Adab dan etika berdebat
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Mohon komen ustaz tentang berdebat di khalayak ramai.
Jawapan:
Kita kena ingat firman Allah di dalam Al-Quran,
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125)
Maksudnya perdebatan hendaklah dilakukan dengan penuh adab dan etika, bukan bertujuan untuk menang, jauh dari maki hamun, caci maki, tidak mengaibkan dan memalukan. Ini semua merupakan hal-hal yang penting yang perlu diletakkan sebagai garis panduan dalam perdebatan.
Dalam Islam, para ahli ilmu sangat membenci perdebatan kerana dibimbangi orang yang berdebat dengannya itu bukan menginginkan al-haq (kebenaran) tetapi mereka sekadar ingin menang. Jadi mereka akan menggunakan apa sahaja untuk memastikan pihak lawan tersalah, kalah dan tewas.
Maka mereka akan menggunakan kaedah provokasi, membangkitkan isu-isu peribadi, juga hal-hal yang tidak ada kaitan dengan topik perbincangan dan sebagainya. Akhirnya kita mungkin akan termakan dengan ajakannya sehingga turut beremosi dalam menjawab, meninggalkan adab-adab, melakukan sindiran dan terperangkap dalam hal tersebut.
Sebab itu ulama terdahulu sekiranya perlu untuk mereka berdebat, mereka akan meletakkan garis panduan;
- Debat bukan untuk menang tetapi untuk mencari kebenaran;
- Orang yang berdebat hendaklah orang yang ada ilmu, adab, dan etika;
- Apabila kebenaran itu dibuktikan hendaklah menerimanya walaupun terpaksa tewas;
- Moderator hendaklah orang yang tidak mempunyai kecenderungan dan bersikap adil;
- Orang yang hadir hendaklah beradab dan tidak mengganggu majlis;
- Kalau perdebatan di dalam facebook, orang yang tiada ilmu jangan komen, biarlah ia berlangsung dengan suasana ilmiah dan rasa hormat.
Wallahua’lam.
Teks disalin berdasarkan rakaman berikut: