Skip to content

Cabaran umat Islam masa kini; umat Islam ramai tetapi lemah

Oktober 18, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Ancaman dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini, tekanan yang ditimpakan ke atas umat Islam, penghinaan ke atas agama, Nabi, Al-Kitab yakni Al-Quranul Karim, sahabat dan isteri-isteri Nabi SAW seperti yang dipaparkan dalam sedutan filem Innocence of Muslims, mengapa hal seperti ini boleh berlaku?

Nabi SAW telah menyatakan kepada kita di antara sebab dan punca hal-hal seperti ini berlaku melalui sabdanya,

يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا. قَالَ: قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ قَالَ: قُلْنَا وَمَا الْوَهْنُ قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

“Hampir sahaja manusia ini akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi SAW, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh ALLAH perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)

Apa yang Nabi SAW sebutkan, realitinya telah berlaku pada hari ini. Ramai umat Islam tetapi tidak memiliki kekuatan dan tidak memberi impak kepada kekuatan Islam itu sendiri. Masyarakat Arab di Timur Tengah ramai jumlahnya tetapi mereka berpecah dan bergaduh sesama mereka. Benar sabda Rasulullah SAW tentang mereka,

إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ في جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ في التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ

“Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk mereka diibadahi di Tanah Arab, tetapi syaitan akan memecah belahkan mereka.” (riwayat Imam Muslim: 2812, at-Tirmidzi: 1937, Ahmad: 3/313, 354, Abu Ya’la: 2294, al-Baghowi dalam Syarh Sunnah: 3525, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah: 8, Ibnu Hibban: 64, 1836 dari jalur sahabat Jabir bin Abdillah RA)

Sampai ke hari ini masyarakat Arab masih bergaduh sesama mereka, tidak bersatu untuk menentang syaitan yahudi dan Amerika. Itu juga yang berlaku dalam realiti umat Islam di Asia Tenggara, ramai tetapi lemah. Realiti juga menunjukkan musuh-musuh Islam tidak hormat kepada umat Islam.

Hakikatnya penghinaan seperti ini bukan berlaku baru-baru ini sahaja tetapi sebelum ini telah berlaku banyak penghinaan ke atas Nabi kita SAW. Karikatur-karikatur, lukisan-lukisan, tulisan Salman Rushdie, dan banyak penghinaan ke atas Nabi telah berlaku sejak zaman berzaman. Bahkan sejarah penghinaan ke atas Nabi SAW bermula sejak Nabi diutuskan.

Walaupun Allah SWT telah pakaikan kepada Nabi syakhsiah yang mustahil wujud pada zaman ini; Nabi ditampilkan dalam acuan yang hebat, bahkan sebelum ditabalkan menjadi Rasul lagi baginda telah ditampilkan dengan akhlak yang mulia, dihormati dalam masyarakat, tidak melakukan maksiat, tidak terlibat dalam penyembahan berhala, dikenali sebagai orang yang bercakap benar dan tidak berdusta, karektor yang Allah tampilkan pada diri baginda sangat hebat. Tetapi pada hari pertama Nabi mengumpulkan saudara maranya, apa kata Abu Lahab kepada Nabi?

Abu Lahab; bapa saudara Nabi yang sangat bergembira di hari kelahiran Nabi, yang membebaskan hamba, yang mengorbankan unta, tetapi di hari Nabi SAW menyeru kepada Islam, dialah orang pertama yang mencerca maki Nabi SAW. Sehinggakan Allah SWT menurunkan surah yang khusus di dalam Al-Quranul Karim menceritakan tentang kejahatan dan keburukan Abu Lahab bersama isterinya.

Digelar Nabi SAW di kalangan masyarakat Arab setelah Nabi SAW tampil membawa risalah sebagai saahir (penyihir) dan majnun (gila). Sehingga datang seorang bomoh kepada Nabi SAW, Dhimad Al-Azdi apabila beliau mendapat tahu Muhammad itu gila, dia datang kepada Nabi untuk mengubatinya. Dia menyuruh Nabi menyebut beberapa perkara yang selalu dibacanya, sebab masyarakat Arab bercakap tentang Muhammad bahawasanya Muhammad gila. Lalu Nabi pun membaca,

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ, نَحْمَدُهُ, وَنَسْتَعِينُهُ, وَنَسْتَغْفِرُهُ, وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا, ومِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

أَمَّا بَعْدُ:

Maksudnya: “Sesungguhnya segala puji itu hanya bagi Allah, kami memujinya dan kami meminta pertolongan hanya daripada-Nya, dan kami memohon pengampunan hanya daripada-Nya. Dan kami berlindung dengan-Nya daripada keburukan diri kami dan keburukan amal perbuatan kami. Siapa yang Allah berikan petunjuk kepada mereka maka tiada yang dapat menyesatkannya, dan siapa yang Allah sesatkan maka tiada siapa yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Dan aku bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”

Dhimad Al-Azdi, bomoh hebat yang ingin mengubati Nabi itu terdiam lantas berkata,

والله سمعت قول الشعراء وسمعت قول الكهان فما سمعت بمثل هؤلاء الكلمات، أبايعك على الإسلام

Maksudnya: “Demi Allah, aku telah mendengar perkataan penyair-penyair, aku telah mendengar perkataan bomoh dan dukun, akan tetapi aku belum pernah mendengar perkataan yang seperti ini. Aku terima untuk taat setia atas Islam.”

Maknanya telah masyhur tersebar di kalangan masyarakat arab pada ketika itu perkataan bahawasanya Muhammad itu gila, sesat dan sebagainya. Sebelum Islam memiliki kekuatan, cercaan ke atas Nabi bukan sahaja daripada lisan, cercaan ke atas Nabi juga berbentuk tekanan yang ditimpakan ke atas Nabi SAW. Tekanan yang tidak berlaku kepada kita pada hari ini.

Mana ada pada hari ini orang yang solat disimbah ke atas belakangnya najis dan perut haiwan. Tidak berlaku kepada kita seperti ini. Yang paling teruk adalah orang melontar kepala babi di depan pintu masjid. Apa yang saya hendak bandingkan di sini adalah tekanan yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini dengan tekanan yang berlaku ke atas Nabi SAW amat berbeza.

Sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada Nabi SAW,

 يا رسول الله أي الناس أشد بلاء ؟ قال : الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk diuji?” Jawab baginda, “Para Nabi, kemudian yang semisal mereka dan kemudian yang semisalnya.”

Ini menunjukkan dugaan yang ditimpakan ke atas Nabi sangat dahsyat. Nabi diugut dan dicuba untuk dibunuh, Nabi dihalau dari kampung halaman. Sahabat-sahabat Nabi yang mengasihi dan menyayangi Nabi SAW disiksa di hadapan Nabi SAW. Nabi tidak mampu berkata apa melainkan “ishbir (bersabarlah), tetapkan imanmu, Allah menjanjikan kepadamu kebaikan.”

Berhijrah Nabi dari Makkah ke Madinah Al-Munawwarah terus dicerca, masih dihina. Ka’b Al-Asyraf seorang yahudi yang menghina Nabi SAW menyusun rangkap-rangkap syair menghina Nabi SAW sehingga pada ketika itu Islam memiliki kekuatan.

Ketika di Makkah Nabi menyuruh sabar, di Madinah pun Nabi masih menyuruh sabar tetapi pada ketika itu umat Islam telah memiliki kekuatan, memiliki negara sendiri, memiliki piagam atau perundangannya sendiri. Hubungan ukhuwah yakni mempersaudarakan antara Muhajirin dan Anshar telah membentuk kekuatan sehingga Nabi berkata,

من لكعب بن الأشرف، فإنه قد آذى الله ورسوله

“Siapakah yang akan (mencari) Ka’b bin Al-Asyraf. Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.”

Muhammad bin Maslamah segera berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, apakah engkau suka jika aku membunuhnya?” Baginda SAW menjawab : “Benar.”

Sehingga akhirnya Muhammad bin Maslamah pulang dengan membawa berita perihal Ka’b bin Al-Asyraf yang telah dibunuh. (lihat hadis riwayat Al-Bukhari no. 4037 dan Muslim no. 1801)

Setelah zaman Nabi SAW, penghinaan ke atas Nabi terus berlaku. Penghinaan ke atas Nabi bukan semata-mata tertumpu pada perkataan-perkataan yang buruk. Penghinaan ke atas Nabi juga berlaku dengan cara menolak petunjuk-petunjuk yang dibawa oleh Nabi SAW.

Wujud golongan anti-hadis yang telah pun masuk ke dalam negara kita, mereka hanya menerima Al-Quran sahaja, cara shalat mereka hanya apa yang disebut di dalam Al-Quran sahaja. Bab aurat yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran secara jelas, maka mereka menganggap tidak ada masalah lelaki dan perempuan tidak menutup aurat. Dan banyak lagi ideologi-ideologi yang mereka ketengahkan.

Kerana itu boleh wujud Nabi palsu Haji Kahar, kesan daripada menolak hadis Nabi SAW. Kerana itu boleh wujud pada hari ini golongan liberal dan plural. Liberal – buat apa pun tak apa asalkan hati baik. Plural – semua agama mengajak kepada tuhan yang sama. Mana mungkin,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam” (surah Ali ‘Imran, 3: 19)

Bagi umat Islam, kita wajib mengiktiraf hanya Islam sebagai agama yang benar. Terpulang kepada mereka kalau mereka yang beragama selain Islam beranggapan agama mereka yang terbaik. Tetapi kita sebagai umat Islam, jangan kita memberi pengiktirafan kepada agama lain. Cukup kita memberi kebebasan untuk mereka beramal dengan agama mereka dan kami beramal dengan agama kami. Perkataan yang Allah sebut di dalam Al-Quran itu tepat,

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

“Bagimu agamamu, dan bagi kami agama kami.” (surah Al Kaafirun: 6)

Islam memberikan hurriyyatul I’tiqad (kebebasan beragama) kalau kita hidup dalam sebuah negara yang memiliki agama dan bangsa yang pelbagai. Tetapi untuk mengatakan semua agama sama dan mengiktiraf agama lain selain Islam sebagai agama yang benar, itu tidak boleh kerana agama di sisi Allah hanyalah Islam.

Golongan liberal dan plural yang mengiktiraf agama lain dan menganggap semua agama adalah sama ini sebenarnya merupakan satu bentuk penghinaan ke atas Nabi SAW. Menolak hukum hakam yang telah Allah SWT tetapkan di dalam Al-Quran dan hadis juga merupakan cara halus penghinaan ke atas Nabi SAW. Membawa akhlak yang bukan akhlak Nabi SAW, mengenepikan akhlak yang telah ditentukan oleh Allah dan rasul, ini juga merupakan penghinaan ke atas Nabi SAW.

Wallaahu A’lam.

Bersambung: Tanggungjawab & peranan umat dalam menghadapi cabaran dan tekanan.

2 Komen
  1. sokimi permalink

    semoga Allah sentiasa menaungi kita dengan rahmatnya walaupun dunia masa kini kian berubah namun umat islam masih ada al quran dan hadis nabi sebagai rujukan dan panduan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: