Skip to content

Pergaulan Bebas Muda Mudi

Julai 3, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

PADA zaman Nabi S.A.W, apabila turun ayat berkaitan hijab (perintah menutup aurat), para sahabat r.a lantas memerintahkan isteri-isteri mereka menutup aurat dan pada masa yang sama apabila para wanita melalui kawasan-kawasan yang terdapat padanya lelaki, mereka akan berjalan rapat ke tepi.

Pernah suatu ketika Rasulullah saw melihat  kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Baginda menahan kaum perempuan lalu berkata, “Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding.” (riwayat Abu Dawud) 

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi menyebut yang maksudnya; “Tidaklah bersendirian lelaki dan wanita kecuali yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan” (riwayat Imam Tirmidzi)

Yang ingin dibicarakan di sini ialah tentang permasalahan bercampurnya lelaki dan perempuan secara beramai-ramai. Jika dirujuk apa yang disebut oleh para sahabat Nabi r.a. setelah turunnya ayat hijab adalah perintah mengasingkan diri; yakni jangan duduk bersekali di dalam satu majlis yang bercampur kerana di dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman maksudnya,

“Katakan-lah kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan, dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.” (An-Nur: 30-31)

Ketika para ahli ilmu membahaskan ayat ini, mereka membawakan satu atsar (perkataan sahabat) daripada Ali bin Abi Talib r.a, apabila beliau bertanya kepada Nabi tentang‘nadzratul faj-ah’ iaitu terpandang secara tidak sengaja. Kata Nabi SAW, maksudnya;

“Wahai Ali! Janganlah pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pada pandangan pertama, adapun yang berikutnya tidak boleh.” (riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

Jika melihat secara tidak sengaja pun Nabi mengarahkan agar bersegera mengalih pandangan dan tidak mengikuti dengan pandangan yang lain, maka apatah lagi jika duduk bersama-sama dan bercampur di dalam satu majlis kerana ia akan lebih terdedah kepada melihat dan memandang antara lelaki dan perempuan.

Dari Abdullah bin ‘Abbas r.a, beliau berkata : Adalah Al-Fadl menjadi peneman Rasulullah SAW (dalam perjalanan), lalu datanglah seorang wanita dari Khots’am, kemudian Al-Fadl memandang kepadanya (wanita itu), lalu Nabi SAW memalingkan wajah Al-Fadl ke sisi yang lain, kemudian dia (wanita tersebut) berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kefardhuan Allah atas hamba-hamba-Nya di dalam haji, tetapi ayahku dalam keadaan tua renta, dia tidak dapat tetap di atas kenderaan, apakah aku dapat melakukan haji untuknya? Baginda menjawab : “Ya”, dan hal itu (terjadi) di dalam haji wada’. (riwayat Imam al-Bukhari, no 1513, dan Muslim,no. 1334)

Jadi perbuatan Nabi mengalihkan pandangan Al-Fadhl ini membuktikan bahawa Nabi S.A.W tidak mengizinkan untuk melihat apatah lagi duduk di dalam suatu majlis secara bercampuran yang akan lebih terdedah untuk melihat dengan sengaja ataupun tidak sengaja.

Percampuran antara ipar duai, sumbang mahram

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada disebutkan; dari Uqbah bin Amir katanya;

Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: “Jauhilah olehmu sekalian  masuk ke tempat para wanita”. Lalu seorang sahabat Anshar bertanya: “Bagaimana pendapatmu tentang ipar?’ Rasulullah SAW menjawab: “Ipar itu maut”. (riwayat Imam an-Nasai)

Ini kerana apabila berlaku kemaksiatan di antara ipar atau ahli keluarga, ia akan memberi fitnah (kerosakan) yang begitu besar. Antaranya adalah berlaku kecelaruan nasab keturunan serta pergaduhan sesama ahli keluarga. Oleh kerana itu, jangan menganggap remeh percampuran yang berlaku antara ipar. Bukan bertujuan sangka buruk kepada ipar atau ahli keluarga, tetapi nafsu boleh tercetus pada bila-bila masa. Sabda Nabi SAW, “sesungguhnya syaitan mengalir di dalam darah manusia.”

Kita bimbang dengan apa yang berlaku di dalam rumah pada hari ini seperti isu ipar, isu antara ayah dengan anak, adik dengan abang, kakak dengan adik dan sebagainya. Ramai yang salah faham dan menganggap bahawa ketika di depan mahram mereka boleh memakai sesuka hati; seluar pendek dengan t-shirt ketat dan seumpamanya, walhal ia sama sekali tidak dibenarkan kerana asal pemakaian adalah yang biasa (tidak membangkitkan nafsu) dan menutupi sebahagian besar tubuh badan.

Perkara ini telah dibahaskan oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah tentang aurat ringan serta aurat berat. Kita tidak boleh menafikan bahawa telah berlaku dalam masyarakat kita peristiwa seperti abang merogol adik, ayah merogol anak dan sebagainya. Perkara ini terjadi antara sebabnya adalah kerana masyarakat tidak mengambil berat tidak memandang serius isu pergaulan, percampuran dan pemakaian.

Syaitan boleh mencetuskan perasaan dan nafsu manusia pada bila-bila masa. Oleh itu Islam sangat menekankan perkara yang disebutkan tadi. Sepupu-sepapat walaupun rapat dan tinggal bersama sejak kecil, Islam tetap meletakkan garis dan batasan pergaulan kerana nafsu manusia sangat bahaya. Sabda Nabi SAW, maksudnya;

“Barangsiapa yang menjamin padaku penjagaan di antara dua tulang rahangnya (lisan) dan di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku jamin baginya syurga.” (Hadis riwayat Bukhari).

Advertisements

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: