Skip to content

MUSIBAH: Adakah disebabkan Dosa, Ujian, atau Sial?

Jun 30, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Mohon pandangan ustaz tentang stigma masyarakat yang membuat andaian bahawa jika seseorang itu ditimpa musibah atau kesusahan, ia dikaitkan dengan tuduhan seperti dia pernah melakukan perkara yang tidak elok. Kemudian saya hendak kaitkan dengan ucapan ustaz bahawa kita sebagai manusia pernah buat salah. Adakah kesusahan yang Allah berikan itu kerana kesalahan dan dosa kita atau adakah ianya ujian daripada Allah SWT.

Jawapan:

Kaffarah juga disebut sebagai penghapus dosa. Dalam hadis-hadis Nabi SAW memang Nabi menyebut apabila seseorang ditimpa kesakitan, walaupun terkena duri, dengan terkena duri itu diampunkan dosanya yang lalu. Maksudnya ia ujian yang Allah SWT berikan sebagai satu kaffarah.

Cuma dosa mana yang diampunkan kita tidak tahu. Kita buat banyak dosa. Kata Nabi di dalam hadis, dosa-dosa kecil diampunkan dengan wudhu. Juga dosa-dosa kecil boleh diampunkan dengan umrah.

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Antara satu umrah ke satu umrah yang lain menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Kita terima dan percaya bahawa ianya sebagai pengampunan dosa tetapi kita tidak mengetahui dosa mana yang diampunkan, yang pasti ia adalah pengampunan dosa-dosa yang kecil. Begitu juga dengan hadis Nabi SAW,

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها ، وخالق الناس بخلق حسن

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan akan menghapuskan keburukan. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat At Tirmizi dan Ahmad)

Itu juga dalil penghapusan dosa. Para ulama bersepakat bahawa hadis-hadis seperti ini membicarakan tentang pengampunan dosa-dosa yang kecil. Adapun dosa-dosa besar yang telah dilakukan perlu kembali kepada taubat nasuha.

Taubat nasuha

Taubat nasuha tidak ada kriteria tertentu cuma ia merupakan satu taubat yang dinamakan nasuh sebab wujud di sana beberapa syarat seperti melahirkan rasa bersalah dalam diri, memohon pengampunan Allah SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya, serta sudah semestinya dilakukan secara ikhlas kerana Allah SWT dan bukan kerana paksaan. Empat syarat ini merupakan syarat penting dalam seseorang itu hendak bertaubat kepada Allah SWT. Itu yang dipanggil taubat nasuha, bertujuan untuk menghapus dosa besar.

Allah menguji manusia untuk memberi ruang pengampunan dosa bagi hamba-hamba-Nya. Orang sakit memang diampunkan dosanya. Sebab itu Nabi SAW memberikan khabar gembira bagi orang yang sakit.

Kepercayaan sial

Saya pernah berkhidmat di IJN dan saya melihat masyarakat kita ada yang percaya kepada sial, contohnya mengatakan perkara ini berlaku sebab terlanggar biawak atau sebagainya. Perkara seperti ini dinamakan Ath-Thiarah yakni percaya kepada sial. Kata Nabi di dalam hadis,

الطيرة شرك، الطيرة شرك، الطيرة شرك

Maksudnya: “Percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik, percaya kepada sial itu syirik.” (riwayat Abu Daud)

Perkataan Thiarah itu dipetik daripada perkataan at-thair yang bererti burung. Orang arab jahiliyah dahulu sebelum mereka keluar daripada rumah mereka akan melepaskan burung. Mereka mempercayai sekiranya burung itu terbang ke arah kanan bererti nasib pada hari itu baik dan jika burung terbang ke sebelah kiri menunjukkan nasib buruk atau sial dan tidak boleh keluar rumah pada hari itu. Ini asal kepercayaan kepada sial.

Unsur-unsur seperti ini turut meresap dalam masyarakat melayu seperti kepercayaan melanggar binatang, anjing hitam melintas perlu patah balik dari perjalanan, kemalangan berlaku disebabkan hal-hal seumpama itu, maka dia melihat keburukan yang berlaku kepadanya disebabkan perkara-perkara ini. Ini dinamakan percaya kepada sial dan di dalam Islam ia membawa kepada kesyirikan.

Ini perkara yang serius kerana kita seharusnya beriman bahawasanya Allah SWT menguji dan menentukan baik buruk dalam kehidupan manusia untuk memastikan siapakah di kalangan hamba-Nya yang memiliki amal perbuatan yang terbaik seperti yang Allah sebutkan di dalam surah Al-Mulk,

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: “(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah di antara kalian yang mempunyai amal yang terbaik.” (surah Al Mulk, 67: 2)

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

UFB – Bond – S1 – Adakah Musibah Disebabkan Perbuatan Jahat serta Kafarah (Penghapus Dosa)
http://www.youtube.com/watch?v=x4q3d7jlW6M&feature=channel&list=UL

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: