Skip to content

Hukum Masuk Parti Bercirikan Khawarij Dan Dipengaruhi SYIAH

Julai 6, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Apakah hukumnya jika kita memasuki satu parti yang bercirikan khawarij serta dipengaruhi dengan syiah dan sebagainya.

Jawapan:

Kita perlu berhati-hati sebelum melabel mana-mana pihak sama ada label seperti parti ajaran sesat, parti khawarij, parti sekular, parti kafir, parti masuk neraka dan sebagainya. Mana-mana pihak yang hendak membahaskan tentang agama harus berpegang kepada prinsip.

Apabila kita membahaskan tentang prinsip di dalam mentaati pemerintah, ada orang yang salah faham. Baru-baru ini ketika saya berceramah di Sabak Bernam, saya ditanya; ada sebahagian YB yang membuat salah tetapi dia naik ke atas pentas dan berceramah dengan membaca ayat Al Quran;

“Taatilah Allah, taatilah Rasul, dan pemimpin-pemimpin dari kalangan kamu.” (surah an-Nisa, ayat 59)

Sedangkan dia telah melakukan kesalahan, tetapi dia menggunakan ayat Allah SWT untuk kepentingannya. Jadi bagaimana untuk berhadapan dengan situasi seperti ini?

Taat kepada pemimpin itu wajib tetapi ada hadnya. Ianya tidak seperti taat kepada Allah dan Rasul iaitu ketaatan yang wajib diberikan secara mutlak dan tidak belah bahagi. Ketaatan kepada pemimpin seperti kata Nabi SAW mafhumnya:

“Ketaatan itu adalah dalam hal-hal yang baik sahaja” (riwayat Imam Muslim)

Tetapi adakah bererti ianya mengharuskan kita melakukan pemberontakan sehingga hendak membuat perhimpunan untuk meruntuhkan dan sebagainya. Tidak sama sekali kerana Islam tidak mengajar kita berkomunikasi seperti itu.

Siapakah yang berdemokrasi di dalam rumahnya? Tiada orang yang redha melakukan demokrasi di dalam rumahnya dan tiada orang yang boleh terima apabila anaknya berkata, ‘bapak ini hak asasi saya, jangan ganggu saya, ikut suka hati saya hendak buat apa’.  Walaupun si bapa pelaku maksiat tetapi tiada bapa yang sanggup ditegur oleh anaknya sedemikian rupa. Semua manusia mempunyai ego, begitu juga pemimpin. Oleh kerana itu Nabi mengajar kita bagaimana cara berkomunikasi dengan sikap-sikap pemimpin yang seperti ini.

Berbalik kepada persoalan tadi tentang isu golongan tertentu yang membawa ideologi sama ada khawarij atau apa pun. Jika dia membawa idealogi sekular, dia mendahulukan kepentingan dunia semata-mata. Maka dia sebenarnya tergolong di dalam kategori yang bercanggah dengan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam. Ianya dikategorikan sebagai sesat.

Jika dia keterlaluan membawa aliran pluralism, liberalism, dan sebagainya, maka sebenarnya dia telah tersasar daripada garis dan panduan Islam yang sebenar iaitu garis yang digariskan oleh Nabi.

Abdullah B. Mas’ud ra berkata: “Rasululla saw membuat garis dengan tangannya kemudian bersabda, “Ini jalan Allah yang lurus.”

Lalu beliau membuat garis-garis di kanan dan kirinya, kemudian bersabda: “Ini adalah jalan-jalan yang bercerai-berai (sesat) tidak satu pun dari jalan-jalan ini, kecuali di dalamnya ada syaitan yang menyeru kepadanya.”

Selanjutnya beliau membaca firman Allah Ta’ala: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutlah! Jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) yang akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa .” (surah Al-An’aam, ayat 153)

(riwayat Imam Ahmad, 1/435. Dihasankan oleh Syeikh Al-Albani dalam Zhilaalul Jannah fii Takhriijis Sunnah libni Abi ‘Ashim)

Fitnah takfir (mengkafirkan orang)

Begitu jugalah mana-mana kelompok yang kerjanya mengkafirkan orang. Kita bukanlah malaikat, kita bukanlah Allah yang membawa syurga dan neraka ke mana-mana. Nabi pun tidak berani menawarkan syurga dan neraka melainkan Allah SWT mewahyukan dan mengizinkan baginda melakukan sedemikian rupa.

Syurga dan neraka adalah milik Allah SWT, tetapi Allah memberi kepada satu makhluk sahaja untuk menentukan seseorang itu di dalam syurga atau neraka. Allah berikan kemampuan dan kekuasaan itu kepada Dajjal. Dajjal di akhir zaman, dia akan mengambil syurga di sebelah kirinya, manakala neraka di sebelah kanannya. Neraka Dajjal adalah syurga Allah, syurga Dajjal adalah neraka Allah.

Dari Abu Salmah, beliau mendengar daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Mahukah kamu sekiranya aku menerangkan tentang Dajjal, suatu keterangan yang belum pernah diceritakan seorang nabi kepada kaumnya? Sesungguhnya ia buta sebelah mata, ia datang dengan membawa sesuatu seperti surga dan neraka. Maka apa yang dikatakannya surga adalah neraka dan aku telah memperingatkan kalian terhadapnya sebagaimana Nabi Nuh telah memperingatkan kaumnya.” (riwayat Imam Muslim)

Nabi SAW mengajar bagaimana kita hendak berhadapan dengan Dajjal jika sekiranya kita perlu masuk ke neraka Dajjal. Ada di dalam hadis Nabi SAW. Oleh kerana itu kita jangan terlalu mudah menawarkan syurga dan neraka. Mana-mana parti politik jangan terlibat dalam memainkan serta menggunakan agama untuk kepentingan peribadi, untuk kepentingan kedudukan dan kekuasaan kerana perkara ini adalah perkara akidah.

Syurga dan neraka bukanlah milik kita, bahkan berapa ramai orang-orang di atas muka bumi dilihat seolah-olah dialah ahli syurga, tetapi rupa-rupanya di hadapan Allah SWT, Allah berkata kepadanya, ‘engkau bohong kerana semua yang engkau lakukan kerana duniamu, kerana orang memujimu syahid di jalan Allah, agar orang memuji engkau kuat bersedakah, agar orang memuji engkau alim dan mempunyai ilmu dan sebagainya’.

Diheretkan mereka di atas wajah mereka, lalu dilontarkan mereka ke dalam neraka. Jadi janganlah merasa orang itu mati dalam keadaan yang mulia bererti dia adalah ahli syurga kerana syurga dan neraka adalah milik Allah SWT.

http://www.youtube.com/watch?v=80t6w_RXgZQ

One Comment
  1. Fisabilillah permalink

    assalamualaikum, jangan lupa juga hadis sahih Rasulullah saw Bersabda:

    Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim

    Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya seagama)”
    (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

    Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir
    (Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)

    Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.”
    (Hadis Riwayat Abu Daud)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: