Skip to content

Bagaimana hadapi cabaran dan tekanan: Dengan ilmu / Demonstrasi?

Oktober 20, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya

Kita sedang berhadapan dengan realiti seperti apa yang disebut dalam hadis Nabi SAW bahawasanya kita ini ramai tetapi tidak bermanfaat, Allah campakkan penyakit ke dalam hati kita (al-wahn), dan Nabi SAW gambarkan bahawa Allah SWT mencabut perasaan hormat dari jiwa yang benci dan anti kepada Islam. Lalu apakah tindakan kita apabila berada dalam situasi ini?

Digambarkan dalam filem yang menghina Nabi bahawasanya baginda beristeri ramai kerana gila seks. Celakalah mulut-mulut yang mengatakan sedemikian. Kita marah, kita benci dengan tuduhan itu. Tetapi siapakah yang tampil menjawab? Apabila disebut di dalam sejarah, Nabi beristeri sembilan orang, apa yang boleh kita jelaskan?

Kita tidak tahu menjawab tetapi kita hanya tahu marah. Kita kena ada ilmu untuk membidas kenyataan seperti ini. Di Eropah, apabila berlaku penghinaan ke atas Islam, penghinaan ke atas Nabi, penghinaan ke atas Al-Quran, mereka mengambil peluang itu untuk menyebarkan Al-Quranul Karim supaya ia dibaca oleh kaum bukan Islam. Mereka dibiasakan dengan sikap mengkaji dan menganalisa.

Apabila golongan yang benci Islam menggambarkan bahawa sahabat-sahabat Nabi SAW adalah orang yang mengikut Nabi secara membuta tuli, digambarkan juga bahawa umat Islam adalah umat yang jumud, tidak menerima teknologi, ta’assub dan sebagainya, manakala Al-Quran dikatakan kitab yang membenarkan Nabi membuat apa sahaja, boleh mengambil isteri orang dan sebagainya, sedangkan tidak pernah pun Nabi berbuat demikian, kita marah, benci, tetapi tidak ada siapa yang tampil untuk menjawab dan memberi penjelasan. Apakah jawapan yang telah kita beri terhadap tuduhan-tuduhan seperti ini?

Sebab itu kita tidak boleh meletakkan emosi mendahului iman dan amal. Kita tidak boleh membiarkan emosi mendahului ilmu pengetahuan. Sabda Nabi SAW,

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

“Bukanlah kekuatan itu dengan pergaduhan, tetapi sesungguhnya kekuatan itu adalah orang yang mampu mengekang jiwanya ketika marah.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apabila kita berhadapan dengan situasi seperti ini, tugas dan tanggungjawab kita adalah;

Pertama, persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, akan difahamkan dia tentang agamanya.” (riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ Bayanil ‘Ilmi, dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA)

Ertinya orang yang tidak faham agama, Allah tidak inginkan kebaikan baginya. Ini satu cabaran bagi kaum muslimin untuk menambahkan ilmu. Sebelum kita hendak beramal, contohnya shalat fardhu, shalat jama’ dan qasar ketika musafir, etika berpakaian, bermu’amalah, komunikasi sesama muslim atau dengan non-muslim, antara jiran dan tetamu, dan ibadat-ibadat lainnya, terlebih dahulu kita perlu ada ilmu tentangnya.

Sewajarnya kita pada waktu ini mengambil peluang mentelaah sifat-sifat Nabi SAW; riwayat hidup dan sejarahnya. Beli buku-buku seperti tulisan Al-Imam At-Tirmidzi berjudul Syamail Muhammadiyah yang menghimpunkan karakter Nabi SAW, sifat tubuh badan baginda, akhlak baginda, cara baginda berjalan, cara menyikat rambut, dan keseluruhannya.

Masyarakat pada hari ini sibuk menyiasat cara hidup artis, apa yang ada di dalam rumah artis, apa yang artis pakai, apa yang artis bawa di dalam beg tangan mereka. Pernahkah kita berbicara apa isi kandungan rumah Nabi SAW? Apabila kita sibuk dengan fesyen, pernahkah kita mencari bagaimana Nabi mengajar umatnya berfesyen? Kita asyik hendak meletak perkataan fesyen Islam. Semua perkara hendak ditempelkan perkataan Islam. Tetapi adakah kita menilai benar-benar apa yang ditampilkan itu sesuai atau tidak dengan penjelasan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kikis sifat asabiyah/ta’assub

Pelbagai bentuk tekanan perlu diatasi; baik ekonomi, gejala sosial, remaja, mahupun masalah politik yang berlaku. Sikap segelintir masyarakat yang ta’assub dengan parti politik dan tidak boleh mendengar langsung pandangan, kritikan dan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh pihak lain juga merupakan satu bentuk tekanan dan cabaran.

Apa sebenarnya yang berlaku? Adakah kita akan membawa parti ataupun kita akan membawa akidah yang sahih masuk ke dalam kubur?

Soal perselisihan fahaman politik pada hari ini jangan diterjemahkan secara langsung dengan agama. Sebaliknya kita perlu jadikan agama untuk mengawal selia pandangan dan fahaman politik. Kalau kita jadikan politik untuk mengawal agama, akan timbul masalah seperti jemaah tidak mahu solat di belakang imam yang berbeza kecenderungan parti dan sebagainya. Situasi begini akan berlaku ke atas umat Islam.

Sudahlah Nabi gambarkan umat Islam ramai tetapi tidak bermanfaat, adakah kita mahu terus biarkan umat Islam terus berpecah hingga ke akhirnya? Cabaran seperti ini perlu diatasi dengan ilmu.

Orang politik jangan asyik bercakap tentang politik atau menghentam pihak lawan sebaik sahaja dapat mimbar. Sewajarnya kita sedarkan seluruh umat Islam kepentingan untuk kembali kepada Islam secara syumul. Kesempurnaan tiada pada mana-mana orang pun. Kita semua ada kelemahan dan kelemahan itu perlu diperbaiki. Kalau kita asyik menghukum orang itu tidak betul, orang ini tidak betul, bagaimana umat Islam hendak bersatu?

Tugas pendakwah

Orang yang berilmu dan beragama harus mengetengahkan kebenaran dan membantah kebatilan dengan ilmunya, dan tentunya kebenaran tersebut disampaikan dengan cara yang berhikmah, bukan dengan emosi dan hawa nafsu.

Kebenaran perlu disampaikan dengan ilmu, bukan dengan semangat dan emosi. Sabda Nabi SAW,

إن لكل عمل شرة وإن لكل شرة فترة

Maksudnya: “Sesunguhnya setiap amalan memiliki masa semangat dan setiap masa semangat memiliki masa putus asa (futur).” (riwayat Al Bazzar)

Contoh yang banyak berlaku di sini, orang yang baru balik dari Makkah pada awalnya dia bersemangat untuk beramal, pergi ke masjid, tutup aurat. Orang kita ada budaya 40 hari. Mereka mengatakan 40 hari setelah pulang dari Makkah mereka belum boleh membuka aurat. Subhanallah, aurat bukan kira 40 hari, tetapi selama-lamanya ia wajib ditutup. Memang benar kata Nabi, setiap amalan ada masa semangat, dan setiap masa semangat akan ada masa turunnya.

Bagi orang yang tidak ada ilmu, ketika mula-mula bertaubat, dia mula menutup aurat, pakai tudung labuh, tapi disebabkan tidak ada ilmu, lama-kelamaan tudungnya semakin singkat sehingga akhirnya nampak telinga.

Ini kerana taubat dan perubahannya tidak susuli dengan menimba ilmu. Sekiranya dia menimba ilmu dan memahami kadar aurat itu bagaimana, bagaimana kaedah pemakaian dalam Islam, maka tidak timbul isu tersebut. Yang tidak punya ilmu akan mudah ditipu dan akhirnya ada yang hanya menutup kepala dan menganggap itu sudah cukup, sedangkan leher, dada itu semua termasuk dalam kategori aurat yang wajib ditutup juga.

Begitu juga apabila kita bercakap tentang isu syiah. Syiah sudah masuk di banyak tempat di Malaysia, contohnya di Melaka, Kedah, Selangor. Kalau tidak ada ilmu, kita akan kata apa salahnya, syiah pergi ke Makkah juga.

Abu Lahab dari kecil hingga mati tinggal di Makkah. Bukan syarat pergi ke Makkah bererti dia orang yang baik, dan boleh diterima setiap tindakan, perkataan, dan perbuatannya. Abu Jahal berasal dari Makkah, tidak peluk Islam sampai ke sudah walaupun Nabi berdoa kepada Allah SWT meminta agar Allah beri petunjuk kepada Abu Jahal. Tetapi Allah berikan kepada Umar Al-Khatthab RA, Allah tidak berikan kepada Abu Jahal.

Ka’b bin Al-Asyraf adalah seorang yahudi, Abdullah bin Ubay merupakan seorang munafiq yang tinggal di Madinah. Mati di Madinah dan dibalut mayatnya dengan serban Nabi SAW tetapi dia tetap munafiq dan dia tetap termasuk dalam firman Allah SWT,

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan di neraka yang terbawah. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (surah An Nisa’, 4: 145)

Perselisihan kita dengan syiah bukanlah perselisihan yang kecil, bukan isu angkat takbir tangan nak letak di mana, bukan soal tasyahud nak gerak-gerakkan jari ataupun tidak, bukan soal membaca bismillah secara perlahan ataupun kuat, bukan soal baca qunut ataupun tidak. Itu semua perselisihan yang tidak mengeluarkan orang dari ahlis sunnah. Tetapi perselisihan dengan syiah adalah perselisihan yang boleh mengeluarkan orang daripada ahlus sunnah, bahkan boleh menjadikan seseorang itu daripada Muslim kepada kufur dan musyrik.

Syiah mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi

Bahkan Syiah mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi. Memang kedudukan Abu Bakar tidak akan sama dengan kedudukan Nabi SAW. Tetapi sudah semestinya, sudah pasti kedudukan Abu Bakar berada di tempat yang lebih tinggi berbanding dengan kita pada hari ini.

Sudah pasti kedudukan Abu Bakar RA lebih tinggi daripada kedudukan Imam keempat-empat mazhab ahlus sunnah yang terkenal. Pasti kedudukan Abu Bakar As-Shiddiq RA lebih tinggi daripada imam-imam pakar hadis seperti Imam Al-Bukari, Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan lain-lain. Pasti kedudukan Abu Bakar lebih tinggi daripada mereka semua. Tapi syiah mengkafirkan Abu Bakar.

Begitu juga Umar, begitu juga Utsman, begitu juga Aisyah RA, Abu Hurairah, Ibnu Umar, Salman Al-Farisi, Ali bin Abi Thalib dan sahabat-sahabat yang lain. Saya tidak menyebut Ali di awal tadi bukan kerana meninggalkan, tetapi kerana Syiah telah memuja Ali dan mengkafirkan sahabat Nabi yang lain.

Jika dicermati amalan shalat kita, ibadat harian kita yang lain, kita hendak ambil dari mana jika bukan dari perkataan-perkataan yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Aisyah yang dinukilkan daripada Nabi SAW, daripada Abu Bakar, Umar dan Utsman.

Kita tidak akan tahu tentang praktik wudhu Nabi kalau Humran maula Utsman tidak meminta Utsman tunjukkan bagaimana cara Nabi berwudhu. Tetapi syiah datang mengkafirkan mereka.

Apabila syiah kafirkan mereka bererti sebahagian besar sumber-sumber agama kita didustakan mereka. Semua hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat tidak boleh diguna pakai. Sahih Bukhari dan Sahih Muslim keduanya tidak boleh diguna pakai, Sunan Abi Dawud tidak boleh dipakai. Mereka mahu kita pakai kitab mereka; Ushulul Kaafi oleh Al-Kulaini, imam syiah. Kena pakai tulisan-tulisan Khomeini, tokoh dan imam syiah.

Ini bukan hal yang kecil. Salah seorang imam muda mereka yang popular pada hari ini yang dikenali sebagai Yasser Al-Habib, kita boleh lihat sendiri video bagaimana dia mencerca dan menuduh Umar Al-Khatthab sebagai kaki liwat. Dia menuduh Umar Al-Khattab diliwat. Dia mengatakan Allah menimpakan bala ke atas Umar Al-Khatthab dengan penyakit di lubang dubur Umar Al-Khattab sehingga penyakit tersebut tidak boleh disembuhkan melainkan dimasukkan air mani ke dalam lubang dubur Umar. Tuduhan si celaka ini terhadap Umar Al-Khatthab RA.

Bolehkah kita duduk termenung sahaja mendengarkan hal ini? Di mana kekuatan semangat umat Islam. Apabila kita sudah memiliki ilmu, kita seharusnya tahu bagaimana cara untuk bertindak. Kita tahu bagaimana dan bila kita boleh marah dan bila kita perlu tahan emosi kita.

Apabila tidak berilmu, kerana itulah kita membenci sesiapa sahaja yang tidak sama parti dengan kita tidak kira apa pun yang dibuat oleh orang tersebut, semuanya dibenci. Orang yang berilmu akan menilai perkataan dan perbuatan seseorang tanpa melihat kepada kecenderungan. Kalau betul dikatakan betul, kalau salah dikatakan salah.

Ilmu sahaja tidak cukup

Setelah memiliki ilmu, kita harus bertindak ke peringkat seterusnya. Untuk apa ilmu jika tidak beramal. Negara Islam pada hari ini menghasilkan ramai sarjana. Masing-masing bersijil, punya master dan Phd dari pelbagai universiti. Hal ini sesuatu yang baik namun timbul masalah apabila para sarjana ini menjadikan ijazah mereka sebagai lesen untuk membenarkan setiap perkataan yang diungkapkan.

Al-Imam Asy-Syafi’i tidak pernah belajar di Oxford, Al-Imam Abu Hanifah tidak belajar di Universiti Madinah, Imam Malik bukan lepasan Universiti Al-Azhar, Imam Ahmad tidak pernah belajar di Universiti Al-Urduniyyah di Jordan. Tetapi penulisan, perkataan, kewibawaan dan ketokohan mereka diiktiraf, dikenali dan diingati sampai ke hari ini.

Ini bererti bukan ijazah, pangkat dan gelaran itu yang harus dijadikan dalil kebenaran seseorang. Dalilnya adalah perkataannya sendiri; adakah sesuai atau tidak dengan neraca Al-Quran dan As-Sunnah yang difahami oleh para sahabat Nabi RA.

Saya tidak menolak ijazah, tetapi yang saya maksudkan adalah jangan gunakan ijazah untuk kepentingan. Jangan jadikan ijazah sebagai dalil untuk membenarkan semua perkataan dan perbuatan. Ini kerana kita bimbang melihat ramai pemegang ijazah kurang mempraktikkan agama, kurang menyerlah usaha-usaha untuk beramal dengan agama. Mereka punya ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Kesannya bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi pada ahli keluarga, masyarakat, juga kepada negara. Masyarakat awam akan berdalilkan tindakan mereka, contohnya “Ustaz itu pun buat, apa salahnya. Kalau salah tentu ustaz itu tidak buat.” Itu adalah nilaian orang awam yang jahil.

Manusia boleh diterima dan ditolak pendapatnya

Mazhab Maliki, salah satu mazhab Ahlus sunnah wal jama’ah menyebut makan anjing halal sebab tidak diharamkan di dalam nash secara jelas. Dalam mazhab Hanafi pula disebut bahawa boleh minum arak yang berasal selain daripada anggur, sebab yang disebut dalam hadis adalah anggur.

Walaupun pendapat-pendapat itu ada di dalam mazhab ahlus sunnah wal jama’ah, namun pendapat tersebut tidak boleh diambil. Ini satu pendapat yang terhasil daripada kaedah ijtihad. Namun pendapat ini salah dan merupakan pendapat yang tertolak berdasarkan dalil-dalil dan bukti daripada as-sunnah dan ijma’ yang lain, perkataan sahabat Nabi SAW  dan sebagainya.

Sebab itu kita perlu menuntut ilmu dan kemudian barulah disusuli dengan amal. Ilmu dan amal itu harus bergantung pada sandarannya; bukan pada batang tubuh manusia tetapi bergantung terus kepada dalil-dalil yang disampaikan.

Kalau hendak dibandingkan mazhab maliki dan mazhab hanafi seperti contoh yang disebut di atas dengan tok guru atau ustaz kita atau para masyaikh, tentu sahaja mazhab itu yang lebih besar. Seluruh dunia mengenali mazhab-mazhab ini. Bahkan terdapat negara tertentu yang cenderung mempraktikkan mazhab ini contohnya di Morocco dan Mesir, mereka bermazhab Maliki. Di Saudi banyak kecenderungan kepada Hanbali, di Asia cenderung kepada mazhab Syafi’i, di Pakistan dan India cenderung kepada Hanafi. Kita tidak boleh mengatakan yang bermazhab lain itu sesat. Kita tidak boleh mudah-mudah menyesatkan orang lain yang berbeza pandangan dan mazhab dengan kita.

Kesan dan impak beramal dirasai bukan sahaja oleh diri sendiri dan keluarga, bahkan juga oleh masyarakat dan negara. Kalau kita tidak beramal dan tidak menunjukkan contoh yang baik, mana mungkin perubahan dapat berlaku. Sebab itu Allah SWT mencerca dan menyindir orang yang ada ilmu kemudian dia bercakap tetapi dia tidak mengamalkannya,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?  Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (surah Ash-Shaff: 2-3)

Sebarkan ilmu setelah beramal

Daripada beramal pergi pula ke peringkat seterusnya iaitu an-nasyru (sebarkan). Islam agama dakwah. Islam agama nasihat. Sabda Nabi SAW,

« الدِّينُ النَّصِيحَةُ » قُلْنَا لِمَنْ قَالَ « لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ »

“Agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa?” Baginda menjawab, “Bagi Allah, dan bagi Kitab-Nya, dan bagi Rasul-Nya, dan bagi penguasa kaum Muslimin dan Kaum Muslimin secara umum.” (riwayat Muslim no. 55)

Apabila Nabi mengatakan agama ini adalah nasihat, mesti ada kaedah untuk menyampaikan nasihat. Nasihat bukan disampaikan ikut suka hati. Bukan apabila kita melihat orang berbuat salah kita terus menghukumnya, tetapi sebetulnya adalah kita sampaikan nasihat.

Nabi telah mengajar kita kaedah menyampaikan nasihat; kaedah penjagaan lisan dan perkataan, kaedah memilih tempat dan keadaan, kaedah melihat karektor seseorang. Bukan semua orang sama, ada orang yang panas baran, ada orang yang lembut, ada orang yang apabila kita tegur sedikit dia terus menangis, ada yang apabila kita tegur sedikit ditamparnya kita.

Jadi orang yang hendak menyampaikan nasihat perlu berhikmah yakni bijak memilih kaedah yang sesuai agar nasihat itu diterima dan memberi kebaikan kepada orang yang dinasihati. Ternyata demonstrasi bukan kaedah penyelesaian masalah di dalam agama Islam.

Kita tidak akan mampu membendung pelbagai jenis manusia yang berhimpun beramai-ramai di dalam demonstrasi. Menjerit, marah, emosi, maki hamun, kutuk, yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan. Itu bukan kaedah menyampaikan agama kepada orang.

Lihat bagaimana Nabi menegur seorang sahabat, Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami ketika dia mendengar orang bersin ketika shalat dan orang tersebut mengucapkan Alhamdulillah (apabila seseorang bersin maka hendaklah dia mengucapkan alhamdulillah baik ketika berdiri, ruku’ ataupun sujud) maka Mu’awiyah pun menyebut “yarhamukallah”. Orang yang lain memandangnya kerana perbuatannya itu merupakan perbuatan bercakap di dalam shalat yang akan membatalkan shalat. Apabila dia melihat orang memandangnya maka dia pun berkata,

واثكل أمِّياه

“Celakalah ibu-ibu kalian.”

Kemudian Mu’awiyah RA meneruskan shalatnya, setelah selesai shalat, Nabi SAW memanggil beliau. Sebelum Mu’awiyah menceritakan nasihat Nabi kepadanya, Mu’awiyah RA terlebih dahulu memuji-muji Nabi SAW, kata Mu’awiyah,

فوالله ما رأيت معلماً أحسن تعليماً منه، اللهم صلي وسلم عليه، والله ما كهرني، ولا نهرني وإنما قال: «إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس إنما هي التسبيح، والتكبير وقراءة القرآن

“Demi Allah, belum pernah aku melihat seorang pendidik yang lebih baik cara mendidiknya daripada baginda. Semoga Allah sentiasa memberikan selawat dan salam kepada baginda. Demi Allah, baginda tidak memarahiku dan tidak pula mencercaku. Baginda hanya berkata, Sesungguhnya di dalam shalat ini tidak sepatutnya ada sesuatu dari ucapan manusia, sesungguhnya shalat itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran.” (riwayat Muslim, Kitabul Masajid, Bab Tahrimul Kalam fish Sholah (537))

Perhatikanlah bagaimana kaedah Nabi SAW memindahkan maklumat. Bahkan ketika baginda menerima kehadiran delegasi kristian dari Najran, Nabi menerima kedatangan mereka dan menjemput mereka masuk ke dalam masjid dan berbincang tentang agama dengan akhlak dan adab yang baik.

Seorang budak yahudi yang sedang sakit tertawan dengan Nabi sebelum kematiannya, Nabi pergi kepadanya dan berkata, “Sebutlah kalimah Laa-ilaaha-illallaah. Aku akan bersaksi dengan kalimah ini di hadapan Allah SWT engkau memeluk Islam.” Budak ini lalu memberitahu bapanya bahawa Muhammad mengajaknya menyebut Laa-ilaaha-illallaah. Bapanya berkata, taatilah Abul Qasim (Muhammad SAW). Ini adalah kerana akhlak dan budi pekerti Nabi SAW yang mulia dan buat orang tertawan dengannya.

Dahulukan keutamaan

Kita perlu pandai memilih keutamaan. Keutamaan yang perlu kita perbetulkan adalah akidah dan membasmi kesyirikan. Dahulukan yang paling penting di antara perkara-perkara penting yang lain. Kita tidak boleh memulakan dakwah dengan menyuruh orang menutup aurat. Orang yang berpuluh tahun tidak pernah menutup aurat, tiba-tiba kita menyuruhnya menutup aurat, dia akan menjadi lebih ego dan menentang. Akhirnya kita sendiri yang sakit hati.

Sebab itu seorang da’i harus pandai memilih keutamaan. Seorang pendakwah yang ingin mendakwah orang lain perlu ada bahan-bahan yang hendak disampaikan maka persiapkanlah diri dengan ilmu.

Tingkatkan semula kekuatan yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam dengan cara mencari ilmu, beramal, dan dengan dakwah yang kita sampaikan.

Wallaahu A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: