Skip to content
Tags

Benarkah Hudud Hanya Sesuai Pada Zaman Nabi?

Ogos 25, 2012

Soalan dari Sdr. Astora Jabat:

Seperti yang kita baca dan dengar, kalau seseorang sudah jelas dikenakan hudud ke atasnya tetapi dia lari daripada hukuman maka dia terlepas daripada dikenakan hudud. Itu berdasarkan hadis Nabi. Dalam Al Quran sekalipun, selepas kita baca ayat tentang sariqah, zina, selepas itu ada disebut “kecuali mereka yang bertaubat dan menjadi orang yang soleh, Allah akan terima taubat mereka.” Ertinya boleh bertaubat dan boleh menjadi orang soleh walaupun telah melakukan jenayah yang dikenakan hudud. Dalam hadis yang Dr. Fathul Bari sebut tadi pun “Tolaklah hudud dengan ada syubhat, kalau kamu jumpa jalan untuk dia terlepas daripada hudud, lepaskanlah dia pergi.” Hadis lain pula, “Siapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan tutup keaibannya di dunia dan akhirat.” Kalau kita buat satu kesimpulan, seolah-olah kita tidak disuruh melaksanakan hukum hudud. Dr. Fathi Osman, dalam beberapa tahun yang lepas saya sudah tulis dalam Mingguan Malaysia wawancara dengan beliau, beliau mengatakan hudud hanya sesuai pada zaman Nabi Muhammad SAW, tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini. Dr. Fathi Osman ini juga adalah ulama Azhar dan beliau tinggal di Amerika begitu lama dan sekarang telah pulang ke Mesir, dan beliau selalu datang ke seminar dan forum sama ada anjuran kerajaan mahupun PAS. Apa pandangan Dr?

Jawapan Ustaz Fathul Bari:

Bismillah.

Saya tertarik untuk menyentuh isu yang akhir dahulu iaitu Dr. Fathi Utsman yang banyak menghadiri seminar dan merupakan seorang tokoh Al Azhar.

Saya ingin menjawab secara mudah; syaitan adalah makhluk yang bertemu dengan Allah, makhluk yang mempercayai kekuasaan Allah SWT. Tetapi Allah SWT menamakan dia sebagai makhluk yang istikbar (sombong) dan meninggalkan perintah Allah SWT apabila Allah memerintahkan dia sujud kepada Adam. Itu dari satu sudut.

Secara asasnya Nabi SAW bersabda,

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه

Maksudnya: “Aku meninggalkan kepada kalian dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya; kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Dan juga dalam riwayat lain disebut tentang praktik ahlul bait dan sebagainya.

Itu adalah asas Islam, jadi sesiapa sahaja yang datang dengan perwatakan, kehebatan, sijil, pangkat, kedudukan, keindahan rupa, kepandaian bercakap, mengarang kitab dan sebagainya, sekiranya dia melakukan perkara yang menyelisihi syara’ maka pendapat dan pandangannya dalam hal itu ditolak.

Kerana ini merupakan satu modus operandi golongan-golongan sufi terlampau yang mana mereka mendekatkan orang awam dengan kumpulan mereka adalah dengan kaedah menceritakan kelebihan dan kedudukan gurunya seperti ada keramat, contohnya jika kemalangan keretanya hancur sedangkan gurunya selamat, air liur gurunya berkat boleh mengubati penyakit, dan sebagainya, sehingga apa-apa yang disebut oleh gurunya akan menjadi pegangan agama.

Gurunya mengatakan tidak perlu solat jumaat sebab kita bersuluk untuk naik ke maqam yang lebih tinggi, mereka pun menerimanya kerana guru telah berkata demikian.

Itu bukan dalil, sebagai umat Islam kita memiliki asas dan prinsip; Al-Quran dan As-Sunnah. Kemudian kita merujuk kepada pemahaman sahabat Nabi dalam mentafsirkan keduanya kerana sahabat Nabi merupakan golongan yang paling memahami agama. Kemudian kita melihat pendapat ulama-ulama yang mengikuti jejak langkah atau manhaj mereka, di mana ulama ini berdalil dan berhukum bukan menggunakan akal semata-mata tetapi penghujahan benar yang mereka bawakan.

Saya suka membawa kisah Al Imam Al Buwaithi iaitu salah seorang murid senior Imam Asy Syafi’i. Ada dua orang murid Imam Syafi’i yang terkenal; Al Muzani dan Al Buwaithi.

Al Imam Asy Syafi’i berkata, “sekiranya aku mati maka yang akan menggantikan tempat aku mengajar ini adalah Al Buwaithi.”

Al Buwaithi merupakan pengarang kitab yang banyak membahaskan isu-isu ibadat antaranya tentang tayammum. Hadis tentang tayammum yang masyhur daripada ‘Ammar menyebut bahawa cara Nabi bertayammum adalah dengan dua kali tepukan; sekali untuk menyapu muka, dan sekali lagi untuk tangan hingga ke siku. Itu hadis yang masyhur bahkan di dalam mazhab syafi’i itulah yang digunakan.

Al Imam Al Buwaithi kemudian terjumpa satu hadis yang status sahihnya lebih kukuh, iaitu hadis ‘Ammar juga yang diriwayatkan oleh Al Bukhari rahimahullah, iaitu Nabi SAW bertayammum dengan sekali tepukan sahaja dan baginda menyapu muka dan kedua pergelangan tangannya sahaja.

Saya tidak membahaskan isu khilaf tayammum ini tetapi saya ingin menceritakan sikap Imam Al Buwaithi, di mana apabila beliau menjumpai hadis ini, beliau membuka kembali kitabnya, mengambil pisau dan mengikis perkataan tepuk dua kali, menggantikannya dengan perkataan tepuk satu kali. Kemudian beliau menutup kitabnya lalu memukul kitabnya dengan hulu pisau tersebut sambil berkata,

هكذا أوصانا صاحبنا إذا صح الحديث فهو مذهبي

Maksudnya: “Inilah yang diwasiatkan oleh Imam kami (Imam Asy-Syafi’i) iaitu apabila sahih sesuatu hadis maka itulah mazhabku.”

Maka pendalilan atau pembuktian untuk isu-isu berkaitan agama adalah dengan menjadikan Al Quran dan hadis sebagai asasnya, disusuli dengan kefahaman sahabat Nabi, dan disusuli dengan penjelasan para ulama yang mengikuti mereka.

Kesesuaian hudud

Hudud telah ditetapkan Allah SWT dan rasul-Nya SAW, isunya adalah menguatkuasakan hukum ini dan memasukkannya dalam perlembagaan undang-undang. Soal mengenepikan perlaksanaan hudud sekiranya berlaku syubhat, hal itu dibincangkan apabila telah berlaku syubhat, tidak termasuk dalam isu ini. Kita perlu jelas dengan apa yang dilaungkan di luar sana, jika tidak mereka akan ‘tembak’ kita semula.

Itu bukan isu yang pembangkang bawa, isu yang pembangkang bawa ialah memasukkan undang-undang itu ke dalam perlembagaan. Ini yang ulama Islam bicarakan, boleh atau tidak. Isu ini agak ilmiah, kerana sebahagian ulama berpendapat memasukkan undang-undang dan menjadikannya perlembagaan seolah-olah merendahkan kedudukan hukum Allah SWT, kerana hukum Allah ini baru hendak dimasukkan di dalam dan di bawah perlembagaan. Ada pendapat mengatakan ia perlu diasingkan, meletakkannya di kedudukan teratas dan tertinggi.

Pada zaman Imam Malik ibn Anas, kitab hadis yang pertama disusun secara sistematik dalam Islam – Al Muwattha’ karangan Imam Malik diminta oleh pemerintah pada zaman itu untuk dijadikan perlembagaan. Kitab itulah yang hendak dijadikan perlembagaan, namun Imam Malik kemudiannya menolak permintaan tersebut kerana bimbang mungkin pada hari itu beliau berpendapat seperti itu dan pada masa akan datang apabila bertemu hadis lain beliau akan mengubah pendapatnya. Tawadhu’nya Imam Malik bin Anas rahimahullah.

Isunya adalah memasukkan hudud ke dalam perlembagaan. Isu ini jelas di mana setiap umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Kiamat, wajib berada dalam hatinya inginkan undang-undang ini ditegakkan atas muka bumi.

Wallahu A’lam.

Ustaz Dr. Fadlan menjawab:

Saya cuba membahagikan kepada beberapa fasa. Pertama adalah kenyataan yang dibawa oleh seorang tokoh. Kita perlu menilai pandangan yang dilontarkan dan disebarkan tersebut. Seperti mana saudara Astora membawakan pandangan Fathi Osman, begitu juga orang yang mengatakan hukum itu relevan sampai hari kiamat membawakan pandangan dan hujah tokoh-tokoh yang lain.

Isunya ialah bagaimana kita ingin menilainya. Allah SWT menyatakan,

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه

Maksudnya: “Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya.” (surah Az-Zumar, 39: 18)

Jadi itu yang perlu kita lakukan. Kita tidak boleh melihat kepada tokoh tetapi kepada dalil. Imam Syafi’i rahimahullah ketika beliau ditanya, beliau membawakan hadis Nabi SAW, sehingga apabila ada yang bertanya “Adakah engkau menerima hadis itu?” Imam Syafi’i marah dan berkata,

أتغاني خرجت من الكنيسة؟ أتراني في وسطي زنارا؟

Maksudnya: “Adakah engkau melihat aku baru keluar daripada gereja? Adakah engkau melihat aku memakai baju paderi?”

Dan Imam Syafi’i mengatakan lagi bahawa apa yang dikatakan oleh Nabi maka itulah pandanganku. Apa yang ingin saya sampaikan adalah lihat pada dalil yang dibawa. Kalau dalilnya jelas menyatakan perlu dilaksanakan sampai hari kiamat maka kita perlu berpegang pada kewajipan melaksanakannya sampai hari kiamat.

Soalnya adalah apabila suasana tidak sesuai, masyarakat tidak faham, maka kita perlu melihat kepada suasana setiap negara apakah ia sesuai dilaksanakan ataupun tidak dan saya rasa itulah yang telah dijawab oleh YAB bekas perdana menteri, bahawa kita menerima hukum tersebut tetapi pelaksanaannya masih lagi memerlukan kepada masa untuk perbincangan dan kajian.

Wallahua’lam.

Sumber: Sesi Soal Jawab, Bengkel Penulisan Maya

From → Fiqh & Syariah

2 Komen
  1. REZUWAN permalink

    good,hudud is the best method..keindahan huduh ada nilai sendiri disebalik hukum..tiada parit yng perlu di persoalan pas mahu pun umno ..setiap jiwa yang muslim wajib menjalankan…eriman kepada ALQURAN DAN SEGALA ISI2NYA..

  2. faizalj permalink

    Tq ustaz-ustaz sekalian . Saya yang cetek ilmu ingin menanyakan sedikit soalan.

    Marilah kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w. Pertanyaan saya kepada ustaz Fathul Bari seperti beikut :-

    1. Semasa Rasulullah di Mekah, adakah Rasulullah s.a.w. pernah melaksanakan hudud?
    2. Adakah hudud dilaksanakan selepas Rasulullah s.a.w. memimpin di Madinah?

    Mungkin perlaksanaan hudud di malaysia boleh diadaptasi sesuai dengan perbuatan sunnah Rasulullah s.a.w. pada masa lalu. Mohon pencerahan ustaz.

    Terima Kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: