Skip to content

Surat Ajakan Muzakarah: Jawapan Ustaz Fathul Bari terhadap kenyataan TG Nik Aziz

Ogos 30, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala aalihi wa shahbihi wa man waalah, amma ba’d.

Merujuk kepada teguran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 29 Ogos 2012 terhadap iLMU tentang perutusan surat kami kepada beliau pada 6 Jun baru-baru ini, saya ingin memberikan beberapa penjelasan kepada umum agar kita semua faham keadaan sebenar.

Pertama sekali, tujuan kami mengutuskan surat tersebut kepada beliau adalah bertepatan dan bersesuaian dengan petunjuk Nabi SAW apabila Nabi SAW mengutuskan surat kepada pembesar-pembesar Yahudi, Maharaja Rom, Maharaja Parsi, sebagaimana kata Nabi SAW dalam satu rangka dakwah beliau,

لَوْ آمَنَ بِى عَشْرَةٌ مِنْ أَحْبَارِ الْيَهُودِ لآمَنَ بِى كُلُّ يَهُودِىٍّ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ

Ertinya: “Seandainya sepuluh pemuka agama Yahudi beriman kepadaku, sungguh semua orang Yahudi di muka bumi ini akan turut beriman padaku.” (riwayat Ahmad. Syaikh Syu’aib Al Arnauth menilai hadis ini sahih lighairihi)

Maka begitu juga kami daripada Ilmu mengambil langkah mengutus surat kepada beliau bertujuan; pertama, melaksanakan tuntutan-tuntutan Nabi SAW dalam menasihati, bermuzakarah, berbincang dan sebagainya.

Kedua, kami mengutuskan surat tersebut sebagai satu langkah menghormati beliau sebagai orang yang lebih tua. Sabda Nabi SAW,

مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيْرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيْرَنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Ertinya: “Barangsiapa yang tidak mengasihi yang lebih kecil dari kami serta tidak menghormati yang lebih tua dari kami bukanlah daripada golongan kami.” (riwayat Al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad)

Jadi atas asas kasih kami kepada beliau kerana orang yang lebih tua daripada kami dan lebih senior, kami mengutuskan surat kepada beliau seperti mana kami mengutuskan surat kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir, dan Alhamdulillah, surat kami berjawab dengan beliau menjemput kami menghadiri perbincangan bersama-sama dengan beliau di Yayasan Al-Bukhary beberapa bulan yang lalu.

Ketiga, kami mengutus surat tersebut juga kerana di atas kapasiti beliau sebagai seorang pemimpin, Menteri Besar Negeri Kelantan di mana apabila beliau pernah mengeluarkan kenyataan di dalam Sinar Harian juga pada beberapa bulan yang lalu tentang ajakan bermuzakarah.

Maka kami mengutus surat tersebut atas ajakan beliau sebagai seorang pemimpin, Menteri Besar Kelantan dan yang keempat, sebagai pemimpin politik, Mursyidul Am PAS.

Maka saya kira empat faktor yang menjadi penyebab dan punca kami mengutus surat sangat jelas. Jadi tidak perlu timbul soal ‘Siapa Fathul Bari’. Memang tidak pelik kalau Tuan Guru tidak mengenali saya tetapi sangat pelik kalau saya tidak mengenali beliau.

Saya juga mengira tidak timbul perkataan seperti tidak perlu dibisingkan di dalam akhbar kerana pada hari ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menegur saya dan juga Sekretariat Ilmuan Malaysia secara jelas di dalam akhbar.

Dan sangat jelas dinyatakan bahawa tujuan surat diutuskan adalah untuk berbincang. Tidak ada unsur menghina, merendah-rendahkan, mencaci maki dan sebagainya.

Perlu juga diketahui bahawasanya komunikasi saya dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz antara rakyat bawahan – marhaen – dengan pemimpin (menteri) jadi saya mengikuti prosedur yang ada. Saya bukan berhubung dengan orang marhaen juga, saya bukan berhubung dengan tok guru pondok, tetapi saya berhubung dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang memegang jawatan Menteri Besar Negeri Kelantan.

Jadi saya cuba mematuhi dan menghormati prosedur iaitu melalui surat yang diutuskan. Dan seperkara lagi yang perlu saya muasabah juga, surat tersebut TG Nik Abdul Aziz katakan bahawa beliau belum membacanya.

Saya tidak menafikan mungkin berlaku masalah seperti surat tersebut tidak sampai ke tangan beliau. Namun pihak kami telah menghantar sendiri surat tersebut ke Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur pada 6 Jun dan dicop di sana dan saya tidak pasti bagaimana surat tersebut boleh tidak sampai kepada beliau.

Saya tidak nafikan kesibukan beliau, mungkin surat terlalu banyak dan sebagainya. Jadi sebelum membuat sebarang komentar terhadap surat tersebut, saya meminta jasa baik pihak TG Nik Abdul Aziz agar membaca surat tersebut agar beliau jelas isu yang sebenarnya iaitu ajakan bermuzakarah, bukan untuk berdebat, bertengkar atau merendah-rendahkan.

Kami menghormati beliau sebagai seorang ilmuan, sebagai seorang pemimpin parti politik, sebagai seorang Menteri Besar Kelantan, dan yang lebih penting sebagai seorang yang senior dan yang lebih tua daripada kami.

Hal yang sama kami lakukan terhadap Tun Dr. Mahathir dan kami telah mendapatkan jawapan dan pandangan yang positif daripada beliau dan kami juga mengharapkan pandangan dan jawapan yang positif daripada TG Nik Abdul Aziz dan saya menunggu tarikh yang diberikan kepada kami untuk kami datang berbincang, bermuzakarah, berdiskusi bersama-sama dengan Tuan Guru moga kami mendapat manfaat daripada ilmu beliau untuk mendidik dan menjadikan kami generasi yang baik dan cemerlang seterusnya.

Wallahua’lam.

Teks disalin berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=l1PGKRpGL-s&feature=player_embedded

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: