Usrah bagaimana yang dibolehkan
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Usrah bagaimana yang dibolehkan?
Jawapan:
Bismillah.
Istilah usrah ini sekadar nama yang digunakan untuk menggambarkan satu majlis ilmu yang dibuat dalam kelompok kecil. Jika dilihat dari sudut pendalilan dari hadis Nabi SAW, Nabi sering berhimpun dengan sahabat-sahabat dan isteri-isterinya, antara yang jelasnya seperti dalam hadis Jibril AS yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di mana pada ketika itu Nabi sedang duduk bersama para sahabat kemudian Jibril datang dalam rupa bentuk manusia bertanya kepada Nabi tentang Iman, Islam dan Ihsan. Ini semua adalah contoh kelompok kecil di mana kelompok tersebut berbincang dan berbicara tentang ilmu.
Juga hadis tentang hak-hak jalan di mana Nabi lalu di jalan dan melihat sahabat-sahabatnya duduk di tepi jalan lalu baginda bersabda,
إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi duduk-duduk di jalan.” Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami duduk-duduk untuk berbincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang makruf serta mencegah dari kemungkaran.” (riwayat Imam Al-Bukhari nombor 2285)
Maka tidak ada masalah untuk duduk berbincang dalam kelompok kecil, tidak kisah dengan nama apa; usrah, halaqah, gang, kumpulan belajar, dan sebagainya tetapi yang penting adalah pengisian usrah itu sendiri.
Pengisian Usrah
Pengisian usrah adalah perkara terpenting yang perlu diberi perhatian khusus sebelum memulakan sebarang bentuk usrah. Apakah yang hendak dibincangkan di dalam usrah? Adakah motivasi, membangkitkan semangat terhadap agama?
Usrah mestilah membincangkan tentang ilmu. Para sahabat berbincang tentang ilmu, Nabi SAW berbicara tentang ilmu. Adapun semangat datang sekali sekala. Nabi menyebut di dalam hadis,
إن لكل عمل شرة وإن لكل شرة فترة
Maksudnya: “Sesunguhnya setiap amalan memiliki masa semangat dan setiap masa semangat memiliki masa putus asa (futur).” (riwayat Al Bazzar)
Kita tidak akan dapat membuat orang konsisten dengan mana-mana gerakan, pertubuhan, atau pegangan kalau kita tidak boleh memahamkan mereka dengan ilmu. Tanpa ilmu mereka tidak akan konsisten sebab mungkin pada masa akan datang ada orang yang boleh memberikan semangat kepadanya maka dia akan berpindah mengikut orang lain.
Apabila berjumpa orang lain yang memberi semangat, dia akan berpindah lagi. Tiba-tiba hilang semua semangat kerana datang urusan-urusan lain seperti hendak bernikah dan hal-hal lain. Maka semuanya akan terhenti di situ sahaja.
Oleh itu semangat bukan perkara yang perlu diutamakan kerana semangat akan datang sendiri setelah seseorang itu memiliki ilmu. Ilmu yang akan memastikan seseorang itu konsisten di atas mana-mana perjuangan.
Kaedah usrah
Perkara kedua terpenting adalah kaedah usrah dijalankan. Usrah hendaklah dijauhkan daripada perkara-perkara yang tidak syar’i seperti menetapkan majlis dimulakan dan ditutup dengan bacaan-bacaan atau ibadah tertentu (unsur-unsur bid’ah), bercampur lelaki dan perempuan, dilakukan secara rahsia dan seumpamanya.
Majlis usrah tidak boleh dijalankan secara rahsia kerana ilmu tidak boleh disembunyikan. Sabda Rasulullah SAW,
من كتم علماً ألجم يوم القيامة بلجام من نار
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyembunyikan ilmu, Allah SWT akan mengekangnya dengan tali kekangan dari api neraka.” (riwayat Al Hakim)
Ilmu perlu didedahkan, biar orang lain datang belajar dan mendengar bersama-sama. Mengapa perlu dilakukan secara rahsia dan menyekat orang lain daripada ilmu? Kalau betul kita menyampaikan ilmu agama yang benar, panggil semua orang datang usrah bersama kerana asas agama perlu disampaikan.
فَلْيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
Maksudnya: “Hendaklah orang yang menyaksikan menyampaikan kepada yang tidak hadir.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Asasnya agama perlu disampaikan, tidak boleh disembunyikan. Firman Allah SWT,
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang melaknat.” (surah Al-Baqarah : 159-160)
Jadi berhati-hatilah dalam menyebarkan sesuatu fahaman atau perkara. Jangan sembunyikan kalau apa yang kita sampaikan itu adalah kebenaran. Kalau ianya ilmu, sampaikanlah kepada orang ramai agar ianya dapat dimanfaatkan.
Kelemahan dalam usrah
Akan berlaku kekurangan dan kelemahan di dalam usrah apabila pengisiannya lemah, lari daripada ilmu, dan lari daripada akidah. Akidah perlu dijadikan asas pengisian di dalam mana-mana usrah. Mungkin ada yang akan berkata orang tidak minat untuk mendengar soal akidah.
Minat atau tidak minat bukan soalnya tetapi kepentingan dan kedudukan agama menetapkan bahawasanya akidah adalah perkara paling penting dan yang paling utama.
Pendekatan dan bagaimana ilmu akidah itu disampaikan; sama ada melalui tafsir atau hadis maka itu terpulang pada ilmu masing-masing tetapi isi kandungan usrah tidak boleh lari daripada akidah kerana akidah akan membentuk manhaj dan cara manusia beragama. Itu yang paling penting.
Wallahua’lam.
Teks disalin berdasarkan rakaman berikut: