Skip to content

Mengenal Islam Kewajipan Individu, Bukan Bergantung Pada Parti

Ogos 26, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Baru-baru ini kita melihat fenomena artis bertaubat dan masuk politik. Yang merisaukan ialah selepas mereka masuk politik mereka terus jadi ustaz, ustazah, bagi kuliah dan ceramah. Mohon pandangan ustaz tentang perkara ini.

Jawapan:

Bismillah, alhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah, amma ba’d.

Memang kita lihat akhir-akhir ini telah menjadi satu fenomena artis menyertai politik sama ada politik yang pro kerajaan ataupun pro pembangkang. Apa yang ingin saya ulas di sini ialah apabila sebahagian daripada artis-artis ini mula mengulas dan bercakap tentang agama.

Sebenarnya untuk bercakap tentang agama perlu ada autoriti. Autoriti yang saya maksudkan di sini adalah ilmu, bukan status. Bukan syarat untuk bercakap tentang agama itu mesti professor, bukan syarat untuk bercakap tentang agama itu mesti Dr., tetapi yang bercakap tentang agama hendaklah dia memiliki ilmu pengetahuan.

Disebut oleh Nabi SAW di dalam hadis tentang satu tanda-tanda akhir zaman,

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dari hamba-hambaNya sekaligus, tetapi Dia akan mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. Sehingga ketika tidak tersisa orang ‘alim, pada ketika itu manusia mengambil orang-orang yang jahil, maka orang jahil itu ditanya tentang agama kemudian mereka mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Mereka ini sesat dan menyesatkan orang lain.” (riwayat Imam Al Bukhari)

Mereka sesat dan menyesatkan kerana asasnya tidak memiliki ilmu. Merupakan hal yang positif apabila kita melihat para artis bertaubat, alhamdulillah. Saya tidak mengatakan semua artis itu tidak baik, saya tidak bermaksud sedemikian rupa. Apabila sebahagian daripada mereka menyatakan taubat kepada Allah SWT, ini satu hal yang sangat positif, cuma masalahnya ialah apabila taubat itu dikaitkan dengan politik.

Contoh, apabila sebahagian mereka menyebut, “dengan saya menyertai parti politik tertentu, saya baru mengenal Islam.” Ataupun, “apabila saya menyertai parti politik tertentu barulah saya dapat mendidik anak saya dengan baik.”

Saya ingin mengulas hal ini sedikit agar kita faham. Sebenarnya bukan syarat untuk kita mengenal Islam dengan kita menyertai parti politik tertentu. Tugas mengenal Islam adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu muslim. Jika demikian, bagaimana dengan orang yang di luar daripada negara ini; orang yang di Syria, Jordan, Amerika, adakah mereka menyertai parti politik baru mereka mengenal Islam?

Mengenal Islam adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu Muslim. Setiap individu wajib menuntut ilmu. Kata Nabi SAW,

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

“Menuntut ilmu merupakan kewajipan atas setiap muslim.” (riwayat Ibnu Majah, dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Ibni Majah)

Maka orang yang bertaubat mesti memastikan dirinya menuntut ilmu agar taubatnya itu konsisten.

Satu lagi yang menarik ialah apabila seorang dari kalangan mereka berkata “saya menyertai parti politik ini kerana anak-anak saya telah rosak disebabkan suatu ketika dulu parti kerajaan (UMNO) telah merosakkan anak-anak saya.”

Saya bukan hendak mempertahankan UMNO dalam hal yang seperti ini, tetapi saya mengira tugas dan tanggungjawab yang perlu dipersoalkan dan perlu dia muhasabah adalah tugasnya sebagai ibu bapa. Firman Allah SWT,

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun.” (surah An Nahl: 78)

Dalam hadis Nabi bersabda,

فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Jadi ianya tugas ibu bapa, bukan tugas parti politik, UMNO, atau PAS. Ia adalah tugas individu. Individu itu perlu sedar bahawa dia perlu mendidik anaknya menjadi insan yang bertakwa dan dekat dengan Allah SWT. Untuk menyalahkan parti politik, sama ada PAS menyalahkan UMNO atau UMNO menyalahkan PAS, ini pandangan yang sangat tidak relevan.

Jadi saya meminta kepada para artis atau sesiapa pun yang bertaubat, bukan syarat diterima sesuatu taubat itu adalah dengan menyertai politik. Dan bukan syarat untuk bercakap tentang Islam itu kita perlu berada di dalam mana-mana parti politik.

Sebenarnya untuk berkata dan mengulas tentang Islam, syaratnya ialah perlu ada ilmu, iman, amal dan tindakan, barulah kita bercakap dan mengulas tentang agama. Maka saya menyeru kepada sebahagian artis-artis ini agar berhati-hati dalam mengulas sesuatu isu. Berhati-hati dalam berkata-kata tentang agama, kerana setiap perkataan itu dihitung oleh Allah SWT.

Tahniah kepada kalian kerana bertaubat, tetapi usah kaitkan taubat kalian dengan parti-parti politik kerana ia akan memberi kesan dan impak yang tidak baik dalam masyarakat memahami agama.

Wallaahua’lam.

http://www.youtube.com/watch?v=-RN2UlMDpmw&feature=plcp

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: