Skip to content

Contohi ciri pemuda dari surah Al-Kahfi

Oktober 5, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya 

Allah SWT di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Kahfi berfirman,

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“Kami telah menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan untuk mereka petunjuk.” (Al-Kahfi, 18: 13)

Al-Imam Ibnu Katsir (wafat 774 h.) seorang tokoh ulama tafsir yang terkenal ketika beliau mengulas perkataan fityah (pemuda) menjelaskan bahawa Allah SWT di dalam ayat ini memilih perkataan pemuda kerana pemuda adalah orang yang mudah untuk menerima petunjuk dan kebenaran.

Ini bukan bererti golongan tua tidak menerima kebenaran atau petunjuk, tetapi menurut Imam Ibn Katsir, hal ini merupakan satu kiasan menunjukkan bahawa sistem pentarbiyahan Islam bermula daripada anak kecil.

Maka menjadi satu cabaran bagi generasi muda untuk menjadi sesuai dengan apa yang Allah SWT beritakan tentang mereka di dalam ayat di atas, iaitu; “mereka beriman kepada tuhan mereka” dan hasil daripada iman itu Allah tambahkan petunjuk kepada mereka. Allah menyambung lagi di dalam ayat berikutnya,

وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا مِن دُونِهِ إِلاَهًا لَّقَدْ قُلْنَآ إِذاً شَطَطًا

“Dan Kami meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri , lalu mereka pun berkata, `Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.” (Al-Kahfi, 18: 14)

Kata Al-Imam Ibn Katsir, tafsiran ayat Allah ‘mengikat atau meneguhkan hati mereka’ adalah dengan kesabaran, kekuatan, dan keberanian, kerana itulah mereka berani bangkit dan bangun lantas berkata; ‘Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.’

Dari tafsiran ini dapat difahami bahawasanya ciri-ciri pemuda adalah berani, sabar dan didahului dengan iman. Mereka juga tidak menyeru Tuhan selain daripada Allah SWT dan mereka mengakui bahawasanya sekiranya mereka melakukan hal yang demikian (menyeru Tuhan selain Allah) bererti mereka telah tersasar dari jalan yang benar.

Keberanian pemuda yang dicontohkan dalam ayat ini adalah sekiranya sesuatu perkara itu salah maka mereka berani mengaku salah. Kita sebagai pemuda zaman ini juga seharusnya bukan sahaja berani mengatakan apa yang kita bawa dan gagaskan, bahkan kita juga perlu berani mengakui kesilapan dan kesalahan.

Maka inilah lima ciri-ciri pemuda yang digambarkan di dalam ayat ke-13 dan 14 surah Al-Kahfi; Pertama – iman, kedua – mendapat petunjuk yakni mudah menerima kebenaran, ketiga – berani, keempat – sabar, kelima – berani mengakui kesilapan.

Fitnah Syahawat & Syubuhat

Di dalam kita mendepani cabaran, ujian dan permasalahan yang pelbagai, saya tertarik dengan ulasan Imam Ibnul Qayyim rahimahullah ketika beliau mengulas tentang dugaan, cubaan, atau dalam bahasa arabnya diringkaskan dengan istilah “fitnah”,

“Fitnah (dugaan/cubaan) mempunyai dua jenis; fitnah syahawat dan fitnah syubuhat.”

Fitnah syahawat 1: Wang ringgit

Kita telah melihat betapa banyak manusia yang gagal dalam ujian semata-mata kerana wang ringgit. Nabi SAW bersabda di dalam hadis,

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ

Ertinya: “Binasalah hamba dinar dan hamba dirham..” (riwayat Al-Bukhari no. 2887)

Ini bukan bermaksud manusia tidak boleh mencari duit, bukan bererti manusia tidak perlu berusaha, bekerja, atau berniaga. Bahkan Islam menuntut kita berusaha dan bekerja keras.

Sahabat Nabi antara contohnya Abdurrahman Ibn ‘Auf apabila berhijrah beliau meninggalkan kekayaannya di Makkah. Sebaik tiba di Madinah, beliau berkata; “Tunjukkanlah kepadaku di mana pasar!” untuk berniaga.

Kita digalakkan berniaga, tetapi apabila wang ringgit didahulukan melebihi prinsip, akidah, syariat dan akhlak, sudah semestinya kita akan berhadapan dengan kerosakan dan diserang habis-habisan oleh musuh yang benci kepada kejayaan Islam.

Digambarkan di dalam hadis yang lain, kata Nabi SAW,

يُوْشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ الْمَهَابَةَ مِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمْ وَليَقْذِفَنَّ اللهُ فِيْ قُلُوْبِكُمْ الْوَهْنَ. قَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَّةُ الْمَوْتِ

“Hampir sahaja para musuh akan mengerumuni kalian sebagaimana mengerumuni makanan. Seseorang bertanya: Apakah kerana  jumlah kita sedikit? Jawab baginda: Tidak, bahkan jumlah kalian banyak, hanya saja seperti buih yang berada di lautan. Allah telah mencabut rasa takut mereka terhadap kalian. Dan sungguh Allah telah menyusupkan al-wahnu ke dalam hati kalian. Mereka bertanya: Apakah al-wahnu itu? Jawab baginda: Cinta dunia dan takut mati.” (Shahih, riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Asakir dan At-Thabrani dan dishahihkan Al-Albani dalam As-Shahihah no. 958)

Kalau kita spesifikkan lagi realiti pada hari ini, umat Islam adalah majoriti tetapi kita tidak mahu perkataan majoriti itu disamakan dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW “seperti buih”. Ramai tetapi tidak mendatangkan manfaat, tidak memberikan impak kepada perjuangan dan dakwah.

Sebab itulah kita perlu berbincang dan bermusyawarah sebagaimana firman Allah SWT di dalam ayat-Nya yang mulia,

وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Kami perintahkan kepada mereka semua agar melakukan syura (mesyuarat).” (surah Asy-Syura, 42: 38)

Hal ini adalah agar bilangan yang ramai tersebut mendatangkan manfaat hasil daripada perbincangan dan strategi yang dirancang.

Menyebut tentang hal ini, beberapa hari lalu ketika di Konvensyen Media Sosial saya ada membacakan hadis Nabi SAW,

الْحَرْبُ خَدْعَةٌ

“Peperangan itu adalah penipuan.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud penipuan di sini adalah ketika di dalam peperangan, diharuskan untuk kita merancang dan menyusun strategi, bukan maksud saya mengajak orang ramai supaya menipu.

Saya membawakan hadis Nabi SAW di dalam situasi tertentu contohnya ketika peperangan, baginda mengharuskan para sahabat mewarnakan rambut yang sudah beruban, agar menampakkan ramai pemuda bagi menggerunkan musuh. Ketika bertawaf di keliling ka’bah, tiga tawaf yang pertama disyariatkan berlari-lari anak serta menampakkan bahu kanan bertujuan untuk menunjukkan kegagahan.

Jadi setiap apa yang kita lakukan fikirkanlah apa sumbangan kita. Biar ramai bilangan kita ini ada manfaat. Kita tidak mahu ramainya jumlah kita tetapi kita terperangkap di dalam fitnah yang pertama iaitu fitnah syahawat.

Fitnah syahawat 2: Fitnah wanita

Yang paling membimbangkan selain fitnah wang ringgit adalah fitnah wanita. Nabi SAW pernah menceritakan tentang kehebatan wanita,

مَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِيْنٍ أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ إِحْدَاكُنَّ. قُلْنَ: وَمَا نُقْصَانُ دِيْنِنَا وَعَقْلِنَا، يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَلَيْسَ شَهَادَةُ الْمَرْأَةِ مِثْلَ نِصْفِ شَهَادَةِالرَّجُلِ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نُقْصَانِ عَقْلِهَا، أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نُقْصَانِ دِيْنِهَا

“Aku tidak pernah melihat (manusia) yang kurang akal dan agamanya namun dapat mencairkan hati kaum lelaki yang sangat gagah selain daripada kamu wahai sekalian wanita.” Mereka (para wanita) berkata: ‘Apa yang dimaksud dengan kurangnya agama dan akal pada kami, wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ”Bukankah persaksian seorang wanita itu sama dengan setengah persaksian seorang lelaki?” Kami mengatakan: ‘Ya, benar.’ Baginda bersabda: ”Itulah di antara bentuk kurang akalnya. Dan bukankah seorang wanita jika haid, dia tidak shalat dan tidak berpuasa?” Mereka menjawab: ‘Ya, benar.’ Baginda bersabda: ”Itulah di antara bentuk kurang agamanya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ini juga termasuk dalam fitnah syahawat yang dijelaskan oleh Nabi SAW berulang kali. Berapa banyak pemimpin dunia yang jatuh kerana wanita. Hatta Sukarno pernah dicabar untuk dijatuhkan kerana wanita. Lihatlah apa yang berlaku kepada ahli parlimen di Indonesia, di Turki, Bill Clinton, kesemuanya melibatkan isu wanita.

Ini merupakan fitnah yang memang disebut oleh Nabi SAW sebagai satu cabaran bagi mana-mana perjuangan khususnya kita yang berusaha untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Pemuda secara realitinya sedang berhadapan dengan fitnah-fitnah yang seperti ini.

Maka kembali kepada hadis Nabi SAW, celakalah manusia-manusia yang menjadi hamba kepada dinar, menjadi hamba kepada dirham, menjadi hamba kepada dunia, dan takut kepada kematian.

Fitnah syubuhat

Fitnah, cabaran, ataupun ujian kedua bagi para pemuda yang mudah menerima petunjuk dan kebenaran, yang mudah mengakui kesilapan, yang bersabar dalam perjuangan dan beriman kepada Allah SWT, adalah fitnah syubuhat.

Mungkin boleh saya terjemahkan juzuk daripada syubuhat ini adalah peperangan persepsi pada hari ini. Hanya dengan meletakkan sekeping gambar di blog, pelbagai tafsiran, ulasan dan takwilan, positif dan negatif boleh keluar daripadanya.

Baru-baru ini saya pergi ke Kelantan menghadiri kenduri di sebelah keluarga isteri saya. Saya makan nasi gulai kawah. Bila makan saya tambah sebab bukan senang dapat makan gulai kawah yang sedap seperti itu. Habis makan pusingan pertama saya pergi hendak tambah untuk pusingan kedua. Lepas balik tambah pusingan kedua itu, ada seorang hamba Allah datang mengambil gambar dengan saya. Tup tup selang beberapa hari selepas itu, keluar gambar di sebuah blog: Ustaz Fathul Bari gelojoh makan dua pinggan.

Itu pun boleh dijadikan satu isu sedangkan ia bukanlah isu yang sangat besar. Imam Asy-Syafi’i rahimahullah makan di rumah muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, sebab anaknya Abdullah ingin melihat siapa guru kepada bapanya. Imam Ahmad menghidangkan makanan, Imam Syafi’i makan, setelah habis beliau menambah lagi kemudian habis lagi dan menambah lagi sehingga habis kesemua makanan.

Anaknya melihat dengan pelik. Imam Asy-Syafi’i menjelaskan selepas itu bahawasanya dia makan kerana dia yakin bahawa makanan yang dihidangkan itu adalah makanan yang halal untuk dimakan. Dia makan di rumah muridnya yang dia percayai, tidak ada syubuhat langsung pada makanannya. Hartanya adalah harta yang halal sehingga dia pun makan dalam keadaan yang senang dan tenang.

Maka tidak ada masalah makan banyak melainkan jika makan dengan melampau atau keterlaluan banyaknya. Saya bukan ingin mengulas tentang hukum makan banyak, tetapi saya ingin membicarakan tentang persepsi yang ditimbulkan tadi; di mana ia merupakan juzuk daripada ujian kita pada hari ini.

Sejarah persepsi

Saya berulang kali menceritakan tentang sejarah persepsi. Makhluk pertama yang memberikan persepsi adalah malaikat. Ketika Allah SWT mengatakan kepada para malaikat,

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ

“Dan (ingatlah) ketika Rabb-mu berfirman kepada para Malaikat, ‘Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.’ Mereka berkata, ‘Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan mensucikan Nama-Mu?’” (Al-Baqarah, 2: 30)

Inilah persepsi yang dilontarkan oleh malaikat. Tetapi malaikat punya disiplin. Apabila Allah SWT menegur mereka,

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُون

“Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (surah Al-Baqarah, 2: 30)

Malaikat lalu diam, mereka menghormati dan mentaati Allah SWT. Itu persepsi pertama dalam sejarah jika kita selak dan perhatikan di dalam Al-Quran.

Persepsi kedua adalah daripada makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT, di mana persepsinya tanpa batasan sehingga orang yang baik dituduh sebagai pendusta, orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Benar perkataan Nabi SAW,

يأتي على الناس سنوات خداعات يصدق فيها الكاذب ويكذب فيها الصادق، ويؤتمن فيها الخائن ويخون فيها الأمين، وينظق فيها الرويبضة. قالوا: وما الرويبضة يا رسول الله؟ قال: الرجل التافه يتكلم في أمر العامة

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Di sana, seorang pembohong akan dibenarkan, dan orang jujur akan didustakan. Di sana seorang pengkhianat akan diberikan amanah, dan orang yang amanah dianggap pengkhianat, lalu Ruwaibidhah pun berbicara”. Para sahabat bertanya: “Siapakah Ruwaibidhah ya Rasulullah?”, “Dialah orang lekeh (tidak ada ilmu) yang berbicara tentang urusan umat.” (Sahih Ibn Majah)

Dari situlah timbul lontaran persepsi seperti kerajaan tidak melaksanakan hukum Islam, sedangkan ia hanyalah satu juzuk sahaja daripadanya. Kita tidak nafikan bahawasanya kita ada kelemahan dan kekurangan, kita akui kelemahan tersebut dan kita minta dinasihati agar kekurangan dan ketidaksempurnaan tersebut dapat diperbaiki.

Jadi berhati-hatilah dengan peperangan persepsi. Kita seharusnya berada di tengah-tengah; wasathiyah. Kita tidak boleh keterlaluan dalam membiarkan dan kita juga tidak seharusnya keterlaluan dalam memanfaatkan sesuatu perkara tanpa ada garis panduan, dibimbangi kita termasuk di dalam golongan-golongan yang disebut sebagai syahaadatu az-zuur (persaksian palsu), mengumpat, dan juga an-namimah (pengadu domba) -wal ‘iyyadzu billaah-. Sabda Nabi SAW,

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

“Tidak akan masuk syurga pengadu domba.” (riwayat Muslim)

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: