Lompat ke isi kandungan

Isu Sultan Johor dan Plat WWW1

Jun 28, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Hukum membeli nombor plate WWW 1.

Jawapan: 

Isu ini isu yang membabitkan orang penting dalam negara, saya kira semua mengetahui kedudukan beliau dalam negara. Walaubagaimanapun ada 2 isu di sini;

  1. menyandarkan sumber kewangan pembelian tersebut kepada wang rakyat
  2. mengaitkan dengan isu pembaziran

Ketika isu ini mula-mula keluar, baginda dituduh mengambil wang rakyat untuk membida nombor plate tersebut, secara prinsipnya orang yang bercakap hendaklah meneliti dan menganalisa sebelum menghukum, apatah lagi sebagai seorang muslim dan orang yang menyandarkan dirinya kepada parti Islam, yang mana dasar Islam adalah Al Quran dan As Sunnah. Dalam Al Quran menyatakan perintah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Allah mengarahkan kita untuk menganalisa berita yang disampaikan sehingga dipastikan kebenarannya. Itu disebutkan di dalam Al Quran. Di mana prinsip mereka yang mengatakan sumber asas adalah Al Quran dan As Sunnah sedangkan dalam bab menganalisa isu seperti ini pun Al Quran dan As Sunnah diketepikan? Bagaimana dengan kata Nabi SAW,

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

Maksudnya: “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (riwayat Muslim)

Sama seperti tuduhan ke atas kami juga, orang mengatakan ilmuan muda UMNO mendapat 15 ribu daripada kerajaan setiap bulan, kemudian kami dituduh mengikut kata kerajaan disebabkan wang tersebut. Apabila orang bertanya dengar dari mana beliau mendapat berita tersebut, katanya dengar khabar dari orang lain. Itu pun satu sebaran tanpa analisa.

Sama seperti isu ini tetapi isu ini lebih besar kerana kita bercakap tentang orang yang ada kedudukan dalam masyarakat, orang yang institusinya sangat penting untuk mempertahankan agama dan bangsa dalam negara ini. Jadi mengapa mereka tidak mempraktikkan tindakan menganalisa isu sebelum bercakap?

Yang lebih menyedihkan adalah ada orang yang berlatar belakangkan agama, bahkan mantan mufti negeri tertentu juga turut mengulas isu ini. Menuduh sultan makan duit rakyat dan sebagainya. Apabila sultan sendiri menyatakan bahawa baginda menggunakan duitnya sendiri untuk kerajaan (duit itu kembali kepada kerajaan) maka yang menuduh itu mula memutarkan dan mengalihkan perbincangan dengan mengatakan dia tidak tahu hal itu cuma kita perlu faham bahawa sultan ini boleh ditegur, siapa yang berkata sultan tidak boleh ditegur itu tidak betul. Dipusingnya cerita ke arah lain pula.

Sedangkan dulu mereka beria-ia menyatakan itu duit rakyat. Itu satu isu dari sudut menganalisa berita; adakah itu duit rakyat ataupun tidak. Daripada pengakuan baginda itu bukan duit rakyat maka isu ini selesai.

Pembaziran

Isu kedua adalah pembaziran. Pembaziran merupakan perkara yang bersifat subjektif. Katakan gaji saya sebulan adalah RM1000. Menjadi satu pembaziran sekiranya saya membeli nombor telefon cantik berharga RM500. Pembaziran bagi saya. Tetapi sekiranya gaji saya RM15,000 sebulan ingin membeli nombor telefon berharga RM500 apa masalahnya. Ia perkara yang harus bagi saya untuk saya membelinya tanpa ada unsur-unsur kepercayaan tertentu.

Jadi perkara itu sangat subjektif walaupun jika dilihat dari perspektif Islam, wang tersebut alangkah baiknya jika disedekahkan, dimanfaatkan untuk jalan-jalan jariah, bermanfaat untuk orang-orang lain dan pada masa yang sama bermanfaat juga untuk orang yang menginfaqkan hartanya apabila di akhirat kelak. Kalau hendak dikatakan antara baik dan lebih baik tidak ada masalah seperti mengatakan wang itu lebih baik digunakan untuk hal yang lebih bermanfaat. Tetapi kalau hendak dikatakan antara halal dengan haram, orang yang membida itu melakukan pembaziran dan pembaziran adalah saudara syaitan, itu hal yang perlu dirincikan. Lihat dahulu keupayaan orang yang membida itu bagaimana.

Al Imam Al Laits ibn Saad, seorang tokoh ulama fiqh yang masyhur tetapi mazhabnya hilang disebabkan muridnya tidak agresif menyebarkan mazhabnya, beliau membina rumah yang sangat besar. Orang mengkritiknya disebabkan hal itu, jawab Imam Al Laits Ibn Saad,

“Adakah engkau hendak mengharamkan apa yang telah Allah halalkan untuk aku?”

Kalau hendak mengatakan membazir, perlu diteliti adakah seseorang itu berkemampuan ataupun tidak. Sebab itu apabila Nabi SAW ditanya oleh sahabat tentang kibr (sombong), sahabat bertanya,

“Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju yang bagus dan kasut yang bagus?” Baginda menjawab,

إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain.” (riwayat Imam Muslim)

Itu merupakan ciri-ciri sombong, kerana itu saya mengatakan ianya perlu dirincikan sebelum membuat apa-apa tuduhan.

Satu lagi perkara yang kita boleh tambah iaitu apabila menurut kita wang tersebut boleh digunakan ke arah yang lebih baik seperti bersedekah maka saluran untuk kita menegur, memberi pendapat dan cadangan kepada orang yang ada kedudukan seperti itu perlu dilihat di mana dan bagaimana.

Adakah wajar teguran diberi di khalayak umum sedangkan ia pasti akan menimbulkan pelbagai spekulasi, andaian dan tohmahan. Bahkan Nabi di dalam hadis telah membezakan nasihat kepada pemimpin dengan nasihat kepada orang awam. Apabila Nabi menyatakan,

الدِّينُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا : لِمَنْ يَارَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ : لِلهِ، وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَ ئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu nasihat.” Kami (sahabat) berkata, “Untuk siapa wahai Rasulallah?”. Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-peminpin Islam dan rakyatnya.” (riwayat Muslim)

Nasihat adalah menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati, dan Nabi turut membezakannya terhadap pemimpin dan orang awam. Jadi hendaklah ada perbezaan dalam cara dan kaedah kita memperbetulkan agar nasihat itu dapat memberi kebaikan.

 Dalam hal ini bukan kita mengatakan institusi tersebut betul semuanya, tetapi kita berhadapan dengan kewajipan mempertahankan institusi tersebut disebabkan institusi tersebut dalam perjanjian yang termetrai bertanggungjawab dalam mempertahankan hak-hak agama dan kemudian hak-hak bangsa. Jadi kita perlu berfikir secara waras, rasional, dan relevan berlandaskan Al Quran dan As Sunnah untuk menyelesaikan isu seperti ini.

Wallahua’lam.

Teks disalin berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=s02Zic7YvNY&feature=plcp

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: