calon pilihan raya, ciri pemimpin islam, fathul bari mat jahya, panduan memilih pemimpin, winnable candidate
Winnable Candidate; Panduan Memilih Pemimpin Menurut Islam
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, CEO iLMU
Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk, kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin berbudi,
Pertama elok, kedua pandai.
Ciri-ciri pemimpin yang baik digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud;
“Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).” (surah al-Qasas, ayat 26)
Sudah semestinya pemimpin yang hendak diangkat mestilah terdiri daripada kalangan orang Islam, kuat imannya, kuat jasmaninya, seorang yang amanah dan mempunyai integriti serta beradab. Islam telah memberi dua patah kata sebagai kriteria; ‘kuat’ dan ‘amanah’, maka selesailah semua masalah tentang isu Winnable Candidate.
Pemimpin yang baik bukanlah sekadar memenuhi agenda ‘turun padang’ bersama masyarakat. Namun kita tidak bersetuju jika pemimpin tidak mengetahui aktiviti rakyat. Ini bermaksud pemimpin khianat, ianya tidak menunaikan amanah, tidak melaksanakan tanggungjawab kerana ciri-ciri pemimpin yang Allah sebutkan adalah amanah.
Amanah bererti menunaikan tanggungjawab. Perjelaskan apabila memegang sesuatu tanggungjawab. Kita tidak mahu apabila sudah hampir pilihan raya barulah menunjukkan muka dikhalayak ramai.
Perkara seperti inilah yang perlu dilihat secara menyeluruh khususnya oleh anak-anak muda. Anak- anak muda masa kini mampu menganalisa cuma persoalan yang timbul adalah adakah analisa yang dibuat itu benar, tepat, atau pun tidak tepat. Dunia sekarang adalah dunia IT iaitu dunia tanpa sempadan, kita boleh memeriksa banyak perkara. Jadi apabila kita memberi tahu bahawa kita sibuk dengan berkerja, anak-anak muda ini boleh mengetahui kerja apa yang kita sibuk lakukan.
Ketika bercakap, ada sesetengah pihak yang sentiasa hendak menang dan menganggap dirinya betul semua, serta sentiasa menggambarkan kemenangan di pihaknya. Ini muhasabah buat diri kita. Janganlah hanya memberi perkataan-perkataan yang indah semata-mata, akan tetapi kita berikanlah pentarbiahan (pendidikan). Cucilah minda-minda keduniaan daripada masyarakat, isikan diri mereka dengan agama dan ilmu. Yang akan konsisten bersama-sama dengan perjuangan memartabatkan Islam adalah orang yang mempunyai ilmu. Selain daripada itu mereka akan pergi kepada hendak memartabatkan serta mengagungkan dunia semata-mata.
Seingat saya pada 2 atau 3 tahun lepas saya dan sahabat berada di atas Lebuhraya Persekutuan. Pada ketika itu keadaan begitu sesak. Di hadapan kereta sahabat saya ialah sebuah kereta Ferari. Saya terdetik, kaya macam mana pun orang itu tetap tidak dapat melepasi kesesakan sama seperti kami juga.
Tiba-tiba terdengar bunyi siren polis trafik yang meminta semua kenderaan memberi laluan, menandakan orang besar atau orang kenamaan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat ingin lalu. Ketika itu saya terfikir betapa manusia lebih menginginkan kuasa berbanding harta kerana dengan kuasa seseorang mampu melakukan apa sahaja termasuk lepas dari kesesakan jalan raya.
Larangan meminta jawatan
Nabi SAW meminta umatnya supaya jangan meminta kedudukan. Sahabat Nabi RA yang alim, beretika, berintegriti, berakhlak mulia iaitu Abu Dzar al-Ghiffari RA datang menemui Nabi SAW. Abu Dzar adalah antara sahabat Nabi yang paling awal memeluk agama Islam, yang apabila beliau pulang ke kampungnya, beliau telah meng-Islamkan semua penduduk kampung. Beliau memasuki Islam dengan analisa, dengan memeriksa, malah beliau sendiri pergi mencari siapa Muhammad dan menyelidik apa ajaran Muhammad, lalu dia menerimanya dan menyebarkan Islam di kampungnya.
Tetapi apabila beliau datang kepada Nabi dan meminta Nabi melantiknya sebagai gabenor, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikanku sebagai pemimpin?” Mendengar permintaanku tersebut, baginda menepuk leher Abu Dzar dan berkata:
“Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepemimpinan itu adalah amanat. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut.” (riwayat Imam Muslim, no. 1825)
Sahabat Nabi adalah sosok manusia yang hebat, berilmu, dan beramal dengan ilmunya, namun Nabi menyatakan dia lemah. Nabi lebih memahami apa maksud lemah Abu Dzar al-Ghiffari. Ulama seperti Imam Nawawi rahimahullah membahaskan yang diertikan dengan lemah di situ mungkin beliau lemah dari sudut pentadbiran dan pengurusan. Maksudnya pemimpin ini perlu ada kemampuan untuk mentadbir urus. Imam Nawawi membawakan dua hadis Abu Dzar di dalam kitab Riyadhush Shalihin, dalam bab “Larangan meminta jabatan kepemimpinan dan memilih untuk meninggalkan jabatan tersebut jika ia tidak layak untuk memegangnya atau meninggalkan ambisi terhadap jabatan.”
Kuasa memang mampu menggugat iman, kehidupan, bahkan kebahagain manusia. Kerana itu bukan semua orang boleh ke hadapan untuk menjadi yang berkuasa. Orang tertentu sahaja yang dipilih oleh Allah SWT untuk berkuasa dan tidak semestinya apa yang Allah SWT pilihkan itu akan menjadi wakil rakyat yang terbaik. Tidak semestinya, kerana mungkin Allah menjadikan dia sebagai ujian untuk kita membuka mata dan menilai kepimpinannya sama ada dengan cara pimpinan Islam ataupun tidak.
From → Muamalat & Ekonomi
assalamualaikum wtb,
ada kesilapan megenai surah al’qasas yg admin paparkan kerna bukan ayat ke 36 tapi ayat ke 26 mohon diperbaiki (: syukhran…