Skip to content

Bagaimana meningkatkan keimanan sepanjang Ramadhan

Ogos 8, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Saya ingin meminta nasihat daripada ustaz bagaimana untuk meningkatkan keimanan kita sepanjang Ramadhan. Terima kasih.

Jawapan:

Pertama sekali kita mesti ada ilmu tentang Ramadhan. Apabila kita bercakap tentang Ramadhan Al Mubarak, Allah SWT dan Nabi SAW telah mengiklankan pelbagai kelebihan-kelebihan yang perlu diraih di dalam Ramadhan.

Orang kita, kalau hari ini keluar iklan KFC yang baru, esok dia terus pergi cari walaupun belum tentu menu baru itu sesuai dengan seleranya. Tetapi apa yang Allah SWT hidangkan dan iklankan di dalam Al Quran dan apa yang Nabi SAW iklankan di dalam hadis-hadis baginda SAW kurang diminati oleh ramai orang. Sejauh manakah keimanan dan kepercayaan manusia kepada janji-janji Allah dan Rasul?

Apakah contoh-contoh iklan yang Allah dan rasul berikan tentang puasa? Yang pertama adalah kelebihan berpuasa seperti disebut di dalam hadis,

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya.” (riwayat Al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400)

Ini bererti puasa dapat mengawal nafsu, mata dan pandangan, serta keinginan yang melampau. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda,

الصيام جنة، فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل إني صائم

Ertinya: “Puasa itu perisai, jika seseorang di antara kalian berpuasa, janganlah berkata lucah dan janganlah meninggikan suara (berkelahi), dan jika seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Ini menggambarkan puasa dapat mengawal tindakan dan perbuatan orang yang sedang berpuasa. Hebatnya puasa. Itu baru kelebihan puasa sahaja. Kelebihan Ramadhan pula telah diceritakan oleh Allah SWT,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadhan (adalah) bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara al-haq dan bathil).” (surah Al-Baqarah, 2: 185)

Ini satu kelebihan Ramadhan yang besar, bulan yang diturunkan di dalamnya Al Quran, bahkan Nabi SAW menyebut di dalam hadis,

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ

Ertinya: “Apabila datang bulan Ramadhan dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan dirantai syaithan-syaithan.” (riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim)

Ramadhan bulan yang penuh barakah, diberkati dengan Al Quran yang mulia. Bahkan diceritakan pula kelebihan orang yang berpuasa di dalam bulan Ramadhan,

من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala nescaya diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Diceritakan juga kelebihan hari-hari dalam bulan Ramadhan, iaitu Lailatul Qadar yang Allah nyatakan lebih baik daripada 1000 bulan. Ini semua adalah iklan untuk menarik minat manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah kepada-Nya pada bulan ini. Cuma apa yang perlu kita buat dan amalkan?

Ada orang yang seronok masuk ke bulan ini kerana Bazar makanan. Para ulama menggelarkan Ramadhan sebagai madrasah, pusat latihan dan pemulihan. Kalau kita kurang amalan solat maka pada bulan inilah kita mula memperbanyakkan solat. Sebab bulan ini dapat mengawal aktiviti mulut, bau mulut pun kurang enak, tindakan juga terkawal kerana letih dan dahaga, maka pada masa inilah peluang untuk kita amalkan apa yang Nabi buat pada bulan Ramadhan; perbanyakkan solat, tarawih, perbanyakkan membaca Al Quran, berzikir, bertadarus Al Quran, beriktikaf pada 10 malam terakhir. Bahkan Nabi juga merupakan orang yang paling kuat bersedekah dan bertambah-tambah lagi pada bulan Ramadhan. Nabi bertadarus dengan Jibril AS pada setiap kali Ramadhan.

Nabi SAW menghidupkan Ramadhan dengan amal-amal kebaikan. Kita perlu ada ilmu dan mengetahui bagaimana cara perlaksanaannya. Kita perlu mengkaji dan mengetahui sunnah-sunnah baginda SAW, adab-adab bersuhur, berbuka puasa, doa apa yang sunnah untuk dibaca, waktu-waktu yang dimakbulkan doa oleh Allah SWT seperti ketika berbuka puasa, dan pada waktu inilah kita perbanyakkan berdoa dan meminta apa sahaja daripada Allah SWT.

Kita juga perlu mengetahui makanan-makanan yang dipilih oleh Nabi SAW ketika bersuhur dan berbuka puasa, semua itu telah ditunjukkan di dalam hadis-hadis baginda SAW dan perlu kita pelajari agar dapat kita contohi.

Dengan ilmu inilah kita berpuasa, dan kita menyedari bahawa setiap praktik amalan yang kita lakukan dalam bulan ini adalah meniru dan mencontohi perbuatan Nabi SAW. Dengan itu barulah kita memiliki kesungguhan dan semangat; solat tarawihku seperti Nabi bersolat, aku membaca Al Quran, berzikir, bertadarus, semuanya seperti yang Nabi lakukan.

Antara buku yang menarik; Sunnah-sunnah Baginda dalam Berpuasa dan Berhari Raya tulisan Syaikh Salim Ibn ‘Ied Al Hilali. Buku ini disusun dengan cantik menerangkan bagaimana kaedah berpuasa mengikut cara Nabi SAW. Carilah kerana dengan ilmu barulah ia membantu kita untuk konsisten dalam beribadah.

Maka paling penting untuk kita mengisi Ramadhan dengan mengisi diri kita terlebih dahulu dengan ilmu, mudah-mudahan ia mendatangkan semangat kepada kita untuk beramal.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

http://www.youtube.com/watch?v=geOJb-auYAM&feature=plcp

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: