Kuasa & negara makmur untuk orang beriman
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Bismillah, wassolatu wassalaamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala aalihi wa shahbihi wa man waalaah, amma ba’d.
Menyebut tentang negara yang makmur, saya suka membawa firman Allah SWT di dalam surah Saba. Allah SWT menceritakan kepada kita tentang penduduk negeri Saba,
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَى أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ
Ertinya: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ di tempat kediaman mereka ada tanda (kekuasaan Tuhan) iaitu dua buah syurga (kebun) di sebelah kanan dan kiri. (Kepada mereka dikatakan), “Makanlah dari rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) berbuah pahit, pohon cemara dan pohon bidara.” (surah Saba, 34: 15-16)
Dari ayat ini dapat kita fahami beberapa ciri-ciri negara makmur yang cuba digambarkan oleh Allah SWT dan kemudian kita cuba kiaskan dengan realiti negara kita pada hari ini. Allah apabila menceritakan tentang penduduk Saba menyebut pada tempat tinggal mereka itu ada bukti kekuasaan-Nya.
Bukti yang pertama adalah tempat tinggal mereka. Sesebuah negara yang berpenghuni mesti ada rumah iaitu tempat kediaman. Sama ada besar, kecil, dhaif atau hebat itu terpulang, yang penting ada tempat kediaman. Tempat kediaman penduduk Saba adalah hebat.
Kedua, jannatan (dua syurga) bermaksud kebun atau taman, iaitu kawasan-kawasan pertanian secara khususnya sebab ayat yang berikutnya menyebut “makanlah dari rezki Tuhanmu”. Secara umumnya ia merujuk kepada sudut ekonomi.
Maka dapat difahami bahawa sebuah negara itu dikatakan makmur apabila tempat tinggalnya aman, selamat, damai, dan dari sudut ekonominya baik.
Ketiga, disebutkan oleh Allah SWT “baldatun thoyyibah” yakni negeri yang baik. Imam Ibn Katsir menukilkan pendapat ulama tafsir ketika mentafsirkan erti baldatun thoyyibah menyatakan betapa baik, aman dan selamatnya negeri ini sehingga tidak dilihat pada negeri itu walau seekor lalat, kala jengking (haiwan berbisa), bahkan nyamuk pun tiada.
Maksudnya, benda-benda seperti haiwan-haiwan, serangga-serangga berbisa tiada di negeri Saba. Betapa aman dan damainya negeri Saba, satu contoh negeri yang makmur.
Begitulah realiti keamanan fizikal yang digambarkan oleh Allah SWT tentang Negeri Saba dari sudut tempat tinggalnya, keamanan dan kedamaiannya, serta ekonominya yang maju. Jika diambil lagi sokongan ayat yang lain, di dalam surah Al-Quraisy yang kita selalu baca, Allah SWT berfirman,
لإِيلاَفِ قُرَيْشٍ {1} إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَآءِ وَالصَّيْفِ {2} فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ {3} الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَءَامَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ {4}
Ertinya: “Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, kebiasaan mereka bepergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah). Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.” (surah Al-Quraisy, 106: 1-4)
Dari ayat ini, ciri-ciri negara yang baik itu adalah apabila Allah SWT memberikan makan kepada mereka, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan. Tidak ada orang mati kerana kelaparan yang serius, negara dibebaskan daripada ketakutan, maka inilah yang Al-Quran gambarkan kepada kita.
Realiti Malaysia
Kembali kepada realiti kita pada hari ini, dalam keadaan sekarang. Keburukan-keburukan di negara kita ada, antaranya seperti masalah sosial, pembuangan anak, tuntutan seksualiti merdeka, tuntutan untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jantina, memberi sokongan kepada golongan yang memperjuangkan gay, lesbian dan sebagainya.
Ini adalah merdeka pada takrifan sebahagian kelompok yang salah faham dengan kemerdekaan yang digambarkan oleh Islam. Sebab itu apabila kita berhadapan dengan situasi-situasi seperti ini, kita perlu mensyukuri nikmat-nikmat yang telah sedia ada. Kata Nabi SAW,
لا يشكر الله من لا يشكر الناس
Maksudnya: “Tidaklah bersyukur kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (riwayat Abu Dawud, dinilai oleh Al-Albani)
Kebaikan yang ada hendaklah kita berusaha mengekalkannya. Pada hari ini kita asyik berbicara tentang apa yang pemerintah boleh berikan kepada rakyat. Kita kurang bertanya kepada pemerintah, “wahai pemimpin, apa yang kamu perlukan daripada kami?”
Saya hendak bawakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Ali bin Abi Thalib RA, khalifah yang keempat setelah Utsman bin ‘Affan. Pada zamannya berlaku pergolakan, di mana Utsman bin Affan dibunuh dan naiklah Ali bin Abi Thalib menjadi khalifah seterusnya. Berlaku juga selisih faham di antara beliau dan Muawiyah bin Abi Sufyan RA, sehingga datang rakyat bertemu dengan Ali bin Abi Thalib dan bertanya,
“Wahai Ali, kalau pada zaman khalifah Umar kami tidak pernah menemui perpecahan, perselisihan, pergolakan, pertumpahan darah seperti ini, mengapa ianya berlaku pada zaman kamu?” Kata Ali bin Abi Thalib RA, “Ketika pemerintahan Abu Bakar dan Umar, aku adalah rakyatnya, tetapi pada zaman pemerintahanku, kalian adalah rakyatnya.”
Perkataan beliau ini seolah-olah menjelaskan firman Allah SWT di dalam Al-Quran,
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Telah nampak kerosakan di daratan dan lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (surah Ar-Rum, 30: 41)
Tangan-tangan kita yang bertanggungjawab untuk memilih, melantik, dan memastikan siapa yang bakal terus menerus mentadbir urus negara ini dengan baik. Saya bukan bukan bercakap soal pilihanraya atau mengundi, yang saya maksudkan adalah tangan-tangan inilah yang mendidik, tangan-tangan inilah yang menyokong, tangan-tangan inilah yang melakukan kebaikan, tangan-tangan ini jugalah yang menolong bantu dalam kebaikan, dan tangan-tangan ini juga yang mengingkari kemungkaran yang berlaku.
Tujuan saya menceritakan keindahan dan kemakmuran negeri Saba tadi bukan bererti kita perlu mengatakan sudah cukup dengan kemakmuran yang ada. Tidak. Kita inginkan lebih. Kita inginkan negara kita maju ke hadapan dari sudut fizikal, pembangunan, dan yang terpenting adalah pembangunan insan.
Kekuasaan bagi orang beriman dan beramal
Oleh kerana itu, jika kita inginkan negara yang aman dan makmur, hendaklah sama-sama kita realisasikan apa yang Allah SWT janjikan di dalam Al-Quran,
وَعَدَ اللهُ الَّذِيْنَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي اْلأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِيْنَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُوْنَنِي لاَ يُشْرِكُوْنَ بِي شَيْئًا
Ertinya: “Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal shalih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.” (surah An-Nur, 24: 55)
Allah tidak berjanji kepada orang munafiq, penipu, atau orang yang benci kepada Islam, tetapi Allah menjanjikan kepada orang beriman dan beramal soleh kekuasaan di atas muka bumi, bahkan Allah akan memperkukuhkan kekuasaan tersebut, dan Allah akan menjadikan agama yang Allah redhai iaitu Islam sebagai agama utama dan pegangan bagi mereka, bahkan Allah akan tukarkan segala kekacauan, huru hara kepada keamanan yang berpanjangan. Syaratnya adalah janji ini Allah hanya tunaikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh.
Maka saya menyokong bahawa pembentukan insan membentuk jatidiri orang yang beriman kepada Allah dan yang beramal soleh. Perkataan beramal soleh merangkumi seluruh aspek kehidupan kerana Islam itu sebagai Ad-Deen, cara hidup. Seluruh tindakan, kebaikan, selama mana kita berada di atas neraca timbangan Al Quran dan As Sunnah, maka kita berada di kalangan golongan yang mempraktikkan Islam serta beramal dengan amalan soleh.
Wallaahua’lam.
Disediakan dari rakaman berikut: