Lompat ke isi kandungan

Mendulang pahala memborong amal di bulan Ramadhan

Julai 17, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Bulan Ramadan memiliki keutamaan yang banyak, tersedia untuk diraih oleh umat Islam. Ia adalah bulan diturunkan Al Quran. Seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT, maksudnya:

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara al-haq dan bathil).” (surah Al-Baqarah, 2: 185)

Oleh itu dari petunjuk Nabi SAW sendiri kita dapat melihat baginda SAW memanfaatkan bulan Ramadhan Al Mubarak dengan banyak membaca Al Quran. Nabi membaca dan mengkhatamkan Al Quran pada setiap tahun di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak bersama-sama dengan Jibril AS.

Maka dengan itu di antara amalan yang paling baik di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak selain daripada berpuasa adalah membaca Al Quran.

Di dalamnya juga terdapat malam yang lebih baik dari seribu malam, Lailatul Qadar. Firman Allah SWT, ertinya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam Al Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Al Qadr itu? Malam Al Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga  terbit fajar.” (surah Al Qadr, 97: 1-5)

Manusia pada hari ini tidak sabar-sabar hendak memperbanyakkan duit. Mereka menyertai Public Mutual, ASB dan sebagainya, bertanya berapa dividen atau gandaan wang yang akan diperoleh hasil daripada pelaburan. Ini semua dilakukan kerana ingin menggandakan harta dan wang ringgit masing-masing.

Barangan kosmetik digunakan untuk menggandakan kecantikan. Ini adalah fitrah manusia yang boleh dilihat dalam realiti kehidupan. Manusia memang seperti ini, sukar untuk merasa cukup dan sentiasa berusaha untuk mendapat lebih. Tetapi di manakah usaha-usaha dalam menggandakan amalan kebaikan dan perbuatan soleh demi untuk mendapatkan keredhaan dan syurga di sisi Allah SWT?

Hal ini perlu dijadikan muhasabah. Apatah lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Allah telah menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan untuk manusia yang beramal pada malam itu. Maka sewajarnya kita perlu berusaha untuk mendapatkan malam tersebut.

Bukan hanya menunggu malam pertama Ramadhan, pergi ke masjid sebelum maghrib lagi untuk bersolat tarawih. Tetapi apabila masuk minggu kedua kita disibukkan dengan memenuhi jemputan-jemputan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, disibukkan dengan pelbagai juadah dan hidangan berbuka puasa yang lazat.

Manusia juga dighairahkan untuk bersolat tarawih di belakang imam-imam import sehingga sanggup pergi mencari imam di masjid-masjid yang jauh untuk solat tarawih di belakang imam pilihan semata-mata sehingga meninggalkan kewajipan solat Maghrib dan Isyak berjamaah. Masuk minggu terakhir mereka mula disibukkan dengan persiapan raya dan rancangan-rancangan menarik di televisyen sehingga melupakan kelebihan-kelebihan yang Allah tawarkan kepada hamba-Nya yang menghidupkan Ramadhan.

Manusia kadang-kadang tidak memahami keutamaan. Apa yang penting yang ingin saya sampaikan adalah berkaitan kelebihan bulan Ramadhan yang tidak wajar disia-siakan kerana Allah menyediakan di dalam bulan ini perkara-perkara yang sangat baik dan tidak akan bisa diperoleh pada bulan-bulan lain khususnya Lailatul Qadar.

Bulan dibelenggu syaitan

Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Apabila datang Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (riwayat Imam Al Bukhari)

Jadi pada bulan ini syaitan diikat. Tetapi jika ditanya mengapa masih ada manusia berbuat perkara jahat, mengapa masih ada orang yang tidak berpuasa, kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin, syaitan di dalam tubuh badan manusia. Maksudnya si pelaku dosa itu sendiri adalah “syaitan” yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dan menyebabkan dia melaksanakan amalan-amalan yang bercanggah dengan syariat iaitu maksiat.

Ini adalah antara kelebihan-kelebihan Ramadan, dan ini merupakan janji-janji Allah SWT di mana Allah SWT tidak akan menzalimi seorang pun daripada kalangan hamba-hamba-Nya seperti firman-Nya yang bermaksudnya:

“Dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang pun.” (surah Al Kahfi, 18: 49) Maka tawaran-tawaran yang penuh dengan kepastian ini hendaklah kita berusaha untuk mendapatkannya.

Pada hari ini kalau kita pergi ke kedai-kedai makan seperti Old Town, Paparich, Mc Donald, KFC dan sebagainya, kita belum melihat lagi makanan yang sebenar yang akan dihidangkan kepada kita. Kita hanya melihat menu sahaja. Gambaran makanan dalam menu itu kelihatan sedap dan menyelerakan. Ini tawaran-tawaran manusia kepada kita di atas muka bumi, mereka memberikan kita menu yang kelihatan sangat sedap tetapi apabila sampai makanan itu kepada kita, kadangkala rasanya tidak seperti yang digambarkan. Ini kerana tawaran manusia bersifat tidak pasti.

Kadangkala juga kita melihat seseorang itu wajahnya cantik dan elok, tetapi sikap dan akhlaknya bukan seperti manusia yang normal. Akan tetapi tawaran Allah SWT adalah syurga. Tawaran Allah SWT adalah membebaskan kita daripada neraka. Tawaran Allah SWT bersifat pasti dan ia bukan tawaran yang bersifat mainan bahkan tidak mungkin dapat digambarkan keindahannya dan kehebatannya. Inilah hebatnya tawaran Allah SWT dan Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya dan segala-galanya kembali kepada kehendak dan ketentuan Allah SWT.

Advertisement

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: