Skip to content

Debat; Pemuda Pas Gombak versus iLMU

Jun 6, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Baru-baru ini ada isu muzakarah di antara UMNO dan PAS tetapi ada pihak daripada pemuda PAS Gombak mengajak berdebat dengan tajuknya “UMNO vs. PAS siapa yang sesat”. Minta komen ustaz.

Jawapan:

Baru-baru ini apabila Tuan Guru Abdul Haji Awang yang saya hormati mengeluarkan kenyataan untuk bermuzakarah dengan mana-mana pihak (umum) walaupun ada kenyataan mengatakan pengecualian terhadap UMNO. Walaubagaimanapun keesokan harinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kesudiannya bermuzakarah dengan semua termasuk UMNO.

Sebelum Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan kita telah bersedia untuk menerima muzakarah, kami Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU) telah menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan PAS, iaitu dengan pihak Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di mana muzakarah tersebut seperti yang beliau nyatakan adalah di atas kepentingan Islam dan Melayu.

Jarang sekali kita mendengar mereka menyebut Islam dan Melayu, sebelum ini apabila kita menyebut Melayu mereka marah atas alasan nasionalisme, taksub kepada bangsa dan sebagainya, walaupun ada banyak penjelasan yang boleh kita berikan. Mempertahankan hak bangsa berbeza dengan taksub kepada bangsa, berbeza dengan asobiyah atau fanatik bangsa. Itu hal yang berbeza dengan mempertahankan hak bangsa. Mempertahankan hak bangsa merupakan perkara yang dituntut dalam Islam, ia merupakan hal yang syar’i serta diperintah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Jadi apabila saya mendengar mereka ingin bermuzakarah, Sinar Harian ada menghubungi saya dan saya mengeluarkan kenyataan bersetuju. Bahkan Setiausaha Sekretariat IlmuanMalaysiatelah mengeluarkansuratrasmi kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi untuk bermuzakarah atas kepentingan Islam dan Melayu.

Saya menyenaraikan prinsip bermuzakarah menurut Islam, bukan menurut UMNO, NGO, PAS, atau siapa-siapa. Muzakarah bukan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mencari kebenaran. Kebenaran ukurannya menurut Al-Quran dan As-Sunnah sesuai dengan pegangan ulama-ulama Ahlus sunnah wal Jamaah.

Muzakarah di kalangan orang berilmu

Seterusnya kita menyenaraikan yang berkelayakan untuk bermuzakarah hendaklah orang-orang yang ada latar belakang ilmiah. Latar belakang ilmiah bukan merujuk kepada sijil tetapi merujuk kepada penguasaan ilmu. Kalau bercakap menggunakan akal dan mengenepikan wahyu, kami mohon letak ke tepi kerana tidak akan selesai berbincang dengan orang seperti ini. Kita mahukan yang berdalilkan wahyu demi kepentingan Islam.

Kita mahu orang yang bermuzakarah adalah orang yang berlapang dada, berakhlak dan beretika, bukan baru mula muzakarah terus menghentam. Saya pernah beberapa kali berdiskusi dengan PAS, tetapi dalam beberapa kali itu juga saya kecewa. Kita berharap muzakarah yang berlangsung membantu menyelesaikan masalah, tetapi sebaik bermula muzakarah mereka berkata ulama tidak boleh duduk dalam UMNO, ulama mesti duduk di dalam PAS. Hendak bermuzakarah bagaimana jika dimulakan seperti itu, kita hendak menyelesaikan masalah dan berbincang tentang peranan dan tanggungjawab orang berilmu dalam politik tanpa membezakah apakah dia PAS atau UMNO.

Fikirkan tanggungjawab, ulama tidak boleh berdiam diri, ahli ilmu perlu bersuara, kita perlu menggunakan saluran. Saluran apa yang ada tolong bagitahu, itu yang hendak kita bincangkan. Tetapi kita kecewa apabila perbincangan dimulakan dengan sindiran, ia hanya menyukarkan proses perbincangan itu sendiri. Kita bercakap tentang Islam, dia bercakap orang itu tidak pakai tudung, orang itu mewah. Kita bercakap tentang tajuk, bercakap tentang Islam, dia bercakap tentang Genting Highland, lesen judi, lesen arak.

Kita kata lesen arak ada di Kelantan, Kedah, bahkan pusat hiburan di Kedah makin bertambah, mereka kata di Genting lebih teruk. Adakah ini bererti lesen arak yang dikeluarkan di negeri mereka halal? Lalu mereka mengatakan lesen arak itu dikeluarkan untuk bukan Islam, jadi begitulah juga lesen yang dikeluarkan kerajaan, masalahnya ada individu-individu islam yang tidak cerdik yang menjadi Board of Director bagi syarikat arak, tetapi itu masalah individu. Saya berpendapat perkara seperti ini dibangkitkan kerana –wallahua’lam- ada kepentingan politik, bukan untuk kepentingan Islam.

Kalau betul hendak berbincang marilah duduk bersama, kita meletakkan garis panduan bukan ada kepentingan apa pun, kita letakkan moderator yang adil. Kami ada pengalaman beberapa kali di mana moderator cenderung kepada mereka, memberi lebih masa kepada mereka untuk bercakap, memberi peluang kepada mereka memberi ulasan penutup di akhir perbincangan, kita tidak boleh menjawab kembali di mana ianya tidak adil, kerana kita hendak bermuzakarah berbincang untuk Islam.

Moderator dari kalangan ulama’

Bahkan kita mencadangkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Haji Abdul Hadi seorang Professor Muhammad bin Khalifah At-Tamimi, rektor universiti Madinah Antarabangsa di Shah Alam di mana Tuan Guru sendiri pernah menziarah beliau menunjukkan beliau memberi pengiktirafan, kita mencadangkan professor tersebut sebagai moderator di mana beliau seorang Arab. Kita boleh bermuzakarah dalam bahasa Arab. Khairy Jamaluddin boleh bermuzakarah dengan Ambiga dalam Bahasa Inggeris, kenapa kita tidak boleh bermuzakarah dalam Bahasa Arab, apa masalahnya? Sumber rujukan Islam dalam Bahasa Arab, sumber kitab Islam dalam Bahasa Arab, al-Quran dan hadis juga dalam Bahasa Arab. Bermuzakarahlah kita di dalam Bahasa Arab.

Tetapi mengecewakan, esoknya mereka mengeluarkan kenyataan tidak mahu bermuzakarah dengan UMNO. Esoknya pula mahu bermuzakarah dengan UMNO dengan syarat UMNO mesti mengubah dasar, minta tajuk muzakarah “kenapa UMNO tolak Islam.” Belum muzakarah lagi dah mula berkelahi. Akhirnya, tidak ada muzakarah.

Perkara ini mengecewakan dan meyedihkan. Kemudian datang pemuda PAS Gombak menghantarsuratrasmi, mengiklankan dalam facebook mencabar kami untuk bermuzakarah. Tajuk muzakarah “PAS vs. UMNO siapa sesat?” Tajuk muzakarah sahaja kami sudah tidak bersetuju. Muzakarah apa seperti ini, adakah siapa menang bererti dia betul dan siapa kalah bererti dia sesat? Berkata Imam Syafi’i rahimahullah, apakah ukuran kalah menang itu bergantung kepada siapa pandai bercakap?

Imam Syafi’i berkata, “aku akan tewas di dalam perdebatan sekiranya yang berdebat denganku itu adalah orang yang jahil.”

Jadi kita tidak mahu kerana tajuk yang diberi itu pun membuatkan orang hadir dengan emosi, bukan muzakarah yang bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada isu dan permasalahan ummah.

Kalau kita mengambil tajuk Islam, contohnya tajuk kecil yang sering dibicarakan “nasionalisme” kemudian bahaskan. Kedua-dua pihak dapat membawakan hujah masing-masing, begitulah cara kita berbincang. Atau contoh tajuk lain “hukum Islam” kemudian kita bincangkan siapa yang perlu buat, bagaimana dan apa cadangannya untuk kita laksanakan hukum ini. Kita merasa seronok walaupun ada sedikit kelompok hendak melaksanakan hukum Allah, kami juga mahukan hukum Allah tertegak di atas muka bumi ini. Cuma kita perlu susun strategi dan merancang dengan baik, perancangan mesti ada. Ini tidak, sebelum ayam berkokok lagi kita sudah laksanakan tetapi tiada perancangan, tiada penguatkuasaan. Alasan mereka ialah tidak mendapat izin kerajaan jadi kerana itulah mereka tidak boleh buat. Tetapi kerajaan juga tidak mengizinkan demonstrasi jalanan, kerajaan atau polis tidak benarkan untuk masuk ke dataran merdeka, pihak polis melarang tetapi mereka rempuh juga, mereka demonstasi juga. Jadi kenapa apabila Tun M mengatakan hukum hudud belum sesuai pada masa sekarang mereka tidak boleh buat pula?

Perkara ini menjadi retorik puluhan tahun, mewar-warkan hendak melaksanakan itu dan ini kemudian tidak ada apa-apa yang berlaku. Sekiranya benar-benar hendak melaksanakannya, fikirkanlah secara waras. Tidak boleh mengatakan hanya kami PAS hendak laksanakan hudud, ia akan jadi masalah politik, seolah-olah hanya PAS sahaja yang mahu, seolah-olah orang UMNO tidak mahu. Mana mungkin orang islam tidak mahu hukum Allah. Kita berusaha dan pada masa yang sama perlukan masa untuk memahamkan masyarakat bukan Islam tentang hukum Islam.

MCA, Chua Soi Lek dan hudud

Saya pernah berbincang dengan MCA, bersyarah di hadapan Chua Soi Lek, Ng Yen Yen, dan lain-lain memberi penjelasan tentang hukum hudud. Kita melaksanakan tanggungjawab kita setakat yang kita mampu. Apa yang mereka buat, adakah mereka sudah menjelaskan kepada masyarakat bukan Islam apa itu hukum hudud, apa itu hukum Islam?

Perkara ini perlu dibincangkan secara baik, baik UMNO, PAS, mufti, peguam, pakar perlembagaan, pembuat dasar, pihak penguatkuasaan, atau jemput negara yang telah melaksanakan hukum hudud datang ke sini dan bincangkan bersama.

Chua Soi Lek berucap sebelum mula majlis penjelasan hukum hudud. Masalahnya didedahkan berita tentang ucapannya itu secara tidak adil. Walaupun beliau bukan Islam, kita perlu adil mengeluarkan berita apa yang beliau sebut. Isu dan soal peribadinya itu letak ke tepi, kita hanya bercerita apa yang beliau sebut. Beliau menyebut “berdasarkan analisa saya”. Beliau bukan Islam, rujukannya adalah internet, ulasan media-media barat tentang negara-negara Islam yang mempraktikkan hukum Islam di mana beliau melihat ekonomi mereka jatuh teruk, negara kuku besi, teruk gejala sosialnya, mundur, jadi beliau berkata bagaimana hukum ini hendak dilaksanakan di negara kita, nanti akan jadi mundur, ekonomi akan jatuh. Dan di hujung ucapannya beliau berkata “oleh kerana itu kita menjemput panel ini untuk memberi penjelasan kepada kita tentang hudud.”

Beliau sebelum itu bercakap tentang hudud berdasarkan analisa yang beliau buat, bererti setakat yang beliau tahu sahaja. Sesuailah kerana beliau bukan Islam, tidak tahu merujuk kitab-kitab Arab. Kita bukan hendak menyokong beliau tetapi berilah kenyataan yang adil tentangnya. Ini tidak, mereka sahaja yang kononnya hendak melakukan hudud, marilah kita buat bersama-sama. Ini perkara islam, tetapi perlu kepada perbincangan.

Jadi saya bukan menolak untuk berbincang dengan pemuda PAS, tetapi tajuk tersebut tidak memberi impak yang baik. Orang tengok tajuk sahaja sudah tahu tujuan berkumpul untuk bergaduh. Kita juga mengharapkan perbincangan dengan pihak yang dapat membuat keputusan dasar dalam parti, maksudnya kalau dia sebut semua akan sokong. Kalau setakat orang bawah, nanti orang atas akan berkata itu pendapat peribadinya, jadi masalah tidak akan dapat diselesaikan. Kita perlu yang boleh membuat keputusan dan perubahan.

Wallahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

UFB – Debat Pemuda PAS Gombak Vs ILMU

http://www.youtube.com/watch?v=xrNsJkgRmW0

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: