Skip to content

Bajet 2013: Gula-gula untuk rakyat

Oktober 1, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan 1: Saya pasti ustaz dah lihat bajet, minta ustaz komen sedikit.

Jawapan:

Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, amma ba’d.

Bajet yang saya lihat sepintas lalu yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sangat positif dan baik. Sesuai dengan konsep yang Perdana Menteri sebutkan di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman, “Fastabiqul khairat” (berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan).

Kita yang mendengar perlu berterima kasih, khususnya apabila bajet ini menjaga kepentingan dan hak-hak golongan pertengahan dan juga golongan muda. Sabda Nabi SAW,

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Maksudnya: “Tidaklah bersyukur kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (riwayat Abu Dawud, dinilai oleh Al-Albani)

Maka kita bersyukur kepada Allah SWT atas takdir dan ketentuannya kita mendapat kebaikan yang seperti ini, dan kedua, kita berterima kasih kepada yang bersedia memberi dan membantu kita. Wallahua’lam.

Soalan 2: Ada seorang pemimpin yang menyamakan bajet ini seperti tawaran yang diberikan kepada Nabi semasa di Makkah, iaitu ditawarkan kepadanya kekayaan, pangkat dan sebagainya. Lagi satu, mereka katakan ianya hanyalah gula-gula kepada rakyat.

Jawapan:

Yang ditawarkan kepada Nabi SAW iaitu perempuan, pangkat, harta; apa tujuan penawaran itu? Tujuan penawaran itu adalah agar Nabi SAW meninggalkan Islam.

Perkara ini telah diceritakan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Kaafirun, bagaimana Nabi SAW diajar oleh Allah SWT menyatakan seperti di akhir surah tersebut,

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: “Bagi kalian agama kalian dan bagiku agamaku.”

Itu pendirian Nabi SAW. Adapun bajet yang dibentangkan pada hari ini, adakah Perdana Menteri setelah membentangkan bajet tersebut beliau berkata bajet ini diberikan kepada sesiapa yang meninggalkan Islam?

Tidak, maka jangan kita umpamakan dan menyamakan. Masalah sekarang ini adalah kaedah perlaksanaannya. Bajet apabila diberikan kepada jabatan-jabatan tertentu, contohnya kepada Jakim, maka menjadi tanggungjawab Jakim untuk mengurus tadbir urusan agama.

Seorang Perdana Menteri harus melihat seluruh aspek contohnya dari sudut infrastuktur, pendidikan, agama, secara keseluruhan. Sabda Nabi di dalam hadis,

مَا مِنْعَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba pun yang Allah berikan kepadanya beban untuk memimpin, lalu dia mati dalam keadaan menipu orang-orang yang dia pimpin, kecuali Allah akan mengharamkan syurga ke atasnya.” (riwayat Muslim no. 142)

Jadi tanggungjawab ke atas rakyat banyak. Isu gula-gula, nak menawan hati rakyat dan sebagainya, ia bergantung kepada niat orang yang membentangkan bajet.

Tuduhan-tuduhan seperti ini setiap tahun kita dengar. Walaupun sekiranya tuduhan ini benar –wallahua’lam-, saya kira pihak lawan atau yang tidak bersetuju dengan bajet ini, mereka juga ada gula-gula mereka sendiri; contohnya akan menghapuskan PTPTN, menurunkan harga kereta, memansuhkan tol, dan hal yang seumpamanya. Bukankah itu juga merupakan gula-gula untuk menawan hati rakyat?

Jadi sebelum kita menuduh orang, kita perlu lihat diri kita terlebih dahulu. Untuk menghukum hati manusia, sama ada pembangkang atau kerajaan ianya sangat tidak adil.

Sewajarnya kita melihat adakah bajet yang dibentangkan ini dilaksanakan dengan baik. Tunggu bulan Januari 2013.

Soalan 3: Kalau bajet ini baik dan menguntungkan golongan tengah dan golongan muda, kalau ianya tidak dimanfaatkan, ia akan jadi tidak berguna. Apa nasihat ustaz kepada golongan tengah dan golongan muda?

Jawapan:

Saya minta supaya sesiapa saja yang dilibatkan di dalam bajet ini, rakyat Malaysia secara umumnya memanfaatkan bajet ini dengan baik. Contohnya PTPTN, bagi yang membayar secara konsisten, mereka akan mendapat diskaun 10% setahun.

Bagi yang membayar sekaligus dalam tempoh setahun, mendapat diskaun 20%. Ini satu hal yang sangat baik, peluang untuk melunaskan hutang.

Bukankah melunaskan hutang merupakan satu hal yang sangat dituntut di dalam syariat sehingga Nabi SAW pernah menolak untuk melaksanakan shalat jenazah ke atas orang yang berhutang?

Bukankah orang yang berhutang digambarkan di dalam hadis Nabi SAW sebagai orang yang menyakiti dan menzalimi manusia lain?

Bukankah di hujung setiap kali shalat Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar Allah bebaskan daripada hutang?

Kembali kepada konsep yang diketengahkan oleh Perdana Menteri tadi, “fastabiqul khairaat” (berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan). Pihak kerajaan berlumba-lumba buat kebaikan kepada rakyat dengan menyalurkan bajet, pihak rakyat pula perlu berlumba-lumba untuk memanfaatkan bajet yang disediakan.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=L9ClBipcTxA

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: