Skip to content

Sumber berita boleh dipercayai tentang politik & dunia Islam

September 13, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Sebagai siswa di luar negara, apakah sumber-sumber berita mengenai isu politik di Malaysia atau berita dunia Islam yang ustaz rasa boleh dipercayai dan tidak cenderung kepada mana-mana fahaman?

Jawapan:

Kalian sekarang berada di peringkat mengkaji dan meneliti. Kalian adalah mahasiswa, cendekiawan, cerdik pandai yang suatu ketika nanti akan pulang berada di saf hadapan kepimpinan negara. Mudah-mudahan, insya Allah.

Maka nilai dan adililah isu-isu dengan baik dan cerdik. Kita memang bimbang dengan apa yang berlaku, wujudnya sikap-sikap tidak berakhlak di kalangan blogger dan masyarakat umumnya dalam menilai isu. Orang yang berpengajian tinggi seperti kalian tidak mungkin akan bertindak dengan tindakan yang sama. “Tak aci, mereka kata dekat kita, kita mesti balas balik.” Takkan kita pun main aci tak aci, itu perangai budak tadika.

Pertama, jaga akhlak dan adab.

Kita perlu tampilkan sikap yang matang. Sikap seorang muslim dinyatakan di dalam hadis apabila sahabat Nabi bertanya,

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, Islam yang manakah yang lebih utama?” Baginda menjawab, “Iaitu orang yang membuat orang Islam lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Imam Al Bukhari)

Jaga lisan dan jaga tangan, nampakkan kematangan. Sabda Rasulullah SAW lagi,

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: “Bukanlah orang kuat itu orang yang bergaduh, tetapi orang kuat itu adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (riwayat Al-Bukhari no. 5763 & Muslim no. 2609)

Sebab itu kita diajar didik supaya sabar. Apa itu sabar?

الصبر هو الحبْس

Sabar adalah al-habs (penjarakan atau tahankan kemarahan)

Maka tugasan kalian adalah mengambil tahu isu semasa, apa yang berlaku dalam negara, dan membuat perbandingan serta analisa. Jangan tetapkan apa sahaja yang datang dari pihak ini semuanya bohong, apa yang datang dari pihak satu lagi semuanya benar.

Kalau Nabi pernah mengiktiraf syaitan sebagai bercakap benar dalam hadis Abu Hurairah yang mengatakan siapa membaca ayat kursi sebelum tidur maka syaitan tidak akan mengganggunya sehingga bangun keesokan hari, kalau pada syaitan pun ada kebenaran, maknanya kita tidak boleh menghukum mana-mana pihak sebagai bohong kesemuanya. Dan tidak semestinya apa yang kita berpegang dengannya itu betul semuanya.

Ini adalah adab dan sikap kita untuk menganalisa isu semasa, tidak boleh surat khabar ini kita percaya semua, surat khabar lagi satu kita tidak percaya semua. Itu sikap orang yang tidak cerdik dan berpenyakit fanatik dan ghuluw yang berakar dalam jiwanya. Penyakit ini perlu dibuang sebab Nabi berpesan kepada kita,

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Waspadalah kalian dari ghuluw (fanatik/melampau), sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah ghuluw dalam agama mereka.”

Jadi janganlah kita mempunyai kecenderungan untuk mempercayai mana-mana berita sebelum menganalisa kedua-duanya. Kalau ia berkaitan agama, rujuklah kepada ahli ilmu,

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang tahu jika kamu tidak mengetahui.” (surah An Nahl, 16: 43)

Tetapi sekarang ini ramai yang menjadi Ustaz Google. Sebenarnya dia bukan hendakkan jawapan, dia sekadar mencari jawapan yang dia suka, yang dia redha. Bukan dia mencari jawapan yang Allah dan Rasul redha, bukan dia mencari jawapan yang adil. Kita kena ingat Allah memerintahkan kepada kita,

وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئَانُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya: “Janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (surah Al-Maaidah, 5: 8)

Jadi rujuklah sesuatu isu itu kepada orang yang ‘alim (yang memiliki ilmu) yang boleh memberikan jawapan kepada kita dari sudut isu-isu yang berkaitan dengan agama contohnya.

Ini tidak, bahkan sebahagian daripada manusia terlibat dengan melakukan provokasi. Jangan melakukan provokasi. Islam tidak mengajar kita melakukan provokasi. Sebelum ini pernah keluar isu K-Pop, benda yang jelas mendedahkan aurat, menari, bercampur lelaki dan perempuan di sisi Islam adalah haram. Kalian semua faham perkara ini, bukan?

Tetapi mereka begitu marah, menghentam dan mendesak agar dikeluarkan fatwa dan sebagainya. Kemudian tiba-tiba keluar Bertam Night anjuran pihak yang satu lagi menampilkan penyanyi penari berpakaian seksi, semua diam, mengatakan mereka sudah disabotaj dan sebagainya.

Jadi di mana sifat adil dalam menganalisa isu? Jika perbuatan satu pihak itu haram, yang satu lagi pun haram. Satu pihak minta maaf, pihak satu lagi pun perlu minta maaf, selesai masalah. Bukankah senang sebagai orang yang matang dalam menilai isu berfikir seperti itu. Kita bercakap dan menilai maklumat dengan adil. Ini cara orang yang berilmu dan orang yang Allah berikan kepadanya akal. Sebab itu kita berdoa selalu,

اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku, tunjukkanlah kepada kami kebenaran dan kurniakanlah kepada kami rezeki untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan dan kurniakanlah kepada kami kekuatan untuk menolaknya.”

Itu sikap penuntut ilmu dalam berkomunikasi dengan isu-isu semasa. Tanya, kaji, sabar, jangan cepat menghukum, jangan tergopoh-gapah dalam membuat penilaian. Ingat satu lagi ayat,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Di dalam riwayat qiraat yang lain, kalimah تَبَيّن (tabayyun) pada ayat di atas juga disebut تثبت (tatsabbut) dan kedua-duanya membawa pengertian yang berbeza.

Tatsabbut adalah memastikan cerita itu benar atau tidak. Katakanlah nama seseorang itu Ali. Ada orang nampak Ali menaiki kereta dengan seorang perempuan, dan orang itu pun mengambil gambar Ali dan perempuan tersebut dari jauh. Kemudian berita ini tersebar, kita di antara yang menerima berita dan maklumat tersebut. Gambar tersebut dimasukkan ke dalam facebook dan di-tag kepada kita. Bagaimanakah sikap kita?

Nombor satu yang diajar kepada kita adalah tatsabbut, pastikan betul atau tidak cerita itu. Periksa kesahihan gambar tersebut, sama ada edit, super impose, bertanya langsung kepada Ali dan orang terdekat dan sebagainya. Setelah dipastikan itu memang Ali, kemudian diajar kepada kita untuk tabayyun.

Tabayyun bermaksud memastikan adakah sesuatu itu sesuai dengan hakikat apa yang disampaikan. Dalam kes ini, siapakah perempuan yang bersama Ali tadi? Mungkin adiknya, ibu saudaranya. Kadang-kadang benda itu betul, tetapi hakikatnya tidak semestinya betul. Ini sikap ahli ilmu dan orang yang matang dalam menilai isu.

Wallahu-A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah berikut :

Ustaz Fathul Bari: Isra’ Mikraj (part 4/5)
http://www.youtube.com/watch?v=itTr7IYHAIA&feature=plcp

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: