekiranya kita mempunyai bukti, bercakap dengan benar, dan amanah.

Meluruskan niat kerana Allah

Justeru perkara pertama yang perlu dikoreksi ialah, apakah niat kita ikhlas kerana ALLAH. Kemudian lihat kepada lisan dan perkataan yang kita ucapkan, pastikan ia perkataan benar yang dituturkan dengan penuh adab dan akhlak. Bagi yang menulis di internet, berhati-hatilah dengan penulisan. Hati-hati daripada menulis pembohongan, membuka keaiban dan hal-hal yang bertentangan dengan akhlak Islam.

Semoga ALLAH mengangkat siapa yang Dia kehendaki, dan menjatuhkan siapa yang kehendaki. Ini adalah kuasa ALLAH, bukan kuasa sesiapa pun. Kita manusia hanyalah berusaha, yang menentukan adalah ALLAH.

Kembalilah kita kepada ALLAH untuk mendapatkan keredhaan ALLAH, sesuai dengan firman ALLAH, maksudnya;

“Katakanlah: ‘Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’” (surah Ali ‘Imran, 3: 26)

Di tangan Allah-lah segala kebaikan, jangan sesekali kita merasakan diri kita yang membuat perubahan, sebaliknya ALLAH yang menetapkan dan menentukan, cuma Dia memberi kita peluang untuk memilih, mengubah dan berubah.

Advertisements
Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: