Skip to content

Hentikan Polemik Hudud – Siri 3 (Penutup)

Ogos 29, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Negara Berkebajikan

Berkenaan isu Negara berkebajikan, saya tertarik dengan penjelasan YB Dzul dan juga penjelasan Ustaz Nasruddin Tantawi dalam satu diskusi (bukan debat), saya katakan bahawasanya kalau ciri-ciri negara berkebajikan adalah berteraskan akidah, keadilan, syariah secara menyeluruh yakni pemerintah menunaikan tanggungjawabnya dan rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap pemerintah, saya kira ini satu struktur yang sangat ideal untuk diketengahkan.

Namun masalahnya adalah apabila berlaku pertembungan dengan manifesto Pakatan Rakyat di mana DAP menegaskan bahawa negara berkebajikan yang mereka impikan adalah negara sekular, berlaku di situ kontradiksi antara negara berkebajikan yang menjadi manifesto PAS dan juga kehendak DAP itu sendiri.

Dalam keadaan yang seperti ini, saya kira sama ada Umno dalam Barisan Nasional yang mungkin juga ada pertembungan dengan MCA atau MIC dan sebagainya, mahupun PAS yang bertembung dengan DAP, mungkin akan mula membincangkan isu sekular, di mana ruang-ruang yang boleh diselitkan isu kemaslahatan dan sebagainya.

Walaubagaimanapun saya berpendapat daripada kita sibuk mencari dalil untuk menyatupadukan antara muslim dengan non-muslim, dalil yang lebih banyak mengarah kepada perpaduan umat Islam itu perlu didahulukan. Mengapa kita sesama Islam; sama ada Umno ataupun Pas tidak mencari dalil-dalil ini yang sangat banyak, membacanya dan menyeru kepada perpaduan. Perpaduan yang semestinya perlu ada asas.

Mungkin Pas pernah mengalami satu sejarah lampau dalam isu perpaduan dengan Umno dan sebagainya, yang masing-masing ada pendapat dan pandangan yang tersendiri. Saya kira di dalam isu ini, kalau sekiranya dengan Yahudi sekalipun Allah SWT berfirman di dalam Al Quran,

وإن جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله إنه هو السميع العليم

Maksudnya: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah Al Anfal, 8: 61)

Sekiranya dengan Yahudi pun Allah memerintahkan sedemikian rupa, apatah lagi dengan sesama Muslim. Saya berpendapat tidak semestinya penyatuan ini dilakukan dengan pembubaran mana-mana parti, tetapi bekerjasama dan tolong bantu dalam hal-hal kebaikan (ma’ruf).

Apa yang saya perhatikan, sangat sukar untuk kita masing-masing duduk di satu pentas dan masing-masing saling mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian bersama. Sebaliknya apabila mendapat pentas, masing-masing akan mula mencari kelemahan dan kekurangan pihak lawan untuk menjadikannya senjata bagi mendapatkan kemenangan politik. Wallaahua’lam.

ISA/OSA, korupsi, rasuah

Saya tertarik dengan ulasan tadi yang disebut sebagai qawaa’id al-fiqhiyyah. Ia berkaitan dengan pemerintahan, yakni kaedah “tindakan pemimpin ke atas urusan rakyatnya bergantung kepada kemaslahatan”.

Mana-mana pemimpin yang naik akan melihat isu seperti ini. Saya tidak menyokong (ISA), tetapi saya katakan mungkin bagi pemerintah yang memerintah sebelum ini, mereka melihat ISA itu sebagai satu kemaslahatan. Mungkin pemerintah yang sekarang melihat ISA itu satu masalah dan dia menghentikannya dan mendatangkan satu akta keselamatan yang seterusnya.

Ia timbul dengan pelbagai penilaian dan pelbagai kaedah melihat. Kalau dilihat pada maqasid syar’iyyah sendiri, ulama mentakrifkan maqasid syar’iyah sebagai “hikmah-hikmah yang menggambarkan tujuan pembuat syariat (Allah dan Rasul)”.

Maksudnya hukum hakam syariah ini sangat luas merangkumi dharuriyyat, hajiyyat, tahsiniyyat, manakala dharuriyat adalah keperluan-keperluan yang sangat diperlukan untuk menjaga agama, akal fikiran, jiwa, maruah dan juga dikaitkan dengan nasab keturunan. Lima perkara ini adalah perkara sangat diperlukan, sebab itu ia menuntut kepada tindakan tertentu.

Maka pemimpin akan melihat menerusi kaca mata yang luas. Soal isu ketirisan, korupsi, rasuah, dan sebagainya, pada pandangan saya, saya bersetuju bahawasanya perkara seperti ini adalah haram di sisi syariat. Kita tidak pernah bersetuju dan tidak pernah menyokong hal seperti ini. Cuma untuk menjadikan ia sebagai satu dalil dan menjadikan good governance dengan mengambil contoh negara-negara barat pada hari ini, kita perlu lihat bahawasanya Allah SWT Maha Adil.

Allah SWT menguji mereka dengan menjadikan mereka lebih dan berjaya pada isu bersifat fizikal. Mereka berjaya membentuk masyarakat yang terbuka dalam mengkritik dan dikritik, dan membentuk masyarakat yang bersifat terbuka. Namun pada masa yang sama mereka menghadapi masalah keruntuhan akhlak dan keruntuhan akidah di mana isu ini lebih besar.

Bahkan Nabi SAW sendiri memuji kaum Rum. Nabi SAW bersabda,

تَقُومُ السَّاعَةُ وَالرُّومُ أَكْثَرُ النَّاسِ

Ertinya: “Berlakunya kiamat dan bangsa Rom adalah yang paling banyak jumlahnya.” (riwayat Imam Muslim)

Antara sifat-sifat yang mana Nabi memuji kaum Rom ini adalah mereka tidak boleh berdiam diri dengan kezaliman pemerintah. Maksudnya mereka bertindak atas setiap kezaliman. Walaubagaimanapun itu tidak bererti bahawasanya kita boleh bertindak melebihi batas-batas syariat kerana sebagai Muslim kita mempunyai batas, akhlak, dan etika yang perlu kita praktikkan.

Kita juga tidak boleh menjadikan isu ini untuk menafikan kebaikan-kebaikan yang sedia ada. Isu ini perlu diselesaikan secara bersama kerana ia bukan berasal dari satu polisi. Ia adalah sikap golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab.

Saya yakin bahawasanya sangat tidak adil untuk mengatakan isu seperti ini hanya wujud di dalam Umno sahaja. Perkara seperti ini membabitkan cinta dunia, takut kepada mati, menjadi hamba kepada wang ringgit dan seumpamanya, dan orang yang seperti ini ada di dalam mana-mana kelompok, parti politik dan sebagainya, sebab Allah SWT dan Nabi SAW menceritakan tentang insan secara keseluruhan tanpa mengklasifikasikannya hanya di dalam kelompok tertentu. Sabda Nabi SAW,

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ

Ertinya: “Binasalah hamba dinar dan hamba dirham..” (riwayat Al-Bukhari no. 2887)

Jadi saya sendiri secara prinsipnya bersepakat untuk bersama-sama membantu dalam memastikan gejala-gejala seperti ini tidak ada lagi di dalam negara kita sama ada dari pihak kerajaan ataupun dari orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan juga dari mana-mana parti politik yang lain secara keseluruhannya.

Kita inginkan hal yang seperti ini ditanggalkan dalam urusan negara begitu juga dalam hal yang berkaitan dengan politik semasa.

Politik mengurus perselisihan & Konvensyen hudud Umno-Pas

Saya suka untuk mengambil terjemahan politik dalam kitab-kitab di mana para ahli ilmu mentakrifkan politik sebagai;

تدبير الشيء والقيام عليه بما يُصلحه

Ertinya: “Mentadbir sesuatu dan bangkit mempertahankannya dengan sesuatu yang dapat memperbaiki keadaan.”

Maksudnya politik ini merupakan satu tadbir urus untuk memperbaiki keadaan pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Jadi untuk mengehadkan sesuatu program atau konvensyen kepada Umno atau Pas sahaja, itu sangat tidak relevan sebab ia akan terus menerus menjadi polemik.

Oleh kerana itu kita perlu membukanya kepada perbincangan, bermula dengan pihak-pihak atasan. Pihak-pihak atasan ini bermula daripada penguatkuasa, peguam syar’i, pakar-pakar perlembagaan, diterajui oleh Raja-raja, juga disertai oleh ahli-ahli politik dari pelbagai parti, NGO dan seterusnya. Kelompok-kelompok inilah yang akan berbincang secara telus dan terbuka tanpa ada prejudis, sebab ini semua adalah untuk kepentingan umat Islam.

Kita sendiri mengiktiraf Islam sebagai Ad-Deen yang bersifat universal. Jadi apabila berlaku pertembungan antara dua parti ini, walaupun ianya bersifat checks and balances, kita berharap pertembungan-pertembungan ini memberi kesan positif kepada perpaduan umat Islam. Kita tidak mahu pertembungan-pertembungan ini terus menerus menjadi punca kepada perbalahan dan perpecahan Umat Islam. Wallahua’lam.

Sumber: Program Bual Bicara Let’s Talk, MOBTV.

Advertisements
Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: