Usah buang masa mencari hantu
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Ada seorang ini dia selalu keluar TV, dia boleh nampak perkara ghaib, mencari hantu dengan teknologi yang ringkas sahaja seperti kamera infrared dan sebagainya. Dia boleh tahu di mana ada hantu. Setahu saya benda-benda ghaib kita tidak boleh nampak tetapi bagaimana dia boleh nampak?
Jawapan:
Bismillah, alhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah, amma ba’d.
Berbicara tentang isu perkara ghaib, tidak perlulah disebut nama beliau kerana hal ini umum melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan tauhid.
Asasnya Allah SWT menyebut di dalam Al Quran,
لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللَّهُ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang berada di langit dan di bumi mengetahui perkara ghaib kecuali Allah.” (surah An-Naml, 27: 65)
Hanya Allah SWT yang mengetahui perkara ghaib secara mutlak. Adapun hal-hal yang diketahui oleh Nabi SAW tentang syurga dan neraka, itu adalah hasil daripada apa yang Allah SWT sampaikan kepada Nabi SAW melalui Jibril AS, yakni Allah yang maklumkan. Apa yang Allah tidak maklumkan, ianya berada di dalam ilmu ghaib yang tidak akan ada seorang makhluk pun yang mengetahuinya.
Apabila berlaku akhir-akhir ini dakwaan-dakwaan bukan sahaja dari beliau bahkan ramai lagi daripada kalangan yang seumpama dan sealiran dengan beliau yang mendakwa melihat hantu ini seperti ini, jin ini seperti ini, mukanya seperti ini, cara mencarinya seperti ini, sebenarnya satu poin penting sebelum kita berbicara tentang hal ini adalah kita dituntut untuk menjauhkan diri daripada syaitan. Bukan pergi mencari syaitan.
Kita membaca ayat sebelum memulakan bacaan Al Quran, “A’udzubillahi-min-asy-syaithaanir-rajiim (aku berlindung dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam)” adalah meminta agar dijauhkan dan meminta perlindungan daripada syaitan yang direjam.
Ayat Kursiy yang dianjurkan oleh Nabi SAW agar kita membacanya sebelum tidur juga adalah permohonan agar dijauhkan tidur kita itu daripada syaitan, meminta perlindungan daripada Allah SWT. Tetapi mengapa kita pada hari ini sibuk hendak mencari syaitan? Sibuk mengkaji latar belakang dan riwayat hidup mereka?
Kajilah tentang Nabi kita SAW, kajilah tentang Allah SWT, kenalilah Allah SWT, tugas-tugas kita kepada Allah SWT iaitu mentauhidkan Allah dengan cara mengesakan/mentauhidkan Allah pada setiap perbuatan dan ibadat yang kita lakukan kepada-Nya, mentauhidkan Allah pada setiap Nama-nama dan Sifat-sifat-Nya, yakni kita mengesakan Allah dan memutlakkan dalam setiap ibadat yang kita lakukan. Ini sepatutnya tugas dan tanggungjawab setiap individu muslim.
Tanyalah kepada orang-orang yang sibuk mencari hantu, apakah yang mereka kenal tentang Allah SWT? Saya tidak menafikan kewujudan makhluk-makhluk ghaib, saya tidak menafikan kewujudan jin dan syaitan, tetapi membahagikan mereka kepada kumpulan-kumpulan; ini jenis hantu raya, pontianak, pocong dan sebagainya, adakah pernah Barack Obama memaklumkan kepada kita wujudnya hantu raya di US? Adakah pernah kita dengar Queen Elizabeth memaklumkan ada hantu cina di London?
Hantu-hantu ini hanya dikaitkan dengan budaya. Pontianak, hantu raya, hantu susu, tidak pernah pun kita dengar hantu-hantu ini muncul di Jerman. Apa yang hendak saya katakan di sini, itu adalah realiti, hantu-hantu ini direka berasaskan budaya. Kita tidak pernah mendengar dracula muncul di KLCC.
Kita perlu meminta agar dijauhkan daripada syaitan, jadi saya meminta kita semua mendalami dan mengenal Allah SWT, mengenal perkara-perkara ghaib melalui apa yang diajar dan dididik oleh Allah dan Rasul-Nya SAW. Itu sahaja, selebihnya kita tinggalkan, tidak perlu menyibukkan diri mengkaji. Kita mengkaji agama kita, fahami ilmu agama, ibadat, akidah Islam, akhlak Islam, dan syariah, itu yang terpenting sebenarnya.
Kita perlu berhati-hati dalam hal ini sebab sabda Nabi SAW di dalam hadis,
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ سَاحِراً فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ؛ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi dukun atau tukang sihir lalu mempercayai apa yang dikatakannya; maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (riwayat Al-Bazzar)
Ini hal yang serius dan bercanggah dengan akidah maka berhati-hatilah kita dengannya.
Wallahua’lam.
Teks disalin berdasarkan rakaman berikut: