Skip to content

Benarkah Bilal bin Rabah mengkritik Khalifah Umar secara terbuka?

Jun 9, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Ustaz, bagaimana pula dengan sahabat yang ingin memperbetulkan Umar Al-Khattab dengan mata pedangnya, bukankah ini lambang kekerasan? Terima kasih, mohon diperjelaskan.

Jawapan:

Yang mencabar Umar bin Al-Khatthab RA dengan pedang dalam isu pembahagian tanah penduduk Khaibar yang dirampas adalah Bilal bin Rabah RA. Sesungguhnya pada zaman Nabi SAW harta rampasan perang dibahagikan kepada orang yang menyertai peperangan iaitu tentera-tentera Islam. Tetapi pada zaman Umar Al-Khatthab RA, Umar mengambil tindakan tidak membahagikannya kerana dibimbangi sekiranya ia dibahagikan nanti golongan-golongan Yahudi membeli kembali tanah tersebut, sebab urusniaga jual beli dibolehkan. Mereka akan membeli dan tanah itu akan jadi hak milik mereka.

Sebab asalnya Yahudi tidak layak mempunyai tanah di atas muka bumi, mereka tidak boleh ada tempat di atas muka bumi. Sebab itulah pada hari ini mereka berusaha untuk mendapatkan Palestin keseluruhannya, bahkan mereka berusaha sampai ke Syria dan Lubnan. Itu cerita bab Yahudi.

Jadi apabila Umar Al-Khatthab RA mengambil tindakan tidak mahu membahagi tanah tersebut dan Umar berkata tanah itu akan disimpan sebagai harta umat Islam, dan apabila ada keperluan akan perhatikan, maka Bilal bin Rabah mencabarnya dan berkata, “Aku akan memerangi engkau kalau engkau tidak membahagikan harta ini dengan cara yang betul.”

Prinsip istinbat hukum

Dengan dalil ini ramai yang salah faham. Sebelum kita hendak mengulas hadis ini, kita perlu faham kaedah dan prinsip dalam meng-istinbat (mengeluarkan) hukum. Di sisi ulama-ulama fiqh juga ulama-ulama hadis terdapat prinsip. Prinsip paling penting ialah menghimpun dalil. Kita tidak boleh melihat pada satu dalil sahaja, kita perlu lihat semua dalil berkaitan. Hadis tentang menegur dan menasihati pemerintah datang dengan pelbagai lafaz. Ada yang menyebut, kata Nabi SAW,

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah maka janganlah dia menasihati secara terbuka, tetapi pegang tangannya dan bersendiri dengannya. Sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya” (riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain, Usamah Ibn Zaid RA ketika ditanya mengapa beliau tidak menegur Utsman ibn Affan beliau mengatakan “Apakah aku perlu menegurnya di hadapan manusia? Aku menegurnya antara aku dan dia, aku tidak mahu membuka pintu fitnah (kerosakan).”  (riwayat Imam Muslim)

Bermaksud beliau tidak mahu menceritakan apa yang beliau sampaikan kepada Utsman yang pada ketika itu khalifah. Lihatlah bagaimana Nabi SAW menyatakan kepada kita,

Maksudnya: “Agama itu nasihat.” Kami (sahabat) berkata, “Untuk siapa (nasihat itu) wahai Rasulallah?”. Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-peminpin Islam dan rakyatnya (kaum muslimin).” (riwayat Imam Muslim)

Di situ terdapat perbezaan antara nasihat kepada pemimpin dan kepada orang awam. Di sana juga ada hadis dalam kaedah menasihati manusia,

Maksudnya: “Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (riwayat Imam Muslim)

Menasihati dengan hikmah dan pelajaran yang baik

Kaedah dalam menasihati dan memperbetulkan kemungkaran juga dinyatakan di dalam Al-Quran,

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125)

Al-hikmah menurut Imam Ibnul Qayyim adalah al-‘ilmu, al-hilmu (kebijaksanaan), dan al-anah (berperingkat dan kesabaran). Serulah manusia ke jalan Allah dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kesabaran serta berperingkat, dan juga dengan perkataan-perkataan atau nasihat yang baik, dan berbincang dengan cara yang baik.

Semua dalil di dalam menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran perlu dihimpun, dan dari situ barulah dibuat analisa tentang riwayat. Riwayat sahih dikekalkan, riwayat yang lemah dan palsu disingkirkan. Jadi tinggallah beberapa riwayat hadis dan ayat Al-Quran. Untuk memahaminya perlu memahami keseluruhan. Berbalik kepada hadis yang dibawa tadi iaitu hadis Umar Al-Khatthab, bagaimana Bilal mencabarnya dengan pedang.

Kisah sahabat Bilal bin Rabah dan Khalifah Umar al-Khattab

Pertama, mengapa Bilal mencabarnya? Kerana di sana ada hadis Nabi SAW di mana Nabi SAW sendiri membahagikan tanah dan harta rampasan kepada orang yang menyertai peperangan, tetapi tiba-tiba Umar cuba membuat sesuatu yang bercanggah dengan Nabi SAW. Pada zaman Nabi SAW, sekiranya ada perkataan yang menyelisihi perkataan Nabi, sahabat Nabi akan mencabut pedang. Contohnya kisah Dzul Khuwaisirah ketika Nabi membahagikan harta rampasan perang, beliau menyebut, “Wahai Muhammad, berlaku adillah.” Sedangkan Nabi telah membahagikan secara adil, beliau cuba melakukan provokasi. Sahabat Nabi berkata “Lepaskan aku dan biarlah aku memancung kepalanya.” (riwayat Imam al-Bukhari)

Begitu juga peristiwa Ibn Shayyad yang dikatakan sebagai Dajjal. Umar RA meminta kepada Rasulullah untuk memancung kepalanya. Apa-apa yang menyelisihi Nabi SAW dan menyelisihi Islam, dikeluarkan pedang dan dipancung kepala. Jadi apabila Bilal mendengar Umar membuat kenyataan yang menyelisihi perbuatan Nabi, maka Bilal mengangkat pedang dan berkata, “aku akan memerangi kamu” tetapi apabila Umar bin Al-Khatthab RA bertegas, adakah Bilal melawan?

Memahami hadis secara menyeluruh

Bacalah hadis itu sehingga habis. Bilal tidak melawan. Bilal tidak mengajak orang membuat demonstrasi melawan Umar, beliau tidak pernah melawan Umar. Apabila Umar bertegas dengan keputusannya, dan apabila Umar menyatakan sebab musabab mengapa beliau tidak ingin membahagikan harta tersebut maka Bilal menerimanya.

Kita pula bagaimana, apa yang kita buat? Ada yang mengatakan dalil tersebut menunjukkan kita boleh bercakap (menentang secara lisan). Mana buktinya Bilal bin Rabah bercakap di khalayak ramai? Bagilah bukti yang menunjukkan ketika Bilal ibn Rabah menyebut perkataan tersebut beliau berada di hadapan ratusan sahabat Nabi. Sedangkan berkata Nabi di dalam hadis yang lain,

Maksudnya: “Seutama-utama jihad adalah menyampaikan kalimat kebenaran di sisi pemerintah yang zalim.” (riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi).

Orang pun mengambil hadis ini dan mengatakan kita boleh bercakap di hadapan orang ramai. Tidak, Nabi dalam hadis tersebut menggunakan perkataan عِنْدَ. Di sisi ulama bahasa perkataan tersebut membawa maksud أمام yakni di hadapannya. Bererti kalau perdana menteri datang dan kita ingin menasihatinya, datanglah berjumpa di hadapannya dan sampaikanlah nasihat tersebut. Tetapi mengapa apabila perdana menteri datang kalian beratur elok dan bersalam dengannya, tetapi selepas dia pulang sahaja kalian mengutuk di belakangnya? Pergilah berdepan, bercakaplah di hadapannya kalau berani. Ini kaedah dalam menasihati.

Kalau tidak mampu dengan perkataan, nasihatilah dengan tangan, tulislah surat, sms, email. Kalau tidak mampu juga ingkarilah kemungkaran tersebut dengan hati, jangan redha pula dengan kemungkaran tersebut.

Oleh sebab itu kesemua nas dan dalil mesti dihimpun sebelum kita boleh membuat ulasan dan kesimpulan. Jika melihat pada satu dalil sahaja, bagaimana dengan hadis Nabi yang menyuruh kita pegang tangan pemimpin ketika menasihati?

Dari sudut ulama-ulama dan ilmu usul fiqh pula, ditetapkan kaedah bahawa hadis-hadis perkataan lebih didahulukan daripada hadis perbuatan. Saya berikan contoh mudah di dalam rumah, si ibu menyuruh kepada anaknya, “kemaskan bilik kamu, apalah bilik bersepah.” Tetapi si ibu sendiri tidak mengemas biliknya sendiri dan biliknya juga bersepah.

Maknanya disuruh kita mengikut apa perkataan atau arahan yang diucapkan. Dari sudut kekuatan, perkataan itu lebih kuat daripada perbuatan. Dalam isu ini, Nabi SAW menyebut bahawa sesiapa yang hendak menasihati pemerintah maka hendaklah jangan dibongkarkan secara terbuka, kerana ia boleh membuka fitnah, tuduhan, provokasi dan sebagainya. Itu asasnya. Juga dilihat pada keadaan-keadaan yang lain sekiranya ada ruang untuk berbicara, berbincang, berdiskusi dengan mereka maka kita lakukan dengan cara berhadapan, tetapi asasnya adalah bersendirian dengan pemerintah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

UFB – Guna Dalil Secara Batil Tegur Pemerintah di Khalayak Ramai

http://www.youtube.com/watch?v=TQXYjPqoq0A&feature=plcp

One Comment

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: