Skip to content

Sekolah Ramadhan (1)

Julai 28, 2012

Sekolah Ramadan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Alhamdulillah, Ramadan menjelma lagi. Bulan yang dinantikan oleh setiap insan beriman. Ramadan sewajarnya menjadi madrasah (sekolah) tarbiah yang mampu menjana perubahan.

Sesiapa yang mengimarahkan madrasah ini, nescaya kejayaan dan pengampunan menjadi miliknya. Manakala golongan yang mengabaikannya, kecelakaan dan laknat Allah bakal menghantui kehidupannya.

Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah:

Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad).

Apabila didoakan oleh Jibril – makhluk yang tidak pernah menderhakai Allah – dan diaminkan oleh Muhammad insan terpilih, keberkatannya tidak perlu diragui lagi. Oleh itu menghidupkan Ramadan dengan amal soleh merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya.

Kelebihannya dinyatakan oleh Nabi Muhammad:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (hadis riwayat Muslim)

Cuma perkara yang agak menyedihkan adalah kegagalan sebahagian masyarakat Islam hari ini dalam menilai keutamaan. Apa yang paling utama dalam kehidupan?Apa yang paling utama dalam amal kebaikan? Apa yang paling utama dalam ekonomi? Apa yang paling utama dalam politik? Kegagalan ini menyebabkan hidup manusia tidak terarah.

Abai fardu, utamakan tarawikh

Jika dilihat dalam realiti kehidupan hari ini, nafsu diutamakan dari segala-galanya. Hampir setiap hari, ada saja berita tentang pembuangan bayi. Bahkan antara tahun 2005 hingga 2010, sebanyak 407 kes pembuangan bayi seluruh Malaysia direkodkan. Inilah akibatnya apabila nafsu diutamakan.

Kehidupan manusia seolah-olah tiada nilainya, sedangkan Allah memuliakan status kita di dalam Al-Quran, firman-Nya:

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (al-Israk, ayat 70).

Tetapi, apabila nafsu diutamakan, kemuliaan bertukar menjadi kehinaan. Ada pula di kalangan manusia yang beribadat mengikut nafsunya, seperti solat terawikh lebih diutamakan dari solat fardhu secara berjemaah. Solat subuh dua rakaat berjemaah diabaikan, tetapi solat terawih 23 rakaat berjemaah dilaksanakan.

Bagaimana pula dengan hadis Nabi Muhammad: “Seberat-berat solat atas para munafiqin (orang munafik) ialah solat Isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.

“Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Belum puas syurga dunia

Sayang, seribu kali sayang, apabila nafsu didahulukan, amal ibadat turut hilang kualitinya. Begitu juga dari sudut politik dan ekonomi; apabila nafsu diutamakan manusia pasti dijangkiti penyakit “al-wahnu”.

Sabda Nabi Muhammad: “Hampir tiba suatu zaman di mana musuh-musuh kamu akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya: Adakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?

Nabi Muhammad menjawab: “Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.”

Seorang sahabat bertanya: “Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Kesihatan dijaga bukan untuk mendekatkan diri dengan Allah, tetapi kerana masih belum puas menikmati syurga dunia. Hasilnya, halal haram diketepikan. Perebutan kuasa dan harta kekayaan menjadi penghalang besar bagi kejayaan umat Islam hari ini.

Politik syariat, politik haram

Kerana pangkat manusia bermusuhan dan kerana wang manusia sanggup berbunuhan. Bahkan kerana wang manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan. Berani sungguh manusia.

Takutlah kepada firman Allah: “Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu. Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewahan. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar.” (al-Waqi’ah, ayat 42-46).

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: