Tanggungjawab Ulama, Umara, & Rakyat
Soalan: Apakah tanggungjawab dan peranan para ulama dan umara.
Jawapan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya:
Bismillah,
Ulama dan umara kedua-dua mereka perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Sabda Nabi SAW di dalam hadis bagi umara,
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Ertinya: “Tidak ada seorang hamba yang Allah pimpinkan kepadanya orang-orang, dia mati dalam keadaan ia menipu orang-orang yang dipimpinnya, kecuali Allah telah mengharamkan atasnya syurga.” (riwayat Muslim)
Maka tugas pemimpin khususnya yang mengurus tadbir urusan rakyat, dia perlu menunaikan tugas dan tanggungjawabnya. Kalau dia diamanahkan untuk menguruskan insfratruktur rakyatnya maka dia kena tunaikan, kalau dia diamanahkan untuk mengurus hal ehwal agama rakyatnya maka dia kena tunaikan. Apatah lagi kalau dia yang menjadi kepala kepada semua hal-hal yang menjadi kepentingan-kepentingan, maka kembali kepada maqasid asy-syar’iyyah yakni tujuan agama ini.
Ada lima tujuan asas iaitu berkenaan dengan penjagaan agama, nyawa, maruah dan keturunan, harta benda, dan akal fikiran. Jika kita kembali kepada tujuan agama ini diturunkan, adalah untuk menjaga kesemua ini;
Pertama, menjaga agama yakni akidah manusia. Seorang pemimpin harus ada usaha-usaha bagi menjaga agama seperti membina masjid. Ini satu asas. Nabi ketika mula-mula sampai di Madinah, perkara pertama yang Nabi buat adalah membina masjid. Maka soal membina masjid jangan dipandang remeh.
Satu juga nasihat kepada pembina masjid, jangan sekadar membina sahaja. Perlu disusuli dengan pengimarahan masjid. Kita semua perlu sama-sama berusaha menghidupkan masjid, bukan menyerahkan tugas tersebut kepada orang-orang atau parti-parti tertentu.
Kedua, menjaga nyawa manusia. Sesuatu yang dilakukan untuk menjaga nyawa seperti menyediakan undang-undang di dalam negara dan perlu ada penguatkuasaan, polis, bomba, hospital.
Ketiga, untuk menjaga maruah dan keturunan manusia. Apa yang berlaku seperti pembuangan anak, perzinaan, sumbang mahram yang berleluasa pada ketika ini, filem-filem yang tidak senonoh, artis-artis daripada barat yang masuk ke negara kita, lagu-lagu mereka dinyanyikan oleh anak-anak kita tanpa mengetahui makna sedangkan maknanya merosakkan akidah. Ini semua perlu diberi perhatian serius, tidak boleh dipandang remeh kerana hal ini penting untuk menjaga maruah dan keturunan.
Keempat, menjaga harta benda manusia. Contoh, diwujudkan institusi perbankan. Ada undang-undang berkaitan ekonomi, urus niaga, mewujudkan pakar-pakar ekonomi negara, menjaga pendapatan negara.
Kelima, menjaga akal manusia. Mewujudkan sekolah-sekolah dan universiti. Bagi pemimpin, inilah tugas-tugas dan tanggungjawabnya. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,
أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْإِمَامُ الْأَعْظَمُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْؤُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Ertinya: “Setiap kalian adalah ra’in (orang yang diberi tanggungjawab dan amanah) dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya (orang yang di bawah tanggungjawab dan dibawah amanah). Imam a’zham (pemimpin negara) yang berkuasa atas manusia adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki adalah ra’in bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Wanita adalah ra’iyah terhadap ahli keluarga suaminya dan anak suaminya dan dia akan ditanya tentang mereka. Hamba seseorang adalah ra’in terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut. Ketahuilah setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya.” (riwayat Al-Bukhari no. 5200, 7138 dan Muslim no. 4701 dari Abdullah bin ‘Umar RA)
Sabda Nabi SAW lagi,
أَدّ الأَمَانَةَ إِلَى مَنِ ائْتَمَنَكَ وَلاَ تَخُنْ مَنْ خَانَكَ
Ertinya: “Tunaikanlah amanah kepada siapa yang berhak mendapatkannya dan janganlah kamu khianati orang yang mengkhianatimu.” (riwayat Abu Daud dan dishahihkan di dalam kitab Silsilat Al Ahadits Ash Shahihah, no. 423)
Maka pemimpin, kalian diberi amanah maka tunaikanlah amanah yang diberikan kepada kalian.
Tanggungjawab ulama
Ulama tidak boleh membenarkan dan mengiyakan sahaja setiap tindakan pemimpin. Dia kena sampaikan kebenaran dan memberi teguran menggunakan kaedah-kaedah yang disyariatkan. Para ulama perlu memperhatikan bagaimana kaedah untuk memindahkan nasihat yang diajar di dalam syariat.
Seorang ulama tidak boleh mengamuk, memaki hamun, mengumpat, memfitnah, menuduh dan menghukum orang yang melakukan kesalahan. Tugas ulama bukan menyesatkan dan mengkafirkan orang sesuka hati. Ulama perlu mengetahui kaedah dan cara yang benar untuk dia memindahkan nasihat kepada pemimpin dan pemerintah.
Nabi SAW ketika mengutus surat kepada pemimpin kafir, kepada Maharaja Rom, Nabi tetap meletakkan gelaran Maharaja Rom. Nabi tidak memanggilnya “si kafir” mengikut suka. Nabi menulis,
من محمد رسول الله إلى عظيم الروم
Ertinya: “Dari Muhammad utusan Allah kepada pembesar Rom.”
“Adzeem” yang digunakan Nabi di dalam surat baginda kepada Maharaja Rom adalah gelaran yang diberikan kepada orang besar di Rom pada ketika itu. Sama seperti kita pada hari ini menggunakan gelaran Dato’ Seri dan sebagainya. Nabi memanggilnya dengan gelarannya. Itu menunjukkan di dalam menasihati orang yang lebih besar kedudukannya ada kaedah yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Seorang ulama tidak boleh duduk dan membenarkan sahaja kesalahan dilakukan. Ada beberapa contoh ulama yang tidak baik pada satu zaman dahulu, di mana khalifah pada zaman itu suka bermain burung dan membuat perlawanan burung.
Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda,
لاَ سَبَقَ إِلاَّ فِى نَصْلٍ أَوْ خُفٍّ أَوْ حَافِرٍ
Ertinya: “Tidak ada taruhan dalam lumba kecuali dalam perlumbaan memanah, pacuan unta, dan pacuan kuda.” (riwayat At-Tirmidzi no. 1700, An-Nasa-i no. 3585, Abu Dawud no. 2574, Ibnu Majah no. 2878. Dinilai shahih oleh Syaikh Al-Albani)
Nabi tidak menyebut burung. Seorang yang dianggap ulama pada masa itu mengetahui sang khalifah suka bermain burung, tetapi dia mencari hadis tentang burung tiada. Jadi dia menambah pertandingan burung ke dalam hadis di atas dan membawakannya kepada orang kanan khalifah untuk membenarkan apa yang khalifah minat. Sang khalifah suka mendengarkan hadis tersebut dan memberikan beberapa ribu dirham kepada ulama tersebut.
Beberapa ketika kemudian, khalifah mendapat maklumat bahawasanya hadis yang disampaikan kepadanya oleh ulama tersebut adalah hadis palsu. Khalifah tersebut memanggil semula ulama itu dan menghukumnya serta mengambil semula wang yang diberikan.
Kita tidak mahu ulama yang seperti ini. Tugas menasihati pemimpin adalah tugas ulama. Sebab itu firman Allah SWT di dalam Al-Quran,
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ
Ertinya: “Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin daripada kalangan kamu.” (surah An-Nisaa, 4: 59)
Pemimpin di dalam ayat di atas mempunyai dua maksud; iaitu ulama dan umara. Umara adalah pengurus tadbir urusan rakyat dan negara. Ulama pula tugasnya adalah membimbing pemimpin untuk memastikan tindakannya itu bertepatan dan bersesuaian dengan syarak.
Tugas ulama bukan membenarkan dan mencari dalil untuk membenarkan setiap tindakan pemimpin. Kalau tiada dalil, ulama wajib mengatakan tiada dalil, kalau salah tindakannya ulama wajib mengatakan salah. Itu tugasnya. Pemimpin pula harus menerima nasihat dari ulama. Dia tidak boleh meneruskan kesalahannya kerana keegoannya atau menjaga hati siapa-siapa. Ini untuk hal-hal yang berkaitan dengan prinsip dan pegangan agama.
Contohnya, hukum bersalaman lelaki dan perempuan, hukum aurat, hukum mengumpat, menfitnah, tidak kira dia itu pemimpin parti mana, atau pemimpin negara, yang salah adalah tetap salah. Adakah bererti apabila dia itu pemimpin maka tindakannya mengumpat dan memfitnah boleh dihalalkan?
Adakah apabila dia menjadi pemimpin bererti dia boleh bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram? Ulama tidak boleh menghalalkan perbuatan tersebut. Semua ini adalah tertakluk kepada hukum Allah SWT. Maka sebagai seorang ulama, dia bertanggungjawab untuk menyampaikan.
Tanggungjawab rakyat
Kita tidak boleh bertanya apa tanggungjawab ulama dan umara sahaja. Kita juga perlu tanya apa tanggungjawab rakyat. Kata Nabi SAW di dalam hadis ketika Salamah bin Yazid al-Ju’fi RA bertanya:
يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ قَامَتْ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَسْأَلُوْنَا حَقَّهُمْ وَيَمْنَعُوْنَ حَقَّنَا فَمَا تَأْمُرُنَا؟ … قَالَ: اسْمَعُوْا وَأَطِيْعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوْا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ
Ertinya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika pemimpin kami adalah pemimpin yang meminta kepada kami hak mereka dan tidak memberikan kepada kami hak kami?” Baginda menjawab, “Dengar dan taatilah kalian, sesungguhnya kewajipan mereka apa yang dibebankan ke atas mereka dan kewajipan kalian adalah apa yang dibebankan ke atas kalian.” (riwayat Muslim)
Nabi memerintahkan rakyat untuk taat kepada pemimpinnya. Taat yang bagaimana? Bukan taat mutlak, tetapi ada had dan batasnya. Sabda Nabi SAW di dalam hadis yang lain,
إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Ertinya: “Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perkara yang baik.” (riwayat Al-Bukhari no. 6726, Muslim no. 1840, dari ‘Ali r.a.)
Maka selama mana pemimpin menyuruh kita melakukan perkara yang baik maka kita wajib taat pada kebaikan yang disuruh tersebut. Bagaimana pula apabila rakyat melihat kemungkaran berlaku? Adakah rakyat dibenarkan memaki hamun, mengumpat, dan membuat demonstrasi?
Tidak! Ada kaedah dan cara yang Islam ajar. Bukan bertindak sesuka hati dan mengikut emosi.
Ada sesetengah orang apabila bertemu pemimpin secara bersemuka, dia memuliakan pemimpin tersebut, bersalam sehingga mencium tangan, mengambil gambar bersama, tetapi ketika di belakangnya, dia mengaibkan, mengata dan mengkritik pemimpin tersebut dengan pelbagai kritikan.
Sepatutnya ketika bersemuka itulah dia perlu menyampaikan nasihat dan teguran kepada pemimpin. Itu caranya. Bukan mengkritik di belakang atau di khalayak ramai demi untuk meraih populariti.
Maka sebagai rakyat kita harus meneliti semula tanggungjawab kita terhadap pemimpin.
Doa kepada pemimpin
Disebut oleh Al-Imam Al-Barbahari, ciri-ciri ahli sunnah wal jama’ah, antaranya ialah mereka sering mendoakan kebaikan untuk pemimpin mereka. Tidak boleh mendoakan kehancuran, kemusnahan, dan keburukan kepada pemimpin muslim.
Imam Ahmad rahimahullah ditanya ketika dia disiksa oleh pemimpin pada zamannya, kata Imam Ahmad,
لَوْ كَانَ لَنَا دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ لَدَعَوْنَا بِهَا لِلسُّلْطَانِ
Ertinya: “Andai kami memiliki doa yang mustajab, pasti akan kami doakan kebaikan bagi pemimpin.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/391)
Ulama besar Fudhail bin ‘Iyadh turut mengatakan hal yang sama,
لو كان لي دعوة مستجابة ما جعلتها الا في السلطان
Ertinya: “Seandainya aku memiliki satu doa yang pasti dikabulkan, tidak akan aku ucapkan kecuali untuk mendoakan kebaikan pemimpin.”
Beliau ditanya mengapa perlu didoakan kebaikan bagi pemimpin? Jawab Fudhail bin ‘Iyadh,
إذا جعلتها في نفسي لم تعدني وإذا جعلتها في السلطان صلح فصلح بصلاحه العباد والبلاد فأمرنا أن ندعو لهم بالصلاح ولم نؤمر أن ندعو عليهم وإن جاروا وظلموا لأن جورهم وظلمهم على أنفسهم وصلاحهم لأنفسهم وللمسلمين
Ertinya: “Jika doa itu hanya untuk diriku, tidak akan kembali kepadaku. Namun jika aku panjatkan doa untuk kebaikan pemimpin, kemudian dia jadi baik, maka masyarakat dan negara akan menjadi baik. Kita diperintahkan untuk mendoakan kebaikan untuk mereka, dan kita tidak diperintahkan untuk mendoakan keburukan bagi mereka, meskipun mereka zalim. Kerana kezaliman mereka akan ditanggung mereka sendiri, sementara kebaikan mereka akan dirasai oleh mereka dan kaum muslimin.” (Syarhus Sunnah, hal. 51)
Wallaahu A’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: