Skip to content

Ramadhan madrasah penyubur taqwa

Julai 24, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis dari Nabi SAW tentang keutamaan bulan Ramadhan, maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan dan pengampunan daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Maka untuk merealisasikan dan memastikan kita dapat mencapai tahap kesempurnaan iman yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW juga mendapat pengampunan Allah SWT, sudah semestinya kita perlu memiliki ilmu pengetahuan tentang ibadat yang kita laksanakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sama seperti diwajibkan ke atas generasi sebelum kalian agar kalian bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 183)

Al Hafiz Ibn Katsir ketika menjelaskan firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya.” (surah Ali ‘Imran, 3: 102), beliau menjelaskan tentang pengertian takwa dengan membawakan perkataan Abdullah Ibn Mas’ud, yang diertikan dengan takwa ialah; 1) Allah SWT itu ditaati bukan dimaksiati, 2) Allah SWT itu diingati bukan dilupai, 3) Allah SWT itu disyukuri bukan dikufuri. Tiga perkara inilah yang akan menjadi fokus tulisan ini.

Pertama: Allah SWT itu ditaati bukan dimaksiati

Sesuaikannya dengan keberadaan kita di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Bulan yang di mana kata Nabi SAW, maksudnya: “Apabila datang bulan Ramadhan dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupi pintu-pintu neraka, dan dibelenggu para syaitan.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini secara umumnya menggambarkan kepada kita betapa Allah SWT memberikan kata-kata semangat melalui Nabinya SAW untuk kita terus menerus beribadat meningkatkan amal kebaikan di dalam bulan yang mulia ini.

Hadis-hadis Nabi SAW tentang bulan Ramadhan sangat banyak. Antaranya adalah hadis Nabi berkaitan akhlak, maksudnya: “Bukanlah puasa itu (menahan) dari makan dan minum (semata), sebaliknya puasa itu adalah (menahan diri) dari perkataan sia-sia dan perbuatan yang tidak berguna.” (riwayat Ibn Khuzaimah)

Maka dapat kita fahami bahawa puasa bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi juga membabitkan tindakan kita yang lain. Bagi memastikan kita mentaati perintah Allah SWT, kesemua hal-hal ini perlu dijaga termasuk adab dalam kita menyambut Ramadhan, adab-adab dalam kita berbuka puasa, bersahur, adab-adab di siang Ramadhan, apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan, apa yang lebih baik kita lakukan dan apa yang lebih baik kita tinggalkan.

Allah bukan dimaksiati

Terdapat satu faedah daripada perbincangan para ulama; adakah sekiranya kita melakukan perkara-perkara keji seperti mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik, tidak menjaga lisan, berjidal (berdebat), bertengkar, bergaduh pada siang hari Ramadhan, mengeluarkan kata-kata lucah, melihat perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya, adakah perkara tersebut membatalkan puasa?

Kata seorang tokoh ulama hadis, Al Hafidz Ibn Hajar Al Asqalani perkara tersebut tidak membatalkan puasa tetapi ia mencacatkan kesempurnaan puasa. Yang membatalkan puasa menurut ijma’ (kesepakatan) para ulama ada tiga perkara; makan, minum, dan jima’. Ini adalah perkara yang disepakati, selain itu ada juga di dalam hadis yakni muntah dengan sengaja dan beberapa hal yang lain. Adapun perkara-perkara yang membabitkan akhlak, sikap dan tingkah laku, ia tidak membatalkan puasa tetapi mengurangkan pahala puasa seseorang.

Jika dikaitkan hadis ini dengan apa yang disebut di awal tadi, puasa bertujuan untuk mendapatkan pengampunan dan keredhaan Allah, dan juga untuk meningkatkan keimanan, malah dalam bulan Ramadahan juga Allah telah membukakan pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka serta merantai syaitan-syaitan. Ini merupakan satu motivasi yang sepatutnya menjadi pemangkin dan penyubur semangat untuk kita beramal.

Jadi begitu juga Allah SWT menerusi Nabi SAW memberi motivasi kepada kita dengan mengkhabarkan bahawa pintu syurga dibuka seluas-luasnya, bahkan ditawarkan syurga yang bernama Ar Rayyan, khusus untuk orang yang berpuasa dan mengharapkan keredhaan Allah SWT. Juga ditutup pintu-pintu neraka sebagai motivasi untuk kita membuat kebaikan, bahkan dirantai dan diikat syaitan-syaitan. Sebab itu apabila ditanya seorang tokoh ulama besar, Asy Syaikh Muhammad ibn Shalih Al Utsaimin, apabila Nabi menyebut syaitan itu dirantai maka mengapakah pada bulan Ramadhan masih ada orang yang berbuat maksiat? Jawab Syaikh, sebab yang membuat itulah syaitan.

Itu satu jawapan yang bersifat gurauan tetapi padanya ada kebenaran. Sebab Allah SWT melalui Nabi SAW menyatakan syaitan itu dirantai. Soal sebanyak mana syaitan yang dirantai; adakah semua, banyak atau sedikit itu kembali kepada kehendak Allah SWT dan ketetapannya. Tetapi sebenarnya ia merupakan motivasi kepada kita, sebab kita sudah menjaga dan menahan diri daripada makan dan minum. Ada setengah orang apabila lapar tidak boleh duduk, tidak boleh bercakap, bersembang, dan bergurau. Jadi itu satu motivasi baginya untuk menggantikan masa yang diguna untuk bersembang, melawak setiap hari itu dengan perkara kebaikan dan ketaatan, di mana dengan ketaatan tersebut mampu meningkatkan ketakwaan.

Jadi manfaatkanlah Ramadhan Al Mubarak dengan ketaatan dan menjauhkan diri daripada mendekati maksiat dan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sebab itu para ulama menggelarkan Ramadhan sebagai madrasah (sekolah). Iaitulah sekolah yang mendidik jiwa, akhlak dan tingkahlaku bahkan mendidik ibadat kita.

Kedua: Allah SWT diingati dan tidak dilupai

Kita kembali kepada realiti Ramadhan, apa yang kita lakukan adalah bertujuan mengingati Allah SWT. Banyak perkara-perkara yang diajar didik oleh Nabi SAW, antara yang paling besar adalah membaca Al Quranul Karim dan juga bertadarus. Membaca Al Quran dan bertadarus adalah dua perkara yang berbeza. Tadarus lebih sempurna dan khusus manakala membaca Al Quran adalah bersifat umum sama ada dia membaca secara individu atau tidak.

Setiap kali Ramadhan Nabi akan bertadarus bersama-sama dengan Jibril AS, dan perkataan tadarus itu sendiri berasal daripada perkataan arab tadaarasa – yatadaarasu – tadaarusan. Perkataan itu bererti berkehendak kepada dua pihak. Kita tidak boleh memanggil tadarus jika membaca seorang diri. Sesuatu itu dikatakan tadarus apabila ia melibatkan lebih daripada satu pihak.

Mengapa juga disebut tadarus adalah kerana tadarus juga berasal daripada perkataan darasa (belajar). Apabila disebut belajar maka terdiri daripadanya membaca, memahami, dan menghayati. Adapun mempelajari dan mendidik kesemuanya juga terkandung dalam perkataan darasa. Sebab itu sekolah juga dikenali sebagai madrasah (tempat untuk mendidik, belajar dan sebagainya).

Jadi apabila disebut bertadarus Al Quran di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak bererti melibatkan lebih daripada satu pihak, dua pihak dan seterusnya di mana seorang membaca dan yang lain mendengarnya. Jika ada kesalahan maka ada yang menegur dan memperbetulkan.

Ambillah peluang dan manfaatkan bulan ini untuk memahami Al Quran kerana kita orang ‘ajam (non-arab) jadi rugilah sekiranya kita tidak mengambil peluang untuk memahami setidak-tidaknya makna umum Al Quran melalui terjemahan-terjemahan Al Quran yang boleh dibaca. Itu antara peluang untuk kita beramal dan mengingati Allah SWT.

Ketiga: Allah SWT disyukuri bukan dikufuri

Pengertian syukur sangat luas untuk dibincangkan. Makhluk pertama ciptaan Allah yang tidak mensyukuri nikmat Allah SWT ialah Iblis. Apabila Allah SWT menyatakan kepada para malaikat bahawasanya Dia akan menciptakan khalifah di atas muka bumi, maka iblis membantah.

Kemudian daripada itu Allah memerintahkan malaikat termasuk iblis (jin) yang asalnya telah mendapat tempat istimewa di dalam syurga, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam,’ maka mereka pun sujud kecuali Iblis; dia enggan (ingkar) dan takbur (sombong) dan adalah dia termasuk golongan orang-orang yang kafir.” (surah Al-Baqarah, 2: 34)

Dua sifat Iblis yang disebut; ingkar dan sombong adalah ciri-ciri tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Allah telah memberinya syurga; yang ada di dalamnya segala-galanya. Tetapi dia tidak bersyukur kepada Allah SWT dengan menuruti perintah Allah. Dari sini dapat kita fahami ciri-ciri orang yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar. Lawan kepada ingkar ialah taat. Ciri-ciri orang yang tidak bersyukur adalah sombong. Lawan kepada sombong ialah merendah hati.

Maka dalam rangka untuk kita mensyukuri nikmat Allah SWT bertujuan untuk merealisasikan firman Allah tentang ibadat puasa “agar kamu bertakwa”, hendaklah kita bersyukur dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan merendah diri dengan segala apa yang Allah SWT perintah.

Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan.

Siaran akhbar, Jumaat 20 Julai 2012

Advertisements

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: