Skip to content

Kenapa iLMU tidak masuk parti Pas

Julai 9, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Kenapa masuk UMNO? Kenapa tidak masuk PAS?

Jawapan:

Bismillah.

Sejarah kemasukan saya dan sahabat-sahabat ke dalam UMNO pada hujung tahun 2010 atas sebab UMNO secara prinsipnya, setelah kami melalui perbincangan dengan antara pihak tertinggi di pusat, mereka bersetuju menyediakan platform dan laluan serta ruang untuk kami berdakwah. Maka kami menerima tawaran tersebut dan menyertai UMNO atas tujuan tersebut.

Kalau dilihat pada zaman Nabi SAW, umat Islam bersatu dan tidak berpecah kepada beberapa kelompok. Tidak ada perpecahan dan perbezaan. Jadi tidak boleh jika ada pihak menggunakan contoh seperti; dulu hukum bekerjasama dengan orang kafir akan menjadi kafir, tetapi pada hari ini apabila yang menuduh turut bekerjasama dengan orang kafir, mereka menggunakan alasan perjanjian Hudaibiyah, mengatakan Nabi pernah membuat perjanjian dengan golongan kafir arab jahiliyah.

Sebenarnya penghujahan tersebut tidak tepat kerana pada zaman Nabi SAW, perjanjian itu berlaku dalam keadaan umat Islam bersatu, tiada perpecahan dan semua bersetuju dengan arahan dan perjanjian yang dilaksanakan oleh Nabi SAW. Berbeza dengan sekarang, mereka membuat perjanjian dengan orang kafir sedangkan di sini ada orang Islam yang mereka tolak untuk bekerjasama.

Selain daripada itu, mereka pada hari ini bertanya mengapa kami (iLMU) menyertai UMNO sedangkan PAS ada.

Pertama, kami tidak pernah mendapat apa-apa tawaran daripada PAS, bahkan ruangan-ruangan ceramah kami, tempat-tempat kami mengadakan kelas pengajian di Selangor banyak disekat daripada kami mengajar. Di Kedah saya tidak boleh masuk atas alasan-alasan lain dan sebagainya.

Jadi apabila kami diberi ruang untuk berdakwah dan mengajar, timbul macam-macam isu, tuduhan, fitnah dan sebagainya. Sebenarnya kami ingin memanfaatkan ruang, platform untuk berdakwah menyampaikan Islam kepada siapa-siapa pun.

Kedua, kalau dilihat dari sudut perlembagaan UMNO ataupun PAS, saya melihat dasar UMNO itu lebih meluas dan lebih umum jika dibandingkan dengan PAS. Asas PAS yang meletakkan Al Quran dan As Sunnah itu tepat. Asas UMNO meletakkan Agama, Bangsa dan Negara itu lebih merangkumi keseluruhan dari sudut realiti duniawi dan ukhrawi. Ini pendapat saya.

Walaubagaimanapun, sekiranya kedua-dua perlembagaan ini digabungkan, ia akan menjadi lebih kukuh dan utuh. Meletakkan agama sebagai asas adalah perkara yang tepat seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ اْلإِسْلاَمَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.” (surah Al Maaidah, 5: 3)

Maka kita meletakkan agama itu sebagai asas, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Kita perlu menetapkan juga sumber rujukan. PAS meletakkan sumber rujukan yang betul, tetapi di mana kewajipan mempertahankan negara, dan di mana kewajipan mempertahankan bangsa.

Sebab dalam realiti pada hari ini, melayu jika dibahaskan akan dituduh sebagai asabiyah. Ini orang yang tidak memahami konsep asabiyah di dalam Islam. Asabiyah iaitu taksub atau fanatik adalah sekiranya kita mempertahankan bangsa yang melakukan kesalahan dan kesilapan, dengan mengatakan dia benar kerana dia adalah bangsa kita.

Sebagai contoh adalah peristiwa ketika berlaku pergaduhan antara orang Muhajirin dan Ansar. Seorang lelaki di kalangan muhajirin melakukan kasa’ (menolak punggung dengan kaki) seorang lelaki dari kalangan Anshar. Orang arab sensitif dengan perbuatan tersebut kerana ia perkara yang mengaibkan. Orang Anshar lalu menyeru kaumnya meminta tolong, “Wahai kaum anshar!” Orang muhajirin melakukan hal yang sama memanggil kaumnya, “Wahai kaum muhajirin!”

Nabi SAW apabila mendengar masing-masing menyeru sedemikian memarahi mereka semua,

“Celakalah kamu semua, kenapa kalian memanggil sedemikian rupa? Tinggalkanlah kerana ia perkataan yang buruk.” (muttafaqun ‘alaih)

Mengapa Nabi marah adalah kerana sekiranya datang kaum muhajirin atau ansar, mereka akan mempertahankan dan membantu kaum atau bangsa masing-masing tanpa menyelidik siapa yang bersalah. Itulah yang dinamakan asabiyah, dan ini yang Nabi cerca.

Contoh asabiyah adalah sekiranya orang melayu berbuat salah seperti mencuri, merompak, merogol, dilepaskan. Tetapi lihatlah berapa ramai melayu di dalam penjara. Melayu yang berbuat salah tetap dihukum, jadi itu bukan asabiyah.

Sebenarnya satu kelebihan dalam negara kita adalah mengikat Islam dengan bangsa. Seolah-olah memberi cabaran kepada orang melayu bahawa kalian beranak keturunan mana pun kalian tetap mesti beragama Islam. Ini cabaran kepada kita sebenarnya bagi memastikan generasi melayu keseluruhannya beragama Islam.

Sebab itu saya katakan, dari satu perspektif PAS meletakkan Al Quran dan As Sunnah sebagai asas adalah satu tindakan yang tepat dan betul. UMNO lebih merangkumi dari sudut meletakkan agama, bangsa dan negara; keseimbangan antara usaha duniawi dan ukhrawi sesuai dengan firman Allah SWT,

وَابْتَغِ فِيمَآءَاتَاكَ اللهُ الدَّارَ اْلأَخِرَةَ ولاَتَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu untuk negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia.” (surah Al Qashash, 28: 77)

Realitinya kita perlu pertahankan juga urusan dunia; bangsa dan Negara kita. Saya tidak mengatakan PAS menolak semua ini tetapi kadangkala disebabkan keceluparan beberapa orang tokoh dan pimpinan mereka, apabila kita bercakap tentang melayu mereka mengatakan rasis dan asabiyah. Sedangkan mereka tidak pernah memberi terjemahan dan membuka kitab-kitab arab yang membahaskan dari sudut hadis-hadis Nabi SAW erti asabiyah yang Nabi maksudkan. Sebaliknya mereka hanya mengambil bahawa Nabi mencerca asabiyah. Memang Nabi mencerca asabiyah, tetapi asabiyah yang bagaimana?

Itu dari sudut perlembagaan. Dan yang lebih utama adalah UMNO pada hari ini adalah pemerintah maka mentaati pemerintah dalam hal-hal yang makruf adalah suatu tuntutan. Kami Sekretariat Ilmuan Malaysia memanfaatkan platform UMNO untuk kami menyampaikan dakwah.

Pada masa yang sama kami juga adalah ahli UMNO tetapi itu tidak patut dijadikan isu kerana lihatlah contohnya ABIM, berapa ramai di dalam ABIM adalah ahli PAS tetapi mereka adalah ABIM, berapa ramai dalam ISMA adalah PAS tetapi mereka adalah ISMA, berapa ramai dalam JIM adalah PAS dan PKR tetapi mereka adalah JIM. Berapa ramai dalam jabatan-jabatan agama adalah PAS, tetapi mereka bekerja atas nama agensi kerajaan?

Begitu juga kami; Sekretariat Ilmuan Malaysia dan kami adalah ahli UMNO dan kami merasakan bertanggungjawab untuk mempertahankan pemerintah dalam hal yang makruf, mentaati, tolong bantu, dan bekerjasama dalam hal-hal yang makruf. Itu adalah prinsip ahlus sunnah wal jamaah.

Sekiranya pemerintah melakukan kesilapan, maka kami perlu tampil untuk memperbetulkan dan menasihati mengikut saluran-saluran yang syar’i, bukan secara emosi, maki hamun, mencerca atau mengaibkan pemerintah di khalayak umum.

Wallahua’lam.

Teks disalin berdasarkan rakaman berikut:

UFB – Kenapa Kami Masuk UMNO

http://www.youtube.com/watch?v=ZGNkP70Plu0

Advertisements
Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: