Skip to content

Ustaz menyanyi C.I.N.T.A.G.I.L.A. BN Gila

Jun 8, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Saya ingin bertanya kepada ustaz berkenaan ada pendakwah di dalam youtube menyanyikan lagu di mana lagu yang dinyanyikan itu mengutuk kerajaan dengan kenyataan gila. Adakah ini dibenarkan di dalam Islam?

Jawapan:

Baru-baru ini memang kita ada mendengar dan melihat sebaran di youtube seorang ustaz atau pendakwah yang terkenal pada hari ini yang saya hormati beliau cuma agak mengecewakan apabila beliau menyanyikan sebuah lagu kemudian beliau menukarkan lirik lagu tersebut dengan mengatakan BN Gila.

Jadi ini bukan isu siapakah Barisan Nasional atau siapakah Pakatan Rakyat, tetapi ini adalah isu adab dan etika. Di dalam Islam Allah SWT mengajar kita di dalam Al-Quran,

Maksudnya: “…dan janganlah memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (surah Al-Hujurat, 49: 11)

Gelaran yang diperjelaskan oleh ulama tafsir seperti Syaikh Abdurrahman Nashir As-Sa’di ialah gelaran yang tidak disukai. Khususnya di dalam isu ini, siapa yang suka dirinya dipanggil gila. Kita benci dan tiada siapa yang menyukai gelaran-gelaran yang seperti itu.

Kalau kita mula menggelarkan BN gila, nanti akan ada orang yang menggelarkan Pakatan Rakyat gila, orang akan menggelar pula parti ini gila, parti itu gila. Kerana kita yang sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik tetapi tiba-tiba kita menunjukkan contoh tauladan yang tidak baik.

Ini bukan soal kerana ‘dia’ yang bercakap atau siapa, tetapi oleh kerana pengaruhnya sangat luas dan sangat popular, saya kira kenyataan-kenyataan seperti ini perlu diperbetulkan kerana kenyataan seperti ini akan menyebabkan berlakunya salah faham yang mengajar dan mendidik umat Islam atau sesiapa sahaja mengungkapkan perkataan sesuka hati mereka.

Sedangkan di dalam hadis apabila sahabat Nabi bertanya, maksudnya:

“Islam bagaimana yang terbaik? Kata Nabi, “Siapa yang menyelamatkan saudara se-Islamnya daripada keburukan lisannya dan keburukan tangannya.” (riwayat Imam al-Bukhari)

Maka penjagaan lisan itu sangat penting, khususnya apabila kita berstatus seorang ilmuan. Gurau senda tidak menjadi masalah, kita boleh bergurau senda, akan tetapi apabila terdapat unsur-unsur gelar-menggelarkan (dengan gelaran yang dibenci) maka kita sebenarnya pencipta kepada perpecahan kerana kita menjadi ikutan dan idola kepada sebilangan besar orang. Orang melihat tindakan dan perbuatan kita dan orang akan mencontohinya.

Kita mesti ingat di dalam hadis Nabi SAW, maksudnya:

“Barangsiapa yang menunjukkan contoh yang baik dalam Islam dan kemudian ada orang mengikuti contoh tersebut, baginya pahala dan pahala orang yang beramal dengannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun.” (hadis riwayat Muslim)

Begitu juga sekiranya ditunjukkan contoh yang tidak baik kemudian ada orang mengikutinya. Contohnya jika menyebut BN gila dan orang lain mengikutinya, orang lain pula menyebut Pakatan Rakyat gila dan orang lain pun mengikutinya mengatakan Pakatan Rakyat gila. Jadi untuk mengajar orang hukum umum, kesannya apabila orang ikuti kesalahan kita tersebut adalah kita mendapat dosa kerana menunjukkan contoh kepadanya, dia mendapat dosa kerana mengikuti kita, kemudian dosa orang yang mengikuti itu kita tanggung juga dan tidak mengurangi sedikit pun daripada dosa tersebut.

Jadi kita perlu berhati-hati khususnya sebagai seorang ilmuan Islam, orang yang dihormati di dalam masyarakat. Jagalah lisan kita, kerana kata Nabi SAW di dalam hadis, maksudnya:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata yang baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

http://www.youtube.com/watch?v=A6cVo8qPIoE

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: