Skip to content

Hudud: Jangan ulas jika tidak faham

September 4, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Bismillah, wassolatu wassalaamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala aalihi wa shahbihi wa man waalaah, amma ba’d.

Akhir-akhir ini kita lihat di media, akhbar, dan sebagainya masing-masing berbicara dan berbincang tentang isu hudud. Nasihat kepada diri saya dan kita semua adalah agar lebih berhati-hati ketika mengulas isu-isu yang seperti ini.

Biarlah orang-orang yang ada ilmu dan asas sahaja mengulas tentang hal tersebut, iaitu tentang hal hudud ini secara khususnya kerana kita bimbang sabda Nabi SAW terkena ke atas diri kita sendiri. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ يَأْتُونَكُمْ مِنْ الْأَحَادِيثِ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلَا آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لَا يُضِلُّونَكُمْ وَلَا يَفْتِنُونَكُمْ

Ertinya: “Akan ada di akhir zaman para Dajjal Pendusta membawa hadis-hadis kepada kalian yang mana kalian tidak pernah mendengarnya dan bapa-bapa kalian juga belum pernah mendengarnya. Maka waspadalah terhadap mereka. Jangan sampai mereka menyesatkan kalian dan jangan sampai mereka memfitnah kalian.” (riwayat Imam Muslim)

Begitu juga di dalam hadis lain iaitu sabda Nabi SAW,

إِنَّهَا سَتَأْتِي عَلَى النَّاسِ سِنُونَ خَدَّاعَةٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا اْلأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَـا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Ertinya: “Sesungguhnya akan datang pada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan, seorang pembohong dikatakan benar dan seorang yang jujur dianggap berbohong, seorang pengkhianat dikatakan amanah dan seseorang yang amanah dianggap khianat, dan pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ditanyakan kepada baginda, “Siapakah Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang yang lekeh (tidak ada ilmu) berbicara tentang urusan manusia (umat).” (Musnad Imam Ahmad)

Jadi kita harus berhati-hati. Saya bimbang melihat ada orang yang mengulas tentang hudud, contohnya “hudud ini hanya untuk zaman Nabi, bukan untuk zaman kita”. Saya kira orang yang mengungkapkan perkataan-perkataan seperti ini perlu bertakwa.

Allah SWT menyebutkan di dalam Al Quran tentang qisas iaitu sebahagian daripada hukum jenayah Islam,

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِيْ الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya: “Dan bagi kalian hukum qisas itu adalah satu kehidupan, wahai orang-orang yang berfikir (mendalami), supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 179)

Para ulama di antaranya Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin membahaskan mengapa Allah menamakan hukum qisas sebagai satu hayah (kehidupan) sedangkan secara mudahnya, jika seseorang itu membunuh orang dan hukumannya adalah membalas balik bererti kita mematikan yakni mengurangkan kehidupan.

Mengapa Allah SWT menyatakan qisas (hukum balas balik) itu menambahkan yakni memberikan kehidupan?

Kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin, apabila qisas itu ditegakkan (dilaksanakan), ia akan membantu memberi kehidupan kepada orang lain. Maksudnya adalah apabila seseorang itu membunuh manusia, dia pula yang akan dibunuh. Maka kuranglah pembunuhan-pembunuhan pada masa yang akan datang.

Ini merupakan keindahan dan kecantikan hukum Islam yang sesuai pada semua zaman, semua tempat, dan semua keadaan.

Kita pada masa ini, dalam konteks Malaysia, kita bukan berbincang tentang setuju atau tidak setuju akan perlaksanaan hukum ini, tetapi kita berbincang tentang faham atau tidak faham tentang hukum ini.

Jadi biarlah ulasan-ulasan tentang isu ini hanya datang dari orang yang faham tentang hukum ini, kerana jika tidak, ia boleh mendatangkan perkara yang sangat-sangat bahaya iaitu perpecahan, berkata sesuatu tentang agama yang tidak diketahui dan sebagainya. Ini merupakan satu hal yang sangat-sangat serius.

Nabi menjanjikan keburukan bagi golongan-golongan yang berkata sesuatu yang tidak mereka ketahui. Bahkan Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, segala sesuatu itu akan dipertanggungjawabkan.

Atas asas itu, Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU) mengambil langkah untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat Muslim dan juga non-Muslim dalam isu hudud ini secara khusus dan isu hukum Islam secara umumnya dalam jelajah yang akan kita lakukan iaitu jelajah hudud.

Wallaahua’lam.

http://www.youtube.com/watch?v=Lj_-egf8hFk&feature=plcp

From → Fiqh & Syariah

One Comment
  1. Wan Mohd Aidil Mukhtar permalink

    Masalah timbul apabila mereka yg didakwa sbgai pejuang hudud utk lebih 40 tahun lalu pun gagal memberi pemahaman @ memahami sendiri tentang isu itu. Hari ini, apabila akses maklumat rakyat adalah tinggi, dan mereka boleh membuat perbandingan antara maklumat yg diterimanya, maka timbullah kekeliruan (kerana maklumat bercanggah &n pelbagai versi) atas isu hudud. Sy rasa, kita tidak boleh menghalang orang lain drpd berfikir dan memberi pendapat (atas sesuatu isu) kerana ia merupakan salah satu proses pembelajaran bagi pemahaman mereka sendiri jg. Yang silap ialah, apabila kita sendiri (pemerintah @ pejuang hudud) itu yang gagal memberi kefahaman yg jelas. Sy percaya, jika rakyat faham dgn jelas, mereka akan sendirinya berhenti drpd memikirkannya, mengulas mahupun memberi pendapat peribadi masing2 berkenaan isu itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: