Solat Tarawih; Antara 11 dan 23 rakaat?
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Solat Tarawih
Isu solat tarawih telah menjadi perkelahian dan pergaduhan tahunan. Setiap kali masuk bulan puasa ramai di kalangan kaum muslimin pakat berkelahi dan sindir menyindir antara satu sama lain. Orang yang solat 8 rakaat menyindir orang yang solat 20 rakaat rajin terlajak, orang yang solat 20 rakaat menyindir orang yang solat 8 rakaat pemalas, yang solat 8 rakaat berkata “kami mengikut Nabi SAW” dan sebagainya.
Penyelesaiannya ialah kembali kepada Al Quran dan As Sunnah terlebih dahulu, jadikan ia sebagai dasar. Saya tidak bermaksud mengulas secara terperinci satu persatu perbahasan. Tentang solat tarawih, di sana ada hadis qauli (perkataan) dan hadis fi’li (perbuatan).
Hadis qauli contohnya seperti kata Nabi SAW,
صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى ، فَإِذَا خَشِىَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً ، تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى
Ertinya: “Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat. Jika salah seorang di antara kalian takut masuk waktu subuh, maka kerjakanlah satu rakaat. Dengan itu bererti kalian menutup solat tadi dengan witir.” (riwayat Bukhari no. 990 dan Muslim no. 749, dari Ibnu ‘Umar.)
Hadis perbuatan pula berdasarkan cerita Aisyah tentang jumlah bilangan rakaat solat malam Nabi SAW sama ada dalam bulan Ramadhan ataupun di luar Ramadhan tidak lebih daripada 11 rakaat. Jadi berlaku pertembungan antara hadis perkataan dan hadis perbuatan.
Apa tindakan kita?
Pertama, kita melihat penilaian terhadap kedua-dua hadis tersebut. Adakah sahih atau tidak. Kedua-duanya sahih.
Peringkat kedua, adakah wujud di sana nasikh mansukh (pembatalan dan penggantian hukum). Tidak ada nasikh dan mansukh.
Peringkat ketiga, wujud di sana pertembungan. Maka adakah wujud di sana ruang-ruang untuk dikombinasikan dan diluruskan keduanya?
Wujud pandangan ahlul hadis kebanyakannya mereka melihat bahawasanya yang diertikan dengan solat malam dua rakaat dua rakaat itu bukan merujuk kepada jumlah keseluruhan rakaat, tetapi merujuk kepada cara ia dilaksanakan, walaupun ada juga penceritaan atau periwayatan daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat malam 4 rakaat sekaligus.
Adapun yang merujuk kepada jumlah keseluruhan, dipetik daripada hadis fi’li di mana Aisyah menceritakan tatacara Nabi SAW solat malam tidak pernah lebih daripada 11 rakaat di dalam dan di luar Ramadhan. Itu satu cara pandangan.
Satu lagi pandangan lain, apabila bertembungnya hadis fi’li dan qauli, hadis perkataan mendahului (diutamakan) hadis perbuatan. Contohnya seorang ibu menasihati anaknya cara membasuh pinggan mangkuk. Si ibu mengajarkan caranya ialah dengan membasuh cawan, sudu dan benda-benda yang tidak berminyak terlebih dahulu. Jika membasuh pinggan mangkuk dahulu, span yang digunakan akan menyebabkan sudu dan cawan berminyak. Tetapi apabila si ibu membasuh, si ibu membasuh periuk dan kuali terlebih dahulu. Anak yang melihat perbuatan ibu, keesokan harinya membasuh periuk dan kuali dahulu. Ibunya bertanya kenapa tidak mengikut seperti yang diajarnya, basuh cawan dan sudu garfu dahulu? Jangan ikut apa yang ibu buat, ikutlah cara yang ibu ajarkan.
Itu sekadar permisalan sahaja, menunjukkan manusia bercakap tetapi kadangkala ada penghalang atau sebab-sebab yang menyebabkan dia tidak melaksanakan apa yang diucapnya. Dia meminta agar orang mengikut apa yang dia cakap, bukan mengikut apa yang dia buat. Maka dari sudut konteksnya menurut ulama-ulama fiqh, hadis perkataan lebih kuat dan diutamakan berbanding hadis perbuatan.
Jika kembali kepada hadis perkataan, mereka melihat maksud solat malam 2 rakaat 2 rakaat merujuk kepada cara ia dilaksanakan dan tidak ditetapkan had. Di sana juga ada pertembungan di mana kadangkala Nabi solat sunat 2, 4, dan 8 rakaat sekaligus. Untuk mengelakkan pertembungan tersebut, mereka membuat kesimpulan bahawa yang diertikan dengan solat dua dua itu ialah jumlah bilangan rakaat yang mana tidak ada di sana had dan penetapan.
Bagaimana dengan hadis Aisyah RA? Mereka menyatakan hadis Aisyah RA bukan menyatakan penetapan hanya 11 rakaat, dan tidak ada larangan khusus untuk melaksanakan lebih daripada 11 rakaat. Kemudian mereka mendatangkan hadis-hadis sokongan seperti hadis daripada Umar Al Khatthab sebagai sandaran, walaubagaimanapun hadis itu adalah hadis yang lemah seperti banyak yang telah dibahaskan. Jadi ini sesuatu yang diperselisihkan, masing-masing ada gaya dan cara penghujahan, malah banyak lagi cara penghujahan dan pendalilan dalam isu ini.
Walaubagaimanapun, disebabkan ini perkara khilaf maka janganlah berkelahi. Berusahalah untuk melazimi perbuatan Nabi SAW sebab perbuatan Nabi adalah hujjah. Berusaha untuk melazimi 11 rakaat. Soal orang lain hendak buat 20, itu terpulang kepada hujah yang mereka yakini. Selama mana kita boleh mempraktikkan, kita berusaha untuk mempraktikkan sesuai dengan petunjuk Nabi SAW.
Untuk mengatakan sesuatu pandangan itu salah, datangkan hujjah. Kalau hendak katakan pandangan ini betul, datangkan hujjah. Apabila kita mengkritik sesuatu pandangan bukan bererti kita menghinanya. Ulama-ulama saling mengkritik pandangan antara satu dengan yang lain.
Imam Syafi’i ada mengkritik pandangan Imam Malik, Imam Muhammad ibn Hasan Al Syaibani ada mengkritik pandangan gurunya Imam Abu Hanifah. Perkara ini biasa tetapi menghina dan menyindir adalah perkara berbeza. Imam-imam ini berusaha untuk berpegang dengan dalil dan nas, cuma berlaku beberapa masalah seperti hadis tidak sampai, metodologi dalam pengambilan hadis dan hukum, kaedah-kaedah dalam mengeluarkan hukum, perkara-perkara seperti ini perlu diambil kira semuanya.
Jadi tidak ada masalah untuk mengkritik pandangan dengan membawakan dalil dan hujah. Jika sesuatu pandangan itu tidak boleh dikritik, tidak ada satu bangunan yang boleh naik. Jurutera, arkitek yang hendak membina sesuatu bangunan mereka turut bermesyuarat dan mengkritik pendapat dan pandangan antara satu sama lain. Adakah bererti kalau pandangan itu dikritik dan ditolak dalam sesuatu isu bererti menghina?
Maka kita melihat di kalangan mereka ada pandangan yang diterima dan ada pandangan yang ditolak, dan tidak ada di sana hina menghina dan sindir menyindir antara satu sama lain. Jadi dalam isu tarawih ini, bagi sesiapa yang membuat 20 rakaat dan ingin meneruskannya pun, datangkan dalil dan jika ada dalilnya maka teruskanlah. Dan seseorang tidak boleh beramal dengan sesuatu ibadah tanpa mengetahui apakah amalannya itu berdalil atau pun tidak. Orang yang seperti ini adalah orang yang tidak akan maju dalam kehidupannya. Kehidupannya adalah kehidupan yang memadai dengan apa yang ada di sekitarnya dan dia melihat ilmu tidak perlu ditambah.
Sebenarnya kita perlu mencari ilmu dan mengkaji. Kalau buat 20 rakaat kenapa, dan kalau buat 11 rakaat kenapa? Jangan bertanya kenapa orang melakukannya tetapi tanyalah diri sendiri dan buatlah kajian dan analisa. Hendaklah kita beramal dengan ilmu kerana agama kita tertegak dengan ilmu.
From → Adab & Akhlak, Fiqh & Syariah