Cara dakwah kepada golongan ateis, teis dan agnostic
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan:
Kalau athiest adalah orang yang tidak percayakan Tuhan dan thiest adalah orang yang percayakan Tuhan, agnostik pula adalah orang yang kepercayaannya berada di tengah-tengah, bagaimana untuk kita mendekati golongan-golongan seperti ini?
Jawapan:
Soalan ini sepatutnya ditanya kepada Ustaz Hussein Yee. Cara mendekati golongan seperti yang dinyatakan adalah kita kembali kepada firman Allah,
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125)
Dalam berdakwah pertama sekali kita hendaklah berdakwah kerana Allah SWT. Kedua, dengan hikmah. Hikmah merangkumi tiga cabang menurut Imam Ibnul Qayyim; 1) dengan ilmu, 2) kebijaksanaan, 3) sabar dan berperingkat.
Untuk bercakap dengan orang sebegini kita perlu ada ilmu dan asas dari Al Quran dan As Sunnah sesuai dengan petunjuk para sahabat Nabi SAW.
Kalau orang tersebut menolak Al Quran dan As Sunnah, kita gunakan yang kedua; kebijaksanaan. Gunakan kebijaksanaan untuk merancang strategi bagaimana cara kita hendak bercakap dengannya, keadaan, statusnya, tempat, masa dan semua tentangnya. Kemudian, hendaklah dakwah itu disampaikan dengan sabar dan berperingkat.
Setelah itu, ajaklah manusia kepada Allah dengan mau’izhah hasanah (pelajaran atau nasihat yang baik). Lihat kesesuaian untuk kita bercakap perkataan-perkataan yang baik, berikan kepadanya perkara-perkara yang mudah tentang Islam, ceritakan kelebihan-kelebihan.
Berlaku di Kuala Lumpur, sahabat saya membawa seorang yang hendak memeluk Islam ke satu masjid berjumpa dengan Tok Imam. Pada masa itu dia pun tidak tahu bahawa untuk memeluk Islam memadai dengan beriman dan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Jadi sahabat saya membawanya berjumpa Tok Imam.
Setibanya di situ, Tok Imam terus bertanya, “Sudah bersunat atau belum?” orang yang ingin memeluk Islam itu sudah berumur 38 tahun, kenapa tanya soalan seperti itu sedangkan orang itu telah bersungguh ingin memeluk Islam. Tok Imam itu kemudian menyuruhnya pulang dan bersunat dahulu. Laa-hawla-wala-quwwata-illa-billaah.
Dia tidak faham kaedah berkomunikasi sebab dia tidak tahu apa keperluan yang harus dia sampaikan terlebih dahulu. Yang paling penting adalah Laa-Ilaaha-illallah, Muhammad rasulullah. Utamakan tauhid dahulu agar dia ikhlas mengucapkannya. Orang yang sudah ikhlas hatinya ingin menyebut kalimah tersebut, bantulah agar dia bersegera mengucapkannya. Jangan tangguhkan atau melewatkan urusan itu.
Kemudian, kalau hendak berjidal dengan orang yang tidak percaya Tuhan, atau percaya tuhan tetapi selain daripada Allah SWT, atau orang yang berada di tengah-tengah; menerima semua agama, hendaklah berjidal (berdebat) dengan mereka dengan cara yang baik. Bukan menampakkan bahawa Islam ini agama yang ganas, menghukum, dan sebagainya.
Urusan seperti ini perlu kepada orang yang selalu berkomunikasi dengan mereka. Ada kepakaran bagi orang yang selalu bermain atau berhujah dengan kitab Injil, yang tahu membandingkan dan sebagainya. Mereka ini orang-orang yang Allah berikan kepada mereka kemampuan, bukan semua orang boleh melakukannya.
Apabila kita hendak bercakap dengan orang yang tidak percaya Tuhan, tidak percaya dengan Al Quran, susah untuk kita bercakap menggunakan dalil dari Al Quran dan hadis. Kita lihat hikmah bagaimana Allah SWT mendidik Ibrahim AS. Allah mendidik Ibrahim dengan bulan, bintang, matahari. Nabi Ibrahim melihat matahari lebih besar daripada bulan, tetapi tiba-tiba matahari itu pun tenggelam. Maka beliau berfikir mana mungkin tuhan meninggalkannya.
Maknanya harus untuk kita menggunakan ciptaan di alam ini untuk berhujah dan berdebat dengan orang yang tidak percaya dengan Islam. Tetapi hendaklah mempunyai kepakaran. Ahli sains mungkin boleh bercakap tentang embrio atau hal-hal berkaitan dengan penciptaan makhluk, dan berdakwah dari sudut saintifik tentang kewujudan makhluk dan sebagainya mengikut kepakaran masing-masing.
Apabila hujah saintifik itu diterima, bawalah berjumpa dengan ustaz atau yang pakar dalam bidang agama pula untuk meyakinkan dia dengan dalil-dalil. Ustaz pula yang akan memainkan peranannya. Urusan ini memerlukan kolaborasi dan kerjasama untuk memastikan agama ini sampai dengan cara yang bijaksana.
Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :
Ustaz Fathul Bari: Usaha, Doa & Tawakal (part 5/5)
From → Adab & Akhlak, Ilmu & Fatwa