Skip to content

Tanggungjawab penuntut ilmu terhadap negara

Oktober 2, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Penuntut ilmu mempunyai tanggungjawab, tugas-tugas dan amanah yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

أَدِّ الأَمَانَةَ إِلَى مَنِ ائْتَمَنَكَ وَلاَ تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

Ertinya: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan amanah kepadamu dan janganlah kamu khianati orang yang mengkhianatimu.” (sahih, riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad)

Setiap penuntut ilmu yakni pelajar harus sedar bahawa kita memikul amanah yang sangat besar. Bagi sesiapa yang merupakan pelajar tajaan, maka dia membawa amanah yang besar daripada pihak kerajaan ataupun pihak yang menaja iaitu untuk menyelesaikan pengajian dengan cara yang terbaik. Fokus keutamaan yang perlu diberikan adalah kepada ilmunya. Itu khusus bagi pelajar-pelajar tajaan.

Adapun secara umum kepada semua penuntut-penuntut ilmu sama ada yang ditaja ataupun yang tidak ditaja, umumnya menuntut ilmu merupakan satu kewajipan. Ilmu syar’i merupakan fardhu ain manakala ilmu-ilmu lain adalah fardhu kifayah, kedua-duanya juga merupakan satu kefardhuan. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

« طَلَبُ العِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ »

Ertinya: “Menuntut ilmu adalah kefardhuan bagi setiap individu muslim.” (riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Syaikh Al Albani)

Dalam proses menuntut ilmu, tidak dinafikan apabila kita berhadapan dengan zaman yang maju, canggih, banyak kemudahan-kemudahan untuk kita mendapatkan maklumat, kita lebih bersemangat untuk mengetahui apa yang berlaku di luar sana. Lebih khusus lagi tentang negara kita dan lebih khusus lagi tentang politik. Banyak orang suka bercakap tentang politik.

Saya hendak bertanya, apakah itu politik? Apa yang kita faham tentang politik? Orang politik sekarang ini mengaitkan politik dengan nombor, jumlah, serta bilangan pengikut. Mereka kebanyakannya sering bercakap tentang berapa ramai penyokong yang mereka telah kumpulkan.

Saya hendak membawa kepada politik Islam, seperti mana Nabi SAW bersabda,

كانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي

Ertinya: “Dahulu bani Israil dipimpin oleh para Nabi, dan setiap kali Nabi mereka wafat maka diganti oleh Nabi setelahnya, dan tidak ada Nabi setelahku.” (Muttafaqun Alaih)

Nabi menggunakan perkataan “tasuusu” yang berasal dari perkataan arab “saasa – yasuusu – siyaasatan (siyaasah)”. Maknanya siasah adalah politik. Maksud asas siasah di dalam islam adalah mentadbir atau mengurus sesuatu. Saya hendak menerangkan perkara ini sehingga jelas, sebab ada orang mengatakan politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam, sebab itu mereka menubuhkan parti Islam.

Memang politik di zaman Nabi SAW tidak boleh dipisahkan dari Islam sebab Nabi ada etika dan integriti di dalam berpolitik. Politik kita pada zaman ini adakah politik caci maki, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, seronok mengaibkan dan menjatuhkan orang, cantas mencantas atau cah keting. Jadi adakah politik seperti ini boleh dikatakan sebagai politik Islam? Adakah politik kafir mengkafir, menghukum hati-hati manusia, bersangka buruk kepada orang itu sesuai dikaitkan dengan politik Islam?

Politik Islam tidak seperti itu. Politik Islam merupakan politik yang menghukum secara adil, ada etika dan integriti, menyeru kepada perpaduan dan bukannya perpecahan.

Jadi sekiranya kita pada hari ini berminat kepada politik, mempunyai kecenderungan kepada politik, berminat untuk menganalisa isu-isu politik, sikap kita sebagai penuntut ilmu adalah bertanggungjawab untuk membantu dan mempertahankan kerajaan yang ada.

Mungkin ada yang bertanya mengapa kita perlu pertahankan kerajaan? Bukan saya katakan kita perlu mempertahankan kerajaan secara mutlak, tetapi mempertahankan kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, yang perlu diberikan penjelasan dan penerangan. Bukan sahaja kebenaran pihak kerajaan sahaja, tetapi kita perlu mendidik sifat mempertahankan kebenaran itu kepada semua pihak. Mana-mana pihak yang benar bererti dia betul. Siapa-siapa yang salah dia tetap salah.

Namun politik pada hari ini adalah politik yang sibuk mempertahankan parti masing-masing. Walaupun partinya salah, dia pertahankan. Inilah yang dinamakan asabiyah.

Asabiyah bukan isu melayu sahaja. Mengaitkan asabiyah dengan melayu adalah isu yang dipolitikkan semata-mata. Mempertahankan hak melayu bukan asabiyah, sepertimana Nabi SAW mempertahankan Quraisy, bahkan Nabi meletakkan hak keistimewaan kepada kaum Quraisy apabila Nabi mengatakan,

اَلْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Ertinya: “Para pemimpin itu hendaklah daripada (Bani) Quraisy.” (riwayat Imam Ahmad)

Adakah Nabi rasis atau asabiyah kerana meletakkan syarat bangsanya sebagai pemimpin, dan selain bangsanya tidak boleh menjadi pemimpin? Nabi tidak rasis, tetapi itu adalah hak keistimewaan bangsa Quraisy.

Saya hendak membawakan satu cerita, ketika berlakunya pergaduhan antara orang Muhajirin dan Anshar di mana seorang lelaki di kalangan muhajirin melakukan kasa’ terhadap lelaki Ansar yakni menolak punggungnya dengan kaki ataupun tangan, lelaki Anshar tersebut menyeru kaumnya untuk meminta pertolongan, “wahai kaum anshar!” Apabila lelaki muhajirin mendengar sedemikian, dia pun melakukan hal yang sama memanggil kaumnya, “wahai kaum muhajirin!”

Apabila Nabi SAW mendengarnya, baginda memarahi mereka semua, “Celakalah kamu semua, kenapa kalian memanggil sedemikian rupa? Tinggalkanlah kerana ia perkataan yang buruk.” (muttafaqun ‘alaih)

Inilah asabiyah, amalan jahiliyah kerana disebabkan seruan yang seperti itu, orang yang datang nanti pasti akan membantu kaum masing-masing tanpa mempedulikan siapa di pihak yang benar dan siapa di pihak yang salah. Sebab itu Nabi SAW melaknati orang yang bersikap asabiyah ini dan menyandarkan perbuatan seperti ini kepada amalan Jahiliyah kerana mereka menutup kebenaran untuk mempertahankan kabilah dan bangsa masing-masing.

Pernah datang kepada Nabi SAW seorang wanita Quraisy daripada Bani Makhzum, satu kabilah yang terkenal kaya dan mulia, wanita ini ditangkap dan dibawa kepada Nabi SAW kerana mencuri. Kemudian datang seorang sahabat Nabi memaklumkan kepada Nabi, “Ya Rasulallah, dia dari keturunan mulia (maka lepaskanlah dia).” Kata Nabi, “celakalah kamu, sesungguhnya telah hancur musnah orang yahudi dulu apabila mencuri orang-orang kaya daripada kalangan mereka, mereka lepaskan, tetapi apabila mencuri orang miskin dari kalangan mereka, mereka laksanakan hukum had ke atas orang tersebut.”

Kata Nabi lagi secara jelas di dalam hadis, “sekiranya Fathimah mencuri, aku pasti akan potong tangannya.” (riwayat Imam Muslim)

Maka asabiyah ini adalah menegakkan kemungkaran dan mengenepikan kebenaran kerana kepentingan kelompok masing-masing. Lihat sahaja di penjara di dalam negara kita, bangsa melayu adalah bangsa yang paling ramai menunjukkan kerajaan kita tidak bersikap asabiyah. Pesalah dari kalangan bangsa melayu tetap dikenakan hukuman. Jadi isu asabiyah adalah isu yang tidak perlu ditimbulkan dan tidak perlu dibangkitkan.

Apabila kita bercakap tentang negara kita yang majoritinya adalah orang melayu dan beragama Islam, mempertahankan orang melayu itu menjadi satu kepentingan bagi kita. Ini asas yang perlu kita faham. Tugas dan tanggungjawab kita adalah memperbetulkan kesilapan dan kesalahan. Bagi orang atasan, mungkin mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk memperbetulkan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan. Adapun kita juga sebagai penuntut ilmu, apabila melihat kesalahan, kita harus memperbetulkan kesalahan itu sedaya mampu kita.

Penuntut ilmu perlu bertindak professional

Semua orang perlu memberikan perhatian yang serius. Kita merupakan satu kumpulan, jangan seorang berkata begini, dan seorang berkata begitu. Selaraskan jawapan, bincangkan bagaimana kita hendak memberikan penjelasan dan jawapan. Kemudian daripada jawapan itu setiap orang berperanan menyampaikannya melalui pendekatan yang pelbagai. Secara tidak langsung kita membantu menjawab isu.

Di peringkat pusat sekarang ini, mungkin sebahagian mentaliti mereka menganggap penuntut ilmu ini tidak matang. Maka para penuntut ilmu harus melakukan sesuatu tindakan yang bersifat professional dan lebih matang. Berikan pandangan, nasihat atau pendirian secara bertulis dan professional dan hantarkan kepada pihak yang berkenaan bertujuan untuk membantu kerajaan, supaya pihak sana memandang serius cadangan dan idea yang diberikan.

Isu-isu yang berlaku di dalam negara harus diberi perhatian. Politik harus diluruskan kembali supaya orang-orang yang dikatakan ‘winnable candidate’ ini boleh mengubah benda-benda yang tidak elok, membuat perubahan dan transformasi ke arah kebaikan. Lebih fokus lagi, kita sebagai orang Islam dan orang yang ada ilmu, kita mahukan perubahan dan transformasi turut berlaku di dalam pendekatan agama serta pembudayaan agama di dalam UMNO.

Budayakan agama di dalam UMNO

Kadangkala UMNO terlebih baik hati apabila meletakkan agama di bawah urusan agensi-agensi seperti JAKIM dan lain-lain. Jadi rakyat tidak nampak UMNO melakukan apa-apa untuk agama, sedangkan siapa yang menggerakkan JAKIM, adakah MIC atau MCA? UMNO yang menggerakkan JAKIM tetapi masyarakat tidak melihatnya sebagai satu usaha dan inisiatif UMNO.

Usaha UMNO untuk memartabatkan agama itu telah lama ada pada JAKIM dan agensi-agensi agama yang lain tetapi UMNO sendiri tidak meletakkan jenama agama pada nama partinya. Apabila Umno tidak menggunakan jenama agama, pembudayaan agama perlu diterapkan dan dizahirkan di kalangan ahli-ahli dan penyokong Umno sendiri. Ahli-ahli dan penyokong Umno perlu menunjukkan contoh kerana dalam perlembagaan Umno sendiri menyatakan ingin mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Umno perlu perbanyakkan program keagamaan

Masyarakat sekeliling menilai setiap perbuatan dan tindakan kita. Pendekatan agama pada masa ini semakin mudah. Masyarakat pada hari ini ramai yang ingin mengenali agama, mempelajari Al Quran, dan bersemangat kepada agama. Jadi apabila mereka tidak nampak agama dibudayakan di dalam kerangka organisasi Umno, ia merupakan satu kerugian kepada kita semua.

Organisasi atau kelab-kelab Umno perlu menunjukkan contoh dalam pembudayaan agama di dalam UMNO dengan memperbanyakkan program-program agama dan program-program ilmu, manfaatkan ruang dan peluang yang ada. Mulakan dengan mewujudkan modul-modul yang ringkas untuk membahaskan bab ilmu.

Kumpulan-kumpulan lain banyak membahaskan isu-isu politik dan semangat, kita tidak perlu menyibukkan diri dalam hal itu, kita sibukkan dengan membahaskan ilmu seperti isu prinsip al-wala wal bara di dalam Islam, prinsip ketaatan dan benci di dalam Islam, semua ini merupakan prinsip akidah, bukan isu kecil dan remeh. Bahaskan isu akidah secara detil. Manfaatkan masa dan ilmu yang ada kerana ilmu yang akan memastikan kita konsisten di dalam perjuangan ataupun tidak. Kerana pada masa akan datang para pelajar dan penuntut ilmu inilah yang akan masuk ke dalam kerajaan dan melakukan perubahan.

Kenali keutamaan

Keutamaan kita sekarang ini adalah untuk membetulkan sangkaan buruk atau persepsi kerana politik pada hari ini terbangun dengan persepsi. Sejarah persepsi negatif ini telah banyak bahkan juga disebut di dalam Al Quran, contohnya bagaimana syaitan membentuk persepsi buruk di dalam minda Adam A.S. kepada Tuhan sehingga syaitan berjaya menyebabkan Adam dihalau daripada syurga. Apa yang syaitan buat?

“Maka syaitan menimbulkan was-was kepada keduanya (Adam dan Hawa) agar mereka berdua didedahkan kehormatan mereka yang telah ALLAH tutupi, dan syaitan berkata: `Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga).’ Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. ‘Sesungguhnya aku hanyalah memberi nasihat kepada kamu berdua.’” (surah Al-A’raf, ayat 20-21)

Disebabkan persepsi yang ditimbulkan oleh syaitan dan mempengaruhi Adam dan Hawa, maka Allah SWT menghukum mereka berdua dengan menyingkap kehormatan mereka dan mengeluarkan mereka daripada syurga. Allah memang telah menetapkan Adam dan Hawa turun ke muka bumi, dan ini adalah sebab musababnya sahaja. Sejarah persepsi negatif ini telah wujud sejak di syurga lagi. Jadi tanggungjawab kita adalah membetulkan persepsi negatif yang ditimbulkan.

Sebagai contoh, golongan pembangkang yang dipenuhi minda mereka dengan ideologi kepembangkangan dengan mudah sahaja melontarkan persepsi ke dalam minda masyarakat. Memadai dengan menggambarkan kerajaan menggunakan duit rakyat, semua projek dan segala-galanya menggunakan duit rakyat. Sehingga ke hari ini tidak ada terjemahan dan interpretasi yang jelas tentang maksud duit rakyat. Adakah Perdana Menteri boleh sesuka hati mengambil dan menggunakan duit cukai atau mengambil duit daripada mana-mana akaun untuk kegunaan peribadinya? Sesiapa sahaja yang menjadi perdana Menteri diberi peruntukan untuk ke luar negeri dan urusan-urusan lain. Peruntukan itu telah disediakan tetapi pihak pembangkang dengan mudah menimbulkan persepsi yang negatif seperti ini dan dengan mudah pula dipercayai oleh masyarakat.

Saya bukan hendak mengatakan orang lain tidak betul dan hanya kita sahaja yang betul, tetapi saya hendak mendidik kita semua agar menganalisa setiap isu secara adil dan ilmiah. Yang betul kita katakan betul dan yang salah kita katakan salah. Generasi Y adalah generasi yang bertanya, menganalisa maklumat dan isu, tidak menelan apa sahaja maklumat yang sampai.

Manfaatkanlah ilmu yang kita ada untuk membantu pemimpin-pemimpin untuk kebaikan agama dan negara serta membetulkan kesilapan yang ada, kerana itulah sifat orang yang beriman dan adil. Bukan menggunakan ilmu untuk menghancurkan serta menjatuhkan.

Wallaahua’lam.

Teks disalin dari rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=pGp3ZxgSr9E&feature=plcp

 

 

One Comment
  1. Salam ustaz, saya tertarik dengan gaya ustaz menyampaikan ceramah…ustaz bersederhana dalam kemukakan hujah di samping tegas dalam pendirian…untuk kukuhkan daya tarikan untuk mendengar ceramah ustaz, saya ada cadangan supaya ustaz selitkan sejarah kegemilangan umayyah, abbasiah, dan usmaniah di samping cerita ustaz yang merujuk para salafussoleh terdahulu…ini pendapat saya, kerana ramai golongan muda sekarang tertarik dengan sejarah kegemilangan seperti khalifah muhammad al-fatih, umar bin abdul aziz, khalifah al-makmun….cuma cadangan sahaja dari saya….semoga Allah memberkati perjuangan ustaz…barokallahufeek…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: