Skip to content

Budaya Tazkirah Ketika Shalat Tarawih

Ogos 11, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Alhamdulillah kita merafa’kan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dipertemukan pada malam ini menunaikan shalat tarawih iaitu shalat malam secara berjamaah, menghidupkan malam-malam pada malam Ramadhan. Moga-moga kita termasuk dalam golongan orang yang disebutkan oleh Nabi di dalam hadis,

من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Barangsiapa menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Pernah ditanya kepada Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin rahimahullah tentang hukum bertazkirah di antara shalat tarawih atau selepas shalat tarawih. Satu jawapan yang mungkin mengejutkan kita dan menarik untuk kita kongsikan pandangan seorang ahli ilmu. Ketika ditanya kepada Syaikh Al Utsaimin, kata beliau, menyampaikan ilmu di antara shalat malam bukanlah daripada petunjuk Nabi SAW. Beliau memberikan beberapa alasan; pertama, seperti mana yang sering beliau ucapkan apabila ditanya kepada beliau apa dalil yang menunjukkan bahawasanya sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi SAW, kata Syaikh Ibn Utsaimin,

الدليل هو عدم وجود الدليل

Ertinya: “Dalilnya ialah tidak wujud dalil.”

Kedua, beliau mengulas dengan lebih panjang lagi tentang isu dan permasalahan ini; iaitu sekiranya memerlukan kepada ingat mengingati sesama Muslim sebab asas agama kita ialah “agama adalah nasihat” maka tugas ingat mengingati ini sebenarnya tidak perlu dikhususkan kepada masa-masa dan tempat-tempat tertentu, sebaliknya apabila kita melihat kesilapan dan kesalahan, ataupun ingin menyampaikan nasihat kepada teman-teman dan sahabat kita, bila-bila masa dan bila-bila tempat kita boleh pilih tanpa menetapkan dan tanpa mengkhususkan ia.

Maka kata Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah, alangkah baiknya meninggalkan daripada berselalu melakukan amal perbuatan yang seperti ini. Itu pendapat Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah.

Adapun pendapat yang lebih tegas, pandangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani menetapkan bahawasanya sesiapa yang menetapkan amalan bertazkirah ini antara shalat malam, ia merupakan amalan bid’ah, tidak ada dalil ataupun sandarannya daripada Nabi SAW.

Maka amalan-amalan seperti yang kita lakukan ini, sekadar kita ingat-mengingatkan sesama kita dalam kategori menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan Al Mubarak dengan amal perbuatan shalih, majlis ilmu dan sebagainya, tetapi kita tidak boleh bersifat mengkhususkan amalan ini. Cuma sekiranya ada keperluan kita menyampaikan sesuatu kepada teman-teman dan sahabat kita dalam erti kata merealisasikan hadis Nabi SAW,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Ertinya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Sekiranya kita ada ucapan-ucapan yang baik untuk dikongsikan bersama dalam majlis ilmu, menyampaikan nasihat, teguran, kata-kata semangat kepada teman-teman kita yang tidak sudah-sudah berjuang melalui videonya, facebooknya, blognya, dan whatsapp-nya, maka saya kira nasihat-nasihat seperti ini perlu diteruskan dan disampaikan agar sesama kita setiap hari bermuhasabah moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang disebut oleh Nabi SAW di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak; larangan mengeluarkan perkataan-perkataan cercaan, makian seperti kata Nabi di dalam hadis,

فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل إني صائم

Ertinya: “Jika seseorang di antara kalian berpuasa, janganlah berkata jijik dan janganlah meninggikan suara (berkelahi), dan jika seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Maka atas dasar itu kita memberikan dan berkongsi peringatan. Cuma apa yang saya hendak katakan tadi, tazkirah kita pada malam ini adalah berkaitan dengan nasihat ataupun fatwa Syaikh Muhammad ibn Shalih Al Utsaimin dan juga fatwa Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani rahimahumallah agar kita tidak menjadikan amalan-amalan seperti ini sebagai satu amalan rutin walaupun sangka baik, kerana dibimbangi satu hari nanti datang anak cucu kita melihat amalan ini adalah amalan yang diteruskan dan dipraktikkan oleh nenek moyangnya dan mereka akan berdalilkan benda yang sama.

Sama seperti apabila kita menegur orang yang menetapkan bacaan-bacaan seperti “subhaanal malikil ma’bud, subhaanal malikil maujud” dan sebagainya. Kita menegur perbuatan itu dan mengatakan ini tidak ada daripada Nabi SAW, tetapi alasan dan hujah mereka ialah ini amalan dan praktik orang-orang yang terdahulu. Mungkin orang-orang dulu berfikir, daripada duduk tanpa berbuat apa, adalah lebih baik mereka rehat dengan ucapan-ucapan zikir, lebih baik daripada bersembang. Tetapi amalan ini apabila diteruskan tanpa ada teguran dan kajian maka manusia pada hari ini menjadikan praktik orang dulu sebagai dalil.

Jadi inilah yang kita bimbangi. Sama seperti kita membuat tazkirah di sela-sela tarawih atau sesudahnya dan amalan ini dilakukan secara berterusan, orang akan melihat amalan ini satu keperluan dan kemestian sehingga ke generasi puluhan tahun lagi, sehingga jika tidak dibuat tazkirah orang menganggap ianya satu kekurangan pada ibadah. Ini masalahnya jika mereka menjadikan kita sebagai dalil.

Sebab itu saya katakan di sini sebagai satu perkongsian dan nasihat agar amalan ini tidak dipraktikkan secara selalu. Moga-moga Allah memberikan kebaikan kepada kita semua dan menjauhkan kita daripada sebarang keburukan, dan menjadikan amalan kita sebagai amalan yang diterima. Jadilah kita pengejar Lailatul Qadar, malam yang ganjaran amalnya lebih besar daripada seribu bulan.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

http://studio.hudzaifah.com/videos/ustaz-fathul-bari-bidah-tazkirah-di-bulan-ramadhan/

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: