Skip to content

Dari siapa kita patut menuntut ilmu

Oktober 15, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya

Soalan: Ilmu bagaimana orang awam seperti kami ini perlu tuntut dan kepada siapa ustaz yang patut kita rujuk.

Jawapan:

Kalau kita buka kitab-kitab ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah, ada perbahasan tentang manhaju at-talaqqi wal istidlal (prinsip bertalaqqi dan berdalil).

Bertalaqqi ertinya memilih sumber ilmu, dan istidlal adalah bagaimana kaedah kita berdalil dengan sumber ilmu tersebut.

Sumber ilmu

Asasnya, sumber ilmu tidak bergantung kepada batang tubuh manusia. Sumber ilmu tidak bergantung kepada Ustaz Fathul Bari atau mana-mana ustaz yang lain, tetapi sumber ilmu bergantung kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Maka lihat, lisan siapakah yang menyebut dan melafazkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kalau seseorang itu hebat bercakap bab agama, tetapi tiada sebaris ayat pun dari Al-Quran dan tiada sebaris hadis pun dari Nabi SAW, maka mana mungkin kita boleh katakan apa yang disampaikan olehnya adalah al-ilmu.

Kata Nabi SAW menjelaskan tentang ilmu di dalam hadis,

العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يُوَرِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنما وَرَّثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Maksudnya: “Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi SAW tidak mewariskan dinar ataupun dirham (kekayaan), sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu) maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak.” (riwayat Abu Dawud)

Ini menunjukkan seseorang itu boleh dikategorikan sebagai ahli ilmu, yang memiliki ilmu sekiranya apa yang disampaikan itu sesuai dengan apa yang Nabi SAW sampaikan.

Apa yang Nabi sampaikan adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Itu adalah perkara yang paling asas. Sebab itu ulama seperti Imam Asy-Syafi’i, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, dan murid kepada Imam Syafi’i iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, semuanya apabila datang Al-Quran dan As-Sunnah, mereka semuanya tunduk dan patuh. Tidak kira siapa pun mereka, apabila menyelisihi Al-Quran dan As-Sunnah, mereka meninggalkan pendapat dan pandangan mereka masing-masing.

Menolak pendapat dan pandangan seorang ustaz atau guru bukan bererti menghina mereka. Kita perlu faham, meninggalkan pendapat seseorang bukan bermaksud menghina orang tersebut, melainkan jika penolakan tersebut disusuli dengan penghinaan.

Sesuatu pendapat ditinggalkan dengan bukti dan alasan yang menjelaskan kerana apa ia ditinggalkan. Dalam mazhab Hanafi, muridnya sendiri, Muhammad Ibn Hasan Asy-Syaibani yang mengkritik guru mereka. Katanya di dalam masalah ini, kami tidak menerima pendapat Imam Abu Hanifah, kerana hadis Nabi yang menyatakan bahawa segala benda yang memabukkan dikategorikan sebagai arak.

Maka air daun ketum, todi, hisap gam, semua itu adalah haram walaupun tidak disebut secara jelas sebagai khamar (arak) dalam Al-Quran dan hadis.

Namun adakah boleh kita katakan Imam Abu Hanifah tidak cerdik? Tidak. Itu namanya tidak ada adab ataupun buruk adab dengan ulama. Hal ini yang perlu dibezakan.

Kadang-kadang berlaku salah faham dalam masyarakat kita. Apabila orang meninggalkan pendapat seseorang, dikatakan orang itu sesat.

Baru-baru ini kita membayar zakat fitrah ketika sebelum hari raya. Majoriti masyarakat kita membayar zakat fitrah dengan duit. Membayar zakat fitrah dengan duit adalah pendapat mazhab Hanafi.

Kesepakatan ulama mazhab-mazhab lain; syafi’i, maliki, hanbali, bahkan perkataan Imam Syafi’i tegas di dalam permasalahan ini, bahkan mazhab syafi’i mengatakan tidak sah zakat fitrah melainkan dengan makanan ruji. Kalau di Malaysia adalah beras.

Jadi adakah orang yang membayar dengan duit mengatakan Imam Syafi’i tidak cerdik? Tidak, fatwa di Malaysia mengharuskan membayar dengan duit kerana melihat kepada beberapa kemaslahatan, pendapat dan pandangan ulama-ulama kita.

Jadi saya tekankan di sini, meninggalkan pendapat seseorang bukan bererti menghinanya. Yang penting sumbernya adalah Al-Quran dan hadis. Itu asasnya, dan cara memahaminya bukanlah dengan sesuka hati. Untuk faham Al-Quran dan hadis ada metodologinya, iaitu dengan mengambil kefahaman sahabat Nabi SAW.

Bagaimana hendak mengetahui kefahaman sahabat Nabi, bukalah kitab tafsir seperti tafsir Ath-Thabari, Tafsir Ibnu Katsir, belilah yang telah diringkaskan, jangan kedekut duit. Kalau kita boleh beli jam, beli kereta sehingga sanggup buat pinjaman, semestinya kita perlu sanggupkan diri membeli kitab untuk ilmu akhirat.

Dapatkanlah Shahih Tafsir Ibnu Katsir, di mana yang mengepalai tim meringkaskan kitab tafsir tersebut adalah Syaikh Safiyurrahman Al-Mubarakfuri, dan sudah diterjemahkan dan diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir cetakan Indonesia. Beli dan bacalah ringkasannya, telah disusun dengan cantik ayat Al-Quran, diletakkan tajuk-tajuk dan dibawakan tafsiran sahabat-sahabat Nabi SAW. Tafsiran itu yang perlu diutamakan sebab sahabat Nabi adalah orang yang paling faham tentang Al-Quran berbanding kita.

Sahabat Nabi adalah orang yang paling faham agama berbanding kita. Mereka tahu sesuatu ayat itu turun untuk siapa dan sebab apa ia turun serta hukum hakam yang dimanfaatkan daripadanya. Itu kaedah asas untuk kita memahami. Kalau kita hendak mendalami lagi, kita perlu melihat satu persatu ulama yang bagaimana, kitab apa yang boleh dijadikan rujukan, itu memakan masa yang lebih panjang.

Cuma asasnya, belajarlah daripada mana pun, tetapi pastikan apabila kita mempelajari agama, mesti ada ayat Al-Quran, mesti ada hadis-hadis daripada Nabi SAW kerana itu adalah sumber agama umat Islam, dan kefahaman yang dibawa dari Al-Quran dan As-sunnah itu hendaklah sesuai dengan petunjuk sahabat Nabi RA kerana mereka lebih faham agama dan lebih mulia kedudukan berbanding kita.

Wallaahua’lam.

Disediakan dari rakaman berikut:

Advertisements

From → Ilmu & Fatwa

One Comment
  1. Reblogged this on Abu Yusof Ibn 'Abdullah and commented:
    العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يُوَرِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنما وَرَّثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر

    Maksudnya: “Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi SAW tidak mewariskan dinar ataupun dirham (kekayaan), sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu) maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak.” (riwayat Abu Dawud)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: