Skip to content

iLMU Sedia Bantu Perjelas Hudud: Semua Pihak Harus Main Peranan

Ogos 25, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Minta ustaz komen tentang non-Muslim yang tolak hudud, contohnya seperti yang diwar-warkan iaitu DAP dan MCA.

Jawapan:

Bismillah,

Pertama, kita tidak hairan sekiranya non-Muslim menolak hukum ini sebab mereka bukan beragama Islam dan mereka tidak mengenal Islam dengan pemahaman yang benar.

Kedua, saya ingin bertanya kepada mereka yang menolak. Bagi cerdik pandai atau cendekiawan yang tentunya menggunakan akal untuk menganalisa, mengkaji dan meneliti, apa yang mereka tahu tentang hukum hudud, hukum Islam, dan Negara Islam.

Saya ingin bertanya kepada pemimpin sama ada kepada MCA ataupun DAP. Apa yang mereka ketahui. Adakah mereka menolak kerana mereka tidak suka kepada Islam? Atau adakah mereka menolak kerana mereka telah menganalisa dan mengkaji tentang apa itu hudud dan Negara Islam?

Sekiranya mereka telah mengkaji, saya ingin mendengar penjelasan apa yang mereka tahu dan faham tentang hudud, hukum Islam, dan Negara Islam.

Kalau mereka tidak mampu memberikan penjelasan atau sekiranya mereka tidak faham, mengapa mereka menolak? Dan saya tidak mengatakan mereka mesti menerima. Sama ada mahu terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

Cuma persoalannya, bagi yang cerdik pandai, sebelum menolak atau menerima sesuatu perlu kepada analisa. Dan jika tidak mampu untuk menganalisa atau mendalami ilmu tentang hukum Islam, maka kami dari pihak Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU) menawarkan diri untuk memberikan penjelasan kepada DAP, MCA, atau mana-mana pihak.

Pada tahun lalu –alhamdulillah- pihak iLMU telah dijemput oleh MCA sebagai salah seorang panel untuk memberikan penjelasan kepada MCA tentang hudud di dalam Islam, beza antara hudud yang dipolitikkan dan hudud yang berlandaskan teras-teras Islam itu sendiri.

Kami bersedia untuk memberi penjelasan jika diminta atau dijemput untuk berbuat demikian, tidak kira daripada mana-mana pihak sama ada dari pihak DAP, MCA dan lain-lain.

Tugas orang Islam

Orang Islam tidak sepatutnya menyalahkan golongan bukan Islam tentang isu menolak hudud. Sebelum meletakkan hukuman salah ke atas mereka, apakah tugas dan tanggungjawab kita?

Kita yang sepatutnya mendidik dan memahamkan mereka tentang apa itu hukum Islam. Umno mahupun Pas dan setiap umat Islam yang berkemampuan dan mempunyai ilmu mesti menggerakkan usaha ini.

Kalau sistem demokrasi yang diasaskan oleh golongan Yahudi boleh kita terima, mempromosikannya, bahkan seolah-olah dijadikan agama oleh sesetengah pihak yakni berpegang dan mempercayainya, maka mengapa tidak kita memberikan penjelasan tentang hukum Islam ini.

Orang Islam mestilah berperanan di dalam usaha ini, tidak boleh hanya menghukum orang yang menolaknya tanpa memberikan penjelasan yang sewajarnya.

Perubahan tidak berlaku sekelip mata

Setelah kita memberikan penjelasan, kadangkala sesetengah orang terlalu gopoh dan tergesa-gesa. Mereka mahukan perubahan itu berlaku dengan segera.

Bayangkan, Abu Thalib bapa saudara Nabi SAW yang hidup bersama Nabi, memelihara dan mempertahankan Nabi tidak memeluk Islam, tidak mati dalam keadaan beragama Islam. Beliau tidak melafazkan Laa-ilaaha-illallah sehingga akhir hayatnya.

Jadi kita jangan mengharapkan 100% bahawasanya setelah kita memberi penjelasan, mereka akan menerima keesokan harinya. Persoalannya adalah adakah kita telah menyampaikan ataupun tidak.

Saya meminta kepada sahabat-sahabat saya di dalam Umno mahupun Pas serta sekalian umat Islam agar bermuhasabah diri sejauh mana kita semua telah menyampaikan dan memberi penjelasan tentang hukum ini kepada masyarakat non-Muslim khasnya dan masyarakat awam umumnya.

Adapun propaganda dan persepsi yang dilontarkan tentang hukum Islam, apabila ditanya kepada orang awam, apakah itu hukum Islam, mereka menjawab ‘hudud’. Apabila ditanyakan apa itu hudud, mereka menjawab ‘potong tangan’, ‘sebat’.

Keindahan dan hikmah sebenar di sebalik hukum ini jarang dibahaskan dan tidak difahami oleh masyarakat. Yang disebarkan hanyalah propaganda dan persepsi.

Maka untuk memastikan masyarakat menerima pelaksanaan hukum ini, pendidikan harus diberikan kepada masyarakat. Mulakan kepada Muslim kemudian teruskan kepada masyarakat non-Muslim.

Islam adalah agama nasihat, Islam adalah agama ilmu. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ

Ertinya: “Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, Dia (Allah) akan menjadikannya faham tentang agama.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Cuba kita lihat dari sudut yang lain iaitu kiasan kepada isu hudud apabila diterangkan kepada non-muslim.

Suatu ketika dahulu, isu muamalat islam atau sistem perbankan Islam tidak dikenali dan tidak popular. Tetapi apabila ia dimodulkan dan diperkenalkan serta mencipta kejayaan yang tersendiri, maka sistem perbankan Islam mula mendapat tempat di dunia.

Bahkan antara yang turut melabur dan menyimpan wang menggunakan sistem ini termasuklah non-Muslim sendiri. Mereka memberikan kepercayaan kerana mereka memahami sistem tersebut.

Begitu juga halnya dengan hudud. Fahamkan mereka tentang hudud dan hukum Islam. Kalau mereka mengetahui dan memahami akan keindahan hukum ini, nescaya mereka adalah orang yang bersedia untuk menerimanya.

Wallahua’lam.

http://www.youtube.com/watch?v=8UStLTzL5vc&feature=plcp

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: