Skip to content

Bayar zakat melalui ‘Amil

Ogos 10, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Mana yang seharusnya kita lakukan, bayar zakat fitrah melalui amil atau bayar terus kepada faqir miskin?

Jawapan:

Zakat jika dilihat pada zaman Nabi SAW, seperti kata Nabi SAW di dalam hadis secara jelas,

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Ertinya: “(Zakat) diambil dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang-orang fakir di kalangan mereka.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas)

Yakni harta diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan yang sama. Jika dilihat di situ sahaja, hikmahnya sangat besar. Zakat memupuk hubungan silaturrahim, menghilangkan rasa hasad dengki, cemburu dan seumpamanya. Itu adalah tujuan asalnya.

Namun pada hari ini, apabila wujud pusat zakat dengan sistem yang tersendiri di mana setiap negeri ada cara dan prosedur masing-masing dan pelbagai, perkara ini sebenarnya memberikan kesan yang kurang baik pada keadaan semasa.

Pada hari ini apabila pusat-pusat zakat ataupun baitulmal ini mewajibkan orang ramai membayar zakat melalui amil, kita jangan melihat dari satu sudut sahaja. Kita perlu melihat dari sudut yang pelbagai.

Kewujudan baitulmal yang diasaskan dan disistematikkan oleh Umar Al Khattab RA bertujuan sebagai satu kemaslahatan. Satu kepentingan untuk menyusun semula cara untuk pengeluaran zakat. Itu asalnya.

Pada hari ini kita memiliki teknologi, bangunan, kenderaan dan sebagainya, memang itu juga satu kemaslahatan. Kita sebagai orang awam jangan mengeluarkan komen seperti; adakah wajib bayar zakat melalui amil sahaja, adakah tidak sah kalau bayar sendiri (terus kepada penerima)?

Saya pernah berbincang dengan pegawai daripada pusat zakat sebuah negeri, dia mengatakan ada kepentingannya zakat dibayar melalui pusat zakat; pertama, untuk mendidik masyarakat agar membayar zakat. Dengan membayar zakat melalui amil maka barulah mereka mengetahui statistik pembayar zakat.

Kedua, kita berhadapan dengan zaman di mana takwa manusia pada hari ini tidak sama dengan takwa para sahabat Nabi. Para sahabat Nabi dahulu tidak perlu disuruh seperti mana kita disuruh untuk membayar zakat. Mereka, apabila cukup haul, cukup nishab mereka akan pergi mencari sendiri kepada siapa zakat harus diberikan. Berbeza dengan kita.

Atas dasar ini mereka membuat ketetapan bahawa zakat mesti dibayar melalui mereka supaya mereka mengetahui siapa yang membayar zakat dan siapa yang tidak membayar zakat. Bahkan pelbagai keistimewaan telah diletakkan bagi orang yang membayar zakat, antaranya ialah bebas daripada cukai. Itu antara semangat dan motivasi kepada masyarakat agar mengeluarkan zakat.

Jadi saya katakan, jika kita melihat pada zaman Nabi SAW, ada kalanya zakat itu diberikan secara langsung kepada asnaf-asnafnya, dan adakalanya diberikan melalui amil khususnya di zaman Umar Al Khatthab RA. Maka apabila kita menghimpunkan kedua-dua hal ini menunjukkan bahawasanya harus kita membayar zakat melalui amil dan harus juga kita memberi terus kepada orang yang berhak menerima. Namun apabila kita berhadapan dengan hadis Nabi SAW di mana baginda memerintahkan kita agar mentaati pemerintah dalam hal-hal yang makruf, kita perlu mengambil kira akan hal itu juga.

Apabila pemerintah menyuruh kita membayar zakat melalui amil maka kita hendaklah membayar zakat melalui amil. Selesaikan urusan yang itu dahulu. Hadis daripada Ma’an ibn Yazid menceritakan kepada kita bahawa ayahnya (yakni Yazid) mengeluarkan beberapa wang dinar untuk sedekah lalu dia menitipkan wang tersebut pada seorang lelaki di masjid. Ma’an datang ke Masjid mengambil sedekah dari orang itu, lalu dia pun datang kepada ayahnya sambil membawa wang itu. Ayahnya berkata, ‘Demi Allah, aku tidak bermaksud memberikannya kepadamu’. Maka Ma’an mengadukannya kepada Rasulullah SAW lalu baginda bersabda kepada mereka berdua,

لَكَ مَا نَوَيْتَ يَا يَزِيدُ، وَلَكَ مَا أَخَذْتَ يَا مَعْنُ

Ertinya: “Bagimu apa yang telah kamu niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa yang telah kamu ambil wahai Ma’an.” (riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, di kitab Zakat, bab Jika Seseorang Bersedekah Kepada Anaknya Sedangkan Dia Tidak Menyedarinya)

Jadi kita sebenarnya tidak perlu memikirkan kepada siapakah wang zakat itu diberikan, di manakah wang zakat itu disimpan, untuk tujuan apakah ia digunakan, dan sebagainya.

Saya difahamkan oleh beberapa orang sahabat saya yang berada dalam pusat zakat negeri tertentu, mereka mengatakan bahawa masalah pada hari ini ialah zakat yang dikumpulkan contohnya 100 juta, pengeluaran zakat untuk tahun itu hanya 50% manakala 50% lagi disimpan untuk kebarangkalian berlaku apa-apa awal tahun hadapan.

Ini antara masalah yang boleh diperbaiki, sepatutnya pengeluaran zakat harus dimaksimumkan. Kalau ditinggalkan 10% pun sudah banyak untuk menguruskan kebarangkalian yang berlaku dan sebagainya. Hal yang seperti ini yang perlu diselesaikan.

Soal pusat zakat hendak membeli kereta atau apa-apa peralatan keperluan, itu terpulang kepada mereka mengikut keperluan, kalau memang perkara seperti itu benar-benar diperlukan. Kita tidak setuju dengan wujudnya tuduhan-tuduhan negatif ke atas pusat zakat yang seperti ini. Cuma kita meminta dan mencadangkan supaya pusat-pusat zakat di Malaysia ini; pertama, supaya menyelaraskan sistem zakat; dan kedua, menjelaskan kepada masyarakat secara terang bagaimana prosedur meminta zakat dan bagaimana prosedur pengeluaran zakat.

Sekarang ini menjadi isu apabila orang mengatakan meminta zakat begitu susah ibarat mengemis, terlalu banyak kerenah birokrasi dan sebagainya. Untuk menyalahkan pusat zakat pun tidak kena juga, kerana ada kaki kelentong yang menipu mengatakan mereka ini orang susah, memberikan maklumat-maklumat palsu dan seumpamanya, maka itulah akibat dan kesannya.

Apabila takwa manusia berkurangan, berlaku kes penipuan, undang-undang yang dibuat oleh manusia lama kelamaan menjadi semakin kompleks, dan kehidupan di dunia ini semakin lama menjadi semakin sempit. Semua ini disebabkan sikap manusia sendiri.

Maka perkara ini perlu diseimbangkan, kita melihat situasi dan keadaan pelbagai pihak dan dari pelbagai sudut sebelum kita berkata sesuatu. Lihat kepada diri kita dan lihat kepada institusi-institusi ini dan bantulah mereka untuk memperbetulkan sistem-sistem ini.

Adapun pada hari ini, dalam rangka mentaati pemerintah, seharusnya kita membayar zakat melalui amil pemerintah, bayar menggunakan makanan ruji atau makanan asasi (khusus untuk zakat fitrah). Adapun kita hendak bersedekah dengan memberikan benda lain seperti wang dan sebagainya, itu termasuk dalam kategori zakat at-tathawwu’ iaitu zakat-zakat yang bersifat sunat (sedekah-sedekah sunat).

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan kuliah UFB 13/08/2011, oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU

One Comment
  1. zaid permalink

    ustaz klu boleh minta ustaz usulkan cadangan agar amil menerima zakat berbentuk makanan ruji

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: